click 4 money

Showing posts with label Rancangan TV. Show all posts
Showing posts with label Rancangan TV. Show all posts

Saturday, May 29, 2010

Temu jodoh?

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my






Selepas menjanda selama dua tahun, Nora Danish mula mencari keserasian dengan Pelakon TV Lelaki Popular, Remy Ishak


SELEPAS mencipta keserasian tersendiri dengan gandingan pelakon wanita seperti Rita Rudaini, Rozita Che Wan, Ummi Nazeera termasuk bersama Tiz Zaqyah dalam drama Nur Kasih, Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009, Remy Ishak kini buat pertama kalinya 'bertemu jodoh' dengan hot mama, Nora Danish.

Drama epik fantasi, Arjuna terbitan KRU Studios yang bersiaran di TV3 (slot Aksi) mulai 31 Mei ini menjadi percubaan sulung Remy dan Nora di kaca TV. Lalu demi mengalu-alukan kehadiran drama arahan Elmi Khalim yang disiarkan setiap Isnin jam 9 malam itu, mereka disatukan dalam fotografi bersama Hip lewat petang baru-baru ini.

Nora hadir awal seperti waktu yang ditetapkan. Itupun, selepas sepanjang hari ibu tunggal kepada Putera Raiqal Ramli (Qaqal) ini perlu bergegas dari satu lokasi berlainan demi komitmen yang sudah diatur. Malah selepas fotografi yang berakhir menjelang jam 10 malam itu, Nora harus kembali ke lokasi penggambaran drama Tiga Serumah musim kedua terbitan MIG bagi siaran Astro Warna.

Remy Ishak pula tersangkut dalam kesesakan jalan raya selepas balik dari gimnasium. Mahu atau tidak, Nora yang sudah kepenatan terpaksa menunggu hampir sejam sebelum Remy tiba di Balai Berita. Tanpa membuang masa, selepas saja siap, fotografi di antara mereka diteruskan. Jelas keserasian terpancar di antara mereka.

Apa tidaknya selama tiga bulan mereka berkampung di lokasi penggambaran drama ini di sekitar Lembah Pangsun, Kuala Lumpur, Hulu Langat, Kemensah, Pulau Indah dan Hulu Yam. Cuma di minit awal saja Remy kelihatan kekok sedangkan Nora sudah bersemangat memberikan pose menarik.

Barangkali malu kerana selepas tamat penggambaran drama ini, hanya sesi fotografi ini yang kembali menemukan mereka. Dalam malu tapi ada mahu sebenarnya. Tiada masalah sebenarnya menggandingkan mereka kerana kedua-duanya bijak bergaya di depan kamera. Nora juga bijak mengawal keadaan dengan mengusik Remy sambil disambut hilai tawa masing-masing.
“Sejujurnya kami tak mengambil masa yang lama di lokasi penggambaran untuk serasi. Nora okey orangnya. Pendek kata, kami macam sudah lama kenal. Memang kami banyak bersama kerana wataknya sebagai Cempaka dan saya sebagai Arjuna memerlukan kami mengembara bersama-sama dengan rombongan lain,” katanya sambil mengakui dirinya sangat pemalu dengan wanita seraya memuji Nora Danish.

Biarpun pertama kali bekerjasama menerusi drama hasil tulisan skrip Fairul Nizam Abas dan Yuzaidania A Shukor, Remy memberitahu dia sangat menyenangi pelakon berwajah comel itu. Biarpun melalui kesulitan seperti penghasilan skrip yang dihasilkan secara berterusan dan jadual penggambaran yang tidak menentu, mereka saling membantu.

“Nora sangat memberi dan secara tidak langsung memudahkan bahagian kerja kami. Tapi sayangnya tak banyak babak berdua yang menyerlahkan metafora cinta. Lagipun drama ini tidak terlalu menekankan sangat sisi cinta, sebaliknya lebih terarah kepada adegan pertarungan dan dendam kesumat,” katanya yang akan memulakan penggambaran filem Nur Kasih mulai bulan depan.

Ditanya lanjut mengenai drama ini, Remy menjelaskan sebagai pelakon dia sudah memberikan 100 peratus komitmen. Malah demi watak Arjuna, si lelaki idaman ramai ini terpaksa menggelapkan kulitnya.

“Watak ini sangat mencabar fizikal dan mental saya. Watak ini lari daripada kebiasaan watak lelaki romantik yang pernah saya bawakan sebelum ini. Arjuna lebih lasak. Ia lebih daripada realisme dan bersifat komikal. Ia satu anjakan baru untuk kerjaya seni saya. Saya juga perlu ‘berkampung’ di dalam hutan dan tepi laut demi menjayakan watak ini,” katanya.

'Saya tengah cari yang sesuai'

MENGALIH bicara kepada Nora yang sinonim dengan watak Puteri ini, dia menyifatkan rezeki tanpa henti yang diterimanya sebagai rezeki anaknya yang kini berusia setahun empat bulan. Malah hasratnya untuk menjadi pengacara juga termakbul selepas diberi peluang mengacarakan Bolly 10 di Astro B4U dan kini I-Glam di TV9.

Impiannya untuk berlakon di samping hero pilihan turut menjadi kenyataan. Bayangkan setiap kali dia ‘mengidam’ untuk berlakon dengan pelakon lelaki yang diingini, semuanya dipermudahkan apabila dia disatukan dengan Farid Kamil menerusi filem Cuti-Cuti Cinta. Begitu juga kisahnya dengan Remy Ishak.

“Beruntung rasanya sebab apabila ada saja impian untuk berlakon dengan seseorang pelakon, akhirnya ia dimakbulkan. Ada saja tawaran berlakon yang kunjung tiba dengan hero yang saya ingin berkolaborasi. Umum juga tahu Remy sendiri antara hero hangat yang terus meningkat naik. Sepanjang berlakon dengannya, dia sangat menyokong, sama-sama memberi tunjuk ajar dan memberi semangat,” kata Nora yang sudah dua tahun hidup sebagai ibu tunggal.

Diusik pertanyaan tidakkah timbul istilah cinta lokasi antaranya dengan Remy, Nora pantas memintas, dalam kamus hidupnya tiada istilah itu. Malah, kalau disingkap lelaki pilihannya (bekas suami) sebelum ini bukan orang seni. Dia dan Remy serta pelakon lain seperti adik-beradik ketika di lokasi.

Seperti memahami kehendak Hip, Nora pantas membaca bayangan maksud sebenar usikan itu. Akui Nora, dia masih belum bertemu pengganti. Setakat berkawan-kawan itu memang ada. Cumanya, dia tidak mahu terlalu tergesa-gesa memikirkan soal cinta dan membiarkan ia hadir tanpa paksaan.

“Apa yang terjadi dalam fasa kehidupan saya sebelum ini (berpisah dengan bekas suami) tidak sesekali menyekat keinginan saya untuk berkahwin lagi. Istilah serik tak pernah wujud. Saya tidak boleh terus prejudis menilai lelaki sama. Boleh kata saya tengah mencari yang sesuai,” katanya yang terus pulih semangat biarpun diari hidupnya pernah tercalar dengan episod perceraian.

Mengulas lanjut mengenai drama Arjuna, Nora berkata, drama aksi sebegitu bukan yang pertama dilakonkannya. Terdahulu, dia pernah berlakon Pendekar Lima di TV9 beberapa tahun dulu. Untuk watak Cempaka yang dipegangnya, Nora sebenarnya menyerlahkan sisi kental dalam dirinya biarpun pelakon ini sering dianggap sebagai pelakon comel yang lemah-lembut.

“Saya melakukan aksi stunt sendiri dan selebihnya dilakukan pelagak aksi profesional. Watak Cempaka pada mulanya digambarkan sebagai seorang yang lembut. Tak silap saya dalam episode 12 ke atas, Cempaka dianugerahkan kuasa bersilat daripada datuknya, Pendita Dzukarnain. Sebelum bermula penggambaran, kami sebagai pelakon menerima latihan selama dua bulan.

“Watak agresif seperti inilah yang saya dambakan. Biarpun orang nampak saya macam lembut, saya seperti mencabar diri untuk menerima watak lasak. Saya sukakan babak bertarung dan aksi. Kalau dapat watak macam Charlie’s Angel pun saya bersyukur,” katanya yang sedang menanti tayangan dua buah filem, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 dan Cuti Cuti Cinta.

Sebelum berakhir, Nora sempat ditanya mengenai rutin kehidupannya sekarang. Sekalipun sibuk bekerja, Nora tidak sesekali melupakan tanggungjawabnya sebagai ibu.

“Setiap malam, saya akan tidur dengannya. Malah setiap pagi sebelum keluar bekerja, saya masih sempat berjumpa dengannya. Saya pun tak risau sebab ibu dan keluarga mentua saling membantu menjaganya,” katanya sambil menafikan dia bukan artis naungan MIG, cuma sudah beberapa kali rezekinya ditawarkan David Teo dan isterinya, Jane.

Friday, March 5, 2010

Rahsia 3R bertahan lama

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

PROGRAM 3R terus kekal relevan walaupun berusia sedekad.

Gandingan Tini, Rafidah dan Celina tidak hanya bertumpu isu wanita

BERTAHAN selama 14 musim dalam jangka masa 10 tahun bukan satu pencapaian yang kecil. Tidak banyak program televisyen yang mampu mencecah jangka hayat yang lama di negara ini. Namun program 3R membuktikan, dengan pengisian yang baik, disertakan kesungguhan tidak berbelah bagi mereka yang menjayakannya, program itu mampu bertahan lama.

Musim terbaru, iaitu musim ke-15 dijadualkan muncul selepas separuh kedua tahun ini. Sehingga kini, syarikat penerbitan Red Communications masih menunggu sokongan penaja sebelum program yang dikendalikan Rafidah Abdullah, Kartini Ariffin dan Celina Khor kembali menemui peminat.

Kata Kartini atau lebih mesra disapa Tini, mungkin kerana tidak banyak program yang mengetengahkan konsep lebih santai tatkala membicarakan isu sesama membabitkan golongan wanita, maka peminat masih ternanti-nanti kemunculan program terbabit walaupun ia sudah pun sedekad usianya.

“Biarpun kami menampilkan isu berkenaan hak wanita, contohnya, tetapi ia dipersembahkan dalam bentuk lebih ceria dan menyeronokkan. Mungkin kerana pendekatan sebegitu, peminat tidak bosan dengan 3R," ujarnya.

Sambung penyampai Hot FM itu, walaupun masing-masing mempunyai karier lain selain daripada mengacarakan program terbabit, tetapi setiap kali musim baru 3R dirakam, setiap kali itulah juga ketiga-tiganya berasa cukup bersemangat menjayakan rancangan yang menjadi sebahagian daripada darah daging mereka.

PENGACARA 3R bersama sebahagian artis yang bakal tampil pada konsert amal sempena Hari Wanita Sedunia.

Celina pula menjelaskan, pendekatan sedemikian diambil bagi membolehkan penonton sendiri berasa cukup selesa dengan mereka, selain daripada wujudnya perhubungan yang rapat antara program itu dengan khalayak.

"Jika dilihat kepada isu atau topik yang kami ketengahkan sepanjang musim terdahulu, ia sentiasa berkait rapat dengan kehidupan seharian kita. Dengan cara itulah 3R menjadi begitu akrab dengan penonton," kata Celina lima tahun bergelar hos rancangan berkenaan.

Rafidah yang bersama program itu sejak awal kewujudannya, mengaku 3R tidak pernah dianggap mereka sebagai batu loncatan untuk menceburkan diri ke bidang lain.

"Kami mempunyai kerja yang lain selain daripada menjayakan program ini. Kami melakukannya kerana kami menyukai program ini dan kami benar-benar ingin menjadikannya rancangan televisyen yang berguna lagi berjaya.

"Ketika yang sama, kami tidak melihat diri kami sebagai artis. Gelaran yang diberikan itu tidak ubah seperti secara kebetulan saja, kerana 3R disiarkan di televisyen. Program ini sebenarnya medan buat masing-masing menyalurkan pandangan dan keprihatinan terhadap sesuatu isu yang dirasakan tepat untuk dibincangkan," kata Rafidah yang turut bergelar penulis skrip dan pelakon.

Sepuluh tahun yang lalu, ketika program ini mula-mula disiarkan TV3, ia diacarakan Rafidah bersama Low Ngai Yuen dan Azah Yasmin.

Tidak pernah disiarkan stesen televisyen lain, 3R mendapat sambutan baik ketika disiarkan, dengan jumlah penonton melebihi sejuta orang. Ia selalunya menemui penonton pada jam 7.30 malam, setiap Ahad.



Sambut Hari Wanita Sedunia bersama 3R

-----------------------------------------

PADA tahun ini, 3R bersama-sama dengan kerjasama beberapa pertubuhan wanita seperti All Women’s Action Society Malaysia (Awam), Women’s Aids Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS) dan Empower bersatu tenaga mengadakan sambutan Hari Wanita Sedunia pada 13 Mac, di Central Park Bandar Utama, Petaling Jaya.

Sambutan yang bertemakan Hak Saksama, Peluang Saksama, Bersama Kita Ke Hadapan itu dianjurkan dengan matlamat menyediakan landasan kepada agensi berkaitan untuk bersatu dan berganding bahu menjalankan aktiviti memperkasakan wanita, termasuk badan kerajaan, badan bukan kerajaan, badan korporat, media serta golongan belia.

Ia juga bagi memberikan kesedaran dan pendidikan mengenai hak wanita serta kanak-kanak kepada golongan sasar dan orang ramai. Selain itu, acara terbabit turut diadakan dengan tujuan memberitahu pentingnya hak dan peluang saksama diberikan kepada semua, tanpa mengira jantina, warna kulit dan budaya, agar kemajuan dapat dicapai.

Pada acara yang diadakan bermula jam 12 tengah hari sehingga 8 malam itu, pelbagai aktiviti dirancang termasuk perarakan aman, projek sentuh, gerai badan bukan kerajaan dan 3R, bazar membeli-belah, aktiviti bersama hos 3R serta konsert amal.

Konsert percuma yang dijangka bermula jam 6 petang itu dijayakan ramai artis terkenal termasuk One Nation Emcees, Aizat, Vince Chong, Lah Ahmad, Dayang Nurfaizah dan Azlan & The Typewriter. Turut mengadakan persembahan ialah pasukan sorak Extreme Malaysia All Stars (Emas), B Boys dengan penampilan Alam dari So You Think You Can Dance, kumpulan rap TRS, serta Jin Hackman & Shazet Beatboxer.

Friday, February 26, 2010

TV9 rai Maulidur Rasul dengan program menarik

Oleh Rozdan Mazalan

MAULIDUR Rasul adalah hari bersejarah bagi umat Islam kerana ia adalah hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. dan mengikut bulan Islam ia jatuh pada 12 Rabiul Awal. Sempena sambutan hari bersejarah ini juga TV9 turut menyediakan beberapa rancangan menarik khusus buat penonton termasuklah menerusi rancangan bual bicara Nasi Lemak Kopi O.

Nasi Lemak Kopi O, Istimewa Maulidur Rasul hari ini akan bermula jam 8 hingga 10 pagi membicarakan mengenai sifat Rasulullah yang perlu dicontohi oleh semua terutamanya generasi muda kini bersama penceramah bebas, Ustaz Syed Nor Hisham.

Selain itu, penonton juga akan dihiburkan dengan kumpulan nasyid popular, Raihan dengan lagu munajat seperti Ya Nabi Salam Alaika, Rasulullah, Munajat seorang Hamba dan banyak lagi. Program ini akan dihoskan oleh pengacara berpengalaman Aziz Desa dan Farah Diana Anuar.


Khazanah Padang Pasir adalah program dokumentari mengenai Kelahiran Rasulullah S.A.W. yang membawa rahmat kepada umat manusia. Islam yang dibawa oleh Baginda

Rasulullah memperakui tamadun dan kesenian Islam yang dibuktikan melalui tinggalan sejarah sama ada secara bertulis mahupun tinggalan artifak. Tinggalan artifak seperti Pedang Rasulullah, Al-Quran yang ditulis atas kulit kambing, artifak pada zaman kegemilangan kerajaan Ottomaniyyah adalah antara yang masih disimpan dan dijaga dengan baik oleh pihak muzium. Dokumentari ini juga meninjau kerja membaikpulih dan memulihara khazanah Islam seluruh dunia oleh Jabatan Konservasi, Muzium Kesenian Islam Malaysia bagi tatapan generasi masa depan. Jangan lupa menyaksikan dokumentari ini jam 6.30 petang hari ini.

Menerusi slot Skrin di 9, telefilem berjudul Khalifah akan disajikan mengisahkan Halim anak jati Kuala Lumpur yang dibesarkan di tengah kota raya dan tinggal di pangsapuri. Anak sulung kepada Mak Som dan juga abang kepada tiga orang adik ini melihat keruntuhan akhlak rakan sebayanya yang terjebak dengan gejala tidak sihat. Dengan dorongan ibu dan gurunya Cikgu Rahmat, Halim berjaya ke menara gading. Setelah habis belajar, Halim bekerja di sebuah syarikat pembinaan Panca Konkrit Sdn Bhd Halim tidak suka amalan syarikat memberi rasuah. Pihak atasan syarikat dia bekerja suka mencuri hasil jualan orang bawahannya. Syarikat pula menolak cadangan potongan zakat melalui potongan gaji. Bonus pula hanya dibayar setengah bulan.

Halim tidak berpuashati apabila ditukar ke bahagian lain Halim dituduh cuba menghasut pekerja lain. Akibatnya Halim digantung kerja dua minggu tanpa gaji.

Telefilem yang akan disiarkan jam 9.30 malam ini dilakonkan oleh Azizan Nin, Fiza Abd Halim, Annahita Bakavoli, Abu Bakar Juah, Maimon Talib dan ramai lagi

Bagi penggemar program Halaqah, Istimewa Maulidur Rasul kali ini, program ini akan membicarakan mengenai tajuk Airmata junjungan. Halaqah yang disiarkan Ahad, jam 9.30 malam turut membicarakan mengenai Tanyakan kepada diri kita: Kenapa sebahagian besar umat Islam terasa ‘jauh’ dan ‘kosong’ dari Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Di bawah sinar hidup serba mudah dan moden, jarang lagi insan agung ini ‘bertakhta’ di hati umat baginda. Rasulullah S.A.W seperti ditinggalkan dari peta kehidupan umat Islam.

Penonton akan diasak dan diajak berfikir apakah mereka sudah membalas kasih sayang Rasulullah S.A.W.

Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan Halaqah istimewa yang menonjolkan gandingan mantap hos bersama Ustaz Shukri Yusoff dan Ahmad Noor Sulaiman bersama panel yang juga adalah tokoh agama iaitu Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot dan Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom.

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com