click 4 money

Saturday, June 19, 2010

Apa Ceritanya: Penjelasan Raja Farah

Oleh Zubir Mohd Yunus

Pelakon nafi sergah jurusolek sebelum sesi fotografi, dakwa cerita ditokok tambah



SEKALIPUN tidak kerap mendapat liputan media massa atau publisiti, setiap kali muncul di dada akhbar atau majalah hiburan, aktres dan pengacara remaja, Raja Farah Raja Aziz, 22, pasti hadir dengan kisah kontroversinya. Sekali gus, ia tetap menarik perhatian orang ramai mengenai kesahihan cerita atau gosip panas dikaitkan dirinya itu.

Terbaru, Raja Farah dikatakan menyergah seorang jurusolek disebabkan kru itu menyolek muka pelakon lain terlebih dulu sedangkan dirinya datang lebih awal. Gosip berkenaan disiarkan menerusi ruangan pojok, Alkisah... terbitan B*Pop 6 Jun lalu yang memaparkan artikel dengan judul ‘Raja Farah tunjuk belang?’ Raja Farah didakwa kononnya asyik bergayut di telefon berbual dengan kekasihnya menyebabkan juru mekap berkenaan menyolek muka artis lain terlebih dulu.

Antara lain artikel berkenaan melaporkan: “Khabarnya dengan muka `kekwat' dan nada yang kurang sopan, Raja Farah menyergah jurusolek itu depan pelakon lain. Memang malu dan berbulu dibuatnya. Betul ke Raja Farah? Sebenarnya dah banyak kali mendengar kru merungut pasal Raja Farah, malah ada yang anggap si Raja Farah ni umpama `kaduk naik junjung'.” Ketika ditemui, Raja Farah tidak melenting apabila diajukan pertanyaan itu. Baginya, dia sudah lali berdepan dengan mulut orang sekeliling yang kerap melemparkan fitnah mahupun menokok tambah cerita perihal dirinya di tempat kerja. Lazimnya apabila perkara seumpamanya dibangkitkan menerusi media massa, dia hanya mengambil langkah berdiam diri, namun apabila dia diberi kesempatan untuk bersuara, Farah sedia menjelaskan perkara sebenar.

“Kejadian itu berlaku apabila saya terbabit dalam satu sesi fotografi untuk filem Aku Masih Dara terbitan MIG Production. Sesi fotografi itu berlangsung di sebuah studio di Seksyen 7, Shah Alam sekitar Mac, baru-baru ini. Rumah saya juga di Shah Alam, jadi saya adalah orang pertama yang sampai di studio berkenaan.

“Saya juga sudah memaklumkan kepada wakil MIG seminggu lebih awal, pada hari sesi fotografi itu, saya tak boleh lama kerana masih terikat dengan penggambaran bersama produksi lain. Saya turut dimaklumkan, saya akan disolek terlebih dulu dan menjalani fotografi lebih awal kerana fotografi pada hari itu tidak membabitkan artis lain. Boleh ambil gambar solo saja.

“Pada hari berkenaan, saya sampai dulu, orang lain tak ada lagi. Saya pun berbual di telefon sementara menunggu yang lain. Pada masa sama, artis lain dan jurusolek berkenaan pun sampai di studio. Saya pula masih berbual di telefon, manakala jurusolek itu menyolek muka artis lain. Saya pun nak cepat, tak adalah berbual di telefon lama-lama.
Nafi marah jurusolek

“Saya pun terus masuk bilik mekap, saya perhatikan juru solek itu sedang menyolek muka artis lain. Saya memberitahu jurusolek itu baik-baik, saya perlu mekap dulu sebab saya nak cepat. Justeru, dakwaan saya menyergah jurusolek berkenaan dan dengan muka ‘kekwat’ serta nada kurang sopan saya menegur juru mekap itu di depan pelakon lain, adalah tidak benar!

“Saya pun keluar dari bilik mekap, tak ada marah-marah pun... Jurusolek itu pun tak ada masalah dengan saya. Saya mengaku mengadu perkara berkenaan kepada wakil MIG sebab saya ada penggambaran, tak boleh tunggu lama. Tak lama kemudian, jurusolek itu memberitahu saya, dia ingin selesaikan dulu solekannya terhadap artis itu, apabila selesai, barulah dia menyolek muka saya. Saya pun membiarkan dia menyiapkan kerjanya dulu.

“Saya tak pernah paksa jurusolek itu berhenti daripada menyolek artis lain, terus beralih menyolek muka saya pula! Justeru, memang tak pernah berlaku sebarang perbalahan antara saya dan jurusolek berkenaan, bermasam muka jauh sekali! Ketika juru solek berkenaan menyolek muka saya, kami boleh berborak lagi. Sebelum saya pulang, saya siap bercium pipi dengan kakak itu (juru solek). Tak ada masalah langsung antara kami!

Terkilan dengan gosip

“Jadi, saya tak faham, siapa pula sumber yang menyampaikan maklumat tidak tepat kepada wartawan. Bagi saya, apa yang berlaku pada hari itu, adalah cerita yang ditokok tambah. Cuma, saya mengaku kesalahan saya, berbual di telefon sedangkan saya tahu perlu cepat menyiapkan fotografi pada hari berkenaan. Walaupun juru solek dah sampai, saya masih bercakap di telefon, itu memang kesilapan saya.

“Sepatutnya saya perlu cepat menamatkan perbualan dan terus masuk ke bilik mekap untuk disolek, sebaliknya saya tidak berbuat begitu. Justeru, saya rasa terkilan apabila keluar gosip di akhbar, apa yang dipaparkan mengenai kejadian pada hari berkenaan, adalah maklumat yang tidak benar disampaikan kepada media massa. Saya pun tidak menyalahkan wartawan kerana mereka hanya melaporkan apa yang mereka tahu saja.

“Saya harap selepas penjelasan ini, tidak ada mana-mana pihak yang menyimpan andaian negatif terhadap diri saya. Artikel pada hari sama juga melaporkan ramai kru yang merungut mengenai diri saya. Kononnya saya tak sedar diri dan macam-macam lagi. Bagi saya, bukan semua orang suka kita, ada yang membenci. Lazimnya kebanyakan kru yang merungut adalah mereka yang tidak pernah bekerja dengan saya.

“Sebaliknya mereka yang kerap berurusan dengan saya, kami tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah,” katanya lagi.

Akui teman lelaki ikut ke Pulau Lang Tengah

TERDENGAR desas-desus apabila ibu Raja Farah tidak lagi menjadi pengurus dan mengikutnya ke sana dan ke mari dalam urusan kerjaya, selain pelakon ini pula perangainya dikatakan semakin ‘ligat’! Sudah tersebar khabar angin di ruangan pojok beberapa akhbar baru-baru ini, kononnya Farah pergi ‘berbulan madu’ di sebuah pulau di Pantai Timur sambil ditemani kekasihnya! Justeru, sejauh mana kesahihannya?

“Sejak saya berusia 21 tahun, ibu sudah melepaskan saya untuk mengurus sendiri perihal kerjaya, dia tak lagi mengikut saya seperti kelazimannya. Hanya majlis penting saja ibu akan menemani saya, itupun bergantung kepada keadaan. Ibu saya pun sudah ada komitmen lain, dia perlu jaga adik saya yang berusia 17 tahun, akan ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Ibu mempercayai saya, lagipun saya sudah lama dalam industri ini. Namun, itu bukan satu alasan saya mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang diberikan ibu. Saya perlu menjaga nama baik keluarga dalam setiap tingkah laku.

“Saya akui, menang ada terbaca gosip disiarkan beberapa akhbar baru-baru ini, kononnya saya ‘berbulan madu’ bersama kekasih di sebuah pulau di Pantai Timur. Kisah sebenarnya, saya ada acara dengan Pelancongan Terengganu di Pulau Lang Tengah sekitar Mei lalu. Saya ditugaskan membantu kaki tangan Pelancongan Terengganu yang ingin mengambil lesen skuba di pulau berkenaan. Saya boleh mengarah penyelam di dasar laut untuk melayakkan mereka memperoleh lesen.

“Saya ke pulau itu di atas jemputan Pelancongan Terengganu. Memang saya mengaku, teman lelaki saya turut menemani saya ke pulau itu. Namun, ibu saya sedia maklum mengenai perkara itu. Saya terkilan, kenapa ada dakwaan saya lari apabila nampak wartawan di pulau itu? Kenapa saya perlu lari sedangkan saya ke pulau itu atas jemputan.

“Teman sebilik saya ialah Natasha, seorang pegawai dari Pelancongan Terengganu, jadi tidak timbul saya tinggal sebilik dengan teman lelaki saya! Teman lelaki saya tinggal seorang diri dalam biliknya. Teman lelaki saya turut serta dalam acara Pelancongan Terengganu itu kerana dia juga seorang penyelam skuba. Sambil-sambil saya membantu kaki tangan Pelancongan Terengganu menyelam, teman lelaki saya buat fun diving.

“Jadi, sekali lagi orang salah anggap dan tokok tambah cerita,” katanya dalam nada kesal.

Pun begitu, Raja Farah berharap selepas ini sekiranya ada pihak yang masih melihat dirinya dan teman lelaki di beberapa buah pulau sekitar Pantai Timur supaya jangan terkejut kerana mereka hanya menyelam skuba bersama teman lain di lokasi berkenaan. Namun, Raja Farah masih keberatan memperkenalkan siapa identiti sebenar teman lelaki terbarunya selepas putus cinta dengan juruterbang kira-kira setahun yang lalu.

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com