click 4 money

Friday, April 23, 2010

Trauma putus kasih berakhir

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

"MUNGKIN inilah fotografi terakhir dan saya sudah menolak semua tawaran berlakon. Tugas saya sebagai pengacara rancangan Chopp! di TV9 pun sudah ditamatkan kontrak. Saya sudah hantar surat kepada TV9 minta dilepaskan", begitu kata-kata penuh kejutan Sherry Ibrahim yang ditemui, baru-baru ini.

pix_middle
Sherry atau nama sebenar, Syarizad Ibrahim, 27, bukanlah merajuk atau kecewa dengan industri hiburan tanah air, tetapi dia terpaksa beralih arah untuk mencari kehidupan yang lebih baik serta menjamin masa depannya.

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, meskipun baru tiga tahun menceburi bidang seni, dia tidak boleh berada di situ sampai bila-bila. Tiada jaminan yang hakiki, katanya. Dia juga menjelaskan terpaksa meninggalkan bidang seni untuk membuat perkara yang lebih disukainya.

"Saya akan berusaha memenuhi segala impian sebelum berumah tangga. Kalau diizinkan Allah S.W.T saya berhasrat menamatkan zaman bujang tiga tahun lagi. Jadi sebelum jodoh itu sampai, saya mahu menikmati kebebasan kerjaya ini.

"Tahu sajalah apabila sudah bersuami, tempat saya adalah bersamanya. Kalau dia memberi kebebasan pun, sejauh mana sangatlah saya boleh pergi. Selepas sembuh luka di hati sekarang, saya berkawan dengan seseorang, tetapi masih pada peringkat mengenali hati budi.
"Dia sekarang menuntut di luar negara. Jadi sementara menunggu keputusan yang pasti, biarlah saya melaksanakan cita-cita saya dulu," katanya.

Bagaimanapun, ke mana hala tujunya selepas ini, Sherry masih enggan memberitahu. Katanya, selepas semuanya sah, barulah dia akan beritahu.

"Sebenarnya saya hendak bersara bukan kerana berlakon tidak boleh hidup senang, tapi mahu beralih angin kepada bidang yang saya lebih gemari. Kalau ada peluang membaiki taraf hidup, kenapa saya hendak biarkan saja ketika masih sihat?" katanya.

Selama tiga tahun menjadi anak seni, Sherry akui gembira kerana dapat menimba pengalaman baru dan berjumpa ramai kawan baru. Malah dalam industri ini juga cintanya pernah bersemi dengan pelakon Ashraf Muslim malangnya hubungan mereka hancur berkecai.

Sebelum berlakon, Sherry pernah berkhidmat sebagai pramugari Penerbangan Malaysia (MAS). Lima tahun terbang ke serata dunia, jiwa dan raganya sudah sebati dengan pekerjaan itu, namun keadaan memaksanya meninggalkan pekerjaan yang sangat dicintainya itu.

"Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya terus diterima jadi pramugari. Pun begitu, selepas lima tahun bekerja kontrak saya dengan MAS tamat. Kalau mahu sambung perkhidmatan, saya perlu temu duga sekali lagi .

"Sebagai kakitangan MAS banyak kemudahan disediakan termasuk peluang membawa keluarga melancong ke luar negara. Namun, kita hanya merancang tapi Allah menentukan. Saya tidak jadi sambung kontrak.

"Lalu saya cuba mencari kerja lain kerana menganggur lama, wang tabungan pun kian susut. Saya juga minat menyanyi dan pergi uji bakat dengan KRU, tetapi malangnya nasib tidak ada. Di KRU saya mula kenal Rizal (pelakon Jelatang). Pada masa sama juga saya berkenalan dengan Ashraf.

"Apabila gagal dalam uji bakat itu, Rizal mencadangkan saya mencuba nasib sebagai pelakon. Drama pertama lakonan saya, Dunia Baru. Dari situ bermulanya kerjaya baru saya sebagai pelakon.

"Pada awalnya susah hendak memulakan sesuatu yang baru, tetapi dengan sokongan kawan-kawan, dapat juga sesuaikan diri. Ingatkan berlakon senang. Sebelum ini saya bayangkan di set penggambaran hanya ada lampu dan kamera, rupanya lebih daripada itu.

"Pengalaman sebagai pramugari tidak sama apabila saya berlakon kerana berlakon terlalu banyak dugaan. Dengan berlakon saya jadi lebih kuat dan matang. Saya berjumpa dengan pelbagai rupa dan ragam manusia. Tahap kesabaran kena tinggi. Ketika jadi pramugari saya masih muda dan tugas pun tidaklah sesukar mana. Kalau ada pun, cabaran melayan penumpang, tetapi hanyalah beberapa jam saja bersama mereka.

"Selepas dua tahun berlakon, MAS panggil saya semula tapi waktu itu saya semakin suka berlakon dan Ashraf pun turut memberikan sokongan, lalu tawaran itu ditolak," katanya.

Sherry berkata, dengan peningkatan usia dia perlu ada kerjaya tetap atau dalam erti kata lain dia ingin mulakan hidup baru. Dia mahu tinggalkan kenangan yang selama ini membelenggu dirinya.

"Berpisah dengan Ashraf amat menyedihkan. Dulu saya tak boleh sebut langsung namanya tapi saya bertanya kepada diri saya sendiri, sampai bila saya hendak meratap dan menangis? Orang dah tidak sudi dan anggap saja tiada jodoh antara kami. Lama juga untuk saya bangkit semula dan kini alhamdulillah saya sudah boleh melupakan segala kenangan bersamanya.

"Selepas kami berpisah, pernah sekali kami bertembung pada AJL24 (Anugerah Juara Lagu 24), awal tahun ini. Dia tegur saya bertanya sama ada sihat atau tidak. Memang kelu lidah saya waktu itu.

"Tentu nanti saya akan rindu kawan-kawan kerana tiada masa lagi untuk bertemu mereka seperti sekarang. Mesti saya juga rindu untuk ke lokasi penggambaran.

"Apapun saya tidak akan melupakan segala yang dikecapi dalam bidang seni. Siapa tahu, satu hari nanti saya, akan berlakon semula. Mungkin ketika itu saya hanya layak pegang watak ibu agaknya," katanya manja.

Profil
NAMA: Syarizad Ibrahim
TARIKH LAHIR: 3 April 1983
TEMPAT LAHIR: Petaling Jaya
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada tiga beradik
KERJAYA: Pelakon dan model
DRAMA: Dunia Baru musim ke-2, Cinta Tak Bertepi, Jelatang, Elly, Dunia Baru ke-3, Akademi Polis, Gaia, Lara Rindu Mahsuri, Renjis , Che Ah Che Nin, Kapoww, Caparella, Cinta Untuk Ain, Cinta Biru Laguna
FILEM: Maut

SOLEKAN DAN DANDANAN: Ros Suci (012-9021217)
PAKAIAN: Butik Cosry, Jalan Telawi, Bangsar (Khairil - 017-6310102)

Wednesday, April 21, 2010

Rakaman terakhir Jangan Tidur Lagi

SS rasa, pemergian vokalis kumpulan Spin, Allahyarham Abdillah Murad Md Shari atau Achik yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, petang Sabtu lalu nyata memberi kejutan kepada ramai rakan artis dan peminat.
Mengikut berita daripada rakan SS, beberapa jam sebelum kemalangan berlaku,Achik menunjukkan reaksi terlalu gembira ketika menjayakan program Gah 1 di Angkasapuri, Kuala Lumpur.


Namun, tiga minggu sebelum Achik bertemu ajal, penyanyi popular menerusi lagu Paling Comel duet bersama Siti Nordiana atau Nana ini terlebih dulu hadir sebagai tetamu program Jangan Tidur Lagi terbitan TV3.


Produser, Hamsiah Biri, berkata sepatutnya episod yang menampilkan Achik bersama Nana dan Munir Phye Ballaz sebagai tetamu itu ke udara pada jam 11 malam ini (Rabu) tetapi ia ditangguh pada minggu depan demi menghormati anggota keluarga Achik yang masih kesedihan.


“Rakaman program ini berlangsung pada 30 Mac lalu di Studio ntv7, Glenmarie Shah Alam, Selangor. Ketika itu, program ini tidak mempunyai topik khusus kepada Achik, sebaliknya pengacara Saiful Apek hanya bersembang dan bertanyakan perkembangan terkini.


“Saya sudah lama tidak bertemu Achik dan ketika rakaman berlangsung, saya melihat Achik seperti segan bertentang mata dengan Nana.


“Apek sempat juga mengusik Achik mengenai gosip dia dengan Nana dikatakan pernah bercinta sebelum ini. Begitu juga, apabila Achik menyanyi kembali lagu duet baru bersama Nana, dia ditanya, apakah orang rumah tidak cemburu,?” katanya.


SS percaya walaupun Apek mengusik Achik dan Nana dengan soalan begitu, sebaliknya ia bukan dengan tujuan bukanbukan sekadar memeriahkan suasana.


SS harap balu Achik tidak berkecil hati kerana semuanya bukan rahsia kerana mereka sudah macam keluarga.

Hamsiah juga berkata, untuk siaran bersama Achik minggu depan, program ini akan membuat imbasan semula mengenai perjalanan seni Achik ketika bergelar penyanyi termasuk berita pengebumiannya.


Namun, program selama sejam ini masih terus bersiaran pada malam ini bersama pengacara Adlin Aman Ramlie yang menemubual anggota kumpulan Jinbara.


Bagi peminat Achik, SS harap mereka dapat bersabar untuk menyaksikan episod istimewa Jangan Tidur Lagi pada minggu depan. SS percaya biarpun Achik sudah tiada, lagulagunya tetap segar di ingatan peminat sampai bila-bila

Teka-teki nasib Julia

DENDAM tak sudah. Walaupun sudah berpisah dengan suami, Dafi (Fazreen Rafi), Julia (Farahdhiya Mohd Amin) terus mengganggu hidup bekas suaminya itu yang sudah bertemu pengganti, Maya (Tiz Zaqyah).

pix_middle
Keadaan tambah kecoh apabila kemunculan Julia itu bersama kanak-kanak. Dafi tidak tahu ketika mereka berpisah, Julia berbadan dua dan kanak-kanak itu adalah anak mereka.

Sejak musim pertama Spa Q bersiaran, Farahdhiya pegang watak hitam bernama Fatin. Dia mengganggu rumah tangga Qistina (ketika itu dilakonkan Norish Karman) sehingga mahligai yang dibina berantakan. Akhirnya dia mati dibunuh.

Wataknya dijelmakan kembali dalam Spa Q musim dua sebagai kembar Fatin bernama Julia. Watak itu terus dikembangkan dengan peranan yang lebih jahat dalam musim ketiga yang kini dikenali sebagai Spa Qistina. Fasha Sandha turut berlakon dalam drama itu sebagai pelacur kelas atasan untuk membalas dendam.

Spa Qistina sudah sampai ke penghujungnya baru-baru ini. Julia ditikam, tetapi tiada siapa yang tahu apakah kesudahan nasibnya. Adakah angkara isteri ‘sugar daddynya’, Maya atau Mak Lang (Liza Abdullah). Mereka bertiga mempunyai motif kuat untuk melenyapkan Julia dari hidup mereka. Drama itu disiarkan di saluran Tayangan Hebat (953 dan 952) di Astro.
Dalam satu fotografi membabitkan tiga bintang Spa Qistina ini, Farahdhiya mengakui dia sendiri ingin tahu nasib Julia seterusnya. Apakah dia mati atau hanya cedera dan siapakah yang menikamnya?

“Belum tahu lagi sama ada Spa Qistina akan bersambung atau tidak. Penghujungnya tergantung dan penonton mesti hendak tahu apa yang terjadi kepada semua watak itu,” katanya.

Dengan mengekalkan watak Farahdhiya dalam ketiga-tiga musim drama itu, ia turut memperatkan lagi hubungan persahabatannya dengan Fazreen kerana setiap kali berlakon bersama mesti mereka menjadi suami isteri.

“Sudah tiga kali saya ‘menikah’ dengan Fazreen dalam televisyen disaksikan penonton iaitu dalam Spa Q, Andai Itu Takdir Cinta dan terbaru menerusi drama bersiri Aalia. Kerana kerap diberi watak suami isteri, hubungan kami di luar lokasi sudah macam adik-beradik.

“Aalia mula bersiaran di Astro Prima pada 26 April ini. Drama itu diterbitkan sebanyak 68 episod, arahan pengarah dari India, Anurag Vaishnav.

“Dalam Aalia pun saya pegang watak jahat bernama Yati yang meninggalkan suaminya, Shahril (Fazreen). Kemudian Shahril berkahwin dengan Aalia (Zaryn Min). Kala Shahril dan Aalia diulit bahagia, Yati hadir menggugat bahagia pasangan suami isteri itu.

“Kebanyakan watak diberi semua jahat dan saya tidak kisah jika watak itu benar-benar sesuai dengan saya. Apa salahnya selalu diberi watak jahat asalkan saya dapat melakonkannya dengan baik?

“Saya juga tidak kisah digandingkan dengan sesiapa pun asalkan sama-sama boleh memberikan lakonan terbaik. Sejak awal tahun ini, saya sibuk berlakon sampai tiada masa buat perkara lain. Hendak keluar dengan kawan-kawan pun tak sempat.

“Ada masa terluang sehari dua ini, saya gunakan untuk berehat, mengadakan sesi fotografi dengan media dan membeli-belah barangan keperluan peribadi.

“Dengan Zizie Ezzette pun dah lama tak keluar. Selepas dia berkahwin, baru dua kali kami keluar makan bersama itu pun di rumah kawan baik kami yang seorang lagi. Kami masih berkawan, tetapi saya faham situasinya sudah lain kerana dia kini isteri orang,” katanya.

Dalam sehari dua ini Farahdhiya yang mula dikenali sebagai penyanyi melalui lagu Bertakhta Di Hati, akan ke lokasi drama 13 episod, Suri Bakawali, terbitan MIG Productions Sdn Bhd. Penggambaran dibuat sekitar Kuala Lumpur. Bagi mereka yang merindui suaranya, Farahdhiya baru saja menyiapkan single Renyai ciptaan Tam Spider dan dihantar ke stesen radio untuk diputarkan.

Bagi Tiz Zaqyah, 22, yang melonjak naik melalui drama Nur Kasih dan baru saja menang Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) pada 4 April lalu, sebenarnya adalah pilihan ketiga untuk melakonkan watak Maya dalam Spa Qistina. Pada mulanya watak itu ditawarkan kepada Nora Danish, tetapi apabila Nora tarik diri, ditawarkan pula kepada Ummie Nazeera dan Ummi juga tidak dapat menjayakan watak itu.

Kata Tiz Zaqyah, dia tidak ambil hati kerana sejak mula pun memang dia yang ditawarkan watak itu. Bagaimanapun, waktu itu dia sibuk dengan projek lain.

“Mungkin sudah rezeki saya, maka watak Maya menjadi hak saya juga akhirnya selepas ditawarkan kepada dua pelakon lain. Sukar menolak tawaran berlakon dalam Spa Qistina kerana drama itu sudah ada jenama yang kuat. Penonton sudah kenal dengan setiap watak dalam drama itu.

“Berlakon dalam Spa Qistina memberi pengalaman baru kepada saya kerana kali pertama melakukan babak bergaduh. Susahnya hendak menjayakan watak pergaduhan Maya dengan Julia.

“Farahdhiya senior saya, takkan sewenang-wenangnya hendak memperlakukannya sesuka hati, tetapi Farahdhiya memberi semangat dan dia kata buat seperti bergaduh betul dengan minta saya menendangnya. Dia mahu kami menjayakan watak itu dengan berkesan.

“Seronok berlakon drama ini kerana banyak permainan dalaman dan pergolakan yang timbul dalam setiap watak. Bukan saja penonton, saya pun hendak tahu apa terjadi pada watak Julia yang ditikam. Siapa yang menikamnya dan adakah dia hanya tercedera atau terbunuh,” katanya.

Selepas penat berlakon dalam Spa Qistina, Tiz Zaqyah kini berehat sebulan untuk bersama keluarga. Lakonannya kini dapat disaksikan melalui Samarinda di TV3, Asmaradana.

“Penat berlakon dan saya perlukan masa untuk bersantai seketika. Ada juga tawaran baru, tetapi biarlah dulu. Saya pun muda lagi jadi tidak perlulah terburu-buru. Banyak masa lagi untuk menggilap bakat yang ada dan menilai setiap tawaran dihulurkan.

“Walaupun dihambat kontroversi, saya tetap menjalani kehidupan seperti biasa. Saya tidak perlu takut pada bayang-bayang sendiri. Saya tidak mencari populariti, tetapi ia datang sendiri seiring kerjaya diceburi.

“Cukuplah keluarga mengetahui siapa diri saya yang sebenar. Tiada rasa kesal memilih untuk menjadi anak seni jika itu sudah rezeki saya. Apapun, saya juga manusia biasa inginkan kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Fasha pula diberi peranan Freida, gadis terpelajar yang berdendam dengan keluarga Qistina (Nanu Baharudin). Lalu dia mengambil keputusan untuk memporak-perandakan keluarga wanita itu.

“Freida nampak baik, tetapi hatinya sangat jahat. Dia orang senang apabila dalam akaunnya ada RM1.5 juta. Oleh itu motifnya bukan untuk mendapatkan wang, tetapi membalas dendam.

“Mulanya, saya keberatan pegang peranan Freida bimbang dikatakan orang saya perempuan macam itu.

“Tetapi dalam soal kerja, saya perlu profesional dan berani membawa apa saja watak. Alhamdulillah jika pada 2009 saya melalui tempoh yang agak sukar, tetapi tahun ini saya diterima semula peminat. Ada saja tawaran berlakon,” katanya.

Tanpa berselindung, Fasha mengakui memang ada babak panas yang terpaksa dilakonkannya untuk menghangatkan drama ini.

“Saya tidak begitu selesa melakonkan babak itu sehingga ada sebahagian daripadanya terpaksa dibuat semula terutama ketika saya menggoda Ijoi. Sehingga Ijoi beritahu saya yang isterinya Shira tahu ia hanya lakonan baru saya boleh tumpukan perhatian,” katanya.


PROFIL

NAMA SEBENAR: Siti Zaqyah Razak
NAMA KOMERSIAL: Tiz Zaqyah
TARIKH LAHIR: 25 Oktober 1988
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada dua beradik
KARIER: Pelakon
DRAMA: Antaranya, Impian Ilyana II, Impian Sunsilk, Spa Q 3, Nur Kasih, Asmaradana


NAMA: Farahdhiya Mohd Amin
TARIKH LAHIR: 28 April 1984
TEMPAT LAHIR: Sarzana, Itali
STATUS: Bujang
KELUARGA: Bongsu daripada empat beradik (termasuk dua adik-beradik berlainan bapa)
KERJAYA: Penyanyi, pengacara dan pelakon
ALBUM: Bertakhta Di Hati (2005) dan Yang Ku Puja (2006)
DRAMA/SITKOM: Spanar Jaya, Senario Raya, Mencari Arah Kiblat, Kau Curi Cinta Ku, Ku Milik Mu, Spa Q, Kejar
PROGRAM TV: Jaguh Futsal (RTM), Discovery

Dengarnya...: Aizat berehat sehingga Mei

SEBENARNYA mengikut perancangan awal, Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 2009, Aizat sepatutnya mengeluarkan album keduanya pada Februari lalu. Namun dek kesibukannya terhadap komitmen seni, semuanya tertunda. Maka dengan itu, Cik Normah dapat tahu Aizat sudah mula berehat mulai bulan ini hingga Mei depan.

Keputusan Aizat berehat itu atas alasan untuk memberi tumpuan kepada proses menghasilkan albumnya itu. Nak tak nak, Aizat memang perlu juga melunaskan rakaman albumnya itu sebelum Jun. Insya-Allah, album itu dijangka berada di pasaran Jun ini.

Ketika ini, Aizat hanya meneruskan undangan persembahan dan aktiviti seni termasuk sesi fotografi yang sudah diberi pengesahan awal. Difahamkan banyak juga undangan membuat persembahan terpaksa ditolak pihak Aizat. Selepas ABPBH 2009, sebagai Aizat hanya memberi tumpuan promosi kepada Anugerah Industri Muzik ke-17. Dalam pada itu, Cik Normah juga diberitahu Aizat masih bergerak secara solo dan band yang dianggotainya kebelakangan ini hanyalah sekadar pemuzik iringan. Cik Normah harap peminat Aizat tak salah sangka. Band terbabit hanya sekadar mengiringi persembahan Aizat saja.

Cik Normah faham sebagai anak muda yang mempunyai semangat yang tinggi, Aizat lebih selesa menyanyi secara live tanpa penggunaan minus one. Jadi kemunculan pemuzik pengiring itu menambah kehangatan kepada apa yang ingin ditonjolkan Aizat.

'Tiada niat beri harapan palsu'



Norman bela pelajar AF8, anggap mereka lebih baik berbanding musim terdahulu

BIARPUN program realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) kurang menjadi bualan, pengetuanya, Norman Abdul Halim pula berpendapat pelajarnya berbakat dan mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian

Norman juga tidak bersetuju dengan pelbagai laporan di akhbar mahupun laman blog yang mengutuk serta mengkritik hebat pelajar-pelajarnya. Sebagai pengetua, Norman berpendapat pelajar musim ini lebih baik serta menonjol berbanding musim terdahulu. Norman yang ditemui pada malam Debaran AF8 berkata, dia tidak berniat untuk memberikan harapan palsu kepada pelajarnya sebaliknya sebagai seorang yang sudah lama berada dalam industri, dia tahu siapa yang boleh menyanyi dan tidak.

“Saya melihat kualiti pelajar musim ini lebih baik daripada musim dulu. Mereka lebih menonjol berbanding senior mereka. Malah ada yang terus ditawar merakamkan lagu sebaik saja tersingkir daripada program ini.

“Saya juga melihat pelajar saya menunjukkan peningkatan yang mendadak. Mereka berjaya mengikis perasaan takut ketika di pentas. Saya bukan nak membela mereka kerana saya tahu mana yang bagus dan mana pula yang lemah. Saya percaya, peserta AF musim kelapan akan bertahan lebih lama dalam industri. Sebagai orang yang sudah lama dalam industri, saya tahu yang mana berbakat dan mana yang tidak,” katanya selesai program Debaran AF8.

Pada program Debaran AF8 yang disiarkan secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Ahad lalu, tiada pelajar yang disingkirkan.
Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, ia adalah sebahagian daripada perjalanan AF. Justeru ia tiada kena mengena dengan undian yang kononnya semakin berkurangan sebaliknya kata Azlin, biarpun program itu dikatakan tidak sehebat dulu namun ia tetap mencatatkan peningkatan sebanyak 14 peratus.

“Soal tiadanya penyingkiran pada minggu kelima ini tidak seharusnya dijadikan isu kerana dari dulu lagi memang perjalanan AF begini. AF sentiasa tidak lari dari gimik bukannya kerana kita tidak mendapat undian yang mencukupi menyebabkan kita menangguhkan penyingkiran pada minggu ini,” katanya.

Pada program Debaran AF8, tiga pelajar yang mendapat undian terbawah di awal program ialah Nadia Emilia Roselan (Nad), Muhd Shahril Firdaus Eli (Daus) dan Emirza Azwan Zulazrin Chew atau (Iwan). Bagaimanapun apabila pengacaranya Sarimah Ibrahim mengumumkan bahawa undian ditutup ketika program hampir berakhir, keputusan tiga peserta yang berada di tangga terbawah mula berganjak.

Kali ini mangsanya adalah wanita, Nad masih kekal di bawah manakala dua lagi rakan yang mengalami nasib sama sepertinya ialah Nadiawaty Ainul Basir (Ain) dan Zafarina Jamhari (Farina). Nasib Farina, ibu tunggal kepada seorang cahaya mata yang berasal dari Bintulu, Sarawak itu ternyata baik apabila dia terselamat daripada disingkirkan pada minggu itu.

Farina yang menyanyikan lagu Mana Mungkin daripada Dayang Nurfaizah hanya meraih sebanyak 11.27 peratus undian. Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana mendapat belas kasihan berikutan persembahan pada malam konsert, Sabtu lalu menunjukkan peningkatan yang baik.

“Prestasi Nad dan Farina memang berada di dalam perhatian saya. Mereka memang wajar dikritik, namun semalam mereka menonjolkan persembahan yang terbaik. Bagaimanapun, pelajar AF8 harus diberikan pujian kerana mereka bukan saja boleh menyanyi tetapi pada masa sama perlu berlakon dan menari.

“Tugasan mereka itu bukan mudah dan saya percaya penyanyi profesional pun belum tentu mampu untuk menyanyi, berlakon dan menari pada waktu yang sama. Mereka juga perlu diuji dengan pelbagai genre lagu terlebih dulu sebelum menentukan lagu genre apa sesuai untuk mereka. Kebanyakan pelajar masih muda, mereka tak tahu genre apa yang sesuai dengan jiwa mereka. Ada yang berkata mereka sukakan pop tetapi apabila kita melihat pilihan lagu, mereka sebenarnya tidak sebegitu.

“Justeru, kita akan mengajar mereka arah tuju muzik yang sesuai untuk mereka. Saya tahu mereka boleh lakukan dan berharap mereka terus diberikan peluang,” katanya.

Pada persembahan minggu kelima, Daus yang mendendangkan lagu daripada Adam berjudul Benar Benar mendapat undian paling tinggi iaitu 13.84 diikuti dengan Maulana yang menyanyikan lagu kumpulan Tilu, Ku Bukan Aku yang berjaya mencatat 13.65 undi. Seterusnya Shahir sebanyak 12.82, diikuti dengan Iwan, 12.42 peratus undian. Bagi peserta wanita pula Adira mencatat undian tertinggi dengan 12.54, diikuti Nad sebanyak 11.99 dan Ain, 11.47.

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com