click 4 money

Sunday, January 31, 2010

Julia bukan merajuk


Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



Pelakon mahu kembali ke Amerika Syarikat untuk belajar bidang pengarahan filem

SEJAK namanya meniti populariti, pelakon kacukan Melayu-Jawa-Jerman, Julia Ziegler sering dihambat kontroversi. Satu persatu gosip kurang menyenangkan menghimpit diri tetapi gadis berusia 25 tahun itu tidak cepat melatah sebaliknya reda - itulah harga yang perlu dibayar apabila bergelar selebriti.

Sebelum terbang ke Amerika Syarikat, empat bulan lalu, pelakon yang mula meniti nama di bibir peminat menerusi drama bersiri, Susuk itu terpalit dengan kontroversi percintaan dengan pelakon dan pengarah muda, Pierre Andre dan lebih mengejutkan apabila dikaitkan berlaku perbalahan antara beliau dengan produser filem terkenal, David Teo.

Julia dikatakan sudah menandatangani persetujuan menyertai 14 slot promosi filem Jangan Tegur membabitkan fotografi bersama media, kemunculan di kaca TV dan radio. Pun begitu, pada saat akhir sebelum promosi bermula, Julia hanya dapat menyertai dua slot, sekali gus keadaan itu mendatangkan kekecewaan bagi pihak Metrowealth (MIG) milik David.



Ada yang menganggap sikap Julia banyak berubah disebabkan terpengaruh dengan buah hatinya, Pierre yang ketika itu berdepan konflik besar' dengan David. Bagaimanapun, `tanda tanya' pertelingkahannya dengan David, hanya tergantung begitu saja apabila Julia menghilangkan diri dan terbang ke Georgia, Amerika Syarikat.

Adakah Julia merajuk? Atau apakah Julia cuba melarikan diri daripada kontroversi yang tercetus?

Apabila B*Pop menemuinya dan bertanyakan hal itu, Julia hanya tergelak kecil. Dengan nada perlahan, gadis kelahiran Ampang, Selangor itu mengakui: "Saya tak pernah merajuk atau berkecil hati dengan sesiapa, sebaliknya pemergian saya ke Amerika Syarikat memang dirancang awal, cuma keadaan sering membuatkannya tertangguh.

"Sebenarnya saya terlalu penat bekerja, saya inginkan masa untuk diri sendiri. Saya ke Amerika Syarikat untuk mencari diri, apa hala tuju hidup saya, selain menziarahi kakak dan keluarga. Bagaimanapun, ada yang tersalah anggap, ada yang menuding jari menuduh saya mahu lari daripada kontroversi yang tercetus.

"Dan, membuatkan saya tergelak ada yang menganggap saya bawa hati yang lara selepas putus cinta dengan Pierre. Saya bukanlah seorang yang cepat mengalah dalam hidup, saya sudah semakin lali dengan kontroversi apabila bergelar anak seni.

"Cuma ketika itu, saya tidak mahu memanjangkan perbalahan, saya tak mahu ada hati yang terus terguris dengan kenyataan saya. Tidak guna terus bertelingkah dan bersikap seperti budak sekolah, ia lebih mengusutkan keadaan dan mencemarkan nama. Sebenarnya, bukan saya tidak mahu bekerjasama dengan David, saya memang teruja nak mengikuti rangka promosi filem Jangan Tegur kerana saya sedar, itu antara filem terbaik lakonan saya.


Nafi dihasut Pierre, akui hubungan rapat

"Bagaimanapun, mereka (MIG) tidak dapat memberikan tarikh tetap, saya pula sudah merancang terbang ke Amerika Syarikat. Saya pernah ke pejabat MIG bertemu dengan kakitangan David, tetapi mereka minta saya menunggu. Saya memang teruja mahu mengikuti rangka promosi filem itu, saya sanggup ke pejabat mereka, tetapi tiada jawapan pasti yang diperoleh.

"Apabila sudah ada tarikh, saya hanya dapat mengikuti dua slot memandangkan saya juga mempunyai komitmen lain. Saya perlu melunaskan kerja terakhir sebelum bercuti panjang, jadi jangan cakap saya mungkir janji. Saya sudah memberikan tempoh kepada mereka, lagi pun saya sudah beritahu awal, bagi notis selama sebulan."

Gadis lulusan Savannah College of Art & Design, Georgia, itu berkata selama ini, dirinya tidak pernah masuk campur perbalahan David dengan Pierre, malah ketika pergaduhan besar tercetus, dia turut berlakon untuk menyudahkan penggambaran filem Jangan Tegur.

Semakin bergaya seksi, Julia akui: "Saya bekerja secara profesional, perbalahan antara David dan Pierre biarlah mereka selesaikan sendiri. Jika ada yang menganggap keputusan saya dihasut Pierre, saya nafikan sekeras-kerasnya. Jika saya berkomplot dengan Pierre tentu saya tidak menghabiskan penggambaran filem Jangan Tegur. Hubungan saya dan Pierre memang rapat tetapi soal kerjaya, itu hak saya.

"Mereka bergaduh tetapi janganlah kaitkan saya sekali. Apa juga keputusan yang saya buat tidak pernah dipengaruhi sesiapa, Pierre tidak pernah menghasut, keluarga saya juga tidak masuk campur. Bagaimanapun, saya agak tersinggung dengan satu kenyataan David ketika bertemu dengannya suatu ketika dulu. Saya nak tegaskan, saya rapat dengan Pierre, tetapi soal jodoh biarlah Tuhan yang menentukannya."

Mahu jadi pengarah, terbit filem

Julia juga berkata, dia sedar ramai yang tersalah tafsir hubungannya dengan Pierre, bagaimanapun setakat ini, mereka hanya berkawan rapat.

"Saya tak boleh nak kategori hubungan saya dengan Pierre 'teman tapi mesra', tetapi apa yang dapat saya katakan, kami rapat serapatnya. Saya juga rapat dengan ibu Pierre, Khatijah Tan. Bagaimanapun, saya tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan Pierre. Saya bukan seorang yang mudah jatuh cinta, tetapi jika nak mencari pasangan hidup, saya mahukan lelaki itu mengenali saya, apa yang saya suka dan sebaliknya.

"Jadi lelaki itu perlulah menjadi sahabat saya terlebih dulu, sebelum berani melamar saya. Bagaimanapun, buat masa ini, saya belum terdesak nak mencari pasangan hidup, perjalanan kerjaya saya masih panjang lagi. Saya mempunyai matlamat lain dalam hidup," katanya yang kini sibuk dengan filem pertama terbitannya, Crayon.

Julia berkata, dia dan kakaknya, Linda Ziegler berkongsi syarikat, Zioss Sdn Bhd merancang menerbitkan tiga filem. Filem pertamanya, Crayon arahan pengarah muda, Aminuddin akan menjalani penggambaran bulan depan. Bagaimanapun, dirinya tidak berlakon dalam filem itu.

"Impian saya bergelar penerbit akan jadi kenyataan tidak lama lagi apabila filem pertama terbitan saya, Crayon dibintangi Adibah Noor dan Aznil Nawawi memulakan penggambaran 7 Disember ini. Filem berkenaan mengisahkan kehidupan dan kesedihan anak-anak yatim dan ia memberi makna buat saya. Saya dan Linda juga akan menerbitkan dua filem lagi, kisah orang kurang upaya dan orang tua, tahun depan.

"Sebenarnya pemergian saya ke Amerika Syarikat juga bertujuan mencari kolej sesuai untuk saya menyambung pelajaran, tapi bukan lagi jurusan arkitek. Saya akan mengambil kursus jangka pendek dalam bidang pengarahan filem hujung bulan ini. Saya dijangka ke Amerika Syarikat meneruskan pengajian selama tiga bulan. Insya-Allah... sekembali ke Malaysia tahun depan, saya sedia menduduki kerusi pengarah," katanya yang pernah bercita-cita mahu menjadi guru tadika jika tidak bergelar pelakon.

INFO: Julia Ziegler

  • NAMA PENUH: Julia Bob Fauzi Ziegler.
  • TARIKH LAHIR: 21 Mei 1984.
  • ASAL: Ampang, Selangor.
  • DARAH CAMPURAN: Bapa (Jerman-Amerika), ibu (Melayu-Jawa).
  • KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik.
  • PENDIDIKAN: Pengajian Asas Arkitek dari Savannah College of Art & Design, Georgia, Amerika Syarikat.
  • SYARIKAT MILIKNYA: Suria Design Sdn Bhd.
  • KOMERSIAL: Nokia, Celcom, Olay, Pantene dan Penerbangan Malaysia (MAS)
  • FILEM: Kayangan, Cuci, Cicak-Man 2, Jangan Tegur dan Teman Selamanya (Indonesia).

    Solekan & Dandanan: AP Temerloh (019-969 7607)
    Busana: Nana G Boutique, Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur. www.nanagboutique.blogspot.com (Liyana Ghaus 03-2282 5182).
  • Misha terpaksa tangguh hasrat


    Oleh Zul Husni Abdul Hamid

    Hati Misha sudah dimiliki.

    Misha sudah serasi dengan aturan sebagai anak seni

    ANDAI tidak kerana lagu nyanyiannya, Cinta Adam Dan Hawa ciptaan Azmeer dan lirik nukilan Allahyarham Loloq membolosi senarai 14 finalis untuk Anugerah Juara Lagu Ke-24 pada 10 Januari depan, pasti berat Misha Omar menerima pelawaan untuk sesi fotografi ini.

    Sudah menjadi prinsip hidupnya, hanya bersedia bertemu media jika ada cerita untuk dikongsi. Pastinya sesuatu yang positif kerana Misha senang khalayak menilai dirinya dari segi karier, bukan publisiti picisan yang cuma mencemarkan nama baiknya.

    Pegangan prinsip yang tentunya mengundang pro dan kontra tetapi Misha mempunyai sebab mengapa berbuat demikian.

    Mahu utamakan kerjaya sebelum akhiri zaman bujang.

    Hampir lapan tahun melayari industri hiburan, dia sudah dapat menebak kemungkinan jika terlalu membiarkan diri dihanyut publisiti.

    "Justeru, saya selesa begini iaitu cuma tampil apabila ada berita untuk dikongsi dan selain itu saya senang menyimpannya sendiri.

    “Tidak perlu terus-terusan menghiasi dada akhbar dan majalah, namun pengisian ceritanya kosong dan hambar. Itu tidak adil kepada peminat. Lama kelamaan mereka juga bosan.

    "Saya sendiri bukan artis baru, sudah lapan tahun dalam industri membuatkan saya semakin serasi dengan aturan perjalanan sebagai anak seni," kata Misha.

    Berdiam diri bukan bermakna dia tidak menggerakkan aktiviti seninya. Undangan persembahan nyanyian masih dipenuhi, aktiviti lakonan dan pengacaraan juga dijalankan seiring.

    Semua itu membuatkan jadual seni Misha agak padat tatkala 2009 bakal menutup tirainya. Kesibukan yang kembali diimpikan Misha kerana akuinya, awal 2009 membawanya meniti laluan sulit dan menduga.


    Pernah kata Misha, dia tertanya-tanya mengapa takdir tidak menyebelahinya meskipun tahun ini catatan kariernya dilakar cemerlang.

    Album ketiga yang mengangkat namanya sebagai judul meraih empat trofi utama, termasuk Album Pop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-16 seharusnya membentangkan ruang selesa untuk Misha terus bergerak.

    "Tetapi sebaliknya pula berlaku. Karier nyanyian saya seakan tersekat membuatkan saya keliru memikirkan nasib diri. Pernah saya berbisik kepada diri, barangkali sudah tiba masa untuk mencari arah baru. Mendirikan rumah tangga. Mungkin? Tetapi Tuhan itu adil. Dalam kesulitan itu, Dia membuka laluan untuk saya menggilap bakat dalam bidang pengacaraan selain kembali aktif berlakon.

    "Alhamdulillah, semua itu rezeki. Berkat kesabaran juga Allah menemukan saya dengan ramai insan yang mempercayai bakat seterusnya membantu untuk melicinkan aktiviti nyanyian saya," katanya.

    Gandingan dengan Anang:

    ANTARA detik paling mengujakan pemilik nama lengkap, Samihah @ Aisah Omar ini tatkala berkesempatan bertemu komposer dan penyanyi popular Indonesia, Anang Hermansyah usai menjayakan konsert kemuncak, Jom Heboh.

    Pertemuan yang dilanjutkan dengan kesediaan Anang yang juga bekas suami penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti (KD) untuk memperluaskan karier nyanyiannya di tanah seberang.

    Membuatkan Misha terharu, semuanya seperti didorong Tuhan apabila syarikat rakamannya, Sony Music turut menyambut baik usul itu.

    Mereka juga menggalakkan gandingan dua nama besar ini dipercepatkan kerana percaya, kerjasama itu akan membuahkan sesuatu yang bermakna kepada industri hiburan Malaysia serta Indonesia.

    Sebagai permulaan, kerjasama mereka diperkuatkan dengan rakaman semula single, Makin Aku Cinta yang pernah dibawakan Anang dan KD tetapi diberi susunan muzik baru.

    "Itu cuma strategi permulaan dan saya sendiri tidak menolak kerana percaya Anang mempunyai perancangan terbaik untuk memperkenalkan nama saya di sana. Sudah lama dia mengintai peluang itu. Cuma mungkin rezeki hanya datang pada 2009, tatkala saya sendiri sedang mencari cabaran baru.

    "Difikirkan kembali, mengapa tidak saya beranikan diri semula untuk terus mencuba biarpun percubaan awal memasuki pasaran Indonesia lewat album sulung lalu gagal.

    "Barangkali ketika itu saya belum benar-benar sedia, pengalaman juga mentah tetapi kini dengan sokongan Anang dan pengurusan Sony Music, saya berdoa impian ini menjadi kenyataan," katanya.

    Tangguh hasrat bernikah:

    TIDAK pernah menyembunyikan kenyataan hatinya sudah dimiliki, Misha juga berura-ura untuk menamatkan zaman gadisnya tatkala usianya menganjak 28 pada tahun depan.

    Usia yang bagi Misha, sudah terlalu matang untuk menggalas tanggungjawab baru sementelah jejaka yang begitu memahami dirinya itu turut menerima anak kesayangannya, Muhammad Adam Emir.

    Kebetulan percintaan yang dijalin hampir dua tahun itu menerima restu keluarga, Misha berkata, tiada apa lagi yang perlu difikirkan.

    Bagaimanapun, semua itu cuma perancangan. Tanpa pernah diduga, karier nyanyiannya kembali mekar. Begitu juga dengan jejaka yang menambat hatinya. Lelaki itu pada masa sama sedang membina kerjaya untuk masa depan yang selesa membuatkan mereka kembali berbincang.

    "Jalan terbaik kami tangguhkan dulu hasrat untuk bernikah. Kebetulan karier kedua-dua kami sedang bergerak baik, jadi kami ambil keputusan untuk fokuskan dulu kepada membina kerjaya.

    "Alhamdulillah, dia memahami kerana dia sendiri pernah melihat perjalanan jatuh bangun saya dalam bidang ini. Melihat kesungguhan saya untuk menawan kembali laluan yang pernah tertangguh dulu, dia merestuinya.

    "Dia juga tidak pernah memaksa kerana dia sendiri sedang mengejar cita-citanya. Insya-Allah, apabila semua yang diimpikan menjadi kenyataan kami akan memikirkan perancangan hidup berdua. Saya percaya kepada jodoh," katanya.

    Info:

  • Nama Penuh: Samihah @ Aisah Omar
  • Nama Komersial: Misha Omar
  • Usia: 27 tahun
  • Tarikh Lahir: 6 Januari 1982
  • Asal: Kota Bharu, Kelantan
  • Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan pengacara
  • Mula Aktif: 001 (Melalui Bintang RTM - Finalis)
  • Album: Misha (2002), Aksara (2004) dan Misha 2008 (2008)
  • Filem: Gerak Khas The Movie (2005) dan Main Main Cinta (2006)
  • Drama/Telefilem: Jom Balik Raya I & II (2006), Jula Juli dan Cinta Si Sukun (2009)
  • Pencapaian: Festival Muzik Asia Shanghai 2003 - Anugerah Emas, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 - Artis Baru Wanita Popular; Anugerah Juara Lagu 2003 - Lagu Balada Terbaik (Bunga Bunga Cinta) / Persembahan Vokal Terbaik dan Anugerah Industri Muzik 2009 - Lagu Terbaik dan Lagu Pop Etnik Terbaik (Nafas Cahaya); Lagu Pop Terbaik (Cinta Adam & Hawa) dan Album Pop Terbaik.

    Pakaian dan lokasi: Syaiful Baharim,
    C-0-10 Plaza Damas
    60 Jalan Sri Hartamas 1 Sri Hartamas, Kuala Lumpur
    Solekan: Chomel (012-684 1591).
  • 'Saya tak tamak'






    Fara Fauzana beralih ke lakonan, penerbitan drama

    KETEPIKAN soal tamak, Fara Fauzana inginkan kesempurnaan dalam hidup dan kerjayanya. Selepas mengecapi kejayaan dalam dunia pengacaraan dan pe­nyampaian radio, kini tumpuannya beralih ke bidang lakonan dan penerbitan drama. Jika ada rezeki, gadis hitam manis itu ingin melayarkan sayap ke dunia nyanyian pula.

    Baginya, rezeki yang sudah terbentang luas di depan mata tidak seharusnya dipersia-siakan. Selagi diterima, gadis berusia 30 tahun itu mahu me­nerokai pelbagai cabang dalam bidang seni, tidak hanya bergelar penyampai radio, pengacara, pelakon, penerbit drama, malah Fara turut me­nyimpan hasrat menghasilkan album atau single suatu masa nanti.

    Masih menggunakan tongkat selepas menjalani pembedahan di lutut lebih dua bulan lalu, Fara atau lebih mesra dengan panggilan Fafau di kalangan peminat menegaskan kalau sudah ada rezeki di depan mata, kenapa hendak ditolak.



    "Tidak timbul soal tamak, haloba apabila saya mengalih­kan tumpuan dalam bidang lain. Soalnya sudah rezeki datang bergolek dan tidak mampu saya tolak. Kalau ikutkan, saya memang penat apabila orang lain masih diulit mimpi, saya sudah berkejar ke konti radio HotFM, pada waktu tengah hari pula perlu melakukan tugasan lain, tetapi alah bisa, tegal biasa, saya sememangnya sukakan cabaran.

    "Ada masa saya hanya sempat tidur dua sejam sehari, ada kalanya saya pernah tertidur dalam kereta, tetapi itu bukanlah alasan untuk saya tidak melakukan kerja sebaik mungkin. Walaupun mata me­ngantuk, otak letih dan badan rasa lesu, kerja tetap kerja. Saya ketepikan perasaan itu demi tugasan yang menanti saya.

    "Mungkin ada yang me­nuduh tamak, saya tak kisah. Bukan selalu saya diberikan peluang mengacarakan rancangan, berlakon drama atau filem serta menerbitkan drama, ia hanyalah bermusim, datang sekali sekala saja. Saya juga menyimpan hasrat me­rakamkan single atau jika ada rezeki mungkin menghasilkan album solo selepas gan­dingan saya bersama kumpulan The Fabulous Cats, Darling dan Anne menerusi lagu Gadis Cuci berjaya meraih perhatian peminat.

    "Awalnya saya pernah tak yakin mampu menyanyi, namun gandingan bersama pelakon Gadis Cuci The Series nampaknya membuahkan hasil, sekali gus membina keyakinan untuk saya menceburi bidang nyanyian. Jika ikutkan, saya menyimpan minat bergelar penyanyi sejak di bangku sekolah lagi, saya pernah bergelar juara dalam pertandingan Tiru Gaya Suara Awie ketika berusia belasan tahun dan me­rakamkan lagu bersama Linda Onn, Nana dan Niela Kurnia sewaktu bertugas di radio Era.

    "Jika ada yang menganggap saya sudah tidak laku, lalu mahu mengalih tumpuan pada bidang lain, saya menafikannya sebaliknya saya ingin mencuba sesuatu baru tanpa mengetepikan kerjaya tetap saya sebagai penyampai radio dan pengacara TV," katanya.

    Pemenang Anugerah Pengacara TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama empat tahun berturut-turut itu berkata dia juga punya matlamat tinggi, tidak mahu terus berada pada tahap ini kerana impiannya mahu mengecapi tahap yang lebih tinggi.


    Kelihatan anggun dengan solekan dan dandanan, Rieza Amour, Fafau berkata, memang dia menyimpan untuk bergelar penerbit di sebalik tabir dalam industri tetapi perlu mengumpul pengalaman dan melangkah berperingkat untuk merea­lisasikan impian saya.

    "Kalau ikutkan saya sudah menghantar borang permohonan sejak beberapa tahun lalu, tetapi permohonan saya sering tidak diluluskan. Bukan bermakna saya sudah jemu mengendalikan segmen Hot FM AM Krew bersama Faizal Ismail setiap hari, tetapi saya juga angin perubahan selepas hampir satu dekad dalam dunia penyiaran radio. Apa pun, saya tidak akan berputus asa, saya akan mencuba lagi pada masa akan datang," jelasnya.

    Teringin juga untuk dicintai

    Tanpa berselindung, dalam usia menginjak 30 tahun, Fafau akui keinginannya mahu bergelar isteri dan ibu semakin meluap-luap cuma jodoh belum kunjung tiba. Menafikan diri sukar didekati, sebaliknya pencariannya belum tiba ke penghujung ketika ini.

    "Hati mana tak rasa ingin dicintai, jiwa mana tak ingin dimiliki tetapi saya belum bertemu pilihan hati. Saya tak pernah berbohong, inilah hakikat hidup - saya belum berteman. Tidak dinafikan, dulu saya pernah jatuh cinta dan dalam usia 21 tahun, saya hampir berkahwin tetapi keluarga mahu saya melanjutkan pelajaran terlebih dulu, kisah cinta saya tamat begitu saja.

    "Saya juga pernah menjalinkan hubungan dengan seseorang yang istimewa tetapi hubungan kami putus di tengah jalan, bekas kekasih saya berkahwin dengan gadis lain. Tipulah saya tak kecewa tetapi tak bermakna saya serik nak bercinta lagi. Hingga kini, helaian hidup saya ditemani kawan-kawan baik dan keluar­ga, tak sempat nak rasa sunyi.

    "Mungkin disebabkan dikelilingi kawan-kawan rapat, jadi saya tak pernah memikirkan soal jodoh, tapi persoalannya sampai bila? Bila lihat pasangan lain yang dibuai cinta, saya jadi cemburu dan dalam hati pernah terdetik, bila saya nak bahagia macam mereka. Bukan tiada yang cuba merapati, tetapi kesudahan cerita kami hanya berkawan biasa.

    "Tidak dinafikan, ada juga teman artis yang meluahkan perasaan tetapi saya menolak, saya tak selesa. Jika diberi pilihan, saya ingin mencari lelaki yang bekerja dalam bidang berlainan, bukan artis. Bagaimanapun, sebagai manusia biasa, kita tidak mampu menolak kehendak takdir. Saya akui saya seorang gadis yang konservatif dan tidak terlalu bersosial walaupun berfikiran terbuka.

    "Disebabkan itu, apabila timbul cerita saya seorang lesbian dan teman rapat saya se­perti Nana, Linda Nanuwil dan Darling menjadi mangsa, saya hanya tergelak besar, tak pernah simpan dalam hati. Jauh di sudut hati, saya inginkan seorang kekasih, suami dan bapa kepada anak-anak saya, bukan hidup de­ngan cara songsang," katanya yang turut membintangi filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami arahan Din CJ itu.

    Mengulas azam tahun baru­nya, Fafau akui dia ingin mengubah penampilan imej menjadi lebih manis dipandang mata. Bukan selama ini, dirinya tak pernah menitik beratkan soal imej, sebaliknya kekurangan diri dan pandangan peminat sentiasa diambil kira.

    "Saya tidak memiliki bentuk badan yang cantik, jadi selalunya saya berdepan dengan masalah pakaian. Saya akui sentiasa bersedia membawa pakaian lain jika pakaian yang disediakan tidak bersesuaian dan menyebabkan saya tidak selesa dan kelihatan lebih buruk.

    "Bagaimanapun, timbul pula cakap-cakap belakang, saya cerewet dan tak suka berdandan. Tidak dinafikan, saya seorang yang ringkas, apatah ketika bertugas pada subuh hari, saya akui tak seperti teman setugas lain yang sentiasa cantik dan bergaya, tetapi waktu bekerja mereka berbeza.

    "Saya pernah melakukan perubahan imej ketika mengacarakan rancangan Melodi suatu ketika dulu, tetapi saya dihentam cukup-cukup, saya jadi malu. Sejak itu, saya berhati-hati dalam memilih pakaian, biarlah peminat melihat saya simple dan santai, itu adalah kemahuan mereka. Tapi untuk 2010 ini, saya inginkan perubahan dan masih memikirkannya," katanya lagi.

    Info Fara Fauzana

  • NAMA PENUH: Fara Fauzana Mohd Fadzil

  • USIA: 30 Tahun

  • TARIKH LAHIR: 7 Februari 1980

  • KELUARGA: Kedua daripada tiga beradik

  • ASAL: Petaling Jaya, Selangor (dibesarkan di Shah Alam)

  • PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam

  • KERJAYA: Penyampai radio HotFM, pengacara Melodi (TV3), pelakon dan penerbit drama

  • FILEM: SH3 The Movie, Gila Gila Bola, Jin Notti, Kecoh Betul dan Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami

  • DRAMA: Hanya Segeluk Air, Mangkuk Tingkat, Fatamorgana, Kisah Benar, Nur, sitkom Fara, Gadis Cuci dan Gadis Cuci The Series

  • PENCAPAIAN: Pengacara TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005, ABPBH2006, ABPBH2007, ABPBH2008 dan Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH2007, ABPBH 2008

  • DUTA: Telekom Malaysia (TM), Keep Slim dan Jacob's
  • Misi buru gelaran


    Oleh Zul Husni Abdul Hamid



    Peluang keemasan untuk pahat nama sebagai pelapis industri hiburan

    SAAT ditanya apa harapan besar mereka tatkala 2010 menyelak helaian harinya, empat nama yang sedang memuncak dalam industri hiburan ini mengimpikan perjalanan karier yang lancar dan membanggakan.

    Mereka memulakan perjalanan 2010 dengan cukup selesa. Beraksi di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) di Stadium Putra, Bukit Jalil, jam 9 malam ini, peluang keemasan itu memberi lonjakan untuk terus memahatkan nama sebagai pelapis industri hiburan.

    Berbanding Stacy, Akim dan Black yang masih mentah dalam industri hiburan, Alyah pula sudah hampir sedekad mencuba nasib.

    Cuma, pada 2009 namanya menyerlah lewat lagu ciptaan Ajai, Tak Mungkin Kerna Sayang lantas menjulang album yang mengangkat namanya sebagai judul dalam Top 5 Album Pop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-16.

    Perjalanan awal Alyah mungkin tidak seenak Stacy yang memacu kariernya laju selepas menjuarai program realiti, Akademi Fantasia 6.

    Bintangnya bersinar terang. Cuma bersandar kepada single, Aku Stacy, gadis kelahiran Sabah ini mengecap populariti yang diimpikan semua bakat muda sepertinya.

    Malah meraih pengiktirafan Artis Baru Wanita Popular pada acara gemilang, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, April tahun lalu. Kecemerlangan Stacy juga dikongsi bersama Black yang menjuarai program realiti, Mentor selepas menempuh laluan sukar untuk menembusi industri hiburan.

    Akim yang menamatkan perjuangannya di AF7 pada tempat ketiga namun populariti dikecapi mengenepikan juara pertandingan itu, Hafiz. Apakah nasib akan terus menyebelahi mereka pada 2010? Yang pasti, empat artis muda ini sedang bersiap sedia untuk malam ini bagi misi memburu gelaran di pentas AJL kerana mendambakan pengiktirafan.

    Stacy akui bebanan di pentas AJL

    LEDAKAN Aku Stacy mengubah hidup gadis Kazadan berusia 19 tahun itu. Impak penampilannya pada malam AJL23 memacu laju karier nyanyian Stacy yang baru bertapak. Tahun ini, Stacy kembali mempertaruhkan nasibnya menerusi Pakai Buang, ciptaan sepenuhnya Edry KRU. Akui Stacy atau nama penuhnya, Stracie Angie Anam, penyertaan kedua pada AJL24 memberikan cabaran berbeza.

    �Saya akui bebanan untuk penyertaan kedua ini agak berat. Ketika Aku Stacy dulu, jadual kerja saya masih longgar kerana baru bergelar artis. Jadi masa untuk berlatih banyak.

    �Berbeza sekarang apabila jadual harian saya semakin padat. Banyak komitmen yang perlu saya penuhi, membuatkan saya terpaksa mencuri masa untuk menjalani latihan. Mujur saya dibantu pasukan yang memahami. Mereka tidak merungut, bahkan bersedia memberi komitmen apabila diperlukan. Komitmen mereka meringankan sikit bebanan saya,� katanya.

    Menerusi lagu Pakai Buang kata Stacy, menuntut kekuatan stamina yang luar biasa berbanding Aku Stacy yang tidak memerlukan pergerakan terlalu besar. Paling meresahkannya, koreografi yang diilhamkan abangnya, Chaq juga mencabar membuatkan dirinya bingung apakah mampu memberikan yang terbaik pada malam kemuncak nanti.

    �Jujurnya saya sudah bersedia tetapi pada masa sama saya juga ragu kerana tidak pernah puas dengan apa yang diberikan. Pakai Buang memberikan saya tekanan hebat, malah terasa seolah ini penyertaan pertama saya di pentas AJL. Saya cuma mampu berdoa apa yang dirancang berjalan baik nanti,� katanya.

    Alyah menanti 10 tahun

    PENTAS pertandingan sememangnya sinonim dengan Alyah yang meraikan ulang tahun ke-29 pada 3 Januari lalu. Alyah pernah meraih gelaran juara pada pertandingan Wirawan EON (1994), Bintang Pepsi (1996), Suara Johor (1997) dan tempat kedua Asia Bagus (1998).

    Semua pencapaian itu tidak berjaya melonjakkan nama Alyah, sebaliknya gadis kelahiran Gelang Patah, Johor ini terus terumbang-ambing dalam mencari haluan seninya.

    Bagaimanapun, penantian panjang Alyah terjawab dengan Tak Mungkin Kerna Sayang (TMKS), ciptaan Ajai dan Habsah Hassan yang memberi nuansa baru dalam karier nyanyiannya.

    �Impak yang diterima selepas terpilih ke kemuncak AJL24 cukup memberangsangkan. Sebelum ini populariti lagu itu tidak diimbangi dengan lonjakan nama Alyah. Alhamdulillah, selepas separuh akhir Muzik Muzik 24 perlahan-lahan kehadiran saya semakin diterima,� katanya.

    Penerimaan peminat untuk TMKS sepanjang 2009 juga di luar jangkaan, memberikan sedikit harapan positif kepada Alyah apabila lagu itu terpilih melangkah ke AJL24.

    Cuma, satu harapan Alyah, diberikan kesihatan yang memuaskan memandangkan dia berdepan masalah ketika membawakan lagu itu pada Separuh Akhir Muzik Muzik 24 lalu.

    �Saya sendiri tidak sabar beraksi kerana ini peluang terbaik untuk menyerlahkan bakat selepas hampir 10 tahun menanti. Dalam apa juga hal, saya harus bersedia fizikal dan mental kerana pentas AJL24 menjadi cabaran yang menguji kemampuan sebenar saya sebagai penyanyi yang baik,� katanya.

    Mengimpikan kejayaan pada malam itu, Alyah yang sedang mempromosikan single ketiga, Realiti Dewi mengharapkan AJL24 akan menjadi penyambung kepada karier nyanyiannya yang semakin bersinar.

    Akim mahu buktikan dirinya boleh!

    TIDAK mengimpikan kemenangan, sebaliknya apa yang diinginkan Akim pada malam AJL24 cuma menyalurkan seluruh tenaganya bagi menghidupkan lagu Bengang ciptaan Amir dan Sheikh Qalam.

    Lantas Akim atau nama lengkapnya, Afiq Hakim Ahmad tidak terlalu memberatkan kepalanya dengan memfokuskan kepada pertandingan semata-mata. Apa lebih penting, kata Akim, adalah membuktikan dirinya layak berdiri di pentas berprestij itu.

    �Berbeza dengan pentas final AF, penonton pasti mengharapkan kematangan dalam persembahan saya apatah lagi lagu ini kerap dibawakan ketika pertunjukan pentas. Bengang agak mencabar kerana menuntut penghayatan emosi yang mendalam, sama ada pada penyampaian mahu pun dalam setiap bait liriknya.

    �Mendalami semua aspek itu penting kerana tanpa elemen itu, Bengang akan menjadi kurang bermaya membuatkan impaknya kurang dirasai,� katanya.

    Memikirkan hal itu, sejak pertengahan Disember lalu, Akim giat menjalani latihan vokal serta merangka corak persembahan untuk tampil mengesankan pada malam AJL24.

    �Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri dengan hanya memikirkan kemenangan. Setiap orang sudah tertulis rezekinya dan saya tidak perlu kecewa jika gagal meraih sebarang pengiktirafan. Apa yang bermain di fikiran saya ketika ini cuma mahu berdiri dan memberikan yang terbaik di pentas idaman semua penyanyi dan penulis lagu.

    �Saya percaya impak AJL24 bakal membawa karier nyanyian saya ke satu tahap baru dan saya mahu memanfaatkan ruang berharga itu sebaik mungkin,� katanya yang akan hadir bersama single terbaru, Inilah Cinta.

    Black tak mahu peminat pandang rendah

    PADA Julai 2009 mengubah hidup Hanifah Mohd Hanafiah, 22 atau mesra disapa Black. Jejaka yang pernah dinafikan haknya ketika menghadiri sesi uji bakat sebuah program realiti kerana paras rupanya bersinar apabila diangkat sebagai juara Mentor musim ketiga.

    Karier nyanyiannya masih mentah, baru berusia lima bulan namun Black tidak mahu menjadikan semua itu sebagai alasan untuk berlebih kurang pada malam kemuncak AJL24.

    Black berkata, dia belajar menyingkirkan segala rasa rendah diri kerana itu hanya akan melunturkan semangatnya daripada terus berusaha menggilap bakat.

    Dia bagaimanapun, berterima kasih kerana Aku Rindu Sayang Kamu ciptaan sepenuhnya Yuzai memberikannya ruang untuk membuktikan sesuatu.

    �Sejak awal bertapak, saya sentiasa mengingatkan diri supaya bersedia menerima apa saja cabaran. Ruang sudah dibentangkan cuma saya perlu menyuntik keyakinan supaya dapat berdiri selesa dalam industri hiburan.

    �Keutamaan saya memberikan persembahan vokal terbaik pada malam itu nanti. Saya tidak mahu khalayak memandang rendah kepada artis realiti televisyen dan itu misi besar saya ketika ini,� katanya.

    Black juga menganggap AJL24 sebagai tempat pembelajaran yang memberikan pengalaman terbaik supaya dia pantas dewasa dalam industri muzik.

    Sedang menggilap populariti menerusi single, Drama King kolaborasinya bersama Meet Uncle Hussain, Black juga masih dalam proses menyiapkan album pertamanya yang cuma akan memulakan rakaman selepas selesai AJL24.



    Info

  • Stacy

    Nama Penuh: Stracie Angie Anam

    Tarikh Lahir: 18 Ogos 1990

    Asal: Penampang, Kota Kinabalu, Sabah

    Album: Aku Stacy

    Single: Menggegar Dunia (duet bersama Adam AF2) dan Primadona (solo), kedua-duanya adalah lagu runut bunyi filem My Spy

    Duta: Power Root dan Intimate Sanitary Napkins

    Pencapaian: Juara Akademi Fantasia 6 (AF6), Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Penyanyi Pop Popular Malaysia 2009 pada Shout Awards terbitan 8TV dan Ikon Belia Remaja Sabah



  • Alyah

    Nama penuh: Noor Hasliah Abu Hasan

    Tarikh Lahir: 3 Januari 1981

    Asal: Gelang Patah, Johor

    Telefilem: Cinta Meriam Buluh (Astro Prima)

    Pencapaian: Juara Wirawan EON (1994), Juara Bintang Pepsi (1996), Juara Suara Johor (1997), Naib Johan Asia Bagus (1998), Juara Bintang HMI (2000), album berjudul Alyah dicalonkan dalam Top 5 Album Pop Terbaik Anugerah Industri Muzik 16.



  • Akim

    Nama Penuh: Afiq Hakim Ahmad

    Nama Komersial: Akim

    Tarikh Lahir: 18 Januari 1991

    Asal: Johor Bahru

    Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia

    Pencapaian: Tempat ketiga Akademi Fantasia 7



  • Black

    Nama Penuh: Hanifah Md Hanafiah

    Umur: 22 tahun

    Asal: Kuala Lumpur

    Pencapaian: Juara Mentor musim ketiga

    Single: Aku Rindu Sayang Kamu dan Drama King (kolaborasi bersama Meet Uncle Hussain)
  • Serasi tapi tak sehati


    Oleh Zul Husni Abdul Hamid & Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



    Dua bintang filem Adnan Sempit puas digandingkan bersama

    MEREKA berlakon bukan disebabkan kemaruk duit atau kemewahan hidup, sebaliknya hero filem Melayu baru, Shaheizy Sam dan Intan Ladyana mahu mencari ruang untuk memilih karakter bersesuaian tanpa perlu terlalu memfokus kepada imbuhan.

    Barangkali mereka bukan pasangan serasi dalam filem tetapi gandingan mereka masih menjadi dalam filem meskipun mereka bukanlah mempunyai kecenderungan hati yang sama dalam hal peribadi mahu pun bercakap soal cinta serta pilihan teman hidup.

    Sam dan Intan, hero dan heroin filem Adnan Sempit karya terbaru pengarah prolifik, Ahmad Idham terbitan MIG Production Sdn Bhd kini sedang mengatur langkah dalam perjuangan mereka. Biarpun ada yang mengkritik, ada yang masih tidak berpuas hati namun perjalanan kerjaya lakonan mereka semakin rancak.

    Poster menarik filem Adnan Sempit.

    Adnan Sempit yang menemui peminat di pawagam sejak 14 Januari lalu antara cabaran mereka. Seorang membawa watak kelakar, seorang lagi berwajah serius, namun permainan watak Adnan dan Nadia dianggap tiada keserasian dan bagaikan tidak menjadi.

    Secara jujur, Intan, 27, akui: "Belumpun filem Adnan Sempit berada di pawagam ketika itu, sudah terdengar desas-desus lakonan saya dan Sam tiada keserasian. Saya sendiri tidak faham bagaimana cerita ini boleh timbul sedangkan mereka belum melihat lakonan saya.

    "Saya akui watak Nadia bukannya watak komedi, bagaimana watak Adnan pula sebaliknya komedi. Saya tahu ada yang mengkritik lakonan saya dalam filem Adnan Sempit, saya terdengar cakap-cakap belakang, lakonan saya tidak semantap Sam, Along (Cham) dan Yana. Bagaimanapun, mereka yang tidak menonton tidak akan faham permainan karakter saya.

    "Saya bukannya mahu menegakkan benang yang basah, sebaliknya watak Nadia digambarkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif muda, anak orang kaya dan berpendidikan tinggi. Tentunya saya perlu serius dengan permainan watak itu, tidak seperti teman-teman lain. Mereka mat rempit, permainan watak mereka berbeza dengan saya.

    "Tapi ramai yang tak faham, mereka pelik apabila watak saya tidak komedi, paling menyakitkan, ada yang anggap saya tidak boleh berlakon komedi. Mereka kena ingat, tidak semestinya saya berlakon filem komedi, saya juga kena tampil dengan karakter komedi. Sebagai contoh, adakah Lisa Surihani berlakon komedi dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak, jawapannya tidak, kan? Begitu juga Nadia, watak yang digambarkan tidak menunjukkannya komedi.

    "Saya sememangnya rasa tercabar apabila ada yang mengkritik tanpa memahami karakter yang saya bawa. Bagaimanapun, saya lega apabila produser, David Teo dan pengarah, Ahmad Idham berpuas hati dengan mutu lakonan saya."


    Intan juga berkata, jika lakonannya tidak menjadi dan nampak tiada keserasian dengan Sam, Along dan Yana, sudah tentu Ahmad Idham selaku pengarah tidak akan membiarkannya begitu saja.

    "Saya sudah lama bekerja dengan Ahmad Idham, saya faham dengan caranya bekerja. Dia tidak akan membiarkan lakonan saya selaku watak utama tenggelam dan sudah tentu Ahmad Idham mahukan yang terbaik untuk filemnya. Setakat ini, mereka menganggap ini filem saya yang terbaik.

    "Banyak cabaran berlakon dalam filem Adnan Sempit, paling menakutkan apabila saya perlu membonceng motosikal dengan Sam. Saya paling takut naik motosikal sebenarnya, tetapi boleh atau tidak, saya tetap laksanakannya. Hanya Tuhan yang tahu ketakutan saya ketika itu.

    "Saya selesa bekerja dengan Sam, kami mudah mendapat keserasian. Biarpun ada yang mengatakan Sam seorang pendiam dan sukar didekati, tetapi saya tidak berdepan masalah bekerja dengannya. Dia sebenarnya seorang yang kelakar dan mudah mesra.

    "Saya tidak tahu pun sebelum ini, Sam seorang yang pemalu kerana sejak mengenalinya, kami tiada masalah untuk mencari keserasian bekerja. Begitu juga dengan Yana dan Along, mereka gila-gila dan kelakar. Biarpun dunia mat dan minah rempit bukan dunia kami, tetapi kami seronok sebenarnya menyelami dunia asing yang menjadi kegilaan anak remaja hari ini," katanya yang kini sibuk penggambaran drama bersiri, Jangan Pandang Belakang Congkak terbitan MIG Production bersama Sam.

    Sam akui namanya belum komersial

    Sam, 27, berkata bakat lakonannya yang semakin menyerlah dan diiktiraf khalayak membuatkannya sentiasa mencabar diri untuk mempertingkatkan mutu lakonan. Dia tidak pernah pantas berasa puas, sebaliknya sentiasa dahagakan cabaran dan meneroka ruang baru untuk memperkemaskan lagi karisma lakonannya di mata pencinta filem.

    Meskipun ada ketika tawaran yang diberikan bertentangan prinsip lakonannya, Sam percaya, kekuatan sesebuah produksi tidak hanya bergantung kepada sesuatu faktor semata-mata.

    "Sebagai pelakon, saya dilatih untuk mempercayai kredibiliti pengarah. Biarpun peranan diberi bertentangan prinsip lakonannya, saya tidak sesekali mengecewakan kehendak pengarah. Saya berlakon bukan kerana mengejar wang dan kemewahan hidup. Disebabkan itu, saya mahu mencari ruang untuk memilih watak dan karektor bersesuaian tanpa memikirkan habuan yang diterima.

    "Saya akui ada antara mereka terpaksa tunduk kepada tawaran yang datang. Pelakon yang baik wajar membangunkan sesebuah karakter dengan berkesan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada skrip di tangan.

    “Memang senario perfileman tempatan kecil tetapi ruang untuk memilih masih ada. Terpulang kepada individu itu bagaimana mahu mencorakkan perjalanan karier,” katanya yang mula berlakon sejak berusia 11 tahun menerusi filem Sama Tak Serupa, namun namanya hanya menyerlah menerusi drama Pa'e pada pertengahan 1990-an.

    Akuinya, keberkesanan watak hitam yang dijayakan dalam filem Bohsia... Jangan Pilih Jalan Hitam menyerlahkan kembali namanya hingga banyak pihak melabelkannya sebagai hero filem Melayu baru.

    Namun katanya, pujian yang diberikan tidak pernah membuatnya saya berpuas hati, sebaliknya sentiasa ingin memberi dan terus memberi.

    “Saya berharap diberi ruang untuk meneroka lebih banyak watak lagi dalam lakonan. Saya dambakan lebih cabaran terutama peranan yang belum pernah dimainkan. Saya masih lagi mencari pengarah serta naskhah yang dapat merobek lebih mendalam kebolehan serta kemampuan saya dalam lakonan.

    "Pun begitu saya bersetuju kebanyakan pengarah masih belum percaya untuk meletakkan saya sebagai teraju kerana nama saya kurang komersial, tetapi semua itu tidak mematahkan semangat saya. Ini kerana apa yang penting adalah mempertingkatkan mutu kerja," katanya.

    Adnan Sempit bakal julang nama Sam

    Beralih kepada Adnan Sempit, disifatkan Sam sebagai sebuah naskhah yang cukup menguji. Apatah lagi, filem itu buat pertama kali meletakkan namanya sebagai pelakon utama di samping mencungkil sisi baru dalam lakonannya apabila diserahkan watak komedi.

    “Untuk menyampaikan elemen komedi memberi cabaran cukup besar buat saya. Penonton datang dengan harapan besar iaitu persembahan kita mampu membuat mereka ketawa. Ia bukan senang untuk dilakukan.

    “Membaca naskhah ini menuntut saya untuk memahami dari mana datang elemen komedi itu serta bagaimana saya menyuntiknya supaya tidak nampak dibuat-buat. Ia berat kerana jika tersalah langkah, penonton akan mempertikai dan mempersoalkan apa yang saya lakukan.

    "Saya bertuah mendapat bimbingan Ahmad Idham yang berpengalaman, malah memberi kebebasan kepada kami untuk melontarkan idea masing-masing,” katanya adik kepada pelakon Zizie Ezette itu.

    Secara jujur, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu berkata, awalnya, dia kurang yakin melakonkan watak Adnan, pemuda yang bekerja sebagai penghantar surat yang jatuh cinta dengan bosnya, Nadia.

    “Saya cabar diri untuk membawanya, lebih lagi saya sudah biasa dengan pasukan produksi itu membuatkan saya percaya akan menerima bantuan banyak pihak ketika di lokasi.

    “Banyak idea baru yang kami kongsi bersama sepanjang penggambaran ini. Jika ramai melihat persembahan saya menjadi, itu bukan kejayaan saya secara peribadi. Semua pihak memberikan kerjasama mereka,” katanya.

    Info Intan

    NAMA PENUH: Intan Nurladyana Mohamad Yahaya

    TARIKH LAHIR: 2 Jun 1982

    UMUR: 27 tahun

    ASAL: Kuala Lumpur

    KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik

    KERJAYA: Model iklan, pengacara dan pelakon

    PROGRAM TV: Hello Minda dan Advanture Race 2006

    IKLAN TV: Oil of Olay, Dentyne, Kinder Bueno, Hotlink, Celcom, Acuvue, Mcdonald's, Toyota, Sunsilk, Nivea Skincare, Follow Me, Jacobents, Toyota Hilux, Dentyne dan Deify Skincare

    FILEM: Tipah Tertipu The Movie, I'm Not Single, Remp-It V3, Jangan Pandang Belakang & Adnan Sempit

    DRAMA: Puteri, Jelatang, Dari KL Ke Queenstown, Sutera Maya, Suria Kasandra & Bionik



    Info Sam

    NAMA SEBENAR: Shaheizy Sam Abd Samad

    TARIKH LAHIR: 4 September 1982

    UMUR: 27 Tahun

    ASAL: Petaling Jaya, Selangor

    KERJAYA: Pelakon

    ANTARA TELEFILEM/DRAMA BERSIRI: Pa'e, Sama Tak Serupa, Graduan, Impak Maksima, KL Menjerit, Jangan Pandang Belakang 2, Legasi 43 Karat

    FILEM: Adnan Sempit, Evolusi KL Drift 2, Jangan Pandang Belakang Congkak, Syurga Cinta dan Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam

    PENCAPAIAN: Pernah dicalonkan di Festival Filem Malaysia Ke 22 (2009) - kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam filem Bohsia

    Yasmin & Fouziah tunggu calon suami


    Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



    Masih mencari, bukan memilih: Hani, Fouziah akui bosan cinta putus di tengah jalan

    SEORANG demi seorang lelaki cuba menawan hati tetapi semuanya ditolak. Mereka bukannya tiada rupa atau tidak berharta tetapi belum berupaya membuat hati dua pelakon jelita, Yasmin Hani, 31, dan Fouziah Gous, 28, tertawan. Apakah mereka terlalu memilih?

    Dalam usia yang menjengah dewasa, Hani dan Fouziah memiliki segala-galanya. Kerjaya dan populariti mereka berjalan seiring sejak bergelar artis, namun apabila menyentuh soal peribadi, dua pelakon utama filem 2 Hati 1 Jiwa arahan Prof Madya A Razak Mohaideen diam membisu seribu bahasa. Apakah sejarah putus cinta lalu membuatkan mereka serik nak berkasih lagi?

    Tanpa berselindung, Fouziah berkata: “Serik dan memilih, dua perkara berbeza. Memilih? Saya tak fikir begitu, saya sederhana saja orangnya. Saya percaya, semuanya terletak pada hati. Kalau kita tidak benar-benar cintakan seseorang, mengapa perlu memaksa diri?



    “Serik pula tiada dalam kamus hidup saya walaupun pernah melalui kegagalan dalam percintaan, tetapi itu cerita lama, tak perlu dikenang lagi. Bagaimanapun, saya akui sedikit sebanyak pengalaman lalu membuatkan saya sukar mempercayai lelaki.

    “Jadi, sukar jugalah lelaki mahu mendekati saya. Bukan tiada lelaki yang cuba mendekati tetapi saya belum bertemu dengan lelaki yang benar-benar membuatkan saya jatuh cinta dana rasa bahagia. Kini, hanya kerjaya menjadi buah hati saya.

    “Tidak sukar mendampingi lelaki berharta dan berpengaruh, tetapi saya mencari seorang insan yang baik dan sederhana perwatakannya. Saya ingin seseorang yang boleh dijadikan kawan, sentiasa menggembirakan hati, tidak mengongkong dan paling penting, faham dengan kerjaya dan perjalanan hidup saya sebagai anak seni.”

    Akuinya, pengalaman berlakon sebagai kembar siam yang bercantum kepala dan sebahagian badan dengan Hani dalam filem 2 Hati 1 Jiwa terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd dan Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd memberi pengalaman suka duka buatnya, malah jika diberi peluang sekali lagi membawa watak kembar siam, dirinya mungkin tidak sanggup.

    Derita sepanjang penggambaran

    Jujurnya, gadis kacukan Melayu-Pakistan-Cina itu akui: “Ya, memang saya tak sanggup. Saya tak sanggup sakit kepala, pinggang dan tengkuk sepanjang hari. Saya dan Hani rasa begitu tersiksa, tetapi disebabkan watak Lana dan Lina, kami terima cabaran ini. Bayangkan, kami bercantum kepala dan sebahagian badan berbelas-belas jam sehari sepanjang 25 hari penggambaran dijalankan.


    “Pada hari pertama penggambaran, saya pulang ke rumah dengan menangis teresak-esak disebabkan tidak tahan sakit dan terlalu tertekan. Watak saya sebagai Lana, seorang adik kembar yang ceria dan berperangai keanak-anakan, tetapi agak sukar bagi saya nak menceriakan keadaan dalam keadaan sakit dan tidak selesa.

    “Tetapi alah bisa, tegal biasa, macam mana derita sekali pun, saya dan Hani perlu berhadapan dengan situasi ini. Bagaimanapun, saya agak terkilan dengan cakap-cakap belakang mengatakan lakonan saya terlalu mengada-ngada dan membuatkan orang meluat. Saya akui watak saya agak keanak-anakan, mengada-ngada dan manja, watak saya dan Hani berbeza walaupun kami adik beradik kembar.

    “Memang susah nak memuaskan hati semua orang, ada yang suka, ada pula sebaliknya. Saya sudah melakukan yang terbaik untuk watak Lana. Keinginan, cita rasa dan harapan Lana dan Lina juga berbeza dalam filem ini. Kami sedaya upaya mengatasi kekurangan yang ada, bagaimanapun tidak adil jika menyamakan kami dengan kembar betul. Mereka sejak celik mata sudah berkongsi jiwa, kepala atau badan bersama, malah mereka sudah biasa makan, minum dan berkongsi tandas, sebaliknya pula kami.

    “Saya dan Hani tidak boleh terlalu lama berdiri, jika tidak tengkuk dan pinggang mula sakit-sakit, jadi kami kena berbaring. Bayangkan bila kepala dan sebahagian badan melekat, bukan mudah nak berbaring, itupun mendatangkan kesakitan yang amat sangat. Saya berterima kasih pada Prof A Razak kerana menyediakan karavan untuk keselesaan kami, tetapi ada masanya lokasi penggambaran berubah dan tiada tempat untuk berehat.

    Hani dah muak untuk bercinta

    “Kami pernah menyusun kusyen dan berbaring atas lantai tanpa rasa segan silu ketika penggambaran dijalankan di UiTM kerana terlalu sakit. Dan kesakitan ini terbawa-bawa sehingga pulang rumah biarpun kepala dan badan tidak melekat lagi. Apa yang dapat saya katakan, saya dan Hani terlalu menderita selama 25 hari menghabiskan penggambaran filem ini.”

    Filem 2 Hati 1 Jiwa yang menelan belanja RM1.5 juta menjengah penonton di pawagam pada Khamis, 28 Januari ini. Selain Fouziah dan Hani, ia turut dibintangi pelakon hebat, Mustapha Kamal, Ziela Jalil, Siti Hajar Ismail, Jalil Hamid, Irma Hasmie dan Iqram Dinzly.

    Hani berkata, kekosongan hatinya belum terisi selepas putus cinta dengan seorang jurutera 30-an, tahun lalu. Dan buat masa ini, dirinya lebih bahagia hidup bersendirian daripada makan hati berulam jantung apabila putus cinta lagi.

    “Saya sebenarnya sudah muak mahu bercinta, cukuplah yang sudah-sudah. Bagaimanapun, jika ada jodoh, saya tidak menolak. Saya serahkan pada takdir, saya bukannya muda lagi. Saya rasa bosan nak memulakan perhubungan dan kesudahannya, putus. Dalam keadaan sekarang, saya hanya berserah dan tidak mahu terlalu memikirkannya.

    “Bohonglah kalau saya tidak kecewa apabila putus cinta tetapi saya dapat rasakan saya sudah matang, saya sudah melalui beberapa episod kekecewaan. Bila putus cinta, saya hanya reda. Walaupun sudah tiada hubungan, tetapi kami masih berkawan baik. Saya tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa, apa yang dapat saya katakan, masing-masing ada kelemahan dan kekurangan diri.

    Trauma 25 hari demi lakonan

    “Dua tahun menyemai cinta, apa yang tidak saya lalui. Kami pernah melalui gosip panas apabila gambar percutian disebarkan di internet, memang malu. Ada dugaan-dugaan lain yang lebih menguji kami, tetapi kesabaran penting. Mungkin sudah ditakdirkan kami tiada jodoh, jadi tak perlu mengingat kisah silam yang menyakitkan,” kata gadis kacukan Melayu-Inggeris itu.

    Mengenai pengalaman jadi ‘kembar siam’, Hani berkata, setiap kali pulang ke rumah, kesakitan masih dirasai hingga dirinya masih membayangkan Fouziah masih `melekat' di kepala dan badannya.

    “Itulah trauma yang saya hadapi selama 25 hari. Badan sakit sana sini, rasa letih jangan cakaplah, sampaikan saya pernah menangis akibat tidak tahan dengan situasi ini. Bagaimanapun, Prof Razak sentiasa memberi perangsang, malah tindakan saling menyokong menyebabkan kami dapat menyempurnakan tanggungjawab yang diberikan.

    “Saya tidak begitu mengenali Fouziah, kalau bertemu, kami tegur dan bertanya khabar sebelum ini. Tetapi apabila digandingkan bersama, kami dapat rasakan antara kami ada chemistry bila melekat. Semua kerja dilakukan bersama, sama ada makan, minum, tidur, baring atau ke tandas sepanjang hari. Bukan mudah nak cari chemistry sebagai kembar, tetapi kami tiada masalah.

    “Bayangkan ada kalanya, saya nak bercakap telefon, Fouziah pula nak ke tandas. Saya nak tidur, Fouziah pula menyanyi menghiburkan hatinya, kalau tiada sefahaman memang susah. Saya dapat bayangkan betapa siksanya pasangan kembar siam. Mereka berbeza matlamat hidup, pendirian dan cita rasa, tetapi akibat badan yang tidak dipisahkan, mereka perlu melalui bersama atau ada kala perlu melakukan pengorbanan untuk pasangan kembarnya,” katanya.

    Mila, Nabil & Sarah cari formula masa depan


    Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



    Sedar tak kekal lama dalam industri

    FITRAH manusia tidak pernah puas dengan apa yang dikecapi. Begitu juga tiga pelakon muda, Nabil, Puteri Sarah Liyana dan Mila. Mereka masih mencari-cari 'formula' yang memungkinkan mereka terus bertahan lebih lama dalam persada seni hiburan tanah air. Namun realitinya, hidup ini ada pasang surutnya apatah lagi dalam industri hiburan.

    Ada masa di atas, ada ketikanya pula berada di bawah. Sebagai insan yang pernah memenangi takhta di hati peminat, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 dan Juara Raja Lawak 2, Nabil dan Juara Akademi Fantasia 5 yang juga Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2007, Mila sentiasa bersedia dengan seribu satu kemungkinan yang berlaku.

    Begitu juga pendatang baru, Puteri Sarah Liyana. Mereka berpegang pada prinsip - sediakan payung sebelum hujan. Biarpun bergelar pelakon, penyanyi atau pengacara terkenal, ia belum tentu dapat menjamin hidup mereka. Dan tiga pelakon utama filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie arahan Aminah Rhapor itu sudah merencanakan masa depan mereka, tidak hanya bergantung hidup sebagai anak seni sepanjang hayat.

    Tanpa berselindung, Nabil akui: "Saya sering terfikir apa akan berlaku pada diri saya pada masa depan, mungkin 10 tahun akan datang. Ketika kerjaya saya sudah menurun, ketika ramai wajah bakat baru silih berganti, adakah saya masih berada di pentas anak seni? Ya, mungkin sekarang saya masih laku, karya dan idea saya masih segar, tetapi untuk masa akan datang, saya sendiri tidak pasti.

    "Bukan tidak yakin dengan kemampuan diri, tapi laluan hidup sebagai anak seni begitulah pusingannya. Ketika bersendirian saya sering memikirkan hidup dan masa depan. Saya takut bila tiada persediaan, hidup saya melarat pada hari tua nanti. Saya akan berkahwin dan ada anak-anak, jika tiada persediaan, bagaimana masa depan mereka? Dan kisah artis lama yang hidup susah dan tiada pembelaan membuatkan saya jadi takut, apakah begitu kesudahan hidup seorang artis yang pernah bergelar anak seni?

    Nabil jual aksesori motosikal

    "Sebagai persediaan, saya merancang membuka kedai pakaian dan aksesori motosikal di Seremban, Negeri Sembilan tidak lama lagi. Saya sudah bertemu lokasi yang sesuai, cuma masih mengumpul modal. Insya-Allah, pertengahan tahun ini mungkin impian saya tercapai.

    "Saya meminati bidang perniagaan dan memilih untuk membuka kedai pakaian dan aksesori motosikal disebabkan minat saya. Saya sudah menemui kilang pakaian dan aksesori di Bandung, Indonesia, jadi barangannya nanti akan diambil dari seberang. Dan ketika itulah, saya rasa yakin untuk melangkah ke fasa perkahwinan, selagi saya belum ada persediaan lain, saya tidak berani nak menyunting anak dara orang."

    Bukan hanya perniagaan, Nabil berkata, dia juga mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian biarpun sedar suaranya tidaklah sehebat Mawi, Faizal Tahir atau Jamal Abdillah. Album Nabil yang berkolaborasi dengan penyanyi lain seperti Ajai, Angah Raja Lawak, Adibah Noor dan beberapa penyanyi popular lain masih dalam pembikinan. Bagaimanapun, Nabil akan muncul dengan single pertama berjudul Lu Fikirlah Sendiri Beb ciptaan Ajai dan lirik Nabil sendiri tidak lama lagi.

    Akuinya: "Saya berkongsi dengan Wake The Baby milik Ajai untuk menghasilkan album yang menelan belanja RM110,000. Bagaimanapun, saya tidak menyanyi, hanya muncul `rap' bersama artis-artis yang dipilih. Single kedua, Ambik Baliklah ciptaan Ajai dan lirik saya dan Ajai juga sudah disiapkan, cuma menunggu masa yang sesuai untuk diperdengarkan.

    "Album ini memuatkan lapan lagi, setakat ini, saya berkolaborasi dengan Ajai, Angah Raja Lawak dan Adibah Noor, manakala artis lain masih dalam perbincangan lagi. Kalau ikutkan saya teringin nak berkolaborasi dengan Misha Omar dan penyanyi gerudi Indonesia, Inul Daratasia, tetapi ia umpama bulan jatuh ke riba jika pelawaan saya diterima. Saya menampilkan konsep album komedi dan inilah percubaan saya melangkah ke dunia nyanyian.

    Reda tak menang kali ini

    "Apa yang saya lakukan adalah untuk masa depan saya, bukan saya bersikap tamak haloba. Saya percaya album komedi juga mempunyai tempat di hati peminat, cuma sudah jarang dikeluarkan," katanya yang bercita-cita menjadi sehebat Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

    Menyentuh mengenai ABPBH 2009, Nabil berkata, dia tidak mengharapkan dapat mengekalkan takhta Bintang Paling Popular memandangkan persaingan daripada penyanyi indie dan pelakon-pelakon agak hebat tahun ini.

    "Saya sudah bersedia jika takhta saya diambil artis lain, jika menang ia bonus buat saya, jika sebaliknya saya reda. Saya bersyukur mendapat pencapaian yang baik ketika saya masih hijau dalam dunia seni. Apa yang penting, saya harus mempertingkatkan prestasi lakonan dan lawak jenaka saya," kata kekasih kepada pelakon jelita, Irma Hasmie itu.

    Mila berkata, dia juga seperti Nabil, melakukan persediaan awal sebelum namanya semakin suram. Diakui hidup ada pasang surut dan kerjayanya sebagai penyanyi dan pelakon juga tidak terkecuali berdepan dengan tempias yang sama.

    Semakin comel dengan imej yang semakin matang, Mila akui: "Saya menjadi harapan dan menanggung segala keperluan keluarga, jadi tanggungjawab saya bukanlah kecil. Saya tidak mahu ayah dan ibu terus bekerja, saya mahu mereka berehat selepas dulu pernah melalui kesusahan membesarkan anak-anak. Saya sanggup meletakkan bebanan atas bahu asalkan keluarga saya bahagia dan berada di depan mata. Soal duit boleh dicari, tapi ibu bapa hanya satu.

    Mila mahu jual karipap segera

    "Seperti Nabil, saya sudah melebarkan sayap perniagaan saya, LuvMilla Corporatian Sdn Bhd bukan hanya pada bidang kosmetik dan penjagaan kesihatan, tapi saya juga berhasrat menceburi bidang makanan beku. Saya akan keluar dengan `karipap segera' terlebih dulu, mungkin selepas ini, saya akan fikirkan makanan segera yang lain.

    "Selain itu, LuvMilla Corporation juga membuka rangkaian baru, LuvMilla Entertainment yang menguruskan acara dan persembahan membabitkan artis lain. Setakat ini, Alhamdullilah saya sudah bekerjasama dengan beberapa syarikat korporat menguruskan acara mereka," kata penyanyi lagu Jika Kau Ubah Fikiran.

    Menyentuh lakonannya dalam filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie terbitan SDAF Pictures Sdn Bhd yang akan menjengah pawagam bermula 11 Februari ini, Mila berkata, itu adalah filem pertama lakonan. Biarpun hanya enam babak yang membabitkan dirinya, namun banyak pengalaman yang diperolehi ketika bergandingan dengan Nabil dan Puteri Sarah Liyana.

    Selain Nabil, Mila dan Puteri Sarah, filem berkenaan juga menampilkan nama besar lain seperti Ummi Nazeera, Zaibo, Tasha Nordin, Zizan Raja Lawak, Liza Othman, Harun Salim Bachik, Hisham Ahmad Tajudin, Faizal Tahir, Amy Search dan kumpulan Meet Uncle Hussain.

    "Saya teruja bekerjasama dengan Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Aminah Rhapor yang juga pengarah dan penerbit filem itu. Saya melalui banyak pengalaman lucu ketika menjalani penggambaran filem ini pada 2008.

    “Saya masih ingat, pernah terjadi saya terdiam apabila pengarah mengatakan `action', saya langsung tidak memberikan reaksi apa-apa. Saya tidak tahu `roll' sedang berjalan. Mujurlah Kak Amy (Aminah) dan krew penerbitan memahami, dia banyak memberi tunjuk ajar pada saya, begitu juga Nabil dan pelakon lain, mereka tidak kedekut ilmu untuk membantu saya," kata pelakon drama bersiri, Kau Dan Aku yang disiarkan dalam Astro Ria itu.

    Puteri baling kasut pada Nabil

    Mengulas ABPBH 2009, Mila berkata, dia bersyukur namanya tersenarai dalam calon top 5 tiga tahun berturut-turut sekali gus membuktikan peminat masih menyokong kerjaya nyanyiannya. "Saya yakin Datuk Siti Nurhaliza akan menang lagi. Saya tak kecewa malah apa yang dikecapi beliau menjadi pembakar semangat saya untuk meneruskan perjuangan. Saya mahu jadi sehebat Siti, itulah azam saya," katanya.

    Puteri Sarah pula berkata, watak Natasha dalam filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie yang menelan belanja RM1.8 juta menjadi pengubat hatinya apabila filem pertamanya, Aduh Saliha masih tergantung dan tiada berita. Mungkin jadi, mungkin juga sebaliknya.

    "Saya masih menunggu tetapi saya tidak berharap. Jika ada rezeki, adalah filem Aduh Saliha itu, jika tidak saya tidak kecewa. Tidak dinafikan, filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie menjadi penawarnya. Saya gembira akhirnya filem ini menemui peminat di pawagam, tetapi jangan harapkan sesuatu yang luar biasa kerana saya dan Nabil ketika itu masih baru dalam bidang lakonan.

    "Saya tak nafikan, saya seronok bercinta dengan Nabil dalam filem ini. Saya terhibur dengan gelagat Nabil, dialog kami juga tidak terlalu terikat. Watak Natasha ialah seorang anak orang berada dan sombong. Selain menjadi pelajar, Natasya meminati bidang glamor dan menjadi model sambilan.

    "Konflik sering melanda antara Natasha dengan Nabil dan mereka pantang berjumpa, pasti berperang besar. Saya pernah membaling kasut pada Nabil dalam filem ini, memang lucu adegan itu. Filem ini tidaklah terlalu lucu, banyak cerita suka, duka dan kesedihan yang diselitkan. Jika selama ini, Nabil tampil dengan karakter lucu dan jenaka, tetapi Nabil menangis dalam filem ini.

    "Saya dan Nabil mengikuti kelas lakonan dengan Kak Amy hampir sebulan sebelum penggambaran filem bermula. Maklumlah ketika itu, saya dan Nabil belum faham dengan selok belok lakonan, terutama teknik dan lontaran dialog," katanya yang dikaitkan menjalinkan hubungan cinta dengan model dan pelakon baru, Ammar Alfian Aziz.

    Friday, January 29, 2010

    Fahrin Menangis Dituduh Panas Baran Dan Kaki Pukul


    Oleh KEMALIA OTHMAN


    Terlalu kecewa dengan dakwaan bekas kekasihnya Linda Onn yang dia kaki pukul, Fahrin menitiskan air mata. Pelakon terkenal ini juga minta Linda memohon maaf secara terbuka. Foto The Star Oleh Brian Moh.


    SIKAP berdiam diri bukan lagi jalan terbaik bagi pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad, 31, menghadapi segala kemelut kisah percintaannya.
    Tindakan mengemukakan notis tuntutan dalam tempoh tujuh hari terhadap bekas kekasihnya, penyampai radio Suria FM, Linda Onn, merupakan jalan terakhir bagi Fahrin membersihkan semula namanya dari persepsi negatif masyarakat.
    Dakwaan kononnya dia seorang yang panas baran dan kaki pukul dalam satu kenyataan Linda baru-baru ini merupakan tamparan hebat kepadanya sehingga dia terpaksa mengambil keputusan yang agak sukar itu.
    "Keputusan ini sangat berat. Saya ambil masa yang agak panjang untuk membawa perkara ini ke mahkamah. Saya lebih suka berdiam diri, namun keadaan tersebut tidak dihargai.
    "Apabila keadaan semakin tidak terkawal dan menjejaskan imej dan kredibiliti saya sebagai duta kepada tiga produk terkenal Shell, Celcom dan Garnier, saya rasa tiada jalan lain selain bagi amaran kepada dia (Linda Onn).


    Fahrin terlalu sebak mengenangkan bagaimana dia diaibkan oleh dua orang bekas kekasihnya


    Fahrin menzahirkan rasa kesal dengan dakwaan dia seorang lelaki yang panas baran. Pelakon drama TV itu turut mengakui, dia menghadapi tekanan emosi sejak kebelakangan ini kerana dakwaan itu.
    "Kesan kenyataan itu sangat besar kepada emosi, kerjaya dan keluarga saya. Bayangkan bagaimana perasaan saya bila orang bertanyakan hal ini kepada ibu saya yang terlantar sakit di hospital?.
    "Bagaimana jika saya nak berkahwin dan macam mana tanggapan keluarga perempuan terhadap saya? Bagaimana pula tanggapan produk-produk iklan yang ambil saya sebagai duta? Bagaimana dengan rezeki dan masa depan saya nanti?," ujar Fahrin sambil menahan sebaknya.
    Namun Fahrin bersyukur, keluarganya tetap berdiri di belakangnya, memberi sokongan padu.
    "Alhamdulilah keluarga saya kuat menerima dugaan ini. Saya tidak berdendam dengan mereka. Kalau boleh saya tidak mahu perkara ini dipanjangkan lagi," ujarnya yang berkali-kali berharap perkara ini tidak dipanjangkan.
    Ketika ditanya tentang perkara-perkara buruk seperti yang didakwa dalam kenyataan penyampai radio tersebut, Fahrin berkata dia tidak seperti yang laporkan media dalam kenyataan tersebut.
    "Saya sangat kecewa, saya tidak marah dengan mereka tetapi kenapa sampai hati buat saya begini. Kata saya kaki pukul, panas baran...., saya tidak macam itu," ujar pengacara Sehati Berdansa ini.
    Dia turut memberitahu bahawa keburukan-keburukan yang diceritakan oleh bekas-bekas kekasihnya itu telah mengaibkan dirinya.
    "Percintaan bersama Linda dan Scha Al-Yahya adalah dua percintaan yang berbeza. Jalan ceritanya juga berbeza tapi bila mereka sudah berkawan baik, mereka bercerita tentang keburukan saya. Cuba suruh mereka cari 10 kebaikan saya, mesti ada.
    "Tapi saya tetap berbangga berkawan dengan mereka dan kerjaya mereka yang semakin meningkat," katanya.


    Sedih bila keluarga turut menerima impak dari dakwaan tersebut.


    Dalam pada itu, Fahrin turut mengakui serik untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mereka di kalangan selebriti setelah melalui hal-hal sebegini.
    "Mula-mula dulu saya anggap ini adalah jodoh. Tapi setelah apa yang saya lalui dan apa yang telah ditunjukkan tuhan, mungkin lepas ini bukan dengan rakan artis lagi," ujarnya mengakhiri perbualan.

    Sunday, January 24, 2010

    Artis baru dominasi ABPBH 2009

    Oleh Serimah Mohd Sallehuddin dan Farihad Shalla Mahmud

    FINALIS Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 2009 bergambar bersama kereta Nissan yang bakal di menangi di ABPBH yang akan dilangsungkan di Arena Of Star, Genting Highland 4 April ini.

    SMS pengaruhi undian 'Top 5'

    SERI KEMBANGAN: Hampir keseluruhan senarai lima calon akhir atau Top 5 bagi 16 kategori di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 bagi edisi ke-23, menyaksikan kemunculan wajah baru dalam dunia hiburan tanah air.

    Pengumuman calon akhir Top 5 diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses (POTGH), petang semalam.

    Debaran bermula

    Oleh Farihad Shalla Mahmud, Serimah Mohd Sallehuddin & Zaidi Mohamad





    Artis yang lahir daripada program realiti dan drama yang mencecah rating tinggi mendominasi senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009

    LENYAP sudah debaran yang bersarang di hati. Penantian yang sering disifatkan sebagai satu penyeksaan kini bertukar menjadi perasaan lega buat mereka yang sebelum ini tertanya-tanya siapakah yang layak untuk bergelar Top 5 untuk acara berprestij Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009.

    Kelmarin, bertempat di Royal Ballroom 3, Palace Of The Golden Horses Hotel Mines City Resort, mereka yang terpilih di tempat lima teratas diumumkan dalam satu majlis khas oleh pengacara jemputan yang juga penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail dan Ikhwan.

    Terpancar senyuman kegembiraan dan ada juga yang menarik nafas lega apabila mereka masih menjadi perhatian peminat walaupun artis datang dan pergi.

    Seperti biasa, setiap kali senarai Top 5 diumumkan, keputusannya pasti ada perubahan, sejajar dengan aliran yang berlaku pada industri hiburan ketika itu. Jika untuk kategori Artis Baru Terbaik, apa yang pasti, mereka yang datangnya dari program realiti pasti akan mengungguli. Fenomena ini mula tercetus sejak Mawi meraih kategori itu pada tahun 2005.

    Kini, situasi yang sama berlaku dan paling ketara apabila mereka yang muncul dalam program televisyen yang diakui mempunyai rating tertinggi serta popular di hati penonton berjaya menembusi tembok finalis. Akademi Fantasia misalnya memang diakui antara kilang yang memproses artis baru. Saban tahun, mereka yang dinobatkan juara pasti akan turut menggenggam anugerah Artis Baru Terbaik.

    SEBAHAGIAN jelitawan yang disenaraikan pada peringkat akhir ABPBH 2009.

    “Dalam debaran juga untuk saya terus mengekalkan tradisi juara Akademi Fantasia yang mula mendominasi kategori Artis Baru bermula dari Mawi, Faizal, Mila dan Stacy. Paling menyeronokkan rakan seperjuangan Aril dan Akim pun turut bolos dalam kategori ini di samping Gambit dan Hafiz.

    “Sekiranya setiap peminat kami terus komited memberikan sokongan pastinya harapan dan kebarangkalian untuk mengungguli kategori ini akan ada. Semuanya hanya akan terjawab pada 4 April nanti. Paling penting kita sebagai penggiat seni harus terus memastikan karya dan bakat tempatan terus bernyawa,” kata Hafiz yang dicalonkan untuk kategori Artis Baru Lelaki Popular.

    Drama yang pernah mencecah rating 5 juta, Nur Kasih juga memberikan impak kepada nasib tiga pelakonnya seperti Fizz Fairuz, Tiz Zaqyah dan Remy Ishak apabila tersenarai sebagai finalis. Tiz Zaqyah yang memegang watak sebagai Nur Aminah dalam drama bersiri itu menerima dua pencalonan iaitu Pelakon TV Wanita Popular dan Artis Baru Wanita Popular. Manakala Fizz dan Remy masing-masing untuk kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

    Program lain yang turut mempunyai kuasa untuk memercikkan populariti kepada artis adalah peserta program realiti berkonsepkan tarian, Sehati Berdansa. Lihat saja bagaimana pelakon Didie Alias yang sudah lebih dua dekad menceburi bidang ini, namun selepas menyertai program itu, namanya tiba-tiba mencanak naik dan sekali gus membolehkan dia berdiri sama tinggi bersama 80 artis lain.

    MIOR KAMARUL SHAHID (kanan) dan Hanizam (tengah), turut hadir pada majlis sidang media di Palace Of The Golden Horses, Mines City Resort, kelmarin.

    Turut terkena tempias program ini adalah Aliza Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Enot yang akan bersama-sama Didie untuk merebut trofi Pelakon Komedi Wanita Popular serta Dira Abu Zahar, yang juga tercalon sebagai Artis Baru Wanita Terbaik.Andai diperhalusi selera penonton ketika mengundi artis manakah yang layak menduduki senarai akhir, nyata kebanyakan mereka memilih atas dasar kapasiti hasil kerja artis itu sendiri.

    Sebagai contoh, mereka yang disebutkan tadi adalah antara mereka yang cemerlang dalam kerjaya mereka.Pelakon drama bersiri Nur Kasih itu sendiri sudah membuktikan bahawa lakonan mereka cukup membekas di hati penonton.

    “Selepas lapan tahun bergelumang dalam dunia seni baru tahun ini nama saya tersangkut dalam anugerah kebanggaan Berita Harian ini. Ini semuanya berbalik kepada soal rezeki. Pertamanya saya harus berterima kasih kepada pengarah drama Nur Kasih, Kabir Bhatia yang memberi peluang untuk saya berkongsi bakat yang ada.

    “Saya tidak boleh menidakkan impak Nur Kasih tahun lalu yang menjadi fenomena antara yang menyumbang kejayaan saya dalam kategori ini. Mungkin juga tuah saya untuk 2010 kerana angka 10 itu sendiri memberi penjelasan yang ketara kerana saya dilahirkan dalam bulan Oktober. Terima kasih kepada yang mengundi,” kata Fizz dalam nada teruja.

    Pendapat Fizz itu turut dipersetujui Tiz yang mengakui impak drama Nur Kasih memang hebat sehingga berjaya mengangkat namanya sekali gus membolehkannya menjadi finalis ABPBH tahun ini.

    “Saya harus bersetuju dengan Fizz kerana faktor kejayaan kami untuk berada dalam Top 5 banyak didorongi oleh drama Nur Kasih. Impak drama itu begitu ‘melampau-lampau’. Biarpun sudah mula berkecimpung dalam dunia seni sejak 2006, namun hanya tahun lalu saya merasai nikmat diberi perhatian ramai.

    “Sejujurnya saya terkejut kerana tersenarai dalam ABPBH 2009. Apa pun, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sanggup mengundi sampai ke tahap ini. Dalam masa yang sama, saya tak sabar untuk menantikan malam kemuncak dan merasai tempias glamor tak lama,” kata pelakon jelita ini.

    Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid serta Pengerusi Pengelola ABPBH, Hanizam Abdullah, yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian.

    Selain mengumumkan senarai Top 5, turut diumumkan adalah senarai penganjur yang terbabit kali ini. Penaja yang terbabit kali ini ialah Genting Highlands-Kota Keriangan, TV3, HotFM, Habib Jewels, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, Empire Classic, Cosmopolitan dan POTGH.

    Hadiah untuk pemenang turut diumumkan petang itu. Bintang Paling Popular bakal memenangi sebuah kereta Nissan X-Trail 2.0 bernilai RM130,000. Perabot bernilai RM30,000 dan Pakej Penginapan Mewah 3 hari 2 malam di Head of State Suite, POTGH. Pemenang bagi setiap kategori pencalonan pula bakal membawa pulang hadiah menarik berupa perabot bernilai RM5,000 dan kad ganjaran Palace Lifestyle.

    Borang pencalonan akhir ABPBH 2009 akan mula disiarkan di dalam akhbar Berita Harian bermula esok. Borang yang lengkap diisi boleh dihantar kepada penganjur sebelum tarikh akhir. Selain mengundi melalui borang, undian menerusi SMS juga masih lagi diteruskan.

    Semua pemenang dalam 16 kategori ini akan diumumkan dalam acara kemuncak yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, 4 April depan.

    Sosilawati mengaku nikah di Songkhla tapi belum didaftar

    Oleh Shariza Munira Ayob Ali

    Datuk Sosilawati mengaku sudah bernikah di selatan Thailand, Nov lalu. - Gambar izyan.com

    PETALING JAYA, Jan 4 — Usahawan kosmetik terkemuka Datuk Sosilawati Lawiya mengaku beliau telah bernikah dengan suami barunya di selatan Thailand, 25 Nov lalu.

    Bagaimanapun Sosilawati berkata pernikahan tersebut belum didaftarkan di mana-mana pejabat agama di negara ini bagi membolehkan status mereka sah diperakui di bawah undang-undang negara ini.

    Beliau juga menafikan laporan akhbar bahawa telah dipanggil untuk berada di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menunjukkan surat nikah hari ini.

    “Hari ini saya tak ke Jais sebab tiada apa-apa pemberitahuan yang meminta saya pergi Jais.

    “Kalau saya dipanggil saya akan pergi,” katanya lagi.

    Sosilawati menjelaskan pihaknya tidak berbuat demikian sehingga kini atas alasan mahu menjaga perasaan anak-anak serta pelbagai pihak.

    “Kak Wati sudah bernikah di Songkhla pada 25 Nov lalu tapi masih belum daftarkan pernikahan kami di sini... sebab mahu jaga perasaan anak-anak saya serta pelbagai pihak.

    “Sebab anak-anak ini tidak dapat terima lagi pernikahan saya dan suami saya dalam waktu ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.

    Sosilawati yang masih melalui majlis Sulh (perbincangan) kes tuntutan RM1.38 juta dengan bekas suaminya, Nash, penyanyi kumpulan rock Lefthanded, di Mahkamah Tinggi Syariah didakwa telah ditangkap berkhalwat tengah malam Jumaat lalu.

    Serbuan dilakukan di Astana Damansara Kondominium di sini ekoran aduan masyarakat sekeliling.

    Serbuan khalwat tersebut difahamkan dibuat kira-kira 12.30 tengah malam.

    Sosilawati dan Nash yang mendirikan rumah tangga pada 16 Nov 2006 telah bercerai pada Mei lalu.

    Ketika ditanya mengenai dakwaan penangkapan khalwat oleh Jais, Sosilawati menafikan pertuduhan itu kerana lelaki yang disyaki 'berkhalwat' dengannya adalah suami beliau.

    Laporan akhbar hari ini pula menyebut Jais telah mengarahkan Sosilawati agar hadir ke pejabat Jais di Shah Alam untuk mengemukakan surat nikah.

    Laporan itu yang memetik Pegawai Perhubungan Awam Jais Mohd Hidayat Abd Rani berkata arahan berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan jabatannya membuat siasatan berhubung dakwaan pengesahan perkahwinan mereka.

    Mohd Hidayat berkata arahan berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan Jais membuat siasatan berhubung dakwaan pengesahan perkahwinan mereka.

    Sekiranya benar pasangan itu bernikah, mereka akan dibebaskan. Namun masih didenda mengikut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003 atas kesalahan tidak mendaftarkan perkahwinan selepas bernikah di luar negara yang sabit kesalahan akan didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

    Peguam yang mewakili Sosilawati dalam kes ini, Datuk Ahmad Zaidi Mohd. Zin ketika dihubungi memberitahu laporan tersebut tidak benar sama sekali.

    Sehingga kini, anak guamnya hanya perlu menghadiri sesi bimbingan dan kauseling, bukannya diarahkan hadir membawa surat nikah.

    “Ini kerana tiada sebarang notis dikeluarkan oleh Jais berhubung dakwaan itu,” kata beliau.

    Sosilawati turut menegaskan supaya isu ini tidak perlu digembar-gemburkan tanpa sebarang bukti kukuh kerana bimbang ia akan mengeruhkan lagi keadaan.

    Bekas isteri Nash: Kahwin berkali-kali memenatkan

    PETALING JAYA, Jan 24 - Usahawan kosmetik terkemuka Datuk Sosilawati Lawiya, yang didakwa ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada malam menjelang tahun baru, ekoran peristiwa pahit dialaminya membuat kesimpulan - “kahwin berkali-kali ini memenatkan.”

    “Maksudnya, penat dan lelah dari sudut emosi dan spiritual,” kata bekas isteri Nash, penyanyi kumpulan rock Lefthanded.

    “Kalau boleh kita mahu berkahwin sekali seumur hidup, tetapi takdir Allah, siapalah kita hendak mengelak?

    “Macam yang sudah saya cakap, kahwin berkali-kali ini memenatkan.

    “Siapa perempuan yang mahu berkahwin banyak kali? Tak adalah,” kata Sosilawati yang sebelum ini juga mengaku telah bernikah dengan suami barunya di selatan Thailand, Nov 25 lalu.

    Pada Jan 4 lalu beliau dilaporkan telah dipanggil untuk menunjukkan surat nikah di Jais.

    Sosilawati yang masih melalui majlis Sulh (perbincangan) kes tuntutan RM1.38 juta dengan Nash di Mahkamah Tinggi Syariah didakwa telah ditangkap berkhalwat.

    Sosilawati dan Nash yang mendirikan rumah tangga pada Nov 16 2006 telah bercerai pada Mei lalu.

    Berdasarkan perkembangan setakat Jan 12 lalu, beliau dan Nash gagal mencapai persetujuan dalam prosiding sulh berhubung tuntutan wang dan saham amanah bernilai RM1.38 juta yang diberikan kepada penyanyi itu sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

    Mahkamah Tinmggi Syariah menetapkan Feb 18 ini untuk sebutan bagi Nash memfailkan afidavit jawapan terhadap tuntutan Sosilawati.

    Bagaimanapun awal tahun ini Sosilawati memberitahu The Malaysian Insider bahawa pernikahan tersebut belum didaftarkan di mana-mana pejabat agama di negara ini bagi membolehkan status mereka sah diperakui di bawah undang-undang negara ini.

    Ditanya dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia disiarkan hari ini, Sosilawati yang ditanya apa yang paling ditakutkan atau bimbang bercerai lagi memberitahu, itu semua kerja Allah.

    “Saya tak boleh ramai sejauh mana jodoh saya dengan yang ini, bukan kuasa saya,” katanya.

    Sosilawati menambah, dulu beliau pernah mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran, gah satu Malaysia.

    “Tetapi kami tak bahagia juga, sudahnya bercerai. Jadi kali ini saya buat keputusan diam saja, tak mahu heboh-heboh.

    “Umur saya sudah 47 tahun lah, bertukar laki ini penat tau,” kata beliau sambil menambah, sekiranya boleh tidak mahu berkahwin lagi.

    “...tetapi apalah daya kerana saya juga manusia biasa yang tertakluk kepada takdir-Nya,” ujar beliau.

    Beliau menambah, hujung tahun lalu mereka berkahwin, tetapi secara diam.

    “Dan kerana insiden malam tahun baru itu, orang tahu juga akhirnya.

    “Saya tak boleh buat apa-apa bila akhirnya terpaksa juga bagitahu mengenai pernikahan kali ini walaupun awalnya saya hendak berahsia,” kata beliau.

    Mengenai emosinya sekarang, Sosilawati menjelaskan beliau sudah cukup kuat.

    Oleh itu katanya, “apa juga orang hendak cakap, saya terserah saja kepada mereka.”

    “Saya tak kacau hidup orang, kalau mereka hendak bercakap pasal saya, saya reda,” katanya lagi.

    Berhubung sebab merahsiahkan perkahwinan macam artis, Sosilawati menjelaskan, beliau berkahwin dengan orang biasa, bukan dengan artis.

    “Kenapa perlu gembar-gemburkan? Apa yang penting selepas kami berkahwin, anak-anak saya dan keluarga tahu, cukuplah, tak perlu orang luar tahu.

    “Ini ruang peribadi saya, biarlah saya selesaikan ikut cara yang saya inginkan,” katanya.

    Sosilawati juga menafikan beliau melarikan diri selepas insiden tahun baru itu.

    Respons beliau, “saya tak lari ke mana. Saya hanya ke Indonesia.”

    “Kebetulan memang itu rancangan percutian bersama keluarga memandangkan anak saya yang belajar di London sedang bercuti.

    “Jadi, kami satu keluarga mahu bercuti di Indonesia. Seminggu selepas kes itu, kami pergilah sebab sudah lama merancangnya.

    “Takkan kerana kes itu, saya tak boleh berjalan ke mana-mana? Saya tak larilah. Kenapa saya perlu lari?’ katanya.

    Sosilawati masih merahsikan nama suaminya tetapi sekadar memberitahu nama beliau bermula dengan perkataan “R” dan rakyat negara ini.

    “Biarlah rahsia buat sementara waktu. Yang penting, saya harap dia adalah lelaki yang lebih baik daripada lelaki-lelaki lain yang pernah hadir dalam hidup saya sebelum ini.

    “Nama dia bermula dengan huruf ‘R’, sebelum ini dia duda punya tiga anak. Sudah hampir 10 tahun dia menduda. Tolong jelaskan, suami saya orang Malaysia, bukan warga negara Indonesia seperti diperkatakan sebelum ini ya,” tambah beliau.

    Bagaimanapun beliau juga menafikan suami barunya itu merupakan bekas kekasihnya.

    “Memang kami sudah kenal lama, sebelum saya berkahwin kali kedua dengan Nash lagi.

    “Lama, lebih 10 tahun kami kenal, tetapi hanya sebagai kawan baik, bukan kekasih macam yang orang lain anggap itu.

    “Lepas saya bercerai dengan Nash, saya akui, hidup saya sunyi. Saya memang perlukan seorang suami yang boleh berkongsi apa saja tentang dunia dan kehidupan saya. Sebab itu kami mula berkawan balik.

    “Sudah takdir, kami menjadi suami isteri, inilah jodoh yang kita sendiri tidak faham dan tidak boleh ramal,” katanya.

    Semangat masih membara

    PENGALAMAN tujuh tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Sabrina Hassan, 31, boleh dikategorikan pelakon senior. Namun, dia tidak terlalu mendabik dada dengan pencapaian sebagai anak seni.

    PENGALAMAN tujuh tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Sabrina Hassan, 31, boleh dikategorikan pelakon senior. Namun, dia tidak terlalu mendabik dada dengan pencapaian sebagai anak seni. Penampilannya juga lebih menjurus pada pementasan pentas berbanding filem atau drama. Pelakon filem Maut ini berkata, dia berasakan pengalaman menjadi pelakon teater memberikan kepuasan berbeza kerana mencabar diri berlakon secara langsung depan penonton.


    "Saya bukanlah selektif memilih setiap tawaran yang hadir. Sama ada filem, drama atau teater, saya tidak mempunyai masalah untuk beri komitmen. Namun, sebelum setuju berlakon saya terlebih dulu melihat pada kesesuaian watak yang ditawarkan. "Dalam pada itu, saya juga harus fikirkan tanggungjawab pada keluarga. Sejak mempunyai anak, Zara Safeena yang kini berusia dua tahun, saya harus beri keutamaan pada dia dan suami. Lalu, apabila ada tawaran yang datang, saya perlu bijak membahagikan masa agar tanggungjawab di rumah tidak diabai," katanya.


    Sabrina kini menantikan filem barunya, Belukar arahan Jason Chong yang dijangka ditayangkan April nanti. Dalam filem yang dijayakan Danny X-Factor, Daphne Iking dan Bront Palare, dia melakonkan watak cameo sebagai Ivy. Katanya, walaupun lakonannya kali ini hanya sampingan, ia tetap memerlukan komitmen hayati karakter mendalam. Dalam pada itu, dia juga akan kembali berlakon teater baru iaitu Sparks Of Broadway yang akan dipentaskan di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Jun ini.


    Menariknya, dia turut memikul tanggungjawab sebagai pengarah. Teater ini adalah arahan ketiganya selepas Jalan Impian (2004) diikuti DanSing Through Broadway yang dipentaskan sebanyak dua kali pada 2008 dan 2009. Katanya, cabaran kali ini lebih pada stamina untuk menyanyi pelbagai lagu sambil menari dan berlakon. Menampilkan koreografer Farah Sulaiman, ia turut dijayakan pelakon Peter Ong dan Tria Aziz.


    "Pengalaman jadi pengarah suatu yang berbeza kerana memerlukan fokus pada pelbagai aspek termasuk lakonan orang lain dan penataan cahaya. Semua aspek perlu diambil perhatian dan digabungkan menjadi sempurna.

    "Pada tahun ini fokus saya lebih pada teater. Namun, saya terbuka jika ada tawaran baru untuk filem atau drama. Menjadi matlamat tahun ini, saya juga melanjutkan pelajaran dalam bidang teater.


    "Pengajian Sarjana Teater dari University Of New England, Australia ini akan bermula pada Februari depan. Menariknya, segala pengajaran dan pembelajaran dilakukan menerusi online. "Bagi saya, melanjutkan pengajian akademik ini menjadi pencapaian peribadi. Bagaimanapun, saya masih berminat untuk terus berlakon jika mempunyai masa yang sesuai," katanya.


    Sabrina juga mula sibuk dengan komitmen sebagai pensyarah sambilan kursus Ijazah Sarjana Muda Seni Lakon (Teater) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor yang baru bermula awal tahun ini.


    Katanya, pengalaman pertama kali ini suatu yang menyeronokkan dan sebelum ini dia juga pernah mengajar menerusi bengkel lakon.


    "Jika orang lain fikir saya mempunyai sesuatu yang boleh dikongsi, saya bersedia untuk mengajar. Dalam sesi ini juga, saya seronok berinteraksi dengan pelajar yang ingin timba ilmu mengenai aspek lakonan.


    "Dalam mencurah ilmu ini, saya bukanlah mahu menunjuk saya pandai sangat, tetapi saya gunakan peluang ini untuk berkongsi ilmu pengetahuan. Pada saya, apabila seseorang itu membuat pelbagai kerja, idea dan fikiran kita lebih berkembang," katanya.


    Dalam lakonan, Sabrina menganggap masih punya kelemahan dan perlu diasah menerusi latihan dan pendedahan baru. Dalam mencari pengalaman baru itu, dia meraih peluang menjayakan kursus lakonan secara profesional iaitu Master Class Acting yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bekerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia.

    Ida Nerina mahu cerai cara baik

    KUALA LUMPUR: "Ida bersetuju dan tidak ada masalah sekiranya suaminya ingin bercerai secara baik," kata peguam Akbardin Abdul Kader yang mewakili pelakon Ida Nerina berhubung kes pengesahan lafaz cerai yang dikemukakan suaminya, Sha'arin Mohd Razali, bekas anggota kumpulan Blackrose, pada Oktober lalu.


    Akhbardin berkata, persetujuan itu antara terkandung dalam penyata pembelaan yang akan difailkan pihaknya selaku defendan dalam kes itu.

    Bagaimanapun, dia berkata anak guamnya yang tidak hadir ke mahkamah semalam, menafikan berlaku lafaz cerai seperti yang didakwa Sha'arin.


    "Anak guam saya tidak mengaku perkara itu (lafaz cerai) berlaku. Dia akan mempertahankan pendirian itu," katanya.

    Sementara itu, Sha'arin, 40, dan peguam Mahyuddin Md Zahari, juga tidak hadir di mahkamah dengan alasan berada di luar kawasan.

    Hakim Syarie Mohd Yunus Mohd Zain menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan semula kes.

    Pada 12 Oktober lalu, Sha'arin memfailkan permohonan pengesahan cerai selepas mendakwa ada melafazkannya terhadap pelakon filem Layar Lara dan Susuk itu, pada September lalu.

    Pasangan itu berkahwin pada 26 Jun 2006, namun belum dikurniakan cahaya mata, tetapi menerusi perkahwinan pertama, Sha'arin mempunyai dua anak, iaitu Narissa, 14, dan Arman, 8.

    Sebelum ini, Sha'arin ada memberitahu mahkamah dia sudah meninggalkan Ida yang kini tinggal bersama pembantu rumah di kediaman kelamin mereka di Kosmopolitan Damansara Perdana, manakala dia kembali menetap bersama keluarga di Seputeh.

    Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai permohonan pengesahan cerai yang dikatakan dilafazkan Sha'arin terhadap Ida pada Aidilfitri kedua lalu, namun tidak diketahui sebabnya.

    Tiga bulan sebelum lafaz cerai itu, pelakon yang pernah memenangi anugerah Aktres Terbaik FFM13 dan Aktres Terbaik Anugerah Skrin 1994 dilaporkan tergelincir dari tangga di rumahnya di Persiaran Syed Putra di sini, pada 21 Jun lalu.

    Dia yang ketika itu hendak ke meja makan mengalami keretakan tulang belakang.

    Kejadian berlaku jam 3.30 pagi selepas pelakon itu selesai berlakon teater 'The Good Body' di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini.

    Diddy-Ellen nikah 6 Februari

    SELEPAS empat tahun mengikat tali pertunangan, bintang Akademi Fantasia Musim Keempat (AF4) Diddy atau Syamsul Hirdi Muhid, 25, dan pasangannya Ellen Nor Azah Musa, 25, akhirnya memutuskan mengakhiri hubungan itu ke jenjang pelamin.

    SELEPAS empat tahun mengikat tali pertunangan, bintang Akademi Fantasia Musim Keempat (AF4) Diddy atau Syamsul Hirdi Muhid, 25, dan pasangannya Ellen Nor Azah Musa, 25, akhirnya memutuskan mengakhiri hubungan itu ke jenjang pelamin.


    Majlis pernikahan Diddy dan Ellen akan berlangsung jam 11 pagi di Masjid Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor tanggal 6 Februari ini.


    Ia disusuli majlis persandingan pada keesokannya hari di kediaman pihak perempuan di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor tanggal 7 Februari 2010.


    Dalam pertemuan dengannya ketika mengedarkan kad undangan perkahwinannya di Meja Rap, Khamis lalu, Diddy berkata, dia sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal untuk melangkah ke alam rumah tangga.


    "Saya juga percaya, tahun ini waktu yang tepat bagi kami mendirikan rumah tangga. Saya juga tiada sebab untuk menangguhkan soal kahwin kerana hubungan kami sudah cukup matang untuk menuju ke fasa perkahwinan. "Dari segi kewangan, kami juga sudah cukup stabil untuk berkahwin. Mungkin sebab itu, saya ambil masa yang lama untuk berkahwin kerana sibuk kumpul duit," katanya. Pada masa sama, kata Diddy, dia juga tidak takut untuk berkahwin kerana yakin dengan calon isteri pilihannya itu.

    "Perkenalan kami berlangsung selama 10 tahun sebelum kami memutuskan untuk bertunang. Kami mula berkenalan ketika di tingkatan dua dan masing-masing berusia 14 tahun. Ellen adalah jiran sebelah rumah milik keluarga saya di Pasir Gudang.


    "Pada peringkat awal, kami cuma berkawan rapat dan selepas itu baru timbul bibit-bibit cinta. Lebih bermakna, hubungan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak," katanya. Diddy berkata, dia juga tidak memandang pada paras rupa atau kecantikan seseorang untuk dijadikan teman hidup. Ellen juga cinta sejati pertama saya. Sebelum ini, saya pernah bercinta tapi sekadar cinta monyet. "Dia juga amat memahami kerjaya seni yang saya ceburi dan kami juga ada persefahaman antara satu sama lain. Buat apa saya nak cari yang lain jika sudah ada wanita yang terbaik depan mata?" katanya. Diddy yang juga anak kelima daripada enam beradik ini mengakui dia tidak bimbang jika kehilangan peminat selepas berkahwin nanti.


    "Sebenarnya, peminat sudah tahu status saya yang sudah bertunang sejak awal lagi iaitu sebelum masuk Akademi Fantasia (AF) lagi. Saya juga mengharapkan perkahwinan kami ini akan kekal hingga ke akhir hayat," katanya. Bagaimanapun, kata Diddy, hubungannya dan Ellen yang bertugas di syarikat swasta itu juga berhadapan dengan ujian seperti mana pasangan bercinta lain. "Sebelum ini, pernah ada beberapa cerita kami sudah putus tunang tersiar di akhbar sedangkan ia tidak benar sama sekali. "Biarlah, saya simpan cerita ini sebagai kisah peribadi kami saja. Ellen tidak sedih dengan cerita seperti itu cuma dia berasa tekanan apabila ada ahli keluarga kami yang bertanya kerana inginkan kesahihannya. "Apapun, kami berjaya menangani segala ujian itu dengan baik berlandaskan sikap saling mempercayai antara satu sama lain. Kejujuran juga menjadi lambang kesetiaan dalam hubungan kami selama ini," katanya.


    Diddy berkata, Ellen juga risau setiap kali mereka berjauhan. "Sebelum ini, kami sering berhubung menerusi SMS dan telefon. Kini, Ellen sudah menetap di Kuala Lumpur dan ia mendekatkan jarak kami yang jauh sebelum ini," katanya. Sementara itu, Diddy berkata, majlis perkahwinannya yang berkonsep tradisional itu akan berlangsung secara sederhana tapi meriah. "Saya juga masih mencari tarikh sesuai untuk majlis persandingan di sebelah pihak keluarga saya (pihak lelaki). Apa yang saya boleh katakan, ia dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat ini di Kuala Lumpur. "Pereka, Hazwanie Osman Couture juga akan menyediakan empat pasang persalinan yang bakal digayakan pada majlis perkahwinan ini nanti. "Selain itu, saya juga akan menggayakan sut dan tuksedo dari Lord's Tailor ketika acara memotong kek. Majlis ini juga dijangka dimeriahkan dengan kehadiran rakan artis dari AF," katanya. Dari segi wang hantaran pula, kata Diddy, dia menyediakan wang hantaran untuk pihak perempuan sebanyak RM10,000.


    "Pihak saya juga akan menghantar sebanyak dulang tujuh dulang dan berbalas sembilan dulang hantaran dari pihak perempuan. Saya juga hanya menyerahkan gelang tangan pada pihak perempuan ketika acara membatalkan sembahyang," katanya.

    click2..

    sponsor links

    Fitness pro’s deluxe form kit
    Read this book
    www.fitnessbusinessforms.com

    Fat Loss Action Blueprint
    See To Believe
    www.fatlossactionblueprint.com/

    Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
    Tried And Tested
    www.nailtechsuccess.com