click 4 money

Showing posts with label konsert. Show all posts
Showing posts with label konsert. Show all posts

Saturday, February 20, 2010

Penangan anak Normadiah

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


GANDINGAN Azlina, Musly dan Liza meninggalkan kenangan manis kepada penonton Imbauan 2.

Vokal Azlina dan Liza dalam Program Imbauan 2 di Dewan Filharmonik Petronas bangkitkan nostalgia

SIAPA yang tak kenal dengan Allahyarhamah Seniwati Normadiah. Setiap kali figura hebat ini muncul di layar lebar, pasti akan ada yang menjuih bibir sebagai tanda membenci pelakon yang sering membawakan watak antagonis ini. Watak ibu tiri, isteri yang curang memang sering diberikan padanya. Namun, hakikatnya, Normadiah adalah antara pelakon yang cukup berkarakter pada zaman kegemilangannya.

Berikan apa saja watak padanya, pasti dia akan merealisasikan dengan baik. Namun pemilik nama asal, Norma Abdullah ini bukan saja hebat di pentas lakonan malahan dia juga berbakat dalam bidang nyanyian. Kerap juga suaranya digunakan sebagai penyanyi latar untuk sesebuah filem. Paling membanggakannya apabila dia diberi kepercayaan untuk berduet dengan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi lagu Bulan Dan Juga Angin yang dipetik menerusi filem Panggilan Pulau yang diterbitkan sekitar 1954.


Sehingga kini, lagu nyanyiannya masih terus dialunkan oleh penyanyi masa kini dan ada juga yang dirakam semula. Antara penyanyi yang pernah merakamkan lagu seniwati ini ialah Datuk Sheila Majid, Noraniza Idris dan juga anak kandung penyanyi itu sendiri, Azlina Aziz. Bak kata pepatah lama, ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Dan vokal milik Azlina dan juga adiknya Liza jelas saling tak tumpah seperti arwah ibunya.

Dan kelunakan serta kemerduan vokal mereka berdua itu dilontarkan mereka ketika menjayakan program Imbauan 2, yang berlangsung di lokasi berprestij, Dewan Filharmonik Petronas, KLCC, malam minggu lalu. Sebagai pewaris kepada seniwati terkenal itu, Azlina dan Liza dengan dibantu rakan duet, Musly Amir mereka menyampaikan kembali lagu yang pernah dinyanyikan Normadiah suatu ketika dulu.

Persembahan malam itu dimulakan dengan segmen prelude, iaitu persembahan muzik secara instrumental yang dialunkan oleh Kumpulan Seni Persembahan Petronas seramai 51 orang pemuzik itu. Setiap melodi yang dialunkan mempunyai terjemahan tersendiri terhadap karakter seniwati tersohor itu. Sewaktu segmen itu berlangsung, perhatian audiens tertumpu pada layar lebar yang menayangkan klip lakonan Normadiah bersama suaminya Allahyarham Aziz Jaafar.

GUBAHAN muzik pimpinan Ahmad Muriz buat penonton kagum.

Usai segmen itu, muncul Azlina mengenakan gaun labuh rona lemak ketam membawakan lagu Jangan Merajuk, yang dipetik dari album solo ibunya itu yang berjudul Sumbangsih-Ku.Tak perlu dipertikaikan kehebatan penyanyi yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang seni ini. Nyata, vokal gemersiknya adalah senjata utama untuk menyihir penonton untuk terus menyaksikan persembahan seterusnya.

Mengambil alih pentas selepas itu, Liza menyampaikan lagu Dewa Dewi. Lagu berentak inang ini dirakamkan oleh Normadiah di dalam album kompilasinya yang berjudul Dua Biduanita. Lagu ini juga pernah dirakamkan oleh Azlina sekitar tahun 80-an. Untuk persembahan malam itu, Dewa Dewi digubah semula oleh Mohd Husin Osman.

“Terima kasih kerana sudi hadir malam ini. Saya akui teruja dengan sambutan yang diberikan,” ujar Liza sambil diiringi tepukan gemuruh penonton yang terhibur dengan persembahannya itu.

Sesuai dengan tajuknya Imbauan, malam itu juga adalah malam mengimbas kembali nostalgia lama. Kedengaran juga ada tetamu yang bernyanyi-nyanyi kecil mengikut lirik yang dilantunkan kedua-dua penyanyi itu. Mungkin ada kenangan manis atau pahit yang terjadi membuatkan lagu yang dinyanyikan malam itu begitu dekat di hati mereka. Selain persembahan memukau Azlina dan Liza, turut cemerlang malam itu ialah Musly.

Azlina Aziz

Dengan pengalaman yang ada, Musly dengan mudah menjadikan pentas itu miliknya menerusi nyanyian dan lakonan bersahaja. Pemilihan Musly sebagai gandingan untuk kedua-dua penyanyi itu memang tepat kerana dia dengan mudah memberikan impak yang begitu baik terutama untuk lagu nostalgia seperti ini. Gaya nyanyiannya yang menyerupai Seniman Agung itu ditambah dengan aksi melucukan membuatkan hadirin yang hadir tak kering gusi dengan telatahnya itu.

Bekas juara Pertandingan Bintang P Ramlee 1984 itu menyampaikan lagu Mengapa Riang Ria bersama Liza dan bergandingan dengan Azlina menerusi lagu Itulah Sayang. Dia juga menyanyikan lagu medley Cinta Sejati, Sejiwa, Jangan Menjeling serta Apek dan Marjinah yang dipetik dari filem Ali Baba Bujang Lapuk. Lagu lain yang dinyanyikan termasuklah Penggodaan, Membelai Asmara, Janji Diikat dan Cahaya.Manakala lagu Seri Dewi Malam, Selendang Sayang serta Bulan Dan Juga Angin adalah lagu yang disampaikan secara instrumental oleh KSPP yang dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose.

Program yang diterbitkan Hartini Abdullah ini dibuat atas dasar ingin memberi ruang dan peluang kepada pemuzik muda KSPP untuk mengubah kembali lagu dari tahun 1950-an dan 1960-an dalam bentuk simfoni orkestra supaya menjadi lebih segar untuk diperdengarkan kepada penonton. Pada 2008, artis yang terpilih untuk menjayakan program ini ialah Datuk Khatijah Ibrahim.

Persembahan yang berlangsung selama dua malam berturut-turut itu turut dihadiri ramai selebriti tanah air seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Aziz Sattar, Azean Irdawaty, Nassier Wahab, Julie Dahlan, Fetty Dzul, Hail Amir dan Latiff Ibrahim.

Thursday, February 18, 2010

Satu suara yang 'gempak'!

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

SITI diapit Aizat (kiri) dan Faizal menghasilkan gandingan padu.

Gandingan vokal Siti, faizal dan Aizat di pentas IB tidak menghampakan

TIADA apa yang perlu dipertikaikan lagi. Segala persoalan mengapa Datuk Siti Nurhaliza menganjurkan konsert Satu Suara yang menampilkan Aizat dan Faizal Tahir akhirnya terjawab apabila dua penyanyi itu membuktikan bahawa mereka memang layak untuk menggalas tanggungjawab itu.

Mungkin sebelum ini ada yang bersikap skeptikal mengatakan apakah Faizal dan Aizat bersedia untuk menakluki tempat yang bukan calang-calang itu, sedangkan usia mereka dalam bidang seni tidaklah lama mana jika dibandingkan dengan ramai penyanyi senior lain.


Bagaimanapun, dalam nada tenang, Siti berkata dia percaya dan yakin kedua-dua penyanyi ini mampu menghiburkan pengunjung Istana Budaya (IB) dengan gaya dan persembahan mereka tersendiri.

Ternyata penilaian Siti terhadap dua penyanyi itu memang tidak tersasar. Selama lebih dua jam, persembahan Aizat dan Faizal nyata tidak menghampakan. Pentas penuh berprestij yang sebelum ini dilihat ‘suci’ kini sudah dicemari dengan irama rock yang cukup bertenaga dan menggegarkan suasana. Bukan tercemar dalam erti kata yang negatif, tetapi aura rock muzik rock sudah meresapi atmosfera IB.

Biarpun tidak sehebat tempat terbuka namun penonton masih boleh menghayati irama rock itu tanpa perlu segan dan ragu serta dibatasi dengan protokol yang mungkin tidak begitu sesuai untuk konsert rock. Mereka bebas menyanyi, menari dan mengikuti rentak lagu. Aizat dan Faizal berjaya menjadikan konsert mereka itu sebagai satu permulaan yang baik untuk tahun 2010 ini.

FAIZAL dan Aizat mempamerkan kehebatan masing-masing

Persembahan dibuka dengan lagu Saya Anak Malaysia, yang pernah dipopularkan oleh Dr Sam Rasputin suatu ketika dulu. Lagu yang disampaikan secara duet itu diubah sedikit liriknya untuk memperkenalkan asal usul kedua penyanyi berkenaan. Ketika lagi itu dinyanyikan, Aizat tampil keseorangan meneruskan persembahan.

Walaupun ini penampilan pertama dalam sebuah konsert berskala mega, Aizat bijak mengimbangi suasana. Tidak nampak gugup. Aizat santai ketika menyanyi. Tarikan utama penyanyi ini sudah pasti menerusi lagunya yang membuai perasaan serta vokalnya yang mantap. Satu demi satu lagu popularnya dinyanyikan. Ada ketika, dia menyanyi sambil memetik gitar ajaibnya.

Begitupun, Aizat perlu berbuat sesuatu bagi memantapkan lagi persembahannya iaitu memperbaiki teknik komunikasi bersama penonton.

“Aizat memang ada masalah dari segi komunikasi. Disebabkan itulah ketika kata-kata aluan, Aizat menggunakan teknik nyanyian dan memetik gitar sewaktu berbicara dengan penonton. Itu juga adalah satu kelainan,” katanya ketika ditemui selepas konsert itu berakhir.

DISEBALIK muzik rock, Siti tampil dengan imej feminin.

Selama 45 minit membuat persembahan, Aizat akui detik itu adalah kenangan manis buatnya.

“Ini pengalaman hebat dan tak mungkin dilupakan. Aizat tidak menyangka menempuh saat seperti ini. Selama 45 minit membuat persembahan, Aizat akui ia belum memuaskan. Mungkin untuk hari seterusnya nanti, Aizat akan beri yang lebih baik lagi,” katanya yang menyampaikan rangkaian lagu popularnya seperti Kau Aku, Fikirlah, Susun Silang Kata, Lagu Kita, Pergi dan Hanya Kau Yang Mampu. Kesempatan itu juga digunakan Aizat menyanyikan lagu secara medley dari kumpulan yang menjadi idolanya iaitu The Beatles.

Faizal lepas geram?

KALI terakhir membuat persembahan di khalayak ramai ketika Anugerah Juara Lagu lalu. Ketika itu, Faizal menyanyikan lagu Bencinta dalam keadaan bertongkat. Namun pada malam itu, tongkat itu tidak kelihatan. Dengan kudrat yang ada, Faizal memberikan hiburan terbaik buat penonton di IB yang sudah awal membeli tiket bagai menyaksikan konsert itu.

“Terus terang, kaki saya memang sakit. Saya mula terasa sewaktu naik ke pentas untuk menyanyikan rangkaian lagu popular Queen. Tapi saya tak mahu memikirkan kesakitan itu kerana tanggungjawab pada masa itu untuk menghiburkan mereka menyaksikan persembahan ini.

“Namun, saya tak mahu mengatakan yang sanggup mengambil risiko kerana menyanyi dalam keadaan sakit. Tapi, itu tanggungjawab saya pada penonton dan tidak ada apa yang lebih membuatkan saya gembira dan puas selain mendengar mereka terhibur,” kata Faizal yang masih belum pulih sepenuhnya itu.

Biarpun dikatakan sakit, namun melihat kepada aksi penyanyi lagu Mahakarya Cinta ini, dia tetap aktif dan dilihat seolah-olah melepaskan geram dengan membuat aksi yang inonim dengannya.

“Ini bukan lepas geram seperti yang sering disangkakan. Pada saya, ini adalah kerja saya dan saya harus lakukan dengan baik dan mengikut cita rasa dan muzik saya. Orang sering ingat yang saya sama macam di atas pentas. Kalau dipentas, memang aksi saya agak aktif atau macam ‘brutal’ tapi di luar tidak begitu,” jelasnya.

Sementara itu, persembahan yang ditunggu-tunggu penonton di konsert 1 Suara ini adalah kemunculan Siti yang menyanyikan lagu rock. Selain berduet dengan Aizat dan Faizal menerusi lagu yang pernah dipopularkan kumpulan penyanyi lain, dia juga menyanyikan lagu popularnya Biarlah Rahsia yang digubah kembali muziknya bagi menepati tema konsert itu.

Tak perlu bersuara serak ataupun menampilkan aksi agresif, Siti tetap mempunyai elemen rock. Malah, sehingga kini masih terngiang-ngiang lagu Sejati dari kumpulan Wings yang dibawakan dalam konsert itu.

‘Dari segi lagu, Siti berbincang dengan mereka dan selepas masing-masing bersetuju, barulah kita fikirkan rentak apa yang sesuai untuk dinyanyikan. Melihat persembahan malam ini, Siti gembira dan puas hati.

“Berdasarkan sambutan, itu sudah cukup menggambarkan satu kejayaan buat mereka. Harapan Siti moga mereka dapat buat yang lebih baik lagi selepas ini,” kata Siti.

Mengenai pakaiannya pada konsert ini yang hampir dengan konsert solo sebelumnya ini, Siti menjelaskan dia mahu muncul lebih feminin manakala Faizal dan Aizat pula dibiarkan dengan imej rock.

“Memang Siti minta pada pereka pakaian Siti supaya menampakkan Siti lebih feminin. Pada Siti, biarlah mereka saja yang tampil dengan imej rock,” katanya.

Konsert pembukaan yang juga Malam Gala Yayasan Malaysia itu turut dihadiri Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan isteri serta mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Konsert terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. (SNP) dengan kerjasama IB ini diketuai oleh Jennifer Thompson dengan menggunakan tujuh pemuzik profesional. Ia dipimpin oleh pengarah muzik, Sze Wan diiringi 20 pemain muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Wednesday, February 10, 2010

Karya enam lagi komposer tempatan di DFP


RENTETAN MPO Forumplus yang diadakan pada bulan Jun tahun lalu, Program Pendidikan & Luaran MPO (atau Encounter) dengan bangganya mempersembahkan sebuah konsert khas untuk MPO Forumplus Fasa 2 yang akan memperdengarkan untuk pertama kali karya simfoni enam komposer tempatan pada 20 Februari mulai 8.30 malam di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Salah satu program penting dalam kalendar tahunan Encounter, MPO Forumplus adalah kesinambungan program MPO Forum Untuk Komposer Malaysia yang dianjurkan pada tahun 2007. MPO Forumplus ini menjejaki aktiviti MPO Forum yang telah melahirkan 30 karya berbentuk simfoni orkestra dari 12 komposer tempatan.

MPO Forumplus ialah sebuah program bukan pertandingan dan platfom unik untuk komposer tempatan berkarya untuk muzik simfoni orkestra. Dalam proses melahirkan karya ini, mereka berpeluang mempertajamkan bakat dan berkerja di dewan berakustik terbaik bersama pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia. Ini sekali gus membawa bidang seni penciptaan lagu tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

Projek ini berjalan selama dua tahun dan setiap komposer diberikan seorang pemuzik MPO sebagai mentor.

Pengurus Encounter, Soraya Mansor berkata, “Ini adalah platform yang berguna untuk komposer Malaysia bekerjasama dengan pemuzik MPO. Karya mereka akan dipersembahkan oleh MPO dan bakal diperdengarkan untuk pertama kalinya kepada masyarakat. Ini adalah peluang yang jarang diperoleh untuk bakat tempatan untuk bersinar dan mengasah skil dalam suasana yang profesional. Kami amat teruja dengan potensi projek ini dan menyeru rakyat Malaysia menyaksikan persembahan karya ini.”

Tahun lalu, enam komposer telah dijemput untuk mempersembahkan muzik ‘chamber’ (berdurasi pendek). Untuk Fasa 2 ini, mereka diminta mencipta karya untuk muzik orkestra yang berdurasi lebih panjang. Untuk menggalakkan penciptaan karya yang berbentuk lebih global, semua komposer diminta memasukkan elemen seni tempatan.

Menyelia projek ini ialah panel yang dianggotai komposer antarabangsa Gerard Brophy dan komposer tempatan Vivian Chua, di samping Pengarah Forumplus Kevin Field.

Kevin Field berkata, “Kesemua enam karya mempunyai kontras yang ketara dan memerlukan skil yang pelbagai dari pemuzik orkestra. Saya berharap kumpulan ini dapat memperdengarkan muzik gabungan elemen tradisional dan moden. MPO Forum ialah program penting kami dan berharap semua akan menyokong karya baru ini.”

Komposer yang terpilih adalah Wong Chee Yean dengan karya bertajuk Triptych, Tzu-En Ngiao (Gazelle Rain Petals), Zihua Tan (Omniya), Wong Chee Wei (A Wonderful Day), Isaac Chia (Gambaran Tarian Singa) dan Isabella Pek (Festive Suite).

INFO: Maklumat Konsert

  • Tarikh
    Sabtu, 20 Februari 10 pukul 8.30 malam

  • Tempat
    Dewan Filharmonik PETRONAS
    Menara Berkembar PETRONAS

  • Orkestra/Konduktor Malaysian Philharmonic Orchestra Kevin Field

  • Harga Tiket
    RM30 (untuk orang awam) & RM15 (untuk pelajar)

  • Waktu Operasi Box Office
    Isnin ke Sabtu:10.00 pagi - 6.00 petang, 9.00 malam (pada hari persembahan)

  • Ahad: 12.00 tengahari hingga waktu persembahan

  • Tempahan Telefon: 03- 2051 7007 Tempahan Fax: 03- 2051 7077

  • Tempahan Email: dfp_boxoffice@petronas.com.my

  • MPO laman web: www.mpo.com.my
  • click2..

    sponsor links

    Fitness pro’s deluxe form kit
    Read this book
    www.fitnessbusinessforms.com

    Fat Loss Action Blueprint
    See To Believe
    www.fatlossactionblueprint.com/

    Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
    Tried And Tested
    www.nailtechsuccess.com