click 4 money

Showing posts with label Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009. Show all posts
Showing posts with label Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009. Show all posts

Sunday, April 18, 2010

Keputusan Penuh Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 Read more: http://www.ohbayu.com/keputusan-penuh-anugerah-bintang-popular-berita-harian-2

Berikut adalah keputusan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang dibawakan secara langsung kepada anda kat TV3 kelmarin, Kami di ohbayu ucapkan tahniah kepada artis2 yang dapat menjulang anugerah kejayaan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 korang nak lihat keputusan penuh dengan

1. Anugerah Pengacara TV Lelaki Popular – Aznil Haji Nawawi

2. Anugerah Pengacara TV Wanita Popular – Fara Fauzana

3. Penyampai Radio Lelaki Popular – Faizal Ismail

4. Penyampai Radio Wanita Popular – Fara Fauzana

5. Penyanyi Duo/Artis Berkumpulan – Bunkface

6. Artis Komedi Lelaki Popular – Nabil Raja Lawak

7. Artis Komedi Wanita PopularNorkhiriah

8. Artis Baru Lelaki Popular – Black

9. Artis Baru Wanita Popular – Yuna

10. Pelakon TV Lelaki Popular – Remy Ishak

11. Pelakon TV Wanita Popular – Tiz Zaqyah

12. Penyanyi Nasyid Popular – Rabbani

13. Penyanyi Lelaki Popular – Aizat

14. Penyanyi Wanita Popular – Dato’ Siti Nurhaliza

15. Pelakon Filem Lelaki PopularQue Haidar

16. Pelakon Filem Wanita Popular – Liyana Jasmay

(Anugerah Khas) Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat – Datuk Khatijah Ibrahim

Bintang Paling Popular – Dato’ Siti Nurhaliza (225,300 Undi!)

Wednesday, March 17, 2010

Sama cantik, sama padan

pix_gal0
Tiz Zaqyah dan Gambit bagai pinang dibelah dua, apatah lagi bergambar dengan kereta Nissan Grand Livina 1.6L yang menjadi hadiah utama untuk pembaca bertuah

USIA pembabitan seni mereka berbeza namun tahun ini rezeki ternyata berpihak kepada kedua-dua anak seni berbakat ini. Buat kali pertama nama Tiz Zaqyah dan Gambit Saifullah tersangkut dalam pencalonan akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang sedang rancak dengan jelajah promosi mereka di empat lokasi.

Gambit tersenarai dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular selepas hampir lima tahun berada dalam bidang seni. Sementara Tiz pula, baru tiga tahun bertapak dalam liga seni, namun hanya tahun lalu namanya mula menjadi sebutan gara-gara watak Nur Amina yang dipegangnya dalam drama Nur Kasih. Penangan watak itu melayakkan namanya dalam dua kategori, Artis Baru Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular. Satu persamaan yang nyata, populariti Tiz dan Gambit bukan naik mendadak seperti sesetengah artis program realiti. Cuma diharapkan populariti yang diraih mereka akan terus berpanjangan sekali gus memastikan hayat seni mereka terus relevan untuk tempoh yang panjang.

Buat pembaca setia Hip mereka setuju digandingkan dalam satu fotografi ketika majlis penyerahan dua kereta sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) untuk ABPBH 2009 baru-baru ini. Bukan kali pertama digandingkan kerana sebelum ini mereka pernah disatukan untuk sebuah majalah hiburan.

Ternyata mereka masih kekok dan agak malu saat pertemuan itu bertamu. Tetapi tak mengapa, sikap profesional mengatasi segala-galanya. Kereta Nissan Grand Livina 1.6L yang ditaja ETCM turut menjadi saksi deruan adrenalin mereka yang bertiup kencang.

Bersama Hip, kita kongsi isi hati mereka terhadap kerjaya seni yang terus berkembang pesat. Tanpa prejudis, mereka tidak menafikan betapa ABPBH 2009 menjelang 4 April depan terus mengukuhkan label bakat mereka. Hip dahulukan Gambit kerana drama Siong lakonannya di TV3 dan TV9 sedang rancak disiarkan dalam slot Lagenda.
“Drama Siong sedikit sebanyak memberi ruang untuk penggemar seni menyedari bakat saya yang selama ini seperti tenggelam timbul. Saya tak kisah untuk menyesuaikan perhatian masyarakat terhadap saya. Lagi pun saya bukan baru dalam bidang ini.

“Saya juga mula sedar reaksi peminat terhadap kehadiran saya. Tahun ini seperti tahun saya membuat kemunculan kembali kerana tahun lalu saya banyak memberi perhatian menerbit dalam produksi syarikat saya Eightball Production Sdn Bhd.

“Insya-Allah tahun ini saya mahu terus memperbanyakkan profil lakonan saya dalam filem dan telefilem. Drama mungkin saya akan kurangkan kerana dalam tahun ini saya juga mahu aktif menerbit kembali program berbentuk majalah,” katanya yang sudah berlakon filem Susuk, Cinta, Rasukan Ablasa dan menanti tayangan Misteri Jalan Lama.

Jejaka berdarah campuran Bugis dan Jawa ini juga bergelar model komersial yang mempunyai ketinggian 180 sentimeter. Bersesuaian dengan pos Gambit di atas kereta, secara kebetulan juga Gambit berkongsi minat yang sama mengumpul beberapa buah koleksi kereta yang boleh dikelaskan sebagai mewah.

“Sekarang ini saya memiliki tiga buah kereta iaitu Mercedez, Perdana Twin Turbo dan kereta sport MR2. Saya memang jenis yang gilakan kereta. Mungkin kalau jadi saya akan menjual kereta Perdana itu. Mungkin juga minat saya dengan kereta bercambah sebab saya mengambil pengajian Kejuruteraan Automatif dan Mekanikal,” katanya yang menanam cita-cita suatu hari nanti untuk menjadi pelumba kereta secara profesional.

Dalam perkembangan lain, Gambit kini sedang dalam proses untuk mengesahkan dirinya berlakon filem. Kesibukannya merencana perihal seni, membuatkan lelaki berusia 25 tahun ini melupakan seketika soal bercinta. Insya-Allah, Gambit yang akan melaram rekaan Lord’s Tailor pada malam kemuncak nanti akan cuba melapangkan masanya untuk mengikuti siri jelajah ABPBH 2009.

Mahu bercuti ke luar negara

SEMENTARA itu, Tiz Zaqyah yang genap 22 tahun pada 25 Oktober ini akan cuba sedaya mungkin untuk mengikuti siri jelajah ABPBH pada tahun ini. Buat si pertama kali sepertinya, dia juga mahu merasai nikmat keseronokan bertemu peminat di lokasi terpilih.

Malah, selepas melalui fasa kesibukan dengan rutin hariannya sebagai pelakon, Tiz juga merancang untuk bercuti sekitar April nanti. Menurut Tiz, dia mungkin akan mempertimbangkan untuk bercuti dengan keluarganya atau barangkali dengan temannya.

“Saya baru saja selesai menjalani penggambaran drama Asmaradana untuk slot Samarinda TV3. Drama itu arahan Feroz Khan dan saya memegang watak Azizah. Selain itu, ia turut dibintangi Iqram Dinzly, Shaheizy Sam, Norish Karman dan Mustapha Kamal.

“Penggambaran mengambil durasi masa selama sebulan. Agak pantas juga pembikinannya. Selepas ini, saya nak berehat seketika melepaskan lelah. Selain itu, inilah masa saya untuk memenuhi permintaan rakan media untuk sesi fotografi.

“Saya juga tak mahu melepaskan peluang mengikuti siri jelajah ABPBH 2009. Pengalaman pertama ini saya tak mahu dilepaskan begitu saja. Harap masa dan komitmen seni saya tidak mencemburui hasrat saya untuk memberi sokongan kepada Berita Harian dengan pelaksanaan siri jelajah ini,” katanya yang menafikan gosip cintanya dengan Remy Ishak yang tumbuh melata kebelakangan ini.

Mengenai Gambit, wanita manapun pasti akan bersetuju betapa kacak wajahnya dan Tiz Zaqyah tidak terkecuali. Kata Tiz, dia dan Gambit disifatkan sebagai pelakon generasi baru yang tegar berjuang memastikan posisi dan legasi seni terus-terusan dimanfaatkan untuk kebaikan industri.

“Dia berbakat dan bagus. Kami orang baru dalam dunia seni ini, bersaing secara positif untuk meletakkan nama kami ke tahap yang membanggakan. Dia pun mempunyai peluang yang cerah untuk pergi jauh. Semoga tuah terus mendakap rencana seni kami. Insya-Allah,” katanya yang disokong kelab peminatnya, TZR Fan Club.

Belum memandu

KETIKA ini, Tiz bergerak ke sana ke mari dengan pertolongan keluarga dan kawan kerana belum memiliki kereta. Malah, Tiz sudah mula mempertimbangkan hasrat mengambil lesen kereta. Ditanya mengenai kereta idamannya, Tiz menjelaskan dia mengidam untuk memiliki kereta BMWX6 dan Audi R8.

“Kalau ditanya sekarang, memang dua kereta itu menjadi idaman saya. Tapi tak tahulah kalau lima tahun lagi, mungkin cita rasa saya sudah berubah. Tetapi tak salahkan mengimpikan sesuatu kerana semuanya boleh jadi kenyataan jika diiringi usaha,” ungkapnya sambil tersenyum.

Majlis penyerahan dua kereta tajaan ETCM itu disempurnakan Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr Ang Bon Beng kepada Timbalan Pengarang Kumpulan BHSB yang juga Penasihat I ABPBH2009, Mahfar Ali di ibu pejabatnya di Jalan Ipoh pada 1 Mac lalu.

Kereta Nissan X-Trail 2.0L bernilai RM130,000 menanti penerima trofi Bintang Paling Popular, manakala Nissan Grand Livina 1.6L berharga RM86,000 diberikan kepada pembaca bertuah pada malam itu nanti. Tajaan ini juga adalah tahun kedua membabitkan ETCM bekerjasama dengan Berita Harian.

Hadir sama, Pengarang Hiburan Berita Harian dan Pengerusi Jawatan Kuasa Pengelola ABPBH 2009, Hanizam Abdullah dan Pengurus Kanan Penajaan Pemasaran NSTP, Wan Rafilin Wan Mohd Noor. Selain Tiz dan Gambit, lapan finalis ABPBH 2009 iaitu Akim, Isma, Bunkface, Fara Fauzana, Leya dan Zizan Raja Lawak.

PROFIL

  • Tiz Zaqyah

    Usia: 21 tahun (genap 22 tahun pada 25 Oktober ini)
    Status: Bujang
    Kerjaya: Pelakon
    Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
    Mula berlakon: 2006
    Drama: Gol & Gincu, Impian Ilyana, Impian Sunsilk & Nur Kasih
    Telefilem: Bernafas Dalam Lumpur, Puaka Topeng Putih & Keabadian Cinta

  • Gambit

    Nama penuh: Gambit Saifullah Roslin
    Umur: 25 tahun
    Tarikh lahir: 21 Julai 1985
    Tempat lahir: Kuala Lumpur
    Filem: Susuk, Cinta, Rasukan Ablasa dan Misteri Jalan Lama.
  • Monday, March 15, 2010

    Impian Nabila tercapai

    Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


    NABILAH (tengah) diapit oleh pemenang tempat kedua, Mohd Safrin (kiri) dan pemenang ketiga BIBH2009, Megat Amirul Khairi.
    NABILAH (tengah) diapit oleh pemenang tempat kedua, Mohd Safrin (kiri) dan pemenang ketiga BIBH2009, Megat Amirul Khairi.
    Pertandingan BIBH2009 di Kemaman dapat sambutan hangat

    MERDU suaranya ketika melontarkan lagu Jerat Percintaan milik penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza menambat hati tiga juri profesional yang mengadili pertandingan Bintang Idola Berita Harian 2009 (BIBH2009) di Mesra Mall, Kemaman, Terengganu, Sabtu lalu.

    Nabilah Mohamad, 21, pelajar jurusan Diploma Pengurusan Pelancongan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang itu berjaya mencuri hati tiga juri yang terdiri daripada Pengarang Bintang Popular yang turut merangkap sebagai Ketua Juri, Akmal Abdullah; penyanyi rock tanah air, Hattan dan penyanyi yang turut dikenali sebagai guru vokal, Hazami. Wanita bertudung itu adalah juara bagi Zon Timur. Kemenangan itu melayakkan Nabilah menjadi artis residen Berita Harian. Dia turut memenangi hadiah wang tunai bernilai RM1,000, barangan kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM10,000, sijil penyertaan dan dua tiket menyaksikan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang pada 4 April nanti di Arena Of Stars Genting Highlands.

    Peserta berasal dari Kuala Terengganu itu tidak menyangka kepulangan ke kampung untuk menguruskan beberapa hal membawa tuah apabila cita-cita untuk bergelar penyanyi hampir pasti menjadi kenyataan.

    "Saya memang sudah lama menyimpan impian menjadi artis, tetapi saya sedar cita-cita itu terlalu tinggi. Tak sangka pula hari ini impian saya menjadi kenyataan.

    "Sebelum ini saya pernah mencuba nasib dalam beberapa pertandingan realiti seperti My Star LG dan Akademi Fantasia tetapi tiada rezeki," katanya yang mula menyertai pertandingan nyanyian sejak usia 16 tahun serta gemar membawakan lagu-lagu Siti Nurhaliza dan Liza Hanim.
    Sementara itu, kesungguhan Mohd Nor Safarin Mansor, 38, menjelajah dari Lumut, Perak ke Terengganu semata-mata untuk menyertai BIBH berbaloi apabila berjaya mengubat kekecewaannya di Village Mall, Sungai Petani, minggu lalu.

    Safarin yang bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertekad mencuba nasib sekali lagi kerana tidak puas hati sekadar melangkah ke peringkat akhir minggu lalu.

    Katanya, atas nasihat rakan-rakan serta keluarga, dia sanggup meredah perjalanan beratus kilometer ditemani sahabatnya untuk mencuba nasib sekali lagi.

    Dia berkata, kesilapan memilih lagu menjadi faktor kegagalannya minggu lalu menyebabkan dia meminta pandangan beberapa rakan lagu sesuai untuk dibawakan minggu ini. Ternyata pilihan lagu Laila Namamu Teratas milik kumpulan Search membawa tuah kepadanya.

    Safarin yang pernah menyertai dan memenangi pelbagai pertandingan nyanyian antaranya Metro Idol 2007, Sinar FM 2007 berkata, ini juga bukan percubaan pertamanya dalam BIBH. Dia pernah mencuba nasib tahun lalu tetapi gagal menembusi ke peringkat akhir.

    Safarin yang mendendangkan lagu milik Anuar Zain, Lelaki Ini ketika di Sungai Petani, minggu lalu berkata, apa yang membuatkan dia berminat menyertai BIBH adalah kerana tiadanya kekangan had umur dikenakan.

    "Tarikan BIBH yang tidak mengenakan sebarang had umur memberi peluang orang yang sudah agak berusia seperti saya menonjolkan bakat kami. Sudah lama saya menyimpan hasrat bergelar penyanyi dan berharap kemenangan ini akan membuka lalu yang mudah untuk saya berjaya dalam karier nyanyian.

    "Idola saya dalam bidang nyanyian adalah Black. Meskipun tanpa rupa paras yang menarik, Black mempunyai ramai peminat dan saya berharap dapat menjadi sepertinya," kata Safarin yang membawa pulang hadiah wang tunai RM700, sijil penyertaan, hamper dan tiket ke malam kemuncak ABPBH.

    Keberanian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, Kuantan, Megat Amirul Khairi Megat Amran membawakan lagu Mungkir Bahagia milik penyanyi Hazami pula turut memikat hati juri. Amirul yang berjaya mendendangkan lagu itu dengan kawalan suara yang baik menjadi satu bonus buatnya.

    Dia menerima wang tunai RM 500, sijil penyertaan, hamper dan juga tiket ABPBH. Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, Amirul datang dari Kuantan, Pahang ditemani ibu bapanya semata-mata untuk mencuba nasib dalam pertandingan ini.

    "Saya sudah menyanyikan lagu ini sejak dari tingkatan dua lagi. Jadi ia memberi keyakinan untuk membawakan lagu ini. Walaupun melakukan sedikit kesilapan, saya terkejut apabila rezeki berpihak kepada saya," katanya.

    Salah pilih lagu punca gagal

    ANTARA ulasan yang kerap kali keluar dari juri pada pertandingan lebih dua jam itu adalah kesalahan pemilihan lagu oleh kebanyakan peserta.

    Kebanyakan peserta tersalah memilih lagu yang tidak bersesuaian dengan vokal mereka dan akhirnya menyebabkan mereka gagal menduduki sebarang tempat.

    Hattan ketika ditemui berkata, kebanyakan peserta yang berjaya melangkah ke final mempunyai kebolehan menyanyi tetapi rata-rata tersalah membuat pilihan lagu.

    "Saya faham mereka tidak mempunyai sesiapa untuk dijadikan rujukan membuat pilihan lagu, tetapi saya nasihatkan mereka yang ingin menyertai BIBH di lokasi lain supaya memilih lagu yang sesuai untuk pertandingan.

    "Pilih lagu yang mempunyai nada yang tinggi dan rendah. Saya lihat kebanyakan peserta hanya boleh menyanyi untuk karaoke. Kita mahu mencari bakat semula jadi yang tidak klon mana-mana artis," katanya.

    Sementara itu, Hazami pula berkata, dia bangga dapat mendengar bakat memberangsangkan peserta dari pantai timur yang tidak langsung mengecewakan.

    Bagaimanapun, seperti Hattan, Hazami juga mengakui kebanyakan peserta tersilap memilih lagu. Hazami turut menasihatkan peserta supaya tidak menyanyikan lagu juri.

    "Majoriti daripada mereka tersalah membuat pilihan lagu. Kebanyakan finalis mempunyai asas nyanyian yang boleh diperbaiki lagi. Mereka cuma perlu mempunyai penghayatan lirik dan kalau boleh kaji dulu lirik sebelum membuat persembahan," katanya.

    Pada peringkat akhir yang lalu seramai 10 peserta daripada lebih 30 yang menghadiri uji bakat berjaya melangkah ke final. Mereka adalah Mohammad Azfar Shuhaimi, Azreen Mazwan Sapuwan, Mohd Faizul Fadzil, Mohd Nazri Mohd Ashri yang juga peserta cacat penglihatan, Zainul Aliff Zainal Abidin, Amirul Shafiq Sukor dan Noorazmieza Rahimi Jafri.

    Pertandingan peringkat akhir itu turut diserikan dengan persembahan daripada pemenang BIBH musim lalu iaitu Noor Nazatul Farahin Mohd Hussin yang mendendangkan singlenya berjudul Suara Rindu, Nurul Syazwani Mohd Basri pula menyanyikan lagu Cinta Darimu dan Mohd Zaki Zainal dengan lagu Peri Bintang.

    Riuh di Kemaman

    Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
    serima@bharian.com.my















    Dewan tidak cukup luas untuk tampung pengunjung jelajah promosi ABPBH2009


    PENAT mahupun rimas melayan peminat langsung tidak terdetik di hati finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang mengikuti siri jelajah di lokasi kedua, Mesra Mall, Kemaman, Terengganu, Sabtu lalu.

    Sebaliknya mereka 'enjoy' dan menyifatkan sesi bertemu dengan peminat yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan mereka umpama terapi kepada tekanan kerja. Melihat Dewan Serbaguna di Mesra Mall dibanjiri lebih 4,000 peminat, hati mereka menjadi tambah gembira. Bagi finalis yang mengikuti siri jelajah ini seperti Raja Azura, Meet Uncle Hussien, Black, Zizan, Fasha Sandha, Farid Kamil, Nabil, Saujana, Fizo Omar, Fizz Fairuz dan 6xith Sense hati mereka bertambah teruja apabila peminat terhibur dan tersenyum melihat kemunculan mereka.

    Biarpun pertama kali siri jelajah ABPBH kali ini memilih Mesra Mall, sambutan yang diterima daripada penduduk sekitar Kemaman, Terengganu hingga Kuantan, Pahang memang cukup membanggakan. Mungkin jika dibuat di lokasi terbuka atau lebih besar, angka peminat yang hadir barangkali boleh mencecah sehingga 8,000 orang.

    Malahan, Dewan Serbaguna di Mesra Mall sudah dibanjiri orang ramai sejak hari Jumaat iaitu ketika berlangsungnya acara saringan pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH).

    Manakala pada hari Sabtu pula, seawal tengahari dewan sudah dipenuhi orang ramai yang mahu menyaksikan pertandingan akhir BIBH sekali gus mengambil tempat di bahagian hadapan agar dapat melihat artis pujaan mereka dengan lebih dekat.
    Selama empat jam persembahan berlangsung, penonton langsung tidak berganjak sebaliknya mereka terus setia berada di tempat masing-masing.

    Bagi pelakon terutamanya yang jarang dapat mengikut siri jelajah promosi seperti ini, mereka memang amat menantikan acara sebegini.

    Seperti mana yang diberitahu Raja Azura yang menjadi finalis dalam kategori Penyampai TV Wanita Popular, dia tidak mampu untuk mengadakan sendiri sesi bertemu dengan peminat yang mana memakan bajet yang tinggi.

    Justeru, dia amat menantikan peluang sebegini untuk menunjukkan tanda terima kasihnya kepada peminat yang selama ini banyak menyokong kerjayanya sehingga dia mampu bertahan lebih 10 dekad dalam industri.

    "Kami pelakon tidak seperti penyanyi yang sering kali mengadakan persembahan di pelbagai tempat. Kalau ikutkan memanglah penat kena berjalan jauh dan bertemu dengan peminat, tetapi ini saja cara terbaik untuk menunjukkan tanda terima kasih kepada peminat yang selama ini banyak menyokong kerjaya saya.

    "Artis popular yang tercalon kalau boleh ikutlah siri jelajah seperti ini. Bagi saya siri jelajah seperti inilah masa sesuai untuk kita menunjukkan penghargaan kepada peminat," katanya.

    Sementara itu bagi Nabil, dia mengikuti siri jelajah ini bukan untuk memancing undi. Disebabkan mempunyai kelapangan, dia tidak lepaskan peluang hadir bertemu dengan peminat yang menolongnya tahun lalu hingga berjaya menjulang trofi Bintang Paling Popular.

    "Saya tidak berkesempatan ke lokasi lain. Kebetulan saya mempunyai kelapangan hari ini, saya pun luangkan masa mengikuti siri jelajah ini untuk bertemu sendiri dengan peminat.

    "Saya datang bukan memancing undi saja tetapi mahu bertemu peminat yang menolong saya pada tahun lalu hingga dapat tiga anugerah. Peminat nadi saya, oleh itu saya harus mengucapkan terima kasih kepada mereka. Pada pendapat saya tak salah jika semua finalis turun padang untuk membuatkan peminat kita gembira," kata Nabil.

    Bagi Black pula yang pertama kali menyertai ABPBH berkata siri jelajah ini berbeza daripada persembahan yang pernah diadakan.

    Katanya, jika sebelum ini dia membuat persembahan tanpa memikirkan mengenai undian, kali ini pula dia bertemu peminat untuk memikat hati mereka.

    "Saya tak kisah sebenarnya menang atau kalah. Tersenarai sebagai finalis pun, Black anggap satu kemenangan. Black datang untuk bertemu dan menghiburkan peminat. Black banyak bertanya kepada mereka yang senior seperti Mawi, Nabil bagaimana untuk memikat hati peminat.

    "Black tak kisah mengikuti apa saja persembahan. Pada Black, banyak atau sikit bayarannya, Black akan tetap terima kerana Black sendiri pun orang susah," katanya yang membuat persembahan solo dan turut mengiringi persembahan kumpulan Meet Uncle Hussein.

    Mereka cukup 'gila-gila'

    Sementara itu keletah Nabil, Zizan, Angan, Kak Engku serta Along ketika acara permainan bersama peminat menjadikan suasana dewan menjadi gamat. Bayangkan apabila pelawak menguasai pentas, suasana menjadi hingar bingar dan membuatkan peminat tidak kering gusi.

    Bekas Bintang Paling Popular 2009, Nabil begitu bermurah hati apabila mengeluarkan duit sendiri sebanyak RM150 untuk diberikan kepada tiga peserta yang menyertai permainan 'gila-gila' yang dianjurkan.

    Kumpulan nasyid Saujana yang sudah hampir lima tahun menyepi dari industri muzik tanah air pula tidak menyangka kehadiran mereka masih diterima. Mereka yang turut tercalon bagi kategori Artis Nasyid Popular menghiburkan peminat dengan dua lagu iaitu Suci Sekeping Hati dan Patah Hati.

    Sementara itu kumpulan 6xith Sense berjaya membuatkan peminat bersorak saat mereka mendendangkan tiga lagu berhantu mereka iaitu Hari Ini dan Semalam, Khatimah Cinta serta Tanpa.

    azami yang bertindak sebagai juri BIBH juga turut menyumbangkan suara dengan dua lagu barunya Kenangan dan Kuat. Raja SMS Mawi pula membuktikan yang dia masih mempunyai peminat apabila lagu dendangannya Lagu Jiwa Lagu Cinta yang dinyanyikan secara duet bersama Along Raja Lawak mendapat tepukan penonton.

    Bukan saja terhibur dengan persembahan daripada finalis, peminat bertuah juga dapat bersiar-siar sekitar Mesra Mall menaiki kereta Nissan XTrail 2.0L dan Nissan Grand Livina 1.6L tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

    Corat Coret

  • Fizz Fairuzz tidak malu-malu apabila secara ikhlas meminta peminat mengundi dirinya yang dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular. Fizz turut memberikan peminat kod namanya yang tertera dalam borang undian.

  • Jika minggu lalu Fizz menjual poskad gambarnya. Minggu ini Meet Uncle Hussein (MUH) mengambil kesempatan menjual baju T, poster dan poskad serta kole MUH. Ketika persembahan berakhir, penonton berkerumun di meja mereka untuk mendapatkan baju T dan poster.

  • Kesesakkan jalan raya di daerah Kemaman menyebabkan acara BIBH yang sepatutnya berlangsung jam 10.30 pagi di lewatkan kepada jam 12.30 tenga hari.

  • Ketiadaan Kenchana Dewi menyebabkan namanya menjadi sebutan rombongan terutamanya Fizo Omar yang kebosanan dek ketiadaan Kenchana.

  • Along Raja Lawak bukan saja ditugaskan menjadi pengacara tetapi dia turut mengambil tugas penyanyi apabila menyanyi secara duet dengan isterinya, Zila dan rakan baiknya, Mawi.

  • Segmen Nabil, Angah dan Zizan adalah paling melucukan. Gelagat ‘gila-gila’ mereka menyebabkan penonton tidak dapat menahan ketawa. Nabil pula bermurah hati memberikan tiga peminat yang naik ke pentas RM50 seorang sebagai hadiah menyertai permainan yang mereka anjurkan.

  • Kalau peminat lain dapat duduk di sebelah artis pujaan mereka ketika menaiki kereta ‘pusing-pusing’ sekitar Mesra Mall. Peminat Farid Kamil pula beruntung kerana aktor itu sendiri yang memandu kereta membawa peminatnya bersiar-siar.

  • Fasha, Farid dan Saujana terpaksa bergegas pulang sebaik selesai persembahan kerana masing-masing mempunyai jadual penggambaran dan persembahan lain.

  • Black dan MUH sempat berlatih di dalam bilik malam sebelum siri jelajah. Malah mereka siap belajar bertutur dialek Terengganu semata-mata untuk memikat hati peminat.

  • Siri jelajah ABPBH bukan saja mendekatkan artis dengan peminat, bahkan merapatkan lagi hubungan sesama artis dari pelbagai bidang. Seperti pelawak dengan pelakon juga penyanyi.

  • Kegilaan Nabil, Zizan, Along, Angah, Fizz Fairuz dan Fizo Omar menyebabkan produksi 'pening kepala' melayan sikap mereka yang gila-gila
  • Saturday, February 20, 2010

    Undi jangan tak undi! Putri Mardiana dan Mawi




    Putri Mardiana

  • DILAHIRKAN dengan nama Putri Mardiana Zainal Abidin pada 2 Oktober 1981, pelakon ini mula mencipta nama dengan membintangi filem keluaran MIG, Santau, yang menemui penonton pada penghujung 2009.

  • SELAIN filem seram berkenaan, dia yang turut dipanggil dengan nama Nana juga membintangi beberapa projek televisyen termasuk Jangan Tegur, Mama Murai, Legasi 43 Karat dan Duda Dan Dara.
  • SEBELUM bergelar pelakon, wanita ini pernah berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan, dengan membekalkannya ke pejabat.

  • WANITA berasal dari Sitiawan, Perak ini pernah mewakili negara ke pertandingan seni persembahan WCOPA di Los Angeles, pada tahun lalu. Menerusi pertandingan berkenaan, dia menyumbang emas bagi kategori lakonan terbuka dan pingat perak bagi kategori jurucakap peragaan wanita.

  • PUTRI MARDIANA ialah ibu tunggal kepada tiga anak iaitu Alia Wirdani, 6, Amir Firman, 4, dan Airill Zuhair, 3.


  • TERKINI, pelakon berbakat ini baru saja menamatkan penggambaran sebuah lagi filem seram, Ngangkung, yang dilakonkan bersama Eira Syazira, Shaheizy Sam, Along dan Angah Raja Lawak.

    Mawi

  • ASMAWI ANI Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi dilahirkan pada 25 Ogos 1981 di Kulai, Johor.

  • MAWI ialah juara rancangan realiti Akademi Fantasia Musim ketiga pada 2005. Pada awalnya, dia tersingkir daripada konsert prelude namun diserap kembali pada akhir konsert minggu pertama berdasarkan pemilihan juri terhadap lapan pelajar tersingkir. Dia memulakan pembelajaran di AF bersama Marsha pada minggu kedua.
  • PENYANYI lelaki ini pernah dilabel Raja SMS kerana sering saja mengungguli mana-mana pertandingan yang membabitkan undian penonton.

  • BEBERAPA bulan selepas bergelar juara AF3, Mawi diumumkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 2005. Pada edisi terbabit, dia turut memenangi dua trofi lain - Artis Baru Lelaki dan Penyanyi Lelaki Popular.

  • PADA ABPBH 2006, selain daripada mempertahankan trofi Bintang Paling Popular, Mawi sekali lagi mengungguli kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Berkumpulan/Duo Popular (bersama Jamal Abdillah).

  • BUAT kali ketiga, Mawi diumumkan Bintang Paling Popular pada ABPBH 2007. Selain itu, dia juga memenangi trofi Penyanyi Lelaki Popular buat kali ketiga. Manakala pada ABPBH 2008, hanya kategori Penyanyi Lelaki Popular menjadi milik jejaka ini.

  • PENYANYI ini berkahwin dengan Nora’Asikin Rahmat (Ekin) pada 20 Disember 2008 di Johor. Perkahwinan mereka dianggap sebagai perkahwinan paling meriah pada tahun berkenaan.

  • DI samping bidang muzik, Mawi juga mula berjinak-jinak dalam lakonan. Filem pertamanya, Jin Notti, menemui penonton pada Syawal 2009, manakala filem keduanya, Magika, bakal menyusul sedikit masa nanti.

  • ANTARA lagu yang menaikkan nama penyanyi ini termasuk Aduh Saliha, Lagu Jiwa Lagu Cinta (duet bersama M Nasir), Kian, Mungkin Langitmu Lebih Biru, Angan dan Sedar, Cinta Zulaikha, Doa Dalam Lagu (duet bersama Heliza) dan Sujud (duet bersama KRU).
  • Friday, February 19, 2010

    Undi jangan tak undi! Aznil dan Syarifah Amani





    Aznil Nawawi

  • Sentiasa berfikiran positif dan mencabar kebolehan diri sendiri menjadi resipi utama yang membawa Pengacara Nombor 1 Asia, Aznil Nawawi ke puncak kerjayanya hari ini.

  • Mesra dengan panggilan Pak Nil, bukan saja ikon dalam dunia hiburan tanah air, namun anak jati Kuala Lumpur itu turut disegani kerana sikapnya yang merendah diri dan menghormati orang lain.
  • Penyampai stesen radio ERA ini memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya (1981 hingga 1984) amat bersyukur dengan pencapaiannya dalam bidang ini, walaupun menceburi dunia seni itu secara tidak sengaja.

  • Rancangan kelolaannya, Macam Macam Aznil menjadi Rancangan Bual Bicara Terbaik di ASK dan Anugerah Skrin untuk tiga tahun berturut-turut (bermula 2006)

  • Kemuncak pencapaian sepanjang pembabitan dalam bidang seni ialah apabila namanya tersenarai sebagai Pengacara Hiburan TV Pilihan Juri di Anugerah Televisyen Asia pada 2008.


  • Selain bergelar pengacara TV Astro dan penyampai radio ERA, duda dua orang anak ini turut bergelar pelakon filem, penyanyi dan Perunding Kreatif Astro.

  • Nama anaknya, Fidza Haifa (20 tahun), Fariq Haizen (15 tahun)

  • Antara program yang pernah dikendalikannya seperti Buletin Utama, Pop Kuiz, Melodi, Teleskop, Kamera Apo?, Akademi Fantasia, Tom Tom Bak, Kring-Kring dan Jangan Lupa Lirik.

  • Mengendalikan segmen Riuh Pagi Di Era bersama Din Beramboi di stesen radio ERA.

    Sharifah Amani

  • Bernama penuh, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya

  • Kakaknya, Sharifah Aleya (penyampai radio Hot FM) turut berentap dalam Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian tahun ini.

  • Filem yang pernah dibintanginya ialah Sepet, Gol & Gincu, Gubra, Cinta, Possessed, Puaka Tebing Biru, Mukhsin, 1957: Hati Malaya, Selamat Pagi Cinta, Cicak-Man 2: Planet Hitam, Sayang You Can Dance dan Muallaf

  • Emil Emilda, Sindarela dan Rona Roni Makaroni antara siri drama yang dilakonkannya.

  • Menggondol Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-18 dan Pelakon Wanita Terbaik FFM19.

  • Sedang berkawan rapat dengan Gavin Stenhouse, jejaka Scottish-Welsh yang memegang watak Putera Roman dalam filem terbitan KRU Studios, Hikayat Merong Mahawangsa arahan Yusry Abdul Halim. Mereka bertemu di lokasi filem itu dan Nani bertindak sebagai pembantu pengarah lagak ngeri.

  • Berkongsi darah seni dengan ibunya, pelakon dan juga guru lakonan, Fatimah Abu Bakar.
  • Thursday, February 18, 2010

    Undi jangan tak undi! Lisa Surihani dan Farid Kamil




    INFO: Lisa Surihani

  • Nama asal pelakon kacukan Melayu - Bugis ini ialah Lisa Surihani Mohamad. Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 23 Mac 1986, Lisa adalah anak perempuan tunggal daripada lima beradik dan dia adalah anak keempat.

  • Mula menjejakkan kaki dalam dunia glamor pada usia 11 tahun, bermula dengan model iklan. Dia kemudian melebarkan sayap dalam dunia lakonan, langkahnya bermula dengan filem Good Bye Boys.
  • Lisa memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang - Undang (Kepujian) dari Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom. Pernah menerima anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM 21). Dilantik menjadi Wajah Ekslusif Astro Megadrama

  • Selepas Good Bye Boys, pelakon yang hebat digosipkan dengan Farid Kamil ini turut membintangi filem I’m Not Single, Jangan Padang Belakang Congkak. Dia bakal muncul dengan lima buah filem tahun ini iaitu Lagenda Budak Setan arahan Sharad Sharan, Semerah Cinta Stileto, V3 Samseng Jalanan, Kapoow!! dan Zoo.

  • Sementara itu drama yang pernah dibintangi gadis ini ialah Obsesi, 3 Janda, Anak Merdeka, Mataku Nampak Hantu dan Ponti Anak Remaja.


    INFO: Farid Kamil

  • Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid kamil Zahari berasal dari Alor Star, Kedah.

  • Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Layar (Kepujian) Dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini dilahirkan pada 5 Mei 1981 adalah anak sulung daripada lima beradik.

  • Selain bergelar pelakon, Farid kini berjinak-jinak dalam dunia pengarahan. Filem pertamanya menghadapi sedikit masalah berikutan menggunakan perkataan Remp-It, oleh kerana itu tajuk filem itu ditukar kepada V3 Samseng Jalanan. Filem itu dijangka masuk panggung Mac ini.
  • Farid juga memiliki syarikat sendiri yang diberi nama Untitled Art Works Sdn Bhd yang bertanggungjawab dalam urusan penghasilan skrip V3 Samseng Jalanan.

  • Antara filem lakonan jejaka ini ialah 7 Perhentian, Remp-It, Anak Halal, Evolusi KL Drift, Estet dan Papadom.

  • Pernah bercinta dengan Irma Hasmie. Farid kemudian dikaitkan dengan dua wanita kacukan iaitu Lisa Surihani dan Diana Danielle. Oleh kerana lima kali berlakon di samping Lisa, maka mereka digosipkan. Filem yang menyaksikan gandingan dua nama ini ialah I’m Not Single, 3 Janda, V3, Lagenda Budak Setan dan Semerah Cinta Stileto.

  • Pernah meraih Anugerah Bakat Muda Seni Filem (Pelakon) pada Anugerah Seni Negara Ke-8 dan dilantik menjadi Wajah Eksklusif Astro Megadrama.
  • ABPBH 2009: Tiada tempat lagi untuk Fasha?


    Fasha Sandha

    Undian untuk Scha Al Yahya, Fahrin Ahmad semakin meningkat

    SEJAK terpalit dengan pelbagai kontroversi, ramai yang berpendapat bahawa Fasha Sandha tidak lagi popular apatah lagi dia bagaikan ‘digam’ media. Tetapi apabila namanya tersenarai dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009, ramai yang agak terkejut. Namun setelah hampir empat minggu undian berjalan, jumlah undi terhadapnya nyata tidak langsung memberangsangkan berbanding pada minggu pertama.

    Malah, undi terhadap calon Pelakon TV Wanita Popular ini adalah paling corot berbanding keseluruhan artis Top5 yang lain. Barangkali, impak pelbagai kontroversi yang melanda diri akhirnya mula memberi kesan. Pelakon cantik Rozita Che Wan juga mengalami nasib yang sama. Sejak undian terbuka, peminat hiburan bagaikan tidak nampak kehadiran aktres bermata galak dan bijak bergaya ini.


    Undian paling memberangsangkan dalam kategori ini milik Scha Al Yahya. Wataknya sebagai Dania dalam drama bersiri popular Awan Dania begitu melekat di hati peminat. Jika undian sebegini berterusan, tidak mustahil trofi kategori ini bakal milik bekas teman wanita Fahrin Ahmad ini.

    Bercakap mengenai Fahrin, berita baik mengenai calon kategori Pelakon TV Lelaki Popular ini adalah undian terhadapnya naik mendadak minggu ini dan jauh meninggalkan Fizo Omar. Tetapi saingan masih lagi milik Remy Ishak dan Fizz Fairuz. Impak drama bersiri Nur Kasih begitu kuat sehingga sukar untuk calon lain mengatasinya. Malah Aaron Aziz yang tinggi undiannya dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular juga sukar untuk menyaingi pasangan ‘adik beradik’ ini.

    Undian untuk calon lain dalam kategori ini seperti Afdlin Shauki dan Zul Huzaimy juga semakin baik. Tetapi saingan sengit masih milik wajah eksklusif Astro, Aaron dan cikgu baru Akademi Fantasia musim kelapan, Que Haidar.

    DARI kiri, Faizal Tahir, Mawi, Liyana Jasmay dan Aizat.

    Bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula, Diana Danielle dan Sharifah Amani belum mampu menarik perhatian pengundi. Undian mereka paling bawah berbanding Lisa Surihani yang semakin naik jumlah undiannya. Malah, aktres yang kononnya menjadi rebutan production house tetapi sukar dimiliki kerana menjadi milik Astro dan Metrowealth ini, menjadi saingan kuat kepada Maya Karin.

    Minggu ini juga menyaksikan peningkatan jumlah undi yang semakin baik untuk Liyana Jasmay. Malah sejak beberapa hari ini undiannya dilihat begitu konsisten.

    Dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular, setakat ini Aznil Nawawi bagaikan tiada tandingan. Malah Ally Iskandar dan Faizal Ismail yang membantu melonjakkan rating Anugerah Juara Lagu ke-24 tidak mampu mengatasi Aznil. Dalam kategori wanita pula, jika minggu lalu ia menjadi milik Sarimah Ibrahim, yang kini diamanahkan untuk mengacarakan AF8 tetapi kini Fara Fauzana mula menunjukkan taringnya sedangkan Raja Azura semakin ketinggalan.

    Begitu juga dalam kategori Penyampai Radio Wanita Popular, undian Fara mula mengatasi Linda Onn. Namun undian untuk penyampai radio XFM, Nana kurang memberangsangkan langsung. Untuk kategori lelaki pula, undian terhadap Faizal pula semakin baik. Malah jika berterusan, barangkali ia boleh terus kekal menjadi milik FBI. Tetapi perlu diingatkan bahawa peminat masih ada lebih kurang sebulan lagi untuk mengundi calon favourite mereka.

    DARI kiri, Afdlin Shauki, Scha Al Yahya, Aznil dan Sarimah Ibrahim.

    Sekali lagi diingatkan, pilihlah calon PILIHAN SENDIRI dan bukan PILIHAN MAJORITI.

    Dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular pula, undian terhadap Aizat dan Faizal Tahir semakin meningkat dan mungkin tidak lagi memberi laluan mudah untuk penyandang tahun lalu, Mawi. Bangkitlah peminat Mawi kerana jika undian sebegini berterusan, Mawi akan terus tersingkir dan hilang ‘World’nya. Undian untuk Akim dan Adam pula semakin menurun. Barangkali benarlah kata sesetengah pemerhati dunia muzik, ia bakal menjadi milik Aizat dan tidak mustahil juga Faizal Tahir. Atau Mawi sebagai juara bertahan.

    Usah lagi berteka-teki mengenai kategori Penyanyi Wanita Popular kerana Siti Nurhaliza boleh dikatakan tiada saingan langsung. Mana perginya peminat Stacy yang khabarnya begitu beriya-iya mahu menggempur undian ABPBH kali ini? Undian ke atas Yuna pula tidak langsung meninggalkan impak walaupun dikatakan sudah menarik perhatian syarikat rakaman luar negara. Itu memang berita baik tetapi yang tidak baiknya adalah Yuna tidak dapat menyertai promosi jelajah ABPBH yang akan bermula 5 Mac ini. Malah, Yuna juga tidak akan bersama-sama pada malam kemuncak 4 April ini di Arena Of Stars, Genting Highlands.

    INFO: Berikut adalah undian dalam kategori lain (sehingga 15 Februari):

  • Penyanyi Duo/Kumpulan Popular - saingan di antara Black Meet Uncle Hussain dan Adam & Stacy.

  • Penyanyi Nasyid Popular - saingan di antara Rabbani dan Hijjaz.

  • Artis Komedi Lelaki Popular - saingan di antara Nabil dan Afdlin Shauki.

  • Artis Komedi Wanita Popular - saingan di antara Kenchana dan Noorkhiriah.

  • Artis Baru Lelaki Popular - saingan di antara Hafiz dan Black (Mentor).

  • Artis Baru Wanita Popular - saingan Tiz Zaqyah dan Isma.
  • Wednesday, February 17, 2010

    Undi jangan tak undi! Diana Danielle dan Fizo Omar

    INFO: Diana Danielle

  • Bernama penuh Diana Danielle Danny Beeson dan dilahirkan pada 22 November 1981 di Houston, Amerika Syarikat. Namun dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berusia dua tahun.

  • Sejak Julai tahun lalu, Diana Danielle, 18, bergelar penuntut jurusan biosains di Universiti Nottingham cawangan Semenyih.
  • Pernah dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular yang turut menyenaraikan Abby Abadi, Dynas, Fasha Sandha dan Rita Rudaini menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008. Tahun ini dia dicalonkan di bawah kategori Pelakon Filem Wanita Popular bersaing dengan Lisa Surihani, Liyana Jasmay, Maya Karin dan Sharifah Amani.

  • Anak tunggal yang berdarah campuran Amerika (sebelah ayah) dan Melayu (ibu)

  • Selepas selesai menjalani penggambaran filem .... Anu Dalam Botol arahan Khir Rahman, dia dilamar berlakon untuk watak utama filem Hanyut.
  • Filemnya yang menunggu tayangan ialah Magika dan Kecoh Betul.

  • Dijangka muncul dengan single sendiri ciptaan pembantu peribadinya yang dikenali dengan nama Naim. Lagu itu berjudul Terburu berkonsepkan rancak. Pembikinan lagu itu terjadi secara kebetulan ketika berada di lokasi penggambaran. Ketika itu dia sedang bosan menunggu dan sambil diiringi gitar petikan Naim, tercetus idea menghasilkan lagu itu.

  • Selain meminati dunia lakonan dan nyanyian, Diana Danielle kini mempunyai minat baru iaitu melakukan kerja kebajikan kerana hatinya cepat tersentuh dengan orang yang tidak bernasib baik.

  • Dalam soal peribadi, dia pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Syamsul Yusof. Bagaimanapun hubungan itu retak di tengah jalan dan kini pelakon comel itu rapat dengan Farid Kamil

    INFO: Fizo Omar

  • Baru dua tahun tersenarai dalam ABPBH. Kali pertama dia dicalonkan dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular 2008 yang menyaksikan kejayaan Nabil menggenggam trofi itu. Tahun ini, Fizo naik satu taraf apabila bersaing dengan Remy Ishak, Fizz Fairuz, Fahrin Ahmad dan Aaron Aziz bagi Pelakon TV Lelaki Popular.

  • Dilahirkan dengan nama penuh Wan Hafizol Wan Omar pada 19 Julai 1985.

  • Jejaka berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini juga lahir dalam dalam darah campuran Melayu (ayah) dan Siam, Arab (ibu).

  • Memenangi tempat kedua Hero Remaja 2007/2008, manakala juaranya ialah Kamal Adli.

  • Antara drama yang pernah dibintanginya ialah Puteri Salju, Gadis Merah Jambu, Dendam, Bisikan Subuh, Bionik Cahaya Berbisik dan Musang Berjanggut. Musang Berjanggut akan muncul tak lama lagi mengisi slot Lagenda di TV3.

  • Mengalih sisi peribadi, nama Fizo juga pernah menerima tempias gosip cinta dengan Ainul Aishah dan Zizie Ezette. Bagaimanapun semuanya hanya rencah yang memanaskan profil dirinya.

  • Pelakon Noniswara adalah kakak tirinya.
  • Wednesday, February 10, 2010

    Undi jangan tak undi!




    Maya Karin

    Maya Karin

  • ARTIS cantik ini dilahirkan di Bayreuth, Jerman, dengan nama Maya Karin Roelcke pada 29 Oktober 1979. Selain bergelar pelakon, dia juga penyanyi, pengacara dan model.

  • MULA dikenali sekitar tahun 2000 apabila dia mengacarakan program Wavelenght. Sebelum itu, Maya muncul bersama iklan beberapa produk penjagaan rambut dan fesyen.

  • AZIZ M OSMAN mengasah bakat lakonannya menerusi filem Seri Dewi Malam (2001) yang membolehkan Maya dikenali ramai di kalangan peminat filem. Filem lain yang dibintanginya termasuk No Problem (2001), Mr. Cinderella 2 (2003), Pontianak Harum Sundal Malam (2004), Tujuh Perhentian (2004), Pontianak Harum Sundal Malam II (2005), Waris Jari Hantu (2007), 1957: Hati Malaya (2007), Anak Halal (2007), Duyung (2008), Punggok Rindukan Bulan (2008), Pisau Cukur (2009) dan Cun (2010).

  • DALAM bidang muzik, Maya mempunyai dua album, Erti Cinta (2001) dan Bukan Qalamaya (2004). Ketika ini, dia giat berusaha untuk muncul dengan album ketiga.

  • DALAM lakonan pula, Maya pernah menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi Anak Halal. Sebelum itu dia diumumkan Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-49 di Fukuoka (2004), Jepun, dan Pelakon Terbaik pada Festival Filem Fantasi dan Fantasi Estepona di Malaga, Sepanyol (2005).

  • AC Mizal


  • ARTIS ini menjulang trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2001 menerusi kategori Artis Baru Popular, manakala trofi Pelakon Filem Wanita Popular pula pada ABPBH 2005 dan ABPBH 2008.

    AC Mizal

  • AC MIZAL dilahirkan dengan nama Mizal Zaini pada 21 Disember 1971, di Muar Johor. Selain bergelar pelakon, AC juga seorang pengacara dan penyanyi terkenal. Ketika ini, dia giat berkecimpung dalam bidang perniagaan menerusi syarikatnya, AC Konsortium Sdn Bhd.

  • MULA dikenali peminat apabila menganggotai kumpulan 4U2C pada 1991. Apabila kumpulan itu dibubarkan, AC bergerak solo sebagai pelakon filem dan televisyen, selain mengasah bakat sebagai pengacara.
  • KARIERNYA terus bersinar selepas menyertai dunia lakonan. Antara filem lakonan AC ialah Bara (1999), Pasrah (2000), Gerak Khas The Movie (2001), Gerak Khas The Movie 2 (2002), Makar (2004), Buli (2004), Buli Balik (2006), Baik Punya Cilok (2005), Cicak-Man (2006), Zombie Kampung Pisang (2007), Cicak-Man 2 (2008) dan My Spy (2009)

  • DI televisyen, namanya cukup masyhur dengan siri Gerak Khas, sehingga pelakon ini menggondol Pelakon TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak dua kali - bagi edisi 2000 dan 2001. Dia turut mengacarakan beberapa program televisyen seperti AC Di Sini (kini AC?) dan Akademi Fantasia musim keenam dan ketujuh.

  • AC juga sering kali dicalonkan ke peringkat Top 5 ABPBH dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular.

  • Rahmat nama tak sangkut Top 5

    Oleh Nurulhisham Abdul Latiff



    ROSYAM bersama sepuluh finalis program Pilih Kasih terbitan syarikatnya, Suhan Movies & Trading dengan kerjasama RTM.

    Rosyam Nor akui peminat semakin bijak nilai populariti seseorang artis

    USAH dipertikaikan kuasa yang ada pada lelaki dikenali sebagai Rosyam Nor. Antara ramai bintang lelaki yang pernah muncul dalam industri hiburan tanah air, Rosyam tentunya nama yang bakal dikenang buat jangka waktu yang panjang. Pencapaiannya dalam bidang seni sudah berjela panjang.

    Pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sendiri, Rosyam dilihat antara bintang lelaki paling menyerlah dalam sejarah penganjurannya. Tujuh trofi pernah digenggam pelakon ini bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, manakala enam lagi dimenangi menerusi kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

    Lebih membanggakan, pelakon berusia 43 tahun ini juga pernah diangkat sebagai Bintang Paling Popular pada ABPBH 2002.

    Beberapa tahun lalu, pelakon yang dikenali menerusi filem Lenjan, KL Menjerit, Castello, Gangster dan Kala Malam Bulan Mengambang ini pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada bertanding pada anugerah berkenaan. Begitupun, berikutan anugerah itu sendiri memberikan hak kepada peminat untuk menentukan kedudukan seseorang selebriti, hasrat Rosyam tidak kesampaian.

    Malah, pada edisi ke-22 ABPBH yang berlangsung tahun lalu, Rosyam terus diberikan kepercayaan oleh peminat untuk menaiki pentas menerima trofi. Semua itu diperoleh lelaki ini dek hasil kerja yang dipersembahkannya di layar kecil televisyen, di samping kemunculannya di filem.

    Begitupun, tahun 2009 tidak menyaksikan banyak produk lakonan Rosyam ditayangkan, sama ada di televisyen mahupun pawagam. Telefilem Salam Terakhir muncul satu-satunya produk televisyen yang dijayakan pelakon ini sepanjang tahun lalu. Ia menemui penonton pada Aidilfitri.

    Ketiadaan drama bersiri yang selama ini menjadi nadi kekuatan Rosyam di layar kecil nyata mengurangkan perhatian peminat kepada aktor terbabit. Hakikat itu diakui sendiri oleh Rosyam ketika Hip menghubunginya baru-baru ini. Atas hakikat itu juga, buat kali pertama sejak lebih sedekad, namanya tercicir daripada senarai Top 5 Pelakon TV Lelaki Popular.

    Kegagalannya untuk menempatkan diri ke peringkat akhir itu umpama hasrat yang ditunaikan peminat buat pelakon ini. Ketika yang sama, ia memperlihatkan betapa peminat hari ini semakin bijak menentukan populariti seseorang artis. Andainya seseorang pelakon mempunyai drama atau siri yang menonjol pada sesuatu tahun, tentu namanya akan diundi. Kebetulan pula, Rosyam tidak mempunyai produk yang benar-benar meninggalkan impak kepada penonton televisyen sepanjang tahun lalu.

    "Tahun lalu, hanya sebuah telefilem lakonan saya ditayangkan di televisyen (TV3). Bukan hanya sibuk dengan produksi Pilih Kasih, saya juga dilanda kecederaan ketika menjayakan filem Libas, sehingga terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian tangan. Kecederaan itu memerlukan saya berehat selama enam bulan. Jadi, tidak dapatlah saya aktif berlakon drama pada 2009.

    "Begitupun, ketiadaan nama Rosyam Nor pada peringkat akhir ABPBH 2009 ini juga suatu rahmat. Maknanya, bolehlah saya berehat sekejap. Ia juga memberikan laluan untuk pelakon baru untuk ke depan. Saya pula sudah kerap naik ke pentas ABPBH, kira sudah cukuplah. Lagipun eloklah kita tengok bakat baru pula yang menyerlah," katanya.

    Bagaimanapun, ‘kehilangan’ Rosyam daripada drama televisyen pada tahun lalu bukan bermakna bintang yang pernah menggenggam dua trofi lakonan pada Festival Filem Asia Pasifik itu sudah hampir dengan detik persaraan. Lakonannya masih ditagih peminat di luar sana. Justeru, dia pasti sekali lagi mengaum dengan beberapa judul hebat sepanjang 2010.

    Siri lakonannya, Nigina, kini disiarkan TV3 menerusi slot Samarinda. Berlakon sama dalam drama itu ialah Melissa Maureen, Datuk Jalaluddin Hassan, Hafizzuddin, Aida Radzwill, Rosnah Johari, Norlia Ghani dan Salina Saibi.

    Ketika artikel ini ditulis pula, Rosyam baru saja menamatkan penggambaran drama bersiri Gelora Di Hati Sara musim kedua. Drama 26 episod itu bakal disiarkan TV2. Selain dirinya, turut membintangi drama sejam setiap episod itu ialah Fauziah Latiff, Watie, Datuk Rahim Razali, Aida Radzwill, Dian P Ramlee dan Balkisy.

    Dalam masa terdekat, Rosyam akan turun lagi ke lokasi sebuah drama bersiri 26 episod berjudul Isabella. Kali ini, ia dihasilkan untuk siaran Astro Prima.

    Dia juga akan kembali menghiasi layar lebar dengan lakonan, lawak dan aksinya menerusi beberapa filem seperti Estet, Libas dan CE1. Jadi, apakah namanya akan kembali tersenarai pada ABPBH 2010, peminat yang akan menentukan. Dalam ABPBH, semuanya mampu menjadi kenyataan.

    Sunday, January 31, 2010

    Mila, Nabil & Sarah cari formula masa depan


    Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



    Sedar tak kekal lama dalam industri

    FITRAH manusia tidak pernah puas dengan apa yang dikecapi. Begitu juga tiga pelakon muda, Nabil, Puteri Sarah Liyana dan Mila. Mereka masih mencari-cari 'formula' yang memungkinkan mereka terus bertahan lebih lama dalam persada seni hiburan tanah air. Namun realitinya, hidup ini ada pasang surutnya apatah lagi dalam industri hiburan.

    Ada masa di atas, ada ketikanya pula berada di bawah. Sebagai insan yang pernah memenangi takhta di hati peminat, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 dan Juara Raja Lawak 2, Nabil dan Juara Akademi Fantasia 5 yang juga Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2007, Mila sentiasa bersedia dengan seribu satu kemungkinan yang berlaku.

    Begitu juga pendatang baru, Puteri Sarah Liyana. Mereka berpegang pada prinsip - sediakan payung sebelum hujan. Biarpun bergelar pelakon, penyanyi atau pengacara terkenal, ia belum tentu dapat menjamin hidup mereka. Dan tiga pelakon utama filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie arahan Aminah Rhapor itu sudah merencanakan masa depan mereka, tidak hanya bergantung hidup sebagai anak seni sepanjang hayat.

    Tanpa berselindung, Nabil akui: "Saya sering terfikir apa akan berlaku pada diri saya pada masa depan, mungkin 10 tahun akan datang. Ketika kerjaya saya sudah menurun, ketika ramai wajah bakat baru silih berganti, adakah saya masih berada di pentas anak seni? Ya, mungkin sekarang saya masih laku, karya dan idea saya masih segar, tetapi untuk masa akan datang, saya sendiri tidak pasti.

    "Bukan tidak yakin dengan kemampuan diri, tapi laluan hidup sebagai anak seni begitulah pusingannya. Ketika bersendirian saya sering memikirkan hidup dan masa depan. Saya takut bila tiada persediaan, hidup saya melarat pada hari tua nanti. Saya akan berkahwin dan ada anak-anak, jika tiada persediaan, bagaimana masa depan mereka? Dan kisah artis lama yang hidup susah dan tiada pembelaan membuatkan saya jadi takut, apakah begitu kesudahan hidup seorang artis yang pernah bergelar anak seni?

    Nabil jual aksesori motosikal

    "Sebagai persediaan, saya merancang membuka kedai pakaian dan aksesori motosikal di Seremban, Negeri Sembilan tidak lama lagi. Saya sudah bertemu lokasi yang sesuai, cuma masih mengumpul modal. Insya-Allah, pertengahan tahun ini mungkin impian saya tercapai.

    "Saya meminati bidang perniagaan dan memilih untuk membuka kedai pakaian dan aksesori motosikal disebabkan minat saya. Saya sudah menemui kilang pakaian dan aksesori di Bandung, Indonesia, jadi barangannya nanti akan diambil dari seberang. Dan ketika itulah, saya rasa yakin untuk melangkah ke fasa perkahwinan, selagi saya belum ada persediaan lain, saya tidak berani nak menyunting anak dara orang."

    Bukan hanya perniagaan, Nabil berkata, dia juga mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian biarpun sedar suaranya tidaklah sehebat Mawi, Faizal Tahir atau Jamal Abdillah. Album Nabil yang berkolaborasi dengan penyanyi lain seperti Ajai, Angah Raja Lawak, Adibah Noor dan beberapa penyanyi popular lain masih dalam pembikinan. Bagaimanapun, Nabil akan muncul dengan single pertama berjudul Lu Fikirlah Sendiri Beb ciptaan Ajai dan lirik Nabil sendiri tidak lama lagi.

    Akuinya: "Saya berkongsi dengan Wake The Baby milik Ajai untuk menghasilkan album yang menelan belanja RM110,000. Bagaimanapun, saya tidak menyanyi, hanya muncul `rap' bersama artis-artis yang dipilih. Single kedua, Ambik Baliklah ciptaan Ajai dan lirik saya dan Ajai juga sudah disiapkan, cuma menunggu masa yang sesuai untuk diperdengarkan.

    "Album ini memuatkan lapan lagi, setakat ini, saya berkolaborasi dengan Ajai, Angah Raja Lawak dan Adibah Noor, manakala artis lain masih dalam perbincangan lagi. Kalau ikutkan saya teringin nak berkolaborasi dengan Misha Omar dan penyanyi gerudi Indonesia, Inul Daratasia, tetapi ia umpama bulan jatuh ke riba jika pelawaan saya diterima. Saya menampilkan konsep album komedi dan inilah percubaan saya melangkah ke dunia nyanyian.

    Reda tak menang kali ini

    "Apa yang saya lakukan adalah untuk masa depan saya, bukan saya bersikap tamak haloba. Saya percaya album komedi juga mempunyai tempat di hati peminat, cuma sudah jarang dikeluarkan," katanya yang bercita-cita menjadi sehebat Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

    Menyentuh mengenai ABPBH 2009, Nabil berkata, dia tidak mengharapkan dapat mengekalkan takhta Bintang Paling Popular memandangkan persaingan daripada penyanyi indie dan pelakon-pelakon agak hebat tahun ini.

    "Saya sudah bersedia jika takhta saya diambil artis lain, jika menang ia bonus buat saya, jika sebaliknya saya reda. Saya bersyukur mendapat pencapaian yang baik ketika saya masih hijau dalam dunia seni. Apa yang penting, saya harus mempertingkatkan prestasi lakonan dan lawak jenaka saya," kata kekasih kepada pelakon jelita, Irma Hasmie itu.

    Mila berkata, dia juga seperti Nabil, melakukan persediaan awal sebelum namanya semakin suram. Diakui hidup ada pasang surut dan kerjayanya sebagai penyanyi dan pelakon juga tidak terkecuali berdepan dengan tempias yang sama.

    Semakin comel dengan imej yang semakin matang, Mila akui: "Saya menjadi harapan dan menanggung segala keperluan keluarga, jadi tanggungjawab saya bukanlah kecil. Saya tidak mahu ayah dan ibu terus bekerja, saya mahu mereka berehat selepas dulu pernah melalui kesusahan membesarkan anak-anak. Saya sanggup meletakkan bebanan atas bahu asalkan keluarga saya bahagia dan berada di depan mata. Soal duit boleh dicari, tapi ibu bapa hanya satu.

    Mila mahu jual karipap segera

    "Seperti Nabil, saya sudah melebarkan sayap perniagaan saya, LuvMilla Corporatian Sdn Bhd bukan hanya pada bidang kosmetik dan penjagaan kesihatan, tapi saya juga berhasrat menceburi bidang makanan beku. Saya akan keluar dengan `karipap segera' terlebih dulu, mungkin selepas ini, saya akan fikirkan makanan segera yang lain.

    "Selain itu, LuvMilla Corporation juga membuka rangkaian baru, LuvMilla Entertainment yang menguruskan acara dan persembahan membabitkan artis lain. Setakat ini, Alhamdullilah saya sudah bekerjasama dengan beberapa syarikat korporat menguruskan acara mereka," kata penyanyi lagu Jika Kau Ubah Fikiran.

    Menyentuh lakonannya dalam filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie terbitan SDAF Pictures Sdn Bhd yang akan menjengah pawagam bermula 11 Februari ini, Mila berkata, itu adalah filem pertama lakonan. Biarpun hanya enam babak yang membabitkan dirinya, namun banyak pengalaman yang diperolehi ketika bergandingan dengan Nabil dan Puteri Sarah Liyana.

    Selain Nabil, Mila dan Puteri Sarah, filem berkenaan juga menampilkan nama besar lain seperti Ummi Nazeera, Zaibo, Tasha Nordin, Zizan Raja Lawak, Liza Othman, Harun Salim Bachik, Hisham Ahmad Tajudin, Faizal Tahir, Amy Search dan kumpulan Meet Uncle Hussain.

    "Saya teruja bekerjasama dengan Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Aminah Rhapor yang juga pengarah dan penerbit filem itu. Saya melalui banyak pengalaman lucu ketika menjalani penggambaran filem ini pada 2008.

    “Saya masih ingat, pernah terjadi saya terdiam apabila pengarah mengatakan `action', saya langsung tidak memberikan reaksi apa-apa. Saya tidak tahu `roll' sedang berjalan. Mujurlah Kak Amy (Aminah) dan krew penerbitan memahami, dia banyak memberi tunjuk ajar pada saya, begitu juga Nabil dan pelakon lain, mereka tidak kedekut ilmu untuk membantu saya," kata pelakon drama bersiri, Kau Dan Aku yang disiarkan dalam Astro Ria itu.

    Puteri baling kasut pada Nabil

    Mengulas ABPBH 2009, Mila berkata, dia bersyukur namanya tersenarai dalam calon top 5 tiga tahun berturut-turut sekali gus membuktikan peminat masih menyokong kerjaya nyanyiannya. "Saya yakin Datuk Siti Nurhaliza akan menang lagi. Saya tak kecewa malah apa yang dikecapi beliau menjadi pembakar semangat saya untuk meneruskan perjuangan. Saya mahu jadi sehebat Siti, itulah azam saya," katanya.

    Puteri Sarah pula berkata, watak Natasha dalam filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie yang menelan belanja RM1.8 juta menjadi pengubat hatinya apabila filem pertamanya, Aduh Saliha masih tergantung dan tiada berita. Mungkin jadi, mungkin juga sebaliknya.

    "Saya masih menunggu tetapi saya tidak berharap. Jika ada rezeki, adalah filem Aduh Saliha itu, jika tidak saya tidak kecewa. Tidak dinafikan, filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie menjadi penawarnya. Saya gembira akhirnya filem ini menemui peminat di pawagam, tetapi jangan harapkan sesuatu yang luar biasa kerana saya dan Nabil ketika itu masih baru dalam bidang lakonan.

    "Saya tak nafikan, saya seronok bercinta dengan Nabil dalam filem ini. Saya terhibur dengan gelagat Nabil, dialog kami juga tidak terlalu terikat. Watak Natasha ialah seorang anak orang berada dan sombong. Selain menjadi pelajar, Natasya meminati bidang glamor dan menjadi model sambilan.

    "Konflik sering melanda antara Natasha dengan Nabil dan mereka pantang berjumpa, pasti berperang besar. Saya pernah membaling kasut pada Nabil dalam filem ini, memang lucu adegan itu. Filem ini tidaklah terlalu lucu, banyak cerita suka, duka dan kesedihan yang diselitkan. Jika selama ini, Nabil tampil dengan karakter lucu dan jenaka, tetapi Nabil menangis dalam filem ini.

    "Saya dan Nabil mengikuti kelas lakonan dengan Kak Amy hampir sebulan sebelum penggambaran filem bermula. Maklumlah ketika itu, saya dan Nabil belum faham dengan selok belok lakonan, terutama teknik dan lontaran dialog," katanya yang dikaitkan menjalinkan hubungan cinta dengan model dan pelakon baru, Ammar Alfian Aziz.

    Sunday, January 24, 2010

    Artis baru dominasi ABPBH 2009

    Oleh Serimah Mohd Sallehuddin dan Farihad Shalla Mahmud

    FINALIS Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 2009 bergambar bersama kereta Nissan yang bakal di menangi di ABPBH yang akan dilangsungkan di Arena Of Star, Genting Highland 4 April ini.

    SMS pengaruhi undian 'Top 5'

    SERI KEMBANGAN: Hampir keseluruhan senarai lima calon akhir atau Top 5 bagi 16 kategori di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 bagi edisi ke-23, menyaksikan kemunculan wajah baru dalam dunia hiburan tanah air.

    Pengumuman calon akhir Top 5 diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses (POTGH), petang semalam.

    Debaran bermula

    Oleh Farihad Shalla Mahmud, Serimah Mohd Sallehuddin & Zaidi Mohamad





    Artis yang lahir daripada program realiti dan drama yang mencecah rating tinggi mendominasi senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009

    LENYAP sudah debaran yang bersarang di hati. Penantian yang sering disifatkan sebagai satu penyeksaan kini bertukar menjadi perasaan lega buat mereka yang sebelum ini tertanya-tanya siapakah yang layak untuk bergelar Top 5 untuk acara berprestij Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009.

    Kelmarin, bertempat di Royal Ballroom 3, Palace Of The Golden Horses Hotel Mines City Resort, mereka yang terpilih di tempat lima teratas diumumkan dalam satu majlis khas oleh pengacara jemputan yang juga penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail dan Ikhwan.

    Terpancar senyuman kegembiraan dan ada juga yang menarik nafas lega apabila mereka masih menjadi perhatian peminat walaupun artis datang dan pergi.

    Seperti biasa, setiap kali senarai Top 5 diumumkan, keputusannya pasti ada perubahan, sejajar dengan aliran yang berlaku pada industri hiburan ketika itu. Jika untuk kategori Artis Baru Terbaik, apa yang pasti, mereka yang datangnya dari program realiti pasti akan mengungguli. Fenomena ini mula tercetus sejak Mawi meraih kategori itu pada tahun 2005.

    Kini, situasi yang sama berlaku dan paling ketara apabila mereka yang muncul dalam program televisyen yang diakui mempunyai rating tertinggi serta popular di hati penonton berjaya menembusi tembok finalis. Akademi Fantasia misalnya memang diakui antara kilang yang memproses artis baru. Saban tahun, mereka yang dinobatkan juara pasti akan turut menggenggam anugerah Artis Baru Terbaik.

    SEBAHAGIAN jelitawan yang disenaraikan pada peringkat akhir ABPBH 2009.

    “Dalam debaran juga untuk saya terus mengekalkan tradisi juara Akademi Fantasia yang mula mendominasi kategori Artis Baru bermula dari Mawi, Faizal, Mila dan Stacy. Paling menyeronokkan rakan seperjuangan Aril dan Akim pun turut bolos dalam kategori ini di samping Gambit dan Hafiz.

    “Sekiranya setiap peminat kami terus komited memberikan sokongan pastinya harapan dan kebarangkalian untuk mengungguli kategori ini akan ada. Semuanya hanya akan terjawab pada 4 April nanti. Paling penting kita sebagai penggiat seni harus terus memastikan karya dan bakat tempatan terus bernyawa,” kata Hafiz yang dicalonkan untuk kategori Artis Baru Lelaki Popular.

    Drama yang pernah mencecah rating 5 juta, Nur Kasih juga memberikan impak kepada nasib tiga pelakonnya seperti Fizz Fairuz, Tiz Zaqyah dan Remy Ishak apabila tersenarai sebagai finalis. Tiz Zaqyah yang memegang watak sebagai Nur Aminah dalam drama bersiri itu menerima dua pencalonan iaitu Pelakon TV Wanita Popular dan Artis Baru Wanita Popular. Manakala Fizz dan Remy masing-masing untuk kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

    Program lain yang turut mempunyai kuasa untuk memercikkan populariti kepada artis adalah peserta program realiti berkonsepkan tarian, Sehati Berdansa. Lihat saja bagaimana pelakon Didie Alias yang sudah lebih dua dekad menceburi bidang ini, namun selepas menyertai program itu, namanya tiba-tiba mencanak naik dan sekali gus membolehkan dia berdiri sama tinggi bersama 80 artis lain.

    MIOR KAMARUL SHAHID (kanan) dan Hanizam (tengah), turut hadir pada majlis sidang media di Palace Of The Golden Horses, Mines City Resort, kelmarin.

    Turut terkena tempias program ini adalah Aliza Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Enot yang akan bersama-sama Didie untuk merebut trofi Pelakon Komedi Wanita Popular serta Dira Abu Zahar, yang juga tercalon sebagai Artis Baru Wanita Terbaik.Andai diperhalusi selera penonton ketika mengundi artis manakah yang layak menduduki senarai akhir, nyata kebanyakan mereka memilih atas dasar kapasiti hasil kerja artis itu sendiri.

    Sebagai contoh, mereka yang disebutkan tadi adalah antara mereka yang cemerlang dalam kerjaya mereka.Pelakon drama bersiri Nur Kasih itu sendiri sudah membuktikan bahawa lakonan mereka cukup membekas di hati penonton.

    “Selepas lapan tahun bergelumang dalam dunia seni baru tahun ini nama saya tersangkut dalam anugerah kebanggaan Berita Harian ini. Ini semuanya berbalik kepada soal rezeki. Pertamanya saya harus berterima kasih kepada pengarah drama Nur Kasih, Kabir Bhatia yang memberi peluang untuk saya berkongsi bakat yang ada.

    “Saya tidak boleh menidakkan impak Nur Kasih tahun lalu yang menjadi fenomena antara yang menyumbang kejayaan saya dalam kategori ini. Mungkin juga tuah saya untuk 2010 kerana angka 10 itu sendiri memberi penjelasan yang ketara kerana saya dilahirkan dalam bulan Oktober. Terima kasih kepada yang mengundi,” kata Fizz dalam nada teruja.

    Pendapat Fizz itu turut dipersetujui Tiz yang mengakui impak drama Nur Kasih memang hebat sehingga berjaya mengangkat namanya sekali gus membolehkannya menjadi finalis ABPBH tahun ini.

    “Saya harus bersetuju dengan Fizz kerana faktor kejayaan kami untuk berada dalam Top 5 banyak didorongi oleh drama Nur Kasih. Impak drama itu begitu ‘melampau-lampau’. Biarpun sudah mula berkecimpung dalam dunia seni sejak 2006, namun hanya tahun lalu saya merasai nikmat diberi perhatian ramai.

    “Sejujurnya saya terkejut kerana tersenarai dalam ABPBH 2009. Apa pun, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sanggup mengundi sampai ke tahap ini. Dalam masa yang sama, saya tak sabar untuk menantikan malam kemuncak dan merasai tempias glamor tak lama,” kata pelakon jelita ini.

    Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid serta Pengerusi Pengelola ABPBH, Hanizam Abdullah, yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian.

    Selain mengumumkan senarai Top 5, turut diumumkan adalah senarai penganjur yang terbabit kali ini. Penaja yang terbabit kali ini ialah Genting Highlands-Kota Keriangan, TV3, HotFM, Habib Jewels, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, Empire Classic, Cosmopolitan dan POTGH.

    Hadiah untuk pemenang turut diumumkan petang itu. Bintang Paling Popular bakal memenangi sebuah kereta Nissan X-Trail 2.0 bernilai RM130,000. Perabot bernilai RM30,000 dan Pakej Penginapan Mewah 3 hari 2 malam di Head of State Suite, POTGH. Pemenang bagi setiap kategori pencalonan pula bakal membawa pulang hadiah menarik berupa perabot bernilai RM5,000 dan kad ganjaran Palace Lifestyle.

    Borang pencalonan akhir ABPBH 2009 akan mula disiarkan di dalam akhbar Berita Harian bermula esok. Borang yang lengkap diisi boleh dihantar kepada penganjur sebelum tarikh akhir. Selain mengundi melalui borang, undian menerusi SMS juga masih lagi diteruskan.

    Semua pemenang dalam 16 kategori ini akan diumumkan dalam acara kemuncak yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, 4 April depan.

    click2..

    sponsor links

    Fitness pro’s deluxe form kit
    Read this book
    www.fitnessbusinessforms.com

    Fat Loss Action Blueprint
    See To Believe
    www.fatlossactionblueprint.com/

    Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
    Tried And Tested
    www.nailtechsuccess.com