click 4 money

Showing posts with label wayang. Show all posts
Showing posts with label wayang. Show all posts

Saturday, April 24, 2010

Aksi Hooperz tidaklah menghampakan

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

ANTARA pelakon yang menjayakan Hooperz
ANTARA pelakon yang menjayakan Hooperz
Filem: Hooperz
Genre: Komedi
Pengarah: Rosihan Zain dan Sheikh Munasar

Pelakon:
Intan Nor Saina, Melissa Maureen Rizal, Nur Zazleen Zulkafli, Juliana Evans, Anita Baharom, Akma, Dawn Jeremiah, Amy Mastura dan Adibah Noor Tarikh Tayangan: 22 April 2010 SUKAR bagi kita untuk menyaksikan filem berkonsepkan sukan di negara ini, ratanya filem yang dihasilkan penerbit tempatan masih menekankan kisah cinta, seram, komedi dan pelbagai lagi. Pada tahun 2005 kita pernah menyaksikan filem Gol & Gincu yang memaparkan mengenai remaja yang gemar bermain sukan futsal.

Selepas itu tidak ada lagi filem bercorak kesukanan biarpun sukan adalah di antara aktiviti yang sangat diminati pelbagai peringkat usia.

Primeworks Studios dan MHz Film mampu meyakinkan kembali bahawa filem bercorak sukan boleh memenangi hati penonton dengan mempertaruhkan filem baru terbitan dua syarikat penerbitan ini berjudul Hooperz.

Hooperz adalah nama sebuah kumpulan bola jaring yang dianggotai oleh remaja kolej yang cantik namun mempunyai konflik di antara mereka.
Sewaktu menyaksikan pratonton Hooperz di Cathay Cineleisure, Damansara, baru-baru ini, pengarahnya, Rosihan Zain berkata, filem berkenaan berkisar mengenai sukan bola jaring yang agak jarang dipaparkan dalam drama atau filem tempatan.

"Pemilihan sukan bola jaring dibuat kerana sukan itu dianggap kurang popular dan lebih tertumpu di kolej saja. Bagaimanapun, kami menggarap setiap watak dengan latar tertentu digabungkan membentuk pasukan bola jaring.

“Setiap jalan cerita kita tidak akan terlepas daripada berdepan dengan konflik, kesedihan, bergaduh sesama sendiri dan persahabatan sepanjang 112 minit filem ini ditayangkan. Begitu juga dengan filem ini yang masih mengangkat kisah remaja yang berhadapan dengan konflik walaupun di dalam satu kumpulan,” katanya.

Selain Rosihan, filem yang turut diarahkan oleh Sheikh Munasar menelan belanja sekitar RM1.5 juta dan menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur sepanjang 21 hari penggambaran.

Filem yang mengisahkan gelagat tujuh gadis yang punya personaliti berbeza namun dihimpunkan dalam sebuah pasukan bola jaringyang dinamakan Hooperz. Filem yang dilakonkan oleh Intan Nor Saina, Melissa Maureen Rizal, Anita Baharom, Juliana Evans, Dawn Jeremiah, Akma, Nur Zazleen Zulkafli, Adibah Nor dan Amy Mastura jelas menarik perhatian memandangkan barisan pelakon yang dipertaruhkan mempunyai karisma tersendiri di dalam bidang lakonan ini.

Biarpun garapan dari babak ke babak kurang memuaskan dan perlahan ditambah dengan kesan khas CGI yang tidak kemas namun pujian boleh diberikan kepada pelakon serta jalan cerita yang asli dan menarik.

Penonton masih boleh tergelak dengan lawak spontan, karektor yang dicipta untuk tujuh watak ini mempunyai perbezaan yang sangat ketara membuatkan penonton terus leka hingga ke penghabisan cerita.

Setiap karakter yang ditonjolkan setidak-tidaknya berjaya menghiburkan penonton. Malah pelakon undangan yang muncul bagai penampilan khas seperti Rashidi Ishak, Remy Ishak, Mustafa Kamal, Yasmin Yusoff, U-Wei dan beberapa yang lain berjaya menyuntik emosi penonton untuk turut tergelak dan sedih.

Filem komedi yang tetap diselitkan elemen emosi, kekeluargaan, persahabatan dan percintaan ini sesuai dijadikan santapan hujung minggu bagi mereka yang mencari bahan untuk berhibur.

Hooperz antara beberapa filem yang menjalani proses pasca produksi Dolby Mixing di Digital Mix Stage milik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang.

Sinopsis Hooperz

HOOPERZ mengisahkan kehidupan tujuh remaja yang menganggotai sukan bola jaring untuk pasukan kolej mereka. Mereka gagal beraksi cemerlang di gelanggang kesan masalah peribadi masing-masing hinggakan sukar bekerjasama sebagai satu pasukan. Hooperz dianggotai Atylia yang mempunyai kecacatan lengan tetapi antara pemain yang cekap menjaringkan gol untuk pasukannya.

Ketua pasukan Hooperz, Zulaikha pula sentiasa berusaha untuk menyatukan pemain pasukannya sementara si penjaga gol iaitu Arzwar sering dihantui kelibat anak kecil yang muncul dalam hidupnya. Saidatul, Sue, Nino dan AJ juga mempunyai kisah hidup mereka tersendiri.

Filem ini membawa anda menyelami kesungguhan setiap ahli pasukan Hooperz dalam menghadapi dugaan, kadangkala lucu, untuk mengubah nasib pasukan mereka dan juga masa depan mereka sendiri.

Wednesday, March 10, 2010

Kesinambungan Remp-It

wanasr@hmetro.com.my
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

GEJALA lumba haram dan isu merempit perlu ditangani secara serius oleh semua pihak. Aktiviti tidak sihat yang semakin menular ini mencetuskan kebimbangan banyak pihak tidak terkecuali golongan selebriti.

RANGGI...gaya Rempit Bront, Diana dan Farid.
RANGGI...gaya Rempit Bront, Diana dan Farid.

FARID...selit mesej bahaya perlumbaan haram. BRONT...beci cabaran tersendiri. DIANA...dapat pengalaman berlumba.


FARID...selit mesej bahaya perlumbaan haram.
Justeru, sebagai memberi ingatan kepada penonton, filem bercorak aksi, V3: Samseng Jalanan dihasilkan. V3: Samseng Jalanan terbitan MIG filem pertama arahan pengarah kacak, Farid Kamil bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula esok, 11 Mac.


Mengambil kesempatan untuk mempromosikan filem ini tiga bintang utama filem berkenaan - Farid, 29, Bront Palarae, 31, dan Diana Amir, 23, digandingkan dalam satu sesi fotografi khas di Balai Berita, baru-baru ini. Masing-masing melontarkan pendapat yang hampir sama mengenai gejala lumba haram dan isu Mat Rempit.


Bagi Farid biarpun mendapat maklum balas positif daripada penonton dan penggiat seni yang menyaksikan prebiu filem itu, dia akui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki. Baginya apa yang lebih penting adalah mesej dan pengajaran.


Di samping memaparkan kesan buruk lumba haram, penceritaan V3; Samseng Jalanan turut memberi ingatan kepada masyarakat supaya dapat menangani masalah ini dengan pendekatan lebih rasional dan serius supaya gejala berkenaan tidak menular dan seterusnya menjadi ancaman besar kepada negara.


"Filem ini adalah kesinambungan daripada Remp-It. Sebagai bekas pelumba dan individu yang pernah terbabit dalam aksi lumba seperti ini saya rasa sangat terpanggil untuk mendedahkan gejala negatif seperti ini.

"Sebagai permulaan saya melakukan kerjasama dengan pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan melancarkan program Zero Lumba Haram pada 27 Februari lalu. Menerusi program ini kami mengumpul semua Mat Rempit dari kawasan Utara merangkumi Perak, Kedah dan Pulau Pinang untuk berlumba pada hari berikut di litar lumba yang disediakan di UUM.

"Dengan cara ini kami menggalakkan orang berlumba secara selamat dan tidak membahayakan orang awam. Pendekatan yang dilakukan dengan kerjasama UUM satu langkah yang positif bagi menangani masalah ini," katanya.


Farid yang membawakan watak Rudy dalam filem itu mengambil masa lebih sebulan untuk menyiapkan skrip bersama rakannya Soffi G memberitahu penulisan cerita berkenaan dihasilkan melalui pengalaman dan kesedarannya. Remp-It V3 membabitkan kos perbelanjaan penggambaran sekitar RM1.8 juta.

Pernah berdepan pelbagai kontroversi ketika filem siap selepas menjalani penggambaran pada Ogos 2008 termasuk kemungkinan diharamkan Lembaga Penapisan Filem (LPF), semua itu berjaya diatasi dengan baik.


Begitu juga kejayaan filem aksi kelakar, Adnan Sempit arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang ditayangkan pada 14 Januari lalu yang didakwa Farid menciplak sebahagian plot filemnya (V3: Samseng Jalanan).

Farid yang tersenarai dalam kelompok Top 5 Anugerah Pelakon Filem Lelaki Terbaik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH09) berharap filem itu mampu mencapai kutipan sekitar RM5 juta.


Rakannya, Bront Palarae yang membawa watak Brett/Black berpendapat filem itu bakal menarik perhatian ramai kerana tema, jalan cerita dan lakonan barisan pelakonnya.


"Saya menaruh keyakinan tinggi terhadap filem ini. Sebagai orang pertama yang terbabit dalam pengarahan filem, Farid berjaya. Biarpun berdepan sedikit masalah, sebagai peminat dunia seni saya kagum melihat hasil filem ini," kata Bront pemuda berdarah kacukan Melayu, Siam, Pakistan dan China itu.

Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifudin mula membabitkan diri dalam dunia lakonan sejak enam tahun lalu. Malah dia bukan hanya berbakat dalam lakonan malah terbabit dalam pengarahan, wartawan penyiaran, pengacaraan dan penulisan skrip.

Mengenai lakonannya sebagai Brett, pemuda kelahiran Alor Setar, Kedah itu memaklumkan cabaran melakukan babak aksi sendiri memberi kesan tersendiri.

Bagi pelakon yang semakin meningkat naik, Diana Amir lakonan sebagai Noni dalam filem berkenaan membolehkan dia melalui pengalaman berlumba dan melalui detik mendebarkan.


"Lakonan dengan watak pembantu dalam filem ini sebagai Noni teman wanita kepada Brett (Bront) sememangnya membuatkan saya cukup teruja. Saya dapat rasa bagaimana pengalaman berlumba. Dengan bantuan pelakon lagak ngeri saya menunggang motosikal yang dipandu laju. Ketika itu memang perasaan saya sungguh berdebar dan takut.


"Begitupun dengan keyakinan dan dorongan daripada rakan dan pelakon lagak ngeri saya memberanikan diri untuk menyahut cabaran itu," kata Diana pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Impian itu.


Dia menaruh keyakinan filem berkenaan mampu menembusi pasaran antarabangsa selepas menilai dari segi babak aksi yang berkualiti. Malah penonton yang menyaksikan filem berkenaan pasti dapat membuat penilaian tersendiri. Diana juga seperti rakan artis yang lain berharap gejala lumba haram dapat ditangani pada masa depan.


Mengenai lakonan, Diana pemegang Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang ini menyifatkan penampilannya dalam dunia lakonan masih baru tetapi sedia untuk belajar.

>Profil
NAMA SEBENAR: Farid Kamil
NAMA KOMERSIL: Farid Kamil
TARIKH LAHIR: 5 Mei 1981
TEMPAT LAHIR: Alor Star, Kedah
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Seni Layar (Kepujian) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
KERJAYA: Pelakon, pengarah dan penulis skrip
FILEM: Dayang, Chermin, Remp-It, Main-Main Cinta, Anak Mami Kembali, Lady Boss, Cinta Fotokopi, Potret Mistik, Tangkai Jering, Tujuh Perhentian, Hingga Hujung Nyawa, Kuliah Cinta, Cinta Kolestrol, Anak Halal, Apa Kata Hati, Di Kala Malam Bulan Mengambang, Evolusi KL Drift 1 & 2, I'm Not Single, Remp-It V3, Estet, Papadom, Taiko, Lembing Awang Pulang Ke Dayang

NAMA SEBENAR: Nasrul Suhaimin Saifudin
NAMA KOMERSIL: Bront Palarae
TARIKH LAHIR: 27 September 1978
TEMPAT LAHIR: Alor Star, Kedah
ADIK-BERADIK: Anak bongsu daripada tiga beradik
KERJAYA: Pelakon, pengarah, penerbit TV, penulis
DRAMA: Rona-Roni Makaroni, Sinderela
FILEM: Bilut, Castello, Anak Halal, Kala Malam Bulan Mengambang, Setem, Antoo Fighter, Akhirat, 1957: Hati Malaya, Remp-It V3, Belukar, Hanyut

NAMA PENUH: Nurdiyana Amir Hashim
NAMA KOMERSIL: Diana Amir
TARIKH LAHIR: 22 Jun 1986
TEMPAT LAHIR: Birmingham, England
ADIK-BERADIK: Anak keempat daripada tujuh beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang
KERJAYA: Pelakon, model dan pengacara
DRAMA BERSIRI: Impian, Impian 2, Sari Maya
TELEMOVIE: Aloy dan Lu'Lu
FILEM: Remp-It V3, Aku Masih Dara
PENGACARAAN: Life Can't Wait (TV8), Seindah Sunsilk (TV3)

Thursday, February 18, 2010

Dengarnya... Apa sudah jadi 2 Hati Satu Jiwa?

Oleh Normah Becok

BETUL ke Cik Normah dengar orang di Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) dan pengarah, A Razak Mohaideen kecewa kerana filem Dua Hati Satu Jiwa hanya mampu kutip setengah juta saja? Tidak seperti filem-filem usaha sama mereka sebelum ini yang mencecah box office.

Cik Normah dengar, antara sebab kenapa filem itu tidak laku adalah kerana pelakon-pelakonnya yang tak popular? Hai! betul ke? Ke mana perginya penyokong dan pengikut setia Razak Mohaideen. Yerlah, sebelum ini Cik Normah ada dengar juga yang Razak tak kisah dengan filem itu kerana dikatakan sudah ada pengikutnya sendiri.

Cik Normah bukan orang yang arif dalam mengkaji filem. Tapi itu adalah salah satu sebabnya kata sumber yang menyampaikan pada Cik Normah. Pelik juga Cik Normah. Kalau nak dikira populariti, si Fouziah tu bolehlah tahan juga popularnya.

Sana sini mukanya keluar di akhbar dan majalah. Fahrin pun bukannya calang-calang. Kalau tak popular takkan namanya sangkut dalam Top 5 untuk Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2009). Adakah sebab Fahrin menangis menjejaskan kutipan tiket? Cik Normah rasa macam tak logik kerana 2 Hati Satu Jiwa sudah lama keluar. Kalau Hani memang Cik Normah tak nafikan dia agak kurang popular. Tetapi bakat lakonannya boleh tahan juga.


Kita tak boleh nak salahkan pelakon. Kita kena juga tengok faktor lain. Barangkali orang tak mahu tengok cerita yang macam ini, jadi Razak kenalah ambil inisiatif bagaimana nak menjadikan filem arahannya lebih menarik lagi selepas ini.

Wednesday, February 10, 2010

Dengarnya... Fizz, Tiz tarik diri berlakon Seri Mersing

Oleh Normah Becok

Fizz Fairuz dan Tiz Zaqyah semakin popular.

SITUASI belum siap rumah, pahat berbunyi sudah menjadi lumrah dalam apa saja situasi yang berlaku dalam dunia ini. Tapi yang Cik Normah nak cerita ini belum sampai ke tahap nak bina rumah lagi pun. Cik Normah rasa, tahap sekarang ini baru saja nak ratakan tanah.

Baiklah, Cik Normah tak nak berselindung lagi. Ceritanya mengenai teater Seri Mersing yang pernah Cik Normah tulis dalam ruangan ini beberapa minggu lalu. Sebelum ini, Cik Normah pernah memberitahu bahawa watak Damaq yang pernah dilakonkan Allahyarham Nordin Ahmad menjadi milik Fizz Fairuz.

Malah teater yang dijangka bakal dipersembahkan di Istana Budaya itu turut mengintai pelakon baru meningkat naik, Tiz Zaqyah sebagai heroin. Cik Normah difahamkan usaha menggandingkan pelakon itu sudah berjaya. Bagaimanapun, angin sepoi bahasa yang singgah ke telinga Cik Normah lain pula ceritanya.

Cik Normah diberitahu rakan sepejabat, dua pelakon itu difahamkan sudah menarik diri daripada terus menjayakan pementasan itu. Hal ini terjadi sehari selepas acara bacaan skrip teater terbabit diadakan di Istana Budaya. Entah apa sebabnya pun Cik Normah kurang pasti.

Cik Normah dapat tahu, baik Fizz mahupun Tiz memang agak kecewa kerana seperti terpaksa melepaskan peluang terbaik berlakon teater. Bukan mereka sengaja tarik diri, tapi Cik Normah yakin pasti ada alasan konkrit kenapa mereka berbuat demikian. Cik Normah malas nak cerita panjang, tapi semuanya dikatakan berpunca daripada produksi yang bertanggungjawab merealisasikan teater itu.

Aminah tidak kisah kritikan Nabil

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff




PENGARAH dan penerbit bersama filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM), Aminah Rhapor menerima dengan tenang kritikan pelakon utama, Nabil Ahmad, yang mengatakan filem terbabit gagal memaparkan cerita dengan sebaiknya, kurang jelas hala tuju serta disulam babak sedih yang dibimbangi akan mengelirukan peminat.

Bagi Aminah, dia tidak terkesan dengan kritikan berkenaan kerana bukan hanya percaya kepada produk yang dihasilkan, malah pada pendekatan rentak pantas yang diketengahkan menerusi filem berkenaan.

Menurutnya, sebagai pengarah, dia cukup memahami genre yang ingin dipersembahkan kepada penonton. Bukan semata-mata komedi, sebaliknya LPSdM menampilkan pembaharuan apabila babaknya dihidang dalam bentuk lebih cepat.

Sunday, January 31, 2010

Serasi tapi tak sehati


Oleh Zul Husni Abdul Hamid & Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



Dua bintang filem Adnan Sempit puas digandingkan bersama

MEREKA berlakon bukan disebabkan kemaruk duit atau kemewahan hidup, sebaliknya hero filem Melayu baru, Shaheizy Sam dan Intan Ladyana mahu mencari ruang untuk memilih karakter bersesuaian tanpa perlu terlalu memfokus kepada imbuhan.

Barangkali mereka bukan pasangan serasi dalam filem tetapi gandingan mereka masih menjadi dalam filem meskipun mereka bukanlah mempunyai kecenderungan hati yang sama dalam hal peribadi mahu pun bercakap soal cinta serta pilihan teman hidup.

Sam dan Intan, hero dan heroin filem Adnan Sempit karya terbaru pengarah prolifik, Ahmad Idham terbitan MIG Production Sdn Bhd kini sedang mengatur langkah dalam perjuangan mereka. Biarpun ada yang mengkritik, ada yang masih tidak berpuas hati namun perjalanan kerjaya lakonan mereka semakin rancak.

Poster menarik filem Adnan Sempit.

Adnan Sempit yang menemui peminat di pawagam sejak 14 Januari lalu antara cabaran mereka. Seorang membawa watak kelakar, seorang lagi berwajah serius, namun permainan watak Adnan dan Nadia dianggap tiada keserasian dan bagaikan tidak menjadi.

Secara jujur, Intan, 27, akui: "Belumpun filem Adnan Sempit berada di pawagam ketika itu, sudah terdengar desas-desus lakonan saya dan Sam tiada keserasian. Saya sendiri tidak faham bagaimana cerita ini boleh timbul sedangkan mereka belum melihat lakonan saya.

"Saya akui watak Nadia bukannya watak komedi, bagaimana watak Adnan pula sebaliknya komedi. Saya tahu ada yang mengkritik lakonan saya dalam filem Adnan Sempit, saya terdengar cakap-cakap belakang, lakonan saya tidak semantap Sam, Along (Cham) dan Yana. Bagaimanapun, mereka yang tidak menonton tidak akan faham permainan karakter saya.

"Saya bukannya mahu menegakkan benang yang basah, sebaliknya watak Nadia digambarkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif muda, anak orang kaya dan berpendidikan tinggi. Tentunya saya perlu serius dengan permainan watak itu, tidak seperti teman-teman lain. Mereka mat rempit, permainan watak mereka berbeza dengan saya.

"Tapi ramai yang tak faham, mereka pelik apabila watak saya tidak komedi, paling menyakitkan, ada yang anggap saya tidak boleh berlakon komedi. Mereka kena ingat, tidak semestinya saya berlakon filem komedi, saya juga kena tampil dengan karakter komedi. Sebagai contoh, adakah Lisa Surihani berlakon komedi dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak, jawapannya tidak, kan? Begitu juga Nadia, watak yang digambarkan tidak menunjukkannya komedi.

"Saya sememangnya rasa tercabar apabila ada yang mengkritik tanpa memahami karakter yang saya bawa. Bagaimanapun, saya lega apabila produser, David Teo dan pengarah, Ahmad Idham berpuas hati dengan mutu lakonan saya."


Intan juga berkata, jika lakonannya tidak menjadi dan nampak tiada keserasian dengan Sam, Along dan Yana, sudah tentu Ahmad Idham selaku pengarah tidak akan membiarkannya begitu saja.

"Saya sudah lama bekerja dengan Ahmad Idham, saya faham dengan caranya bekerja. Dia tidak akan membiarkan lakonan saya selaku watak utama tenggelam dan sudah tentu Ahmad Idham mahukan yang terbaik untuk filemnya. Setakat ini, mereka menganggap ini filem saya yang terbaik.

"Banyak cabaran berlakon dalam filem Adnan Sempit, paling menakutkan apabila saya perlu membonceng motosikal dengan Sam. Saya paling takut naik motosikal sebenarnya, tetapi boleh atau tidak, saya tetap laksanakannya. Hanya Tuhan yang tahu ketakutan saya ketika itu.

"Saya selesa bekerja dengan Sam, kami mudah mendapat keserasian. Biarpun ada yang mengatakan Sam seorang pendiam dan sukar didekati, tetapi saya tidak berdepan masalah bekerja dengannya. Dia sebenarnya seorang yang kelakar dan mudah mesra.

"Saya tidak tahu pun sebelum ini, Sam seorang yang pemalu kerana sejak mengenalinya, kami tiada masalah untuk mencari keserasian bekerja. Begitu juga dengan Yana dan Along, mereka gila-gila dan kelakar. Biarpun dunia mat dan minah rempit bukan dunia kami, tetapi kami seronok sebenarnya menyelami dunia asing yang menjadi kegilaan anak remaja hari ini," katanya yang kini sibuk penggambaran drama bersiri, Jangan Pandang Belakang Congkak terbitan MIG Production bersama Sam.

Sam akui namanya belum komersial

Sam, 27, berkata bakat lakonannya yang semakin menyerlah dan diiktiraf khalayak membuatkannya sentiasa mencabar diri untuk mempertingkatkan mutu lakonan. Dia tidak pernah pantas berasa puas, sebaliknya sentiasa dahagakan cabaran dan meneroka ruang baru untuk memperkemaskan lagi karisma lakonannya di mata pencinta filem.

Meskipun ada ketika tawaran yang diberikan bertentangan prinsip lakonannya, Sam percaya, kekuatan sesebuah produksi tidak hanya bergantung kepada sesuatu faktor semata-mata.

"Sebagai pelakon, saya dilatih untuk mempercayai kredibiliti pengarah. Biarpun peranan diberi bertentangan prinsip lakonannya, saya tidak sesekali mengecewakan kehendak pengarah. Saya berlakon bukan kerana mengejar wang dan kemewahan hidup. Disebabkan itu, saya mahu mencari ruang untuk memilih watak dan karektor bersesuaian tanpa memikirkan habuan yang diterima.

"Saya akui ada antara mereka terpaksa tunduk kepada tawaran yang datang. Pelakon yang baik wajar membangunkan sesebuah karakter dengan berkesan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada skrip di tangan.

“Memang senario perfileman tempatan kecil tetapi ruang untuk memilih masih ada. Terpulang kepada individu itu bagaimana mahu mencorakkan perjalanan karier,” katanya yang mula berlakon sejak berusia 11 tahun menerusi filem Sama Tak Serupa, namun namanya hanya menyerlah menerusi drama Pa'e pada pertengahan 1990-an.

Akuinya, keberkesanan watak hitam yang dijayakan dalam filem Bohsia... Jangan Pilih Jalan Hitam menyerlahkan kembali namanya hingga banyak pihak melabelkannya sebagai hero filem Melayu baru.

Namun katanya, pujian yang diberikan tidak pernah membuatnya saya berpuas hati, sebaliknya sentiasa ingin memberi dan terus memberi.

“Saya berharap diberi ruang untuk meneroka lebih banyak watak lagi dalam lakonan. Saya dambakan lebih cabaran terutama peranan yang belum pernah dimainkan. Saya masih lagi mencari pengarah serta naskhah yang dapat merobek lebih mendalam kebolehan serta kemampuan saya dalam lakonan.

"Pun begitu saya bersetuju kebanyakan pengarah masih belum percaya untuk meletakkan saya sebagai teraju kerana nama saya kurang komersial, tetapi semua itu tidak mematahkan semangat saya. Ini kerana apa yang penting adalah mempertingkatkan mutu kerja," katanya.

Adnan Sempit bakal julang nama Sam

Beralih kepada Adnan Sempit, disifatkan Sam sebagai sebuah naskhah yang cukup menguji. Apatah lagi, filem itu buat pertama kali meletakkan namanya sebagai pelakon utama di samping mencungkil sisi baru dalam lakonannya apabila diserahkan watak komedi.

“Untuk menyampaikan elemen komedi memberi cabaran cukup besar buat saya. Penonton datang dengan harapan besar iaitu persembahan kita mampu membuat mereka ketawa. Ia bukan senang untuk dilakukan.

“Membaca naskhah ini menuntut saya untuk memahami dari mana datang elemen komedi itu serta bagaimana saya menyuntiknya supaya tidak nampak dibuat-buat. Ia berat kerana jika tersalah langkah, penonton akan mempertikai dan mempersoalkan apa yang saya lakukan.

"Saya bertuah mendapat bimbingan Ahmad Idham yang berpengalaman, malah memberi kebebasan kepada kami untuk melontarkan idea masing-masing,” katanya adik kepada pelakon Zizie Ezette itu.

Secara jujur, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu berkata, awalnya, dia kurang yakin melakonkan watak Adnan, pemuda yang bekerja sebagai penghantar surat yang jatuh cinta dengan bosnya, Nadia.

“Saya cabar diri untuk membawanya, lebih lagi saya sudah biasa dengan pasukan produksi itu membuatkan saya percaya akan menerima bantuan banyak pihak ketika di lokasi.

“Banyak idea baru yang kami kongsi bersama sepanjang penggambaran ini. Jika ramai melihat persembahan saya menjadi, itu bukan kejayaan saya secara peribadi. Semua pihak memberikan kerjasama mereka,” katanya.

Info Intan

NAMA PENUH: Intan Nurladyana Mohamad Yahaya

TARIKH LAHIR: 2 Jun 1982

UMUR: 27 tahun

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik

KERJAYA: Model iklan, pengacara dan pelakon

PROGRAM TV: Hello Minda dan Advanture Race 2006

IKLAN TV: Oil of Olay, Dentyne, Kinder Bueno, Hotlink, Celcom, Acuvue, Mcdonald's, Toyota, Sunsilk, Nivea Skincare, Follow Me, Jacobents, Toyota Hilux, Dentyne dan Deify Skincare

FILEM: Tipah Tertipu The Movie, I'm Not Single, Remp-It V3, Jangan Pandang Belakang & Adnan Sempit

DRAMA: Puteri, Jelatang, Dari KL Ke Queenstown, Sutera Maya, Suria Kasandra & Bionik



Info Sam

NAMA SEBENAR: Shaheizy Sam Abd Samad

TARIKH LAHIR: 4 September 1982

UMUR: 27 Tahun

ASAL: Petaling Jaya, Selangor

KERJAYA: Pelakon

ANTARA TELEFILEM/DRAMA BERSIRI: Pa'e, Sama Tak Serupa, Graduan, Impak Maksima, KL Menjerit, Jangan Pandang Belakang 2, Legasi 43 Karat

FILEM: Adnan Sempit, Evolusi KL Drift 2, Jangan Pandang Belakang Congkak, Syurga Cinta dan Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam

PENCAPAIAN: Pernah dicalonkan di Festival Filem Malaysia Ke 22 (2009) - kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam filem Bohsia

Yasmin & Fouziah tunggu calon suami


Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



Masih mencari, bukan memilih: Hani, Fouziah akui bosan cinta putus di tengah jalan

SEORANG demi seorang lelaki cuba menawan hati tetapi semuanya ditolak. Mereka bukannya tiada rupa atau tidak berharta tetapi belum berupaya membuat hati dua pelakon jelita, Yasmin Hani, 31, dan Fouziah Gous, 28, tertawan. Apakah mereka terlalu memilih?

Dalam usia yang menjengah dewasa, Hani dan Fouziah memiliki segala-galanya. Kerjaya dan populariti mereka berjalan seiring sejak bergelar artis, namun apabila menyentuh soal peribadi, dua pelakon utama filem 2 Hati 1 Jiwa arahan Prof Madya A Razak Mohaideen diam membisu seribu bahasa. Apakah sejarah putus cinta lalu membuatkan mereka serik nak berkasih lagi?

Tanpa berselindung, Fouziah berkata: “Serik dan memilih, dua perkara berbeza. Memilih? Saya tak fikir begitu, saya sederhana saja orangnya. Saya percaya, semuanya terletak pada hati. Kalau kita tidak benar-benar cintakan seseorang, mengapa perlu memaksa diri?



“Serik pula tiada dalam kamus hidup saya walaupun pernah melalui kegagalan dalam percintaan, tetapi itu cerita lama, tak perlu dikenang lagi. Bagaimanapun, saya akui sedikit sebanyak pengalaman lalu membuatkan saya sukar mempercayai lelaki.

“Jadi, sukar jugalah lelaki mahu mendekati saya. Bukan tiada lelaki yang cuba mendekati tetapi saya belum bertemu dengan lelaki yang benar-benar membuatkan saya jatuh cinta dana rasa bahagia. Kini, hanya kerjaya menjadi buah hati saya.

“Tidak sukar mendampingi lelaki berharta dan berpengaruh, tetapi saya mencari seorang insan yang baik dan sederhana perwatakannya. Saya ingin seseorang yang boleh dijadikan kawan, sentiasa menggembirakan hati, tidak mengongkong dan paling penting, faham dengan kerjaya dan perjalanan hidup saya sebagai anak seni.”

Akuinya, pengalaman berlakon sebagai kembar siam yang bercantum kepala dan sebahagian badan dengan Hani dalam filem 2 Hati 1 Jiwa terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd dan Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd memberi pengalaman suka duka buatnya, malah jika diberi peluang sekali lagi membawa watak kembar siam, dirinya mungkin tidak sanggup.

Derita sepanjang penggambaran

Jujurnya, gadis kacukan Melayu-Pakistan-Cina itu akui: “Ya, memang saya tak sanggup. Saya tak sanggup sakit kepala, pinggang dan tengkuk sepanjang hari. Saya dan Hani rasa begitu tersiksa, tetapi disebabkan watak Lana dan Lina, kami terima cabaran ini. Bayangkan, kami bercantum kepala dan sebahagian badan berbelas-belas jam sehari sepanjang 25 hari penggambaran dijalankan.


“Pada hari pertama penggambaran, saya pulang ke rumah dengan menangis teresak-esak disebabkan tidak tahan sakit dan terlalu tertekan. Watak saya sebagai Lana, seorang adik kembar yang ceria dan berperangai keanak-anakan, tetapi agak sukar bagi saya nak menceriakan keadaan dalam keadaan sakit dan tidak selesa.

“Tetapi alah bisa, tegal biasa, macam mana derita sekali pun, saya dan Hani perlu berhadapan dengan situasi ini. Bagaimanapun, saya agak terkilan dengan cakap-cakap belakang mengatakan lakonan saya terlalu mengada-ngada dan membuatkan orang meluat. Saya akui watak saya agak keanak-anakan, mengada-ngada dan manja, watak saya dan Hani berbeza walaupun kami adik beradik kembar.

“Memang susah nak memuaskan hati semua orang, ada yang suka, ada pula sebaliknya. Saya sudah melakukan yang terbaik untuk watak Lana. Keinginan, cita rasa dan harapan Lana dan Lina juga berbeza dalam filem ini. Kami sedaya upaya mengatasi kekurangan yang ada, bagaimanapun tidak adil jika menyamakan kami dengan kembar betul. Mereka sejak celik mata sudah berkongsi jiwa, kepala atau badan bersama, malah mereka sudah biasa makan, minum dan berkongsi tandas, sebaliknya pula kami.

“Saya dan Hani tidak boleh terlalu lama berdiri, jika tidak tengkuk dan pinggang mula sakit-sakit, jadi kami kena berbaring. Bayangkan bila kepala dan sebahagian badan melekat, bukan mudah nak berbaring, itupun mendatangkan kesakitan yang amat sangat. Saya berterima kasih pada Prof A Razak kerana menyediakan karavan untuk keselesaan kami, tetapi ada masanya lokasi penggambaran berubah dan tiada tempat untuk berehat.

Hani dah muak untuk bercinta

“Kami pernah menyusun kusyen dan berbaring atas lantai tanpa rasa segan silu ketika penggambaran dijalankan di UiTM kerana terlalu sakit. Dan kesakitan ini terbawa-bawa sehingga pulang rumah biarpun kepala dan badan tidak melekat lagi. Apa yang dapat saya katakan, saya dan Hani terlalu menderita selama 25 hari menghabiskan penggambaran filem ini.”

Filem 2 Hati 1 Jiwa yang menelan belanja RM1.5 juta menjengah penonton di pawagam pada Khamis, 28 Januari ini. Selain Fouziah dan Hani, ia turut dibintangi pelakon hebat, Mustapha Kamal, Ziela Jalil, Siti Hajar Ismail, Jalil Hamid, Irma Hasmie dan Iqram Dinzly.

Hani berkata, kekosongan hatinya belum terisi selepas putus cinta dengan seorang jurutera 30-an, tahun lalu. Dan buat masa ini, dirinya lebih bahagia hidup bersendirian daripada makan hati berulam jantung apabila putus cinta lagi.

“Saya sebenarnya sudah muak mahu bercinta, cukuplah yang sudah-sudah. Bagaimanapun, jika ada jodoh, saya tidak menolak. Saya serahkan pada takdir, saya bukannya muda lagi. Saya rasa bosan nak memulakan perhubungan dan kesudahannya, putus. Dalam keadaan sekarang, saya hanya berserah dan tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Bohonglah kalau saya tidak kecewa apabila putus cinta tetapi saya dapat rasakan saya sudah matang, saya sudah melalui beberapa episod kekecewaan. Bila putus cinta, saya hanya reda. Walaupun sudah tiada hubungan, tetapi kami masih berkawan baik. Saya tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa, apa yang dapat saya katakan, masing-masing ada kelemahan dan kekurangan diri.

Trauma 25 hari demi lakonan

“Dua tahun menyemai cinta, apa yang tidak saya lalui. Kami pernah melalui gosip panas apabila gambar percutian disebarkan di internet, memang malu. Ada dugaan-dugaan lain yang lebih menguji kami, tetapi kesabaran penting. Mungkin sudah ditakdirkan kami tiada jodoh, jadi tak perlu mengingat kisah silam yang menyakitkan,” kata gadis kacukan Melayu-Inggeris itu.

Mengenai pengalaman jadi ‘kembar siam’, Hani berkata, setiap kali pulang ke rumah, kesakitan masih dirasai hingga dirinya masih membayangkan Fouziah masih `melekat' di kepala dan badannya.

“Itulah trauma yang saya hadapi selama 25 hari. Badan sakit sana sini, rasa letih jangan cakaplah, sampaikan saya pernah menangis akibat tidak tahan dengan situasi ini. Bagaimanapun, Prof Razak sentiasa memberi perangsang, malah tindakan saling menyokong menyebabkan kami dapat menyempurnakan tanggungjawab yang diberikan.

“Saya tidak begitu mengenali Fouziah, kalau bertemu, kami tegur dan bertanya khabar sebelum ini. Tetapi apabila digandingkan bersama, kami dapat rasakan antara kami ada chemistry bila melekat. Semua kerja dilakukan bersama, sama ada makan, minum, tidur, baring atau ke tandas sepanjang hari. Bukan mudah nak cari chemistry sebagai kembar, tetapi kami tiada masalah.

“Bayangkan ada kalanya, saya nak bercakap telefon, Fouziah pula nak ke tandas. Saya nak tidur, Fouziah pula menyanyi menghiburkan hatinya, kalau tiada sefahaman memang susah. Saya dapat bayangkan betapa siksanya pasangan kembar siam. Mereka berbeza matlamat hidup, pendirian dan cita rasa, tetapi akibat badan yang tidak dipisahkan, mereka perlu melalui bersama atau ada kala perlu melakukan pengorbanan untuk pasangan kembarnya,” katanya.

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com