click 4 money

Showing posts with label teater. Show all posts
Showing posts with label teater. Show all posts

Sunday, February 28, 2010

Ellie Suriaty tarik diri?

roses@hmetro.com.my
Oleh Ramlah Zainal

SIDANG media selepas pratonton teater muzikal Antara... di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), malam kelmarin 'panas' apabila pengarah Ellie Suriaty didakwa meninggalkan set latihan teater itu pada saat akhir iaitu 22 Februari lalu.

Produser dan penulis skrip teater itu, Erma Fatima, berkata Ellie meninggalkan set berkenaan tanpa pengetahuannya.


"Ellie hanya memberitahu produser bersama teater ini (yang enggan namanya disebut) mengenai tindakannya itu. Justeru, saya terpaksa mengambil alih pementasan ini selama tiga hari sehinggalah teater ini berlangsung," katanya.


Ditanya kenapa Ellie berbuat demikian, Erma berkata: "Saya tidak mahu komen tentang perkara ini kerana ia akan mengaibkan orang lain (Ellie)." Ketika diminta mengulas gosip Erma dikatakan cuba campur tangan tugas Ellie sebagai pengarah sehingga beliau meninggalkan set berkenaan, Erma tidak menafikannya.


"Saya memang bekerja sebagai pengarah dan penulis skrip di luar sana dan sudah pasti saya ingin memberi sentuhan akhir kepada pementasan ini. Salahkan saya untuk mempertahankan karya ini demi kebaikan bersama? "Memang Ellie yang membina rumah ini dan saya yang memberi sentuhan akhir saja selaku produser. Malah saya sendiri malu nak mengaku saya pengarah bersama teater ini kerana dia (Ellie) yang mengarahnya," kata Erma.


Malah Erma akui, Ellie juga meminta pihaknya supaya tidak menyebut namanya sebagai pengarah teater itu pada malam pratontonnya, kelmarin.

"Saya menghormati permintaannya itu. Terus terang, saya tidak menghalau Ellie dari set pementasan teater ini seperti yang digosipkan, sebaliknya saya yang mengundang dia untuk mengarahkan teater ini. "Saya tidak kecewa dengan apa yang berlaku kerana Antara... adalah 'air tangan' Ellie. Biarlah orang nak kata yang buruk pasal saya tapi saya tidak akan mengaibkan orang lain. Apatah lagi, ini teater sempena sambutan Maulidur Rasul," katanya. Ditanya kenapa dia mengambil Ellie mengarahkan Antara..., Erma berkata, dia mahu memberi peluang kepada Ellie untuk menonjolkan kredibilitinya.


"Bukan saya tidak mahu mengarah tapi saya agak sibuk ketika ini. Kami pernah bekerjasama dalam drama sebelum ini dan dia juga sudah tahu cara saya bekerja. Saya pilih Ellie kerana dia pelakon yang sangat bagus. Dari segi pengarahan pula, saya memang tidak pernah melihat dia mengarah teater sebelum ini.


"Sepanjang sesi latihan teater ini yang dimulakan lebih dua minggu lalu, saya akui Ellie pengarah yang sangat taksub pada kerjanya. Komitmennya pada kerja juga luar biasa dengan bekerja dari pagi hinggalah ke malam," katanya.


Secara peribadi, kata Erma, dia sudah memaafkan Ellie sejak hari pertama pelakon itu meninggalkan set berkenaan.


"Saya tetap menganggap teater Antara... arahan Ellie Suriaty. Saya rasa malu untuk mengaku Antara... arahan saya kerana saya hanya ambil alih selama tiga hari saja dengan sesi latihan membabitkan pelakon mula masuk ke pentas. Bayangkan pada masa sama, saya juga pelakon dalam teater ini," ujarnya. Erma berkata, dia tidak serik untuk bekerja dengan Ellie pada masa depan.


"Saya tidak ada masalah jika ada peluang untuk bekerjasama dengannya lagi pada masa depan. Sebenarnya, saya sudah bosan dilanda kontroversi seperti ini. Sebagai pengarah, saya memang tidak serik untuk mengarah teater kerohanian pada masa depan," katanya. Isnin lalu, ketika penulis meninjau sesi latihan teater itu di IB, Erma masih cuba menyorok perkara sebenar dengan memberitahu Ellie tidak datang pada malam itu kerana kurang sihat.


Malam kelmarin, pihak media yang membuat liputan masih belum berjaya mendapatkan komen Ellie berhubung isu itu walaupun ada pihak ternampak Ellie berada dalam Panggung Sari sewaktu pementasan itu berlangsung. Namun selepas selesai, dia dikatakan terus menghilangkan diri.


Mengulas pula mengenai babak 'Nabi Adam & Hawa' yang dipaparkan dalam teater Antara..., Erma berkata, dua sudah mendapat kelulusan terlebih dulu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


"Sehari sebelum pratonton, kami sudah menjemput pihak Jakim untuk menontonnya terlebih dulu. Pihak Jakim sudah meluluskan babak itu dan membenarkan babak itu digambarkan di sebalik tabir saja bagi mengelakkan sebarang isu timbul," kata Erma.


Muzikal dakwah Antara... dipentaskan jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula semalam hingga Ahad ini. Ia menyajikan 16 lagu kerohanian yang dinyanyikan enam penyanyi popular seperti Jamal Abdillah, Hattan, Ziana Zain, Lan Typewriter, Iqwal dan Wana.

Sebanyak 16 lagu sedia ada seperti Melawan Arus, Di Balik Cermin Mimpi, Istana Menanti (Rahim Maarof) Adam Hawa, Makhluk Tuhan Paling Seksi (Mulan), Arjuna dan Laska Cinta (Dewa), Mentari Di Ufuk Timur dan Meniti Titian Usang (Search), Kepadamu Kekasih (M Nasir), Andaiku Tahu (Ungu), Pergi Tak Kembali (Rabbani) dan Jika Syurga & Neraka Tiada menjadi latar penceritaan teater muzikal ini.


Teater muzikal ini dijayakan Azhan Rani, Azizah Mahzan, Fahrin Ahmad, Nasha Aziz, Haerianto, Syammas, Soosan Hoh dan ramai lagi.

Monday, February 22, 2010

Antara... beri keinsafan

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

ANTARA kasih dan benci, rindu dan dendam serta syurga atau neraka! Hakikatnya, manusia tidak pernah lekang dengan dosa. Dihasut permintaan duniawi dan gaya kehidupan di tengah kota membuatkan kita sering alpa dalam menongkah hayat.

Mengangkat tema kerohanian, naskhah ini bukan mudah untuk diterjemahkan. Sekalipun pernah mengarah teater sebelum ini, tekanan digalas Ellie Suriaty kini lebih hebat daripada sebelumnya.


“Teater ini berkaitan dengan agama, malah lebih menjurus kepada kehidupan masyarakat masa kini. Selain itu, ia membabitkan asal usul kejadian umat manusia. Pertama kali mendengar jalan ceritanya, saya dapat mengagak ia bukan satu kerja mudah.


“Jujur, sewaktu ditawar mengarah teater ini, saya cuba tolak kerana tahu cabaran besar yang terpaksa diharungi. Saya sedar tanggungjawab ini cukup berat tetapi peluang sebegini bukan selalu hadir, apatah lagi naskhah yang bakal diarahkan itu memerlukan kreativiti yang bukan sedikit. Mengenangkan perkara itulah, maka saya sahut cabaran diberi.


“Alhamdulillah, dengan bantuan tenaga produksi yang cekap dan tahu tugas masing-masing serta pelakon hebat serta kehadiran penyanyi terkenal, saya yakin teater ini pasti berjaya. Ditambah lagi dengan jalan cerita yang menarik, pasti ia dapat memancing perhatian pencinta teater.

“Bukan mahu berbangga hasil kerja sendiri, sebaliknya tema, jalan cerita, pelakon, dan pementasannya memang menarik. Merungkai bagaimana Adam dan Hawa bertemu hingga kehidupan manusia zaman ini yang sering lalai dengan godaan syaitan dan nafsu menjadi paparan yang unik,” katanya.


Pementasan ini menyaksikan aktor Fahrin Ahmad bergandingan dengan Nasha Aziz sebagai Adam serta Hawa selain Azizah Mahzan, Azhan Rani, Haerianto dan Soosan Hoh yang memainkan peranan penting membentuk naratif teater ini.


Menurut Erma, teater ini diterbitkan atas dasar mahu menyuntik kesedaran kepada orang ramai. Jelasnya, selagi umat Islam hanyut dalam arus dosa, selagi itulah Islam akan terus diperkotak-katikkan.


“Atas rasa tanggungjawab terhadap sesama saudara seagama, maka muncullah teater Antara.... Biarpun berteraskan cerita kerohanian, penyampaiannya menghiburkan, malah ramai akan hiba serta menitiskan air mata menontonnya.


“Judul asal teater ini sepatutnya Jika Tiada Syurga dan Neraka, Masihkah Kita Menyembah Tuhan?, namun apabila ada yang mempertikaikan ia boleh merosakkan akidah, saya ubah menjadi Antara Syurga dan Neraka. Begitupun, ia masih mendapat bantahan dan akhirnya, Antara... dipilih.


“Jujur saya katakan, jalan ceritanya sedikit berat tetapi sesuai untuk tontonan semua. Apabila bermain dengan fakta agama, saya tidak mahu tersilap langkah lalu menimbulkan kontroversi.


“Jadi, saya mendapatkan nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai apa yang boleh dan apa yang dilarang untuk dimasukkan dalam teater seperti ini. Alhamdulillah, beliau sudi berkerjasama,” katanya.

Bagi yang berminat menonton Antara..., tiket karya terbitan Antipop Event Solutions Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya ini boleh dibeli pada harga RM250, RM200, RM150, RM100, RM70 dan RM50 menerusi layari www.ticket2u.biz.

Thursday, February 18, 2010

Jawablah! Bukan rezekinya

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Keno (tujuh dari kiri) bersama pelakon teater Seri Mersing selepas menghadap Sultan Pahang.

Kegagalan serah jadual ikut kehendak produksi punca tidak tersenarai dalam teater Seri Mersing

TENANG saja suaranya dihujung talian. Sedikitpun tidak melenting ketika Hip meminta penjelasan daripadanya berhubung isu produksinya tidak profesional seperti yang didakwa oleh pelakon Fizz Fairuz dalam ruangan ini minggu lalu. Dakwa pelakon itu ketika ditemubual mengenai statusnya di dalam teater Seri Mersing, dia bagai diperkotak-katikkan oleh produksi terbabit kerana tidak mahu memberikan kata putus walhal sebelum ini dia mendakwa namanya sudah dicanang sebagai pelakon utama dalam teater itu.

Menurut Fiz, selepas cerita itu tersebar, produksi terbabit terus bermain tarik talinya sehingga membuatkan dirinya terasa seperti dipermainkan. Lebih membuatkan pelakon ini kecewa adalah apabila produksi terbabit memilih orang lain untuk memegang watak Damak itu sedangkan dia sudah pun menolak beberapa tawaran berlakon hanya kerana ingin memberikan sepenuh komitmen terhadap teater itu.


Walaupun agak berat mahu mengulas perkara itu namun demi kebaikan dua belah pihak penerbit teater itu, Megat Mohd Noor Salleh atau lebih akrab di sapa sebagai Keno akhirnya bersetuju untuk membuat penjelasan. Kata Keno, apa yang berlaku sebenarnya adalah berpunca dari sikap dan gelagat pelakon itu sendiri.

Hip: Sudah baca kenyataan Fizz (dalam Hip pada 10 Februari lalu)? Apa reaksi anda?

Keno:
Saya sudah membacanya dan saya akui agak terkejut juga dengan apa yang didakwanya itu. Sebenarnya kalau boleh saya memang tak mahu mengulas perkara ini kerana teater ini membabitkan pihak istana memandangkan Sultan Pahang adalah penaung teater ini. Jadi semua kenyataan perlulah mendapat kebenaran dari pihak istana. Lagipun, saya sendiri memang tidak mahu memanjangkan perkara ini kerana industri hiburan kita ini kecil. Pusing-pusing, kita akan bertemu dengan muka yang sama. Jadi biarlah dia saja yang membuat kenyataan.



Hip: Tapi dia mendakwa produksi anda tidak profesional apabila cuba bermain tarik tali dengannya.

Keno:
Tidak profesional bagaimana yang dimaksudkannya? Kalau benarlah produksi ini tidak profesional, tentunya tidak ramai pelakon yang berani untuk berlakon di bawah produksi ini. Masakan pelakon senior seperti Datuk Mustapha Maarof, Datin Rosnani Jamil dan Fauziah Nawi sanggup berlakon dalam teater ini. Malah, teater ini juga dinaungi oleh Sultan Pahang, Duli Yang Mulia Sultan Haji Ahmad Shah. Saya faham dalam situasi seperti ini, mungkin amat berat untuk Fizz menerima realitinya tapi pada saya, semuanya bergantung pada rezeki. Mungkin teater ini bukan rezekinya.

Hip: Kalau begitu mengapa mencanangkan namanya sebagai pelakon utama yang memegang watak Damak?

Keno:
Untuk pengetahuan semua, kami tidak pernah mengumumkannya sebagai pelakon utama teater itu. Watak Damak itu pada awalnya, saya tawarkan kepada Rosyam Nor. Namun disebabkan pelakon itu sudah ada komitmen lain, dia memaklumkan pada saya awal-awal yang dia terpaksa menolak tawaran itu. Kemudian, kami tawarkan watak Damak itu kepada Zamarul Hisham. Malangnya Zamarul juga tidak dapat memenuhi tawaran itu kerana terbabit dengan komitmen lain. Untuk teater ini kami memang menitikberatkan soal pelakon dan dua nama tadi pada kami memang sesuai dengan watak Damak. Pada Fizz, saya mahukan dia membawakan watak Merah, iaitu anak kepada Damak. Cuba bayangkan dua pelakon tadi bergandingan dengan Fizz, tentu menarik bukan?

Hip: Apa masalah sebenarnya sehingga nama Fizz tiada langsung dalam teater ini?

Keno:
Sebenarnya perkara itu berpunca dari pelakon itu sendiri. Masalah kecil saja iaitu saya ada meminta jadual pelakon itu. Malangnya sehingga ke hari saya mahu memaklumkan nama pelakon kepada pihak istana, Fizz langsung tidak memberikan apa yang saya minta. Teater sebenarnya menuntut satu pengorbanan yang cukup tinggi. Tujuan saya meminta jadual kepada setiap pelakon bertujuan untuk memastikan mereka tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran lain. Terus terang, saya tidak gemar andai ada pelakon teater ini terkejar ke sana ke mari kerana terbabit dengan komitmen lain yang sudah dipersetujui awal. Teater memerlukan latihan yang kerap serta pelakon perlu fokus dengan tanggungjawabnya. Jadi, dengan memberikan jadual sekurang-kurangnya saya tahu yang komitmen mereka hanyalah untuk teater ini. Dalam hal ini, Fizz berbuat demikian. Jika Fizz menyerahkan jadualnya pada saya, saya percaya pasti dia juga terbabit dalam teater ini. Lagipun, sebelum ini ada sesi memperkenalkan pelakon kepada Tuanku. Jadi pastinya setiap pelakon yang terpilih, diwajibkan hadir. Bagaimanapun, ketika saya bertanyakan hal ini kepada Fiz sama ada dia bersetuju untuk hadir, tetapi apabila dihubungi lagi dia mengatakan yang belum bersedia atas alasan tidak mempunyai pakaian yang sesuai. Jadi, itu juga adalah faktor lain menyebabkan namanya tidak tersenarai sebagai pelakon.

Hip: Mungkin peluang Fizz akan terbuka lagi selepas ini atau sudah ditutup?

Keno:
Seperti yang saya katakan tadi, ini semua bergantung kepada rezeki. Bagi saya, saya tak ada masalah dengan Fizz. Saya anggap apa yang berlaku ini bukan rezekinya. Insya-Allah, kalau ada peluang lain yang sesuai, saya akan tawarkan lagi padanya. Dan saya juga ingin meminta maaf kepada Fizz jika apa yang berlaku ini menyusahkannya. Pada saya perkara ini sudah pun selesai dan saya tak mahu ia dipanjangkan lagi. Industri ini kecil untuk kita bermasam muka antara satu sama lain.

Wednesday, February 17, 2010

Sidang media air mata


Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


PELAKON yang hadir pada sidang media teater muzikal Antara...

Teater Antara... yang berkisar soal perjuangan Rasulullah SAW sentuh hati produser, pengarah dan pelakon

ENTAH mengapa, air mata menjadi begitu murah dalam majlis sidang media teater Antara... yang berlangsung di bilik Nilam Sari, Istana Budaya, petang Khamis lalu. Sewaktu memberikan kata-kata aluan dalam majlis itu, tiba-tiba suara penerbitnya, Erma Fatima bertukar sebak, lantas manik-manik jernih berlinangan di pipinya.

Suasana terus menjadi sayu apabila pengarah teater berkenaan, Ellie Suriaty juga beremosi ketika berbicara sehinggakan mengalir air mata. Peristiwa tidak disangka-sangka itu turut mencuit perasaan tetamu yang hadir. Masing-masing tertanya-tanya sesama sendiri, apakah yang menyentuh perasaan mereka sehingga air mata yang berharga itu ditumpahkan dalam majlis itu.


Bayangkan, bukan saja Erma dan Ellie yang tersentuh hati sewaktu menghadiri acara itu tetapi perasaan itu turut dikongsi bersama pelakon utamanya, Nasha Aziz. Sebaik saja pelakon jelita ini melangkahkan kaki ke bilik ini dan mengambil tempat duduk, kelihatan dia mengeluarkan kertas tisu sambil mengesat hujung matanya. Malah, sewaktu ditemubual media, laju air mata pelakon dan model jelita ini mengalir seolah-olah ada sesuatu yang mengusik jiwa wanitanya.

Nyata, bukan mudah memikul tanggungjawab untuk membawakan naskhah tulisan Erma ini. Cukup berat dan bukan calang-calang orang mampu menggalas amanah itu. Bagi Nasha, membawakan watak yang ada kaitan dengan kisah perjuangan Rasulullah dan dan Nabi Adam A.S cukup membekas dalam jiwa serta emosinya. Jika tidak masakan air mata menjadi peneman ketika temu bual dijalankan.

“Apabila terbabit dalam teater yang mengenang kisah kelahiran dan perjuangan Rasulullah SAW, hati dan perasaan saya cukup sedih dan sayu. Serta merta teringat akan kekurangan diri, kejahilan serta kerdilnya diri ini. Sebagai manusia yang pastinya tidak sempurna, membawakan watak seperti ini memberikan impak yang cukup besar terutama dalam hal emosi diri ini.

ERMA (dua dari kanan), tidak dapat menahan sebak pada majlis sidang media teater muzikal Antara...

“Saya adalah seorang yang menjadikan Rasulullah sebagai idola. Saya begitu tertarik dengan perjalanan hidupnya. Malah saya juga banyak membaca kisahnya sehingga saya dapat merasakan betapa sukarnya baginda menegakkan syiar Islam. Namun demi umatnya, baginda teruskan juga walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran. Kesukaran yang dilalui itulah yang menginsafkan saya.

“Semangat dan perjuangannya itulah yang menjadi inspirasi buat saya membawakan watak Hawa ini. Walaupun wataknya kecil, tapi saya percaya ia mampu memberikan satu impak yang besar kepada penonton terutama dalam memberikan pengajaran yang berguna,” tutur Nasha sambil mengesat air mata di pipi.

Tidak seperti watak lain yang boleh dijadikan sumber rujukan, Hawa memberikan peluang kepada Nasha untuk menterjemahkan karakter itu mengikut apa yang dia sendiri rasa dan fikirkan.

“Selain berpandukan kepada skrip yang diberi, saya cuba membawakan watak Hawa mengikut pemahaman saya sendiri. Lagipun, kita juga bertindak mengikut garis panduan yang disediakan supaya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak,” katanya yang cukup terharu apabila ditawarkan watak itu.

TEATER Antara... gandingan Fahrin dan Nasha.

Menerusi teater ini, Nasha akan digandingkan dengan pelakon kacak, Fahrin Ahmad yang membawakan watak sebagai Adam. Melihat kepada posternya, kelihatan Fahrin mengenakan pakaian menyerupai lelaki Greek sekali gus mendedahkan sebahagian daripada tubuh sasanya. Apakah ini sememangnya strategi yang digunakan oleh pihak produksi untuk menjadi umpan kepada penonton menyaksikan teater ini.

Menjawab pertanyaan nakal itu, Ellie berkata apa yang mereka lakukan itu bukanlah sengaja mahu mencipta kontroversi tetapi ia memang bersesuaian dengan jalan cerita teater itu.

“Seperti yang kita sedia maklum, sewaktu di dalam syurga, Adam dan Hawa tidak mengenakan seurat benang. Jadi untuk merealisasikan situasi itu pada masa kini agak mustahil. Jadi itulah sebabnya kita tampilkan Adam mengenakan pakaian seperti itu supaya konsepnya tidak lari serta tidak mencetuskan kontroversi.

Biarpun sudah mengarahkan teater sebelum ini, namun menurut Ellie, tekanan yang dihadapi tidaklah sehebat yang dilaluinya kini. Sebagai sebuah teater yang ada kaitan dengan agama, apatah lagi membabitkan asal usul kepada umat manusia, tentunya dia perlu berhati-hati supaya tidak ada yang mempertikaikan usaha mereka itu.

“Sejujurnya sewaktu ditawarkan Erma mengarahkan teater ini, saya cuba menolaknya kerana saya tahu cabaran besar terbentang di depan mata. Saya tahu tanggungjawabnya cukup berat. Tapi sebagai anak seni, peluang seperti ini bukan selalu hadir. Apatah lagi jika naskhah yang bakal diarahkan itu memerlukan kreativiti yang bukan sedikit. Mengenangkan perkara itulah maka saya sahut cabaran Erma.

“Dan alhamdulillah, dengan bantuan tenaga produksi yang cekap dan tahu akan tugas masing-masing serta pelakon yang hebat serta kehadiran penyanyi terkenal, saya yakin teater ini pasti berjaya,” ujar Ellie optimis. Antara pelakon lain yang terbabit dalam teater itu termasuklah Azizah Mahzan, Azhan Rani, Haerianto dan Soosan Hoh.

Penonton juga akan dihiburkan dengan nyanyian berunsurkan ketuhanan dari penyanyi terkenal tanah air seperti Jamal Abdillah, Ziana Zain, Hattan, Azlah Typewriter, Iqwal dan Wana.

Tiga kali tukar tajuk elak kontroversi

TEATER ini diterbitkan atas niat ingin menangkis pelbagai serangan terhadap agama Islam. Erma, selaku penerbit menegaskan, selagi umat islam terus alpa dan hanyut dalam arus dosa, selagi itulah Islam akan terus diperkotak-katikkan. Jadi, atas rasa tanggungjawab terhadap sesama saudara seagama, maka muncullah Antara... yang akan memberikan manusia pilihan iaitu antara kasih dan benci, antara rindu dan dendam serta antara syurga dan neraka.

Tidak dinafikan, apa saja buah tangan pengarah wanita terkenal ini, pasti akan mencetuskan kontroversi. Malah, belum pun ditayangkan, kontroversi sudah pun bermula apabila tajuknya menjadi perdebatan pelbagai pihak.

“Tajuk awal yang diberikan untuk teater ini adalah “Jika tiada syurga dan neraka, masihkah kita menyembah Tuhan?” Tapi apabila ada yang mempertikaikan tajuknya kerana ia seolah-olah membabitkan akidah, maka saya ubah menjadi antara syurga dan neraka. Bagaimanapun, ia tetap mendapat bantahan dan akhirnya, saya berikan tajuk Antara...

“Saya tahu teater ini mungkin akan mencetuskan kontroversi kerana tema dan inti pati ceritanya. Tapi sebelum ia menjadi naskhah untuk dipentaskan, saya terlebih dulu mendapatkan nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai apa yang boleh dan apa yang dilarang jika mementaskan teater seperti ini. Dan alhamdulillah, dia mudah memberikan kerjasama,” ujar Erma yang turut mengundang tokoh ilmuwan islam itu ke majlis sidang media berkenaan.

Hadir sama, penerbit teater terbabit, Azmi Zainal Abidin serta mereka yang terbabit dalam teater itu seperti Azizah Mahzan dan Fahrin Ahmad.

Teater yang dibawakan oleh Antipop Event Solutions Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya ini akan dipentaskan di Panggung Sari pada 26, 27 & 28 Februari depan. Harga tiket adalah RM250, RM200, RM150, RM100, RM70 dan RM50 atau layari www.ticket2u.biz.

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com