click 4 money

Showing posts with label dj radio. Show all posts
Showing posts with label dj radio. Show all posts

Friday, April 2, 2010

Din Beramboi meninggal

Din Beramboi
Din Beramboi

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Era dan pelawak terkenal, Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 43, atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi meninggal dunia di Hospital Selayang (HS) di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi selepas menghidap demam denggi berdarah sejak Isnin lalu.

Adik Allahyarham, Rozana Mior Badri, berkata mesin sokongan hayat yang dipasang sejak beliau tidak sedarkan diri dihentikan atas nasihat doktor berikutan kegagalan organ dalaman terutama buah pinggang dan hatinya berfungsi.

“Atas permintaan keluarga, doktor masih mengekalkan mesin sokongan hayat sehinggalah ia dihentikan kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi,” katanya kepada pemberita di Hospital Selayang di sini.

Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu sejak Isnin lalu selepas menghidap demam denggi berdarah dan keadaannya dilaporkan kritikal serta tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika menerima rawatan.

Ketika dimasukkan ICU Allahyarham menggunakan sepenuhnya alat bantuan pernafasan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Suhaini Che Man dan tiga cahaya mata perempuan termasuk anak sulungnya, Nil Aina Adibah, 18.

Jenazah dijangka dibawa ke kediamannya di Taman Ehsan, Kepong dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ihsan Kepong sebelum solat Jumaat.
Allahyarham berasal dari Sungai Besi dis ini, dan mendapat pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Akhbar sebelum ini melaporkan, pelawak dan pelakon terkenal itu menerima rawatan di HS akibat demam denggi berdarah, bukannya jangkitan virus air kencing tikus seperti yang didakwa pelbagai pihak

Thursday, March 11, 2010

Jamal Jamaluddin dapat anak kedua

PADA 5 Mac lalu, rakan SS menerima kiriman SMS daripada penyampai radio Sinar FM, Jamal Jamaluddin memberitahu isterinya selamat melahirkan cahaya mata kedua. Mereka mendapat bayi perempuan seberat 3 kilogram.


Bayi diberi nama Noor Jordania itu dilahirkan jam 3.40 pagi Jumaat lalu di Pusat Rawatan Naluri, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. Jadi, tak terlambat lagilah SS ucapkan tahniah kepada Jamal dan keluarga dengan kehadiran 'orang baru' itu.


Semoga kasih sayang terbina selama ini semakin erat. Cuma, SS rasa nama anak Jamal cukup unik. Sekali sebut saja, terus SS ingat seorang juara American Idol, Jordan Spark. Apapun, hanya Jamal yang tahu kenapa dia memilihnya.


Namun, apa yang SS dengar daripada rakan memaklumkan Jamal ini memang suka nama yang pelik. Dalam erti kata lain daripada yang lain. Bagi SS pula, nama seperti ini mempunyai 'eksklusif' tersendiri kerana tak berkongsi dengan ramai orang.


Lagipun, sudah gaya artis atau selebriti tanah air suka sesuatu yang 'eksklusif'. Apapun, itu hak masing-masing. Kepada Jamal, SS doakan semoga menjadi bapa penyayang. Maklum saja, kalau dulu anak seorang, sekarang sudah ada dua.


Dalam kesempatan ini, SS juga ingin ucapkan tahniah kepada pelakon Catriona Ross yang selamat melahirkan anak sulung baru-baru ini begitu juga pelakon Haryati Hamzah (Yatt) yang juga melahirkan bayi perempuan.

Selepas ini, tentunya giliran pelakon Dynas Mokhtar pula yang menghitung hari melahirkan anak. Diikuti Nabila Huda dan juga Serina. Nampaknya, tahun ini Amy Search dan Chef Wan akan bergelar datuk. Apapun, tahniah pada semua artis tanah air yang akan menimang cahaya mata.

Saturday, February 20, 2010

Hot FM Big Jam ke utara

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


ZURINA (empat dari kanan) bersama penyampai dan artis yang akan menjayakan Hot FM Big Jam di Pulau Pinang, 6 Mac ini.

Peluang penggiat muzik profesional dan amatur dekati peminat hiburan tanah air

MENITI pelbagai isu serta perubahan selama empat tahun adalah satu pengalaman yang terindah buat warga stesen radio Hot FM. Pastinya setiap kejayaan yang diraih oleh stesen berkenaan tidak dapat dikecapi tanpa sokongan serta komen positif pendengar sendiri yang sememangnya prihatin dengan perkembangan stesen itu.

Awalnya festival muzik itu diwujudkan untuk memberikan penghargaan kepada pendukungnya tetapi kini stesen itu memburu satu lagi matlamat iaitu ingin melestarikan muzik tempatan supaya setanding dengan kualiti muzik antarabangsa.


Pengurus Besar Jalinan Jenama dan Promosi Hot FM, Zurina Othman berkata, stesen itu yakin dengan memberikan landasan kepada penggiat muzik yang profesional mahupun amatur, industri muzik tempatan akan semakin berkembang.

“Dengan kolaborasi TM, sekali lagi warga kerja Hot FM akan keluar dari Lembah Klang dan kali ini menuju ke utara. Pulau Pinang menjadi sasaran kedua selepas tahun lalu festival ini diadakan di Johor Bahru.

“Kelainan yang dapat dilihat pada tahun ini adalah festival ini akan menyediakan dua pentas. Pentas utama pasti akan mula bergegar tepat jam 4 petang hingga lewat malam. Tetapi sebelum itu, sebuah lagi pentas akan dibuka seawal jam 12 tengah hari bagi menampilkan mereka yang menyumbangkan karya bagi segmen Hot FM Kita Punya,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada Tilu, Bittersweet, Anna Rafalli, Rock and Roll John, So Wincci serta The Curse Between Us yang berjaya menempatkan diri dalam Hot FM Big Jam kali ini.

Sementara itu, di pentas utama, festival itu bakal menampilkan artis kegilaan peminat muzik tempatan masa kini seperti Bunkface, Meet Uncle Hussain, Hujan, Modread, Sixth Sense, Stacy, Mila, Akim, Alyah, Diddy, Tomok, Shila, One Nation Emcees, Nubhan, Aril, Black, dan Adam.

“Kami juga akan membawa dua artis negara jiran iaitu, Imran Ajmain dan Sleeq. Malah tahun 2010 akan menyaksikan pentas utama Hot FM Big Jam dihangatkan lagi dengan kehadiran M Nasir yang buat kali pertama sudi meluangkan masa untuk menghiburkan peminatnya di Pulau Pinang.

“Selain itu Anuar Zain, Misha Omar dan Faizal Tahir adalah nama yang tidak asing lagi di persada muzik tanah air juga akan memanaskan pentas itu.

“Tiada yang lama maka tiada yang baru, maka stesen itu akan membawakan Fotograf, Bumiputera Rockers serta AXLs sebagai melengkapi resipi istimewa ulang tahun Hot FM kali ini,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul berkata, Hot FM Big Jam 2010 yang akan berlangsung pada 6 Mac di Padang Kota Lama, Pulau Pinang bermula jam 10 pagi adalah antara Big Jam yang melakar sejarah buat stesen itu dengan menyambut ulang tahun mereka yang keempat.

“Kami bukan saja ingin memberi lebih dari hiburan yang hangat dan mantap malah turut mengambil peluang ini untuk memberi artis tempatan yang baru menapak untuk membuat persembahan menggunakan landasan Big Jam,” katanya.

Tak lupa diri dek populariti

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

DIA sudah membuktikan kredibilitinya sebagai penyampai radio apabila gandingannya dan Fara Fauzana dalam segmen pagi Hot FM AM Krew di 8TV kekal sebagai rancangan No 1 seperti laporan AC Nielsen.

SALING MENGHORMATI...Anne anggap  Faizal seperti abang.
SALING MENGHORMATI...Anne anggap Faizal seperti abang.
sebelum - selepas


Lebih bermakna buat Faizal Ismail, stesen Hot FM yang baru berusia empat tahun dan mempunyai kira-kira empat juta pendengar juga muncul sebagai stesen radio No 1 negara mengatasi 38 stesen radio tempatan lain.

Tidak cukup dengan itu, nama Faizal, 34, juga dicalonkan dalam dua kategori, Penyampai Radio Lelaki Popular dan Pengacara TV Lelaki Popular sempena Anugerah Bintang Popular, Berita Harian 2009 (ABPBH2009).

Bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular, Faizal dicalonkan buat tiga tahun berturut-turut sejak 2007 dan kategori Pengacara TV Lelaki Popular pula dua tahun berturut.

Dalam kategori Penyampai Radio Lelaki Popular, Faizal bersaing dengan empat lagi calon lain iaitu AG, Aznil Nawawi, Din Beramboi dan Kieran. Manakala, dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular, Faizal bersaing dengan AC Mizal, Ally Iskandar, Aznil dan Nabil.

Secara peribadi, Faizal mengakui mara ke Top 5, ABPBH 2009 sudah cukup bermakna buat dirinya.

"Maklumlah, saya sudah dicalonkan sebanyak tiga kali dalam kategori Penyampai Radio Lelaki Popular tapi hanya dua kali saya menang. Saya juga tidak pernah menang dalam kategori Pengacara TV sekalipun pernah dicalonkan sebelum ini.


"Persaingan memang sengit kerana setiap calon mempunyai kelebihan tersendiri," katanya.

Faizal yang popular dengan gelaran FBI ini berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menang setiap kali dicalonkan.


"Kalau menang, ia memang rezeki tapi jika kalah, saya tidak akan kecewa dan tetap teruskan kerjaya seperti biasa. Seperti yang anda tahu, saya pernah kalah ketika tahun pertama dicalonkan di ABPBH sebelum ini," katanya.


Faizal bersyukur kerana bakat mula mendapat pengiktirafan orang apabila tersenarai ke Top 5, kategori Pengacara TV pada ABPBH 2009.


"Mungkin ia impak saya buat program Muzik-Muzik dan Anugerah Juara Lagu. Apatah lagi, saya bersaing dengan nama besar seperti Aznil Nawawi.

"Bagaimanapun, Aznil adalah calon yang paling memberi saingan sengit kepada saya dalam dua kategori berkenaan. Selain itu, AG dan Kieran yang juga gandingan penyampai Jawa atau Jawa Rangers menerusi segmen Hot FM Jam juga menjadi pilihan utama pendengar sebelah petang," katanya.

Apapun, ayah kepada seorang anak perempuan ini berkata, populariti dikecapi hari ini tidak sesekali membuatkannya lupa diri.


"Memang ada perbezaan apabila saya muncul di kaca TV. Pada tahun pertama, hanya 20 peratus saja orang kenal saya. Tapi kini ada peningkatan sebanyak 80 hingga 90 peratus.

"Maklumlah, saya bermula dari bawah sebelum berada pada tahap ini. Saya bersyukur kerana isteri dan anak cukup memahami bidang yang diceburi ini," katanya.


Pada sesi fotografi yang diatur Rap di Studio di Balai Berita, baru-baru ini, buat julung kalinya Faizal digandingkan dengan seorang lagi penyampai Hot FM, Anne.

Maklumlah, Faizal sudah sinonim dengan gandingannya dengan Fara. Manakala Anne pula sering digandingkan dengan rakan setugasnya dalam segmen Hot FM Zon, Ikhwan dalam sesi fotografi.

Faizal yang sudah empat tahun bersama stesen Hot FM sejak 2006 mengakui mereka jarang berjumpa walaupun mereka bekerja di bawah satu bumbung. Justeru tidak hairanlah masing-masing nampak kekok ketika digandingkan dalam sesi fotografi ini.

"Saya bertugas pada awal pagi dan Anne pula pada waktu malam. Kami hanya berjumpa ketika mesyuarat setiap Isnin iaitu seminggu sekali. Pada pandangan saya, Anne seorang yang berterus terang dan mempunyai prinsip dalam hidupnya. Dari segi program pula, gandingannya dengan Ikhwan memang sesuai untuk generasi muda dan golongan remaja," katanya.


Berbanding Faizal dan Fara, mungkin tidak banyak publisiti membabitkan Anne atau nama sebenarnya, Putri Andreanna Syigim Mohd Razalli, 29, dan gandingannya dengan Ikhwan dalam segmen Hot FM Zon yang ke udara dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.


Kata Anne yang menyertai Hot FM lebih tiga tahun lalu, populariti adalah soal kedua kerana yang penting segmen kendaliannya, Hot FM Zon mendapat tempat di hati pendengar.


"Tahun ini, segmen Hot FM Zon juga memperkenalkan dua program baru khusus buat pendengar setianya iaitu Zon Bengang yang ke udara jam 9 malam dan Zon Cintan pada jam 11 malam.

"Secara peribadi, saya belum puas dengan pencapaian sedia ada dan impian untuk mendapat lebih ramai pendengar mendengar segmen Zon ini.


"Pada masa sama, masih banyak kelemahan yang perlu dibaiki terutama dari segi penyampaian. Setiap kali mesyuarat, saya sering ditegur kerana kelemahan itu," katanya.

Anne berkata, dia juga boleh menerima teguran Faizal berbanding penyampai lain di stesen berkenaan.

"Mungkin kerana Faizal lebih senior dan lebih berpengalaman daripada saya dan hubungan kami seperti abang dan adik. Faizal tidak cakap banyak, tetapi tegurannya pedas dan semua orang akan beri perhatian," katanya.

Jika Faizal sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan, Anne pula lebih suka menyerahkan soal jodoh pada ketentuan Tuhan.

"Memang saya sudah mempunyai teman istimewa dan kami sudah berkawan selama empat tahun. Si dia orang biasa saja dan bekerja di belakang tabir.


"Sebenarnya, saya pernah menyasarkan usia 28 untuk menamatkan zaman bujang tapi tidak menjadi kenyataan. Justeru, saya tidak ingin letak sebarang sasaran lagi sekarang. Buat masa ini, saya ingin fokus pada kerjaya dulu," katanya.

>Profil
NAMA SEBENAR : Mohd Faizal Ismail
NAMA KOMERSIAL: Faizal Ismail dan FBI
TARIKH LAHIR : 19 Mei 1976
TEMPAT LAHIR : Jitra, Kedah
PENDIDIKAN: Ijazah Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (Penyiaran)
KERJAYA: Penyampai Hot FM (sejak 2006), pengacara dan pelakon
STATUS: Berkahwin
PROGRAM : Pengacara Sampaikan Aidilfitri di TV3 ( 2006) Rentak Syawal Bersama Digi di TV9 (2006), Muzik-Muzik (Mingguan) di TV3, Anugerah Juara Lagu 22, Hot FM AM KREW di 8TV (setiap pagi Isnin hingga Jumaat) dan Konsert Jomheboh. SUARA LATAR: Melodi di TV3 Kerjaya Saya (Astro Ria), Rejoice Reviving and Rebonding, Coca Cola, Ayamas, Proton Juara, KFC, Felisa Kosmetik, LOREAL, Astro, Colgate, F&N, TM Net, MAS, Lancome, Ridsect, Johnson and Johnson, Toyota, Nokia, Honda, Clorets, Darlie, Zon Aktif (Astro Ria) dan Galaxie (TV9)
DRAMA: Pemanduku Jutawan (13 episod yang kini diulang tayang di TV3).
TEATER: watak Jin dalam teater Aladdin di Istana Budaya pada Disember 2007
PENCAPAIAN: Penyampai Radio Lelaki Popular, ABPBH 2007 dan 2008
DUTA PRODUK Jacob's Walk Of Life (2007)

>Profil
NAMA SEBENAR: Putri Andreanna Syigim Mohd Razalli
NAMA KOMERSIAL: Anne
TARIKH LAHIR: 11 Januari 1981
ASAL: Taiping, Perak
PENDIDIKAN: IJazah Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam
KERJAYA: Penyampai Hot FM Zon (8 malam hingga 12 tengah malam) dan pengacara
STATUS: Bujang
PROGRAM: Kids gameshow 'Hugo' (Ntv7) (171 episod), Sukandotcom (RTM1), reality program Gangstarz musim 1 (TV3), program hiburan' Film di 9' (TV9), Carta Hotfm30@9 (TV9) dan Penolong penerbit Kompas (CH9).
IKLAN: Sunsilk Conditioner, Ayamas, TM, Canon.

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com