click 4 money

Sunday, April 18, 2010

Alkisah: Pelakon lelaki kikis duit teman wanita



APALAH nak jadi dengan pelakon lelaki seorang ni. Perangainya mengalahkan `jembalang' tanah. Nak kata berlakon hebat sangat, rasanya tidak malah sekarang sudah jarang melihat kelibatnya di kaca TV. Kalau berlakon filem, jauh sekalilah. Peliklah juga, tetapi risik punya risik, Raja tahulah sebab musababnya.


Dia ni seorang yang berlagak, bongkak dan perasan bagus. Memang tak kuasalah orang produksi melayannya. Ramai lagi pelakon lelaki yang kacak dan bagus boleh diketengahkan, tak rugi pun tak ambil `mamat perasan bagus' ni berlakon

Seorang teman sudah buka cerita, dia memang bengang habis dengan pelakon perasan bagus ni. Selain suka tukar teman wanita, si pelakon pernah membuntingkan anak dara orang. Kecoh jugalah ketika itu, apabila keluarga teman wanitanya masuk campur dan minta si pelakon bertanggungjawab. Kecut perut jugalah keadaannya dan memaksa keluarganya yang bukan calang-calang orang campur tangan. Si pelakon ni memang anak emak, jadi ibunya sudah meletakkan `helah' supaya si gadis menggugurkan kandungan terlebih dulu sebelum menyatukan mereka.

Si gadis ni terpedaya dan ikut saja kemahuan keluarga si pelakon, sudahnya selepas menggugurkan kandungan, mereka lepas tangan. Malah, asyik dia mengelak nak jumpa gadis itu dan keluarganya. Kesian si gadis dan keluarganya, kena tipu hidup-hidup. Mujurlah keluarga gadis itu tidak menyimpan dendam, kalau orang lain mungkin dah koma si pelakon dikerjakan seperti seorang penyanyi lama dulu. Gara-gara mempermainkan anak gadis orang, si penyanyi dilanyak cukup-cukup hingga koma berbulan-bulan di hospital.

Terbaru, khabarnya seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mencari si pelakon ini. Ini disebabkan si pelakon sudah merosakkan anak daranya. Bukan saja body dan maruah tergadai, malah duit dalam akuan anak datuk berkenaan licin dikerjakan si pelakon. Bukan sedikit tau, khabarnya berpuluh-puluh ribu juga. Datuk berkenaan naik angin dan khabarnya mahu mengupah samseng melayakkan si pelakon yang kurang ajar itu.

Yalah... hati mana yang tak panas, anak gadis berusia awal 20-an diajar benda bukan-bukan hingga terjebak dengan aktiviti sosial. Duit pula habis dikebas, sudahnya esok lusa gadis itu ditinggalkan terkontang kanting. Si pelakon bukan hidup bujang lagi, sudah ada isteri dan anak. Memang malang nasib isterinya, terlalu percayakan suami tetapi di belakang, suami main kayu sepuluh. Sebab apa Raja cakap kayu sepuluh, sebab si pelakon memang suka bertukar teman wanita. Bukan gadis anak Datuk itu saja teman wanitanya, tapi ada ramai lagi gadis tertipu dengan mulut manisnya yang pandai berkata-kata meskipun wajahnya bukanlah kacak pun. Entahlah dunia, dunia...

Fizz jawab tuduhan

Oleh Zubir Mohd Yunus


Dramatis popular didakwa persoal kerja pengarah



EMPAT tahun lalu tidak ramai kenal siapa Fizz Fairuz, namun selepas meledaknya drama bersiri, Nur Kasih di TV3, namanya mencetus fenomena baru apabila kemasyhurannya naik mendadak seiring populariti drama itu. Fizz terus menjadi rebutan produser drama.

Namun, apabila nama berada di puncak, kadang kala kealpaan melanda diri sehingga Fizz didakwa kononnya sudah lupa daratan, selain tegar mempersoalkan kredibiliti pengarah. Berdasarkan sumber, ketika Fizz membintangi drama bersiri terbarunya, Gerak PGM di markas polis marin Pulau Pinang, dia dikatakan mempersoalkan kredibiliti pengarah bersama drama berkenaan, James Lee dan Raymond Sekhon , kononnya tidak membuat ‘homework’ dalam tugasan mereka! Khabarnya Fizz mengadu dengan penerbit, Asia Media Content (AMC) kononnya pengarah berkenaan gagal menyiapkan kerja dengan sempurna.

Gerak PGM yang mengandungi 13 episod, mula bersiaran di TV9 mulai 17 Mac lalu setiap Rabu, jam 9.30 malam selama sejam. Kata sumber sama, Fizz yang memegang watak sebagai Deputi Superintendan (DSP) Haikal juga dilaporkan mengingkari arahan pengarah apabila dia enggan menyarung lengkap pakaian seragam polis marin apabila diminta. Kononnya dia bersikap begitu kerana lebih mengetahui perihal sudut penggambaran berdasarkan pengalaman luasnya dalam lakonan.

Selepas campur tangan pihak atasan polis, khabarnya barulah Fizz mahu menuruti arahan pengarah.

Seperkara lagi menurut sumber dalaman yang terdiri daripada orang sekeliling, Fizz juga dilaporkan tidak mahu menanggalkan cermin mata hitamnya apabila dia dalam pakaian seragam polis marin. Hanya selepas berlaku pertikaian, barulah dia membuka cermin matanya itu.

Justeru, bersama beberapa dakwaan yang disampaikan kepada pihak media, sekiranya benar berlaku, ini jelas menunjukkan Fizz kini sudah jauh berubah berbeza dengan kemunculan awalnya di bidang lakonan apabila tidak menimbulkan sebarang masalah di lokasi penggambaran.
Fizz yang juga finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 kategori Pelakon TV Lelaki Popular tampil merungkai segala tuduhan negatif ketika dia membintangi Gerak PGM. Drama itu turut dibintangi Linda Hashim, Ashraf Muslim, Zul Huzaimy dan Irma Hasmie.

“Saya bukan pelakon utama, sekadar pembantu saja. Jadi, siapalah saya nak mempersoalkan banyak perkara. Perihal pakaian seragam, seluar yang disediakan senteng, baju kecil dan topi tak muat. Tak mungkin saya nak tunjuk sikap diva di set, saya hanya datang penggambaran untuk satu, dua babak saja. Tak ada masa saya nak tunjuk sikap diva.

“Saya dapat skrip, pemahaman kita lain, pengarah pemahamannya lain. Jadi, apabila kita berlakon, kita buat kelainan untuk menjayakan karakter. Saya dah bincang dengan penolong pengarah, kita nak shooting cepat, tak perlu tukar seluar sebab sudut penggambaran hanya nampak badan atas saja, iaitu babak duduk. Kalau nak kata saya persoalkan perkara itu (tak mahu menyarung lengkap pakaian seragam), semuanya sudah dipersetujui.

“Ashraf dan Linda pun tak tukar seluar, nampak atas saja. Kalau nak shooting untuk babak yang nampak semua badan, saya boleh tukar seluar. Kalau saya kata pengarah tak buat homework, itu kerja dia, takkan saya nak mempersoalkan kerja dia. Tak mungkin saya nak jatuhkan imejnya sebagai pengarah. Saya tak pernah cakap begitu. Begitu juga soal cermin mata, saya tak pernah pertikai arahan pengarah.

“Saya hanya datang shooting, call time pun tak bagi, dekat mana, saya nak pakai apa, bawa apa, semuanya tak diberitahu. Pihak produksi memang tak ada sistem. Mereka bagi alasan jadual kelam kabut sebab masalah artis, bagi saya itu perkara lazim. Tapi, kenapa boleh keluar cerita dalam produksi ke pengetahuan pihak media massa?

“Saya hanya mempertahankan diri, saya tak mahu orang pijak kepala saya. Biar kita saling hormat menghormati. Kalau saya menyombong, orang benci, susah saya nak bekerja. Kalau ada pihak bercerita perkara buruk saya, biarlah... dia bayar saya. Tak nak, tak perlu panggil saya berlakon. Bagi saya, kalau tak puas hati, cakap secara berdepan, jangan cakap belakang atau cuba memburukkan saya,” katanya

Alkisah: Remaja hina Din Beramboi

pix_gal0
DUNIA dah akhir zaman agaknya. Semakin ramai remaja tidak lagi menghormati orang tua, malah orang yang sudah meninggal dunia pun boleh dihina dan dimaki hamun sesuka hati. Raja benar-benar `terpukul’ dan sedih apabila mendapat tahu seorang remaja berusia 14 tahun mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya terhadap arwah Din Beramboi sesudah pelawak itu meninggal dunia pada Jumaat minggu lalu.

Apa salah arwah agaknya sampai remaja lelaki dari Kuantan, Pahang itu sanggup mengeluarkan ayat `Al-F***’ untuk Din Beramboi’ menerusi laman Facebooknya. Memang melampau budak kepala suku ni! Mungkin bukan Raja saja yang marah dan sakit hati, malah keluarga, sahabat dan peminat arwah lebih terhiris hati mendengar budak hingusan ni mencarut.
Bagi Raja, remaja yang menggunakan nama Rafiqin Darwisy ni memang kurang ajar. Nama saja cantik tapi perangai mengalahkan anak jin, anak syaitan! Apa jenis manusia ni agaknya? Entahlah, buat malu mak bapa dia saja, dah tentu bila jadi macam ni, orang luar akan menyalahkan mak bapa tak pandai nak ajar anak. Sedangkan mak bapa dah bagi ilmu agama yang cukup, cuma budak ni saja yang tak makan diajar. Kalaulah bertemu Raja, memang Raja cili mulut sampai bisu...

Yang peliknya, budak ‘sengal’ ni langsung tak rasa bersalah bila kena tarbiah dan nasihat dengan blogger, malah bertambah angkuh mengatakan dirinya malaikat yang diupah Tuhan untuk mengutuk Din yang ..... (kata kesat). Kalau ya pun kau marah dengan gurauan arwah Din yang kita tahu agak kasar tapi arwah bukan mengata kau, bukan bergurau dengan kau. Apa hal yang kau nak emosional lebih-lebih ni?

Raja rasa budak ni hanya inginkan perhatian, tak kisah apabila kesudahannya kena carut atau maki hamun berbakul dengan blogger lain. Itu mungkin memberi kepuasan pada dia agaknya. Ataupun, budak ni memang dah ‘wayar putus’ seurat, tu yang boleh hentam, maki orang dah meninggal dunia.

Apapun, Raja harap budak ni cepat insaf dan ibu bapanya turut sedar kesilapan yang dilakukan anaknya itu. tegurlah remaja ini. jangan nanti lama kelamaan biadapnya mungkin makin menjadi-jadi...
Ini bukan soal remeh, ini soal maruah orang yang sudah meninggal dunia. Tak fikirkah apa perasaan isteri dan anak-anak arwah serta saudara maranya yang lain? Raja nak tanya Rafiqin Darwisy, apa perasaannya jika suatu hari nanti ibu bapanya pula dimaki dan dihina dengan perkataan kesat selepas meninggal dunia? Apa kau rasa?

Di kesempatan ini, Raja nak ucapkan takziah pada keluarga arwah Din. Raja turut simpati mendengar berita rumah mereka di Sungai Buaya, Rawang, Selangor dipecah masuk pencuri selepas tiga hari arwah meninggal dunia.

Hai, sampai hati mereka meragut kenangan yang ditinggalkan arwah untuk isteri dan anak-anaknya. Manusia semakin kejam, kan?

Al-fatihah buat arwah Din, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman. Amin...

Gosip cinta mengarut!: Syamsul tolak dakwaan hatinya dipermainkan Scha

MENJELANG 2010, anak teruna pasangan Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail - Syamsul, 26, terus menjadi kebanggaan keluarga Skop Production apabila dia tampil dengan filem terbaru arahannya, Evolusi KL Drift 2 (EKLD2), sekali gus mencatat sejarah apabila menjadi filem termahal terbitan Skop setakat ini dengan kos pembikinan mencecah RM2.5 juta!

Pastinya menjelang 25 Mac ini, jantung Syamsul semakin kuat berdebar menanti reaksi penonton apabila EKLD2 lakonan bersama Scha Alyahya, Farid Kamil, Remy Ishak, Aaron Aziz dan Shaheizy Sam mula menjengah pawagam.

Pun begitu, apabila diamati barisan filem arahan Syamsul sebelum ini sehingga yang terbaru EKLD2, dia turut memegang watak utama. Benar, semua filem berkenaan terbitan syarikat keluarganya sendiri, justeru terpulanglah kepadanya untuk mencorak karya berkenaan asal saja ia meledak di pawagam. Namun, tindakan Syamsul bergelar pengarah dan teraju utama, boleh diibaratkan sebagai ‘artis gila kuasa’, apa komennya? “Apa salah saya mengasah bakat dalam produksi sendiri? Selagi filem arahan saya mendapat sambutan dan ayah pula memberi kepercayaan, saya akan teruskan. Lagipun saya percaya pada bakat. Kalau tak ada bakat, saya tak mahu berlakon, buat malu saja,” katanya.

Apabila bercakap mengenai bakat dan populariti, rasanya Syamsul belum mencapai kedua-duanya. Sebagai bukti, empat watak dalam EKLD2 yang dibawakan Scha Alyahya, Farid Kamil, Aaron Aziz dan Remy Ishak, semuanya tercalon menerusi kategori masing-masing dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang akan berlangsung pada 4 April ini.

Kata Syamsul, bakat dan populariti adalah dua perkara berbeza. Namun, dia menganggap kedua-duanya amat penting dalam karier seseorang artis itu.

“Bakat adalah anugerah Tuhan, manakala populariti datang dengan sendiri. Lagipun populariti memerlukan masa. Bagi saya, buktikan dulu hasil kerja kita kepada peminat, baru populariti datang. Tak dinafikan, bakat dan populariti berjalan seiring dan sama penting,” jelas Syamsul.
Terdengar desas-desus, ketika pembikinan EKLD2, Syamsul pernah mendekati Scha, namun bekas kekasih Fahrin Ahmad itu umpama jinak-jinak merpati, apabila ingin ‘ditangkap’ ia terbang, sekali gus ada dakwaan memberitahu, Syamsul kecewa apabila berasakan dirinya dipermainkan Scha.

“Mengarut! Ketika penggambaran EKLD2, Scha masih bercinta dengan Fahrin (Ahmad). Saya tak pernah ‘tersangkut’ dengan Scha! Saya dan Scha sekadar berkawan baik apabila sama-sama berlakon, kami mencari keserasian. Kalau boleh, saya tak mahu lagi bercinta sesama artis. Pengalaman lalu banyak memberi pengajaran, banyak dugaannya,” akuinya berterus-terang.

Justeru, ketika ini Syamsul dilaporkan masih berkawan rapat dengan seorang pelajar, Nabila Fatima, 18, apabila perhubungan itu dikatakan mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

“Persahabatan kami terjalin atas perkenalan keluarga masing-masing. Biarlah keadaan menentukannya, saya reda. Namun, fokus saya ketika ini adalah terhadap kerjaya,” kata Syamsul yang bakal muncul dengan satu lagi filem arahannya, Khurafat, dalam genre seram yang bakal ditayangkan penghujung tahun ini.

Selain itu, beliau juga kini dalam proses perbincangan untuk menghasilkan filem genre romantik-komedi, Aku Bukan Tomboy (working title) yang berkemungkinan beliau juga berganding sekali lagi dengan Scha.

Selain itu, terdengar juga ura-ura persahabatan Syamsul dengan Farid Kamil agak dingin, gara-gara kononnya Syamsul sukar menerima kenyataan, Farid ketika ini sedang menjalin hubungan serius dengan bekas kekasihnya, Diana Danielle. Sejauh mana kesahihannya?

“Saya tak ada masalah dengan Farid (Kamil). Ia sekadar khabar angin yang tak berasas. Bagi saya, desas-desus ini timbul apabila Farid dilaporkan bercinta dengan Diana (Danielle). Farid nak berkawan atau bercinta dengan Diana, itu hak masing-masing. Saya tak ada kena mengena. Buku lama saya dah tutup. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang, saya lebih tenang,” kata Syamsul yang juga penyampai trofi pada malam ABPBH 2009.

Scha akui Awal penuhi kriteria lelaki idaman

SEMENTARA itu, Scha yang juga finalis Pelakon TV Wanita Popular ABPBH 2009, dilaporkan terus selesa apabila semakin banyak undian diterimanya. Tambahan pula, drama bersiri popular Astro Ria, Awan Dania 2 sedang ligat berputar di kaca TV. Pada masa sama, filem terbaru lakonan Scha, EKLD2 akan menemui penonton 25 Mac ini, sekali gus memberi kelebihannya kepadanya meraih undian lebih tinggi pada saat akhir.

Pun begitu, dalam kerancakan menanti malam gilang gemilang ABPBH 2009 di Genting Highlands apabila Scha juga diberi peluang sebagai penyampai trofi berpasangan dengan cinta barunya, Awal Ashaari, dia terpalit situasi kurang enak. Tidak semena-mena, nama Scha turut terheret dalam kancah kontroversi antara kawan baiknya, Linda Onn bersama bekas kekasihnya, Fahrin Ahmad di mahkamah.

Difahamkan, Linda Onn menerusi peguamnya mengaitkan nama Scha dalam situasi dirinya bersama Fahrin yang kini sedang berdepan dengan kes saman fitnah. Khabarnya, sebaik saja Scha mengetahui berita itu, beberapa hari dia tidak berhubung dengan Linda, kononnya dia amat kecewa dengan tindakan penyampai radio SuriaFM itu yang tergamak mengheret namanya ke mahkamah. Sejauh mana kebenarannya?

“Terus-terang, saya memang terasa hati dengan situasi itu, bukan kecewa... Saya hanya mendapat tahu nama saya dikaitkan dalam kes Linda (Onn) dan Fahrin (Ahmad) selepas membaca berita di akhbar. Ada juga peminat Linda yang menyalahkan saya, kononnya saya ‘cuci tangan’ apabila tidak mahu terheret sama ke mahkamah.

“Padahal, perbalahan hanya berlaku antara Linda dan Fahrin, tapi saya pula terkena tempiasnya apabila peminat nampak saya berkawan baik dengan Linda sebelum kes saman menyaman ini tercetus.

“Sekarang nama saya sudah terheret sama. Apa lagi yang mampu saya lakukan? Justeru, saya biarkan situasi berkenaan berjalan begitu saja, tak ada apa lagi yang perlu dikesalkan. Kini, saya hanya tunggu tindakan selanjutnya daripada peguam yang mewakili Linda mahupun Fahrin. Sekiranya dipanggil ke mahkamah, saya sedia memberikan kerjasama,” jelasnya dalam nada sedikit kecewa.

Bagaimana hubungan baik Scha bersama Linda ketika ini, adakah dingin?
Kata Scha, dia sudah berkawan baik dengan Linda sebelum tercetusnya kes mahkamah ini lagi.

“Apa lagi yang mampu saya katakan? Sekarang ‘benda’ dah jadi, takkan saya nak anggap Linda musuh pula. Segala-galanya terpulang kepada nawaitu, niat saya berkawan dengan Linda, memang ikhlas, bukannya ada agenda tersembunyi atau berkomplot menjatuhkan mana-mana pihak,” katanya berterus-terang.

Seorang kawan baik seperti Linda, pasti tidak tergamak mengheret kawan sendiri ke perdebatan di mahkamah. Berdasarkan situasi ketika ini, menunjukkan Linda seolah-olah bukan teman sejati, sebaliknya didakwa cuba melepaskan diri sendiri. Apa komen Scha?

“Saya perlu melihat dari sudut positif. Seboleh-bolehnya saya tak mahu berprasangka buruk pada orang lain terutama Linda. Saya sekadar membantu Linda setakat yang terdaya saja. Yang lain-lain, saya serahkan pada ketentuan Tuhan. Saya reda dengan qada dan qadar. Insya-Allah kebenaran akan menyebelahi pihak yang benar,” jelas Scha yang sedikitpun tidak menyalahkan Linda dalam situasi berkenaan.

Beralih kepada cinta barunya yang kini menjalin hubungan serius dengan Awal Ashaari, Scha mengakui, pelakon, pengacara dan penyanyi itu memiliki kriteria yang dicarinya selama ini selepas hampir lima bulan menjalin persahabatan.

“Berilah saya peluang untuk lebih mengenali dirinya (Awal). Bagi saya, hubungan yang serius ketika ini tidak menjanjikan sebarang kepastian. Masih terlalu awal untuk melabel kami sebagai pasangan kekasih. Apa-apa saja boleh berlaku dalam perhubungan ini. Justeru, kami lebih selesa begini (berkawan rapat). Kami sekadar merancang yang terbaik dalam perhubungan, selebihnya berserah saja pada Tuhan,” kata Scha penuh makna.

Bagi tahun kedua, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) sekali lagi menunjukkan sokongan padu sektor korporat dalam memartabatkan industri hiburan tanah air dengan menjadi antara penaja utama ABPBH 2009 bersama nilai tajaan melebihi RM215,000!

Kereta Nissan X-Trail 2.0L bernilai RM130,000 menanti Bintang Paling Popular 2009, manakala Nissan Grand Livina 1.6L berharga RM86,000 diberikan kepada pembaca bertuah yang memberikan slogan paling kreatif menerusi borang undian ABPBH 2009 yang disiarkan menerusi Berita Harian dan Berita Minggu mulai 22 Januari hingga 19 Mac lalu

Sunday, April 11, 2010

Mula disanjungi

tiz zaqyah

tiz zaqyah

tiz zaqyah

tiz zaqyah

Populariti mendadak!

BEGITU pantas nama Tiz Zaqyah dijulang peminatnya. Hanya bermodalkan satu drama rantaian paling popular di TV3 tahun lalu, Tiz, 22, mencipta populariti begitu mendadak sekali gus membawanya sebagai pemilik trofi Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang baru saja melabuhkan tirainya hujung minggu lalu.

Tiz tidak perlu mengambil masa terlalu lama, mahupun membintangi puluhan drama untuk diiktiraf peminat sebagai paling popular dalam arena lakonannya. Namun, watak beliau sebagai gadis bertudung litup bernama Nur Amina mampu membenam populariti pesaingnya, malah ada calon finalis lain ‘diboo’ sebahagian penonton yang membanjiri Arena of Stars, Genting Highlands - Kota Keriangan. Semuanya kerana mereka mahu mengangkat Tiz sebagai ‘drama queen’ baru yang bertakhta di hati mereka.

Tiz juga pernah terpalit dengan kontroversi apabila tersebar beberapa keping foto beliau menerusi internet yang memperlihatkan dia sedang bersosial di pusat hiburan bersama sekumpulan teman sambil mengenakan pakaian seksi, sementara meja mereka pula kelihatan beberapa botol arak. Ini mengundang tanda tanya, sekali gus ada dakwaan mengaitkan Tiz turut mengambil minuman keras.

Keadaan Tiz yang dilabel gadis remaja gemar bersosial bertentangan dengan keperibadian Nur Amina, sekali gus mendatangkan perasaan tidak senang peminat apabila Tiz dituduh hipokrit!

Namun, Tiz bernasib baik apabila peminat seolah-olah memaafkannya sejurus dia mengakui kesilapan masa silam. Bertitik tolak daripada kealpaan itu, peminat menilai populariti Tiz menerusi karya ‘emas’ Nur Kasih. Selagi dia tidak terjebak dengan gejala sosial yang keterlaluan dan memelihara tingkah lakunya di khalayak, selain sentiasa menampilkan hasil kerja terbaik, selagi itulah nama Tiz terus mekar di hati peminat.

Pun begitu, mengekalkan populariti bukanlah suatu perkara mudah. Jika sepantas kilat nama Tiz dijulang, sepantas ribut jugalah namanya bakal menjunam sekiranya dia tersilap langkah. Buktinya sudah ada di depan mata. Belum ada pelapis aktres generasi baru yang mampu mengekalkan gelaran Pelakon TV Wanita Popular lebih daripada dua musim kecuali Abby Abadi sejak 2000 hingga 2003, selama empat tahun berturut-turut.

Dalam berhati-hati Tiz memelihara nama baiknya, dia tetap dihujani kontroversi apabila ada dakwaan mengatakan dia masih gemar bersosial di pusat hiburan dan didakwa kerap mengambil minuman keras. Tiz juga kononnya seorang perokok apabila ada laporan menyebut dia pernah ‘kantoi’ dengan peminat yang melihat perbuatan negatifnya itu.
Terdengar desus-desus juga, khabarnya Tiz berdepan gejala sosial itu apabila dia bercampur dengan kawan yang salah. Sejak kebelakangan ini terdengar khabar angin Tiz dikatakan mulai menjalin hubungan baik dengan seorang artis bermasalah apabila mereka sering bertemu dan menghabiskan masa malam bersama sejak kedua-duanya pernah berlakon di bawah produksi drama sama.

Inilah yang dikatakan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Justeru, sekiranya Tiz terus terjerumus dengan ‘sindrom’ salah memilih kawan, dikhuatiri gelaran Pelakon TV Wanita Popular tidak akan kekal lama dalam genggamannya apabila peminat mula menanam rasa bosan terhadapnya pada masa akan datang.

Tiz mahu baiki disiplin, tepati masa

“Saya akui memang pernah terdengar cerita negatif itu, tapi semuanya tak pernah berlaku. Lagipun kita tak tahu siapa musuh siapa kawan kerana ramai yang gemar bermuka-muka. Sebenarnya saya susah nak mempercayai orang sebab pernah melalui ‘zaman gelap’ terutama di alam persekolahan dulu. Justeru, saya sukar mempunyai kawan baik. Tambahan pula ibu dan ayah sering memberi peringatan, jangan terlalu mudah percaya orang.

“Kini, apabila mendapat kepercayaan daripada peminat pada ABPBH 2009 baru-baru ini, saya semakin bersemangat memberikan hasil kerja terbaik kepada mereka yang memberi sokongan, selain lebih fokus kepada kerjaya. Seperkara lagi, saya cuba menjauhkan diri daripada terjebak dengan isu kontroversi dan sentiasa mendekatkan diri dengan peminat terutama menerusi laman Facebook serta Twitter.

“Bagi saya, menjalin hubungan baik dengan orang industri termasuk pihak media massa turut membantu kematangan karier seseorang artis itu. Saya juga akan memperbaiki tahap disiplin dan memelihara ketetapan waktu apabila berurusan dengan banyak pihak. Semua ini penting untuk menjamin masa depan lebih cemerlang dalam bidang lakonan,” kata Tiz bersungguh-sungguh.

Masih lagi mengenai ABPBH 2009, terdengar rungutan segelintir pihak apabila pada malam kemuncak itu Tiz menerima trofi kemenangan daripada aktor hebat, Rosyam Nor, dia memberi ucapan berselang seli menggunakan bahasa Inggeris, sekali gus menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan peminat, mendakwa Tiz berlagak dan lupa di mana bumi dipijak! Baru pertama kali menang, sudah lupa bercakap dalam bahasa Malaysia sepenuhnya!

Minta maaf kerana ucapan bahasa Inggeris

Tidak seperti penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Datuk Khatijah Ibrahim yang lebih 30 tahun terbabit dengan ‘showbiz’ malah bertahun-tahun pernah bermastautin di New Zealand, penyanyi veteran itu masih tebal dengan jati diri apabila tidak ada sepatah pun perkataan bahasa Inggeris terpacul daripada mulutnya.

“Ketika pengumuman nama calon Top 5 Pelakon TV Wanita Popular dibuat, saya baru keluar dari tandas. Saya terkejut apabila nama saya diumumkan sebagai pemenangnya! Saya teruja apabila menerima trofi daripada Rosyam, pertama kali saya bertemunya secara in person. Saya juga ada stage fright, gugup! Lazimnya dalam percakapan harian saya menggunakan dwi bahasa - Melayu dan Inggeris.

“Justeru, pada malam itu saya terlepas memberi ucapan dalam bahasa Inggeris. Namun, saya tak pernah berniat berlagak atau bangga diri, siapalah saya hendak menyimpan perasaan begitu. Namun, kepada peminat yang mungkin tersinggung apabila beranggapan yang bukan-bukan terhadap saya, saya mohon maaf, jujurnya saya memang berniat ikhlas,” katanya lagi.

Pada masa sama, Tiz terus memahat nama dan legasinya di kaca TV apabila drama bersiri terbaru lakonannya, Asmaradana kini bersiaran di TV3 menerusi slot Samarinda, setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam.

Begitu juga siri popular terbitan Global Station Sdn Bhd, Spa Qistina dulunya Spa Q yang menampilkan Tiz sebagai Maya, kini boleh diikuti menerusi pakej Astro Box Office Movies Tayangan Hebat (saluran 953) sebanyak 13 episod mulai 5 April lalu jam 9 malam. Bagi yang tidak berpeluang menonton setiap episod, boleh mengikuti siaran maraton episod satu hingga enam pada 10, 17 dan 24 April, jam 2 petang, manakala episod tujuh hingga 13 (18 dan 25 April, jam 2 petang. Episod satu hingga 13 juga boleh disaksikan pada 18 dan 25 April, jam 9 malam).

Kesal lupa ucap terima kasih buat Mas Idayu

PENERIMA trofi Artis Baru Lelaki Popular ABPBH 2009, Black, 23, boleh dianggap mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya juara program realiti TV3, Mentor musim ketiga itu berjaya mengenepikan calon favourite yang biasanya dari kalangan pemenang Akademi Fantasia (AF) dan Raja Lawak . Sebelum ini kategori itu dimenangi Mawi, Dafi dan Nabil. Dalam persaingan kali ini, Black berdepan artis AF7 iaitu Akim, Aril dan Hafiz.

Sekalipun kurang memiliki paras rupa berbanding bintang AF7, Black sudah membuktikan, peminat mengundinya berdasarkan kualiti kerja, kehebatan vokalnya dan kesungguhan yang ditampilkan dalam persembahan. Kini, baru Black sedar, menerusi bakat, peminat mengagumi kemampuannya. Dia juga mengakui, tidak mempunyai kelebihan dari segi faktor ketampanan yang sering dicanang menjadi keutamaan peminat membuat pilihan.

Namun, bersama bakat kurniaan Tuhan, Black mampu membuka mata banyak pihak, paras rupa bukan lagi satu bonus, sebaliknya kesungguhan untuk berjaya dalam arena diceburi, adalah pemangkin kejayaan seseorang artis itu. Seperkara lagi, Black tidak pernah mendapat pendidikan formal bidang muzik atau vokal, dia sekadar belajar menyanyi di karaoke, selain sering menyertai pertandingan Dikir Barat dan nasyid ketika alam persekolahan dulu.

Apabila menyertai Mentor 3, disebabkan Black sudah boleh menyanyi, Mas Idayu hanya menitik beratkan soal teknik nyanyian dan persembahan. Hari ini Black dijulang, justeru, dia sama sekali tidak menyangka, daripada seorang peniaga di Pantai Dalam, Kerinchi, Kuala Lumpur, kini dia berpeluang berkongsi pentas ABPBH 2009 bersama Wings dan Jaclyn Victor ketika membuat persembahan penutup malam kemuncak ABPBH 2009!

“Ketika di pentas selepas menerima trofi malam itu, saya lupa mengucapkan terima kasih kepada Mas Idayu kerana tanpa bimbingan daripadanya, tak mungkin saya berada pada tahap hari ini. Saya gugup berada di pentas sehingga saya buat ucapan terima kasih kepada Tuhan, sepatutnya syukur kepada Tuhan!” kata Black yang masih sukar mempercayai, dirinya kini sudah mengecapi populariti.

Katanya lagi, dia akan memastikan sentiasa menjadi dirinya yang sebenar, tak mungkin melupakan daripada mana asal usulnya. Justeru, sekalipun sudah mampu berpindah ke penempatan lebih selesa, Black membuat keputusan untuk terus menetap di apartmen keluarganya yang terletak di Pantai Dalam.

“Sekalipun orang kata penempatan di Pantai Dalam dikelilingi pelbagai macam gejala sosial, tapi Alhamdulillah persekitaran itu jugalah yang membantu saya untuk menjadi lebih tabah, tahu membezakan perkara yang wajar atau sebaliknya. Sekiranya saya berpindah, saya khuatir kehilangan kawan-kawan dan mudah lupa diri, di mana asal usul saya serta keluarga.

Sudah ada buah hati - Miss A

“Sepanjang saya menetap di Pantai Dalam, saya pernah berkawan dengan sebaik-baik manusia dan sejahat-jahat orang. Tapi, segala-galanya bergantung kepada nawaitu, yang penting kita harus bijak mengawal dan menjaga diri sendiri supaya tidak terjebak kepada gejala negatif. Saya sentiasa ingat kepada pesan ayah dan ibu, jangan salah pilih kawan, boleh berkawan, tapi jangan ikut perangai tak elok kawan,” katanya lagi.

Black juga tidak berselindung perihal peribadinya apabila mengakui dirinya kini berkawan rapat dengan seseorang yang hanya mahu dikenali sebagai A saja, berusia 22 tahun. A seorang bekas guru dan baru saja menamatkan pengajiannya di peringkat lebih tinggi. Namun, Black mengakui, keluarga A tidak gemar anak perempuan mereka terdedah kepada dunia hiburan, justeru dia tidak berpeluang memperkenalkan A kepada peminat mahupun media massa.

“Saya harus menghormati keputusan keluarga A. Lagipun fokus saya ketika ini terhadap kerjaya, saya tak mahu leka bercinta, akhirnya karier terbantut di pertengahan jalan. Pada masa sama, saya dan A sedang mengusahakan sebuah butik, Zwarthna (bermaksud Black dalam bahasa Belanda) di Bandar Seri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. A juga membuka kelas tuisyen kepada pelajar yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Zwarthna,” kata Black tanpa berselindung.

Perkembangan terbaru mengenai kerjaya nyanyiannya, Black berkata, album studio penuh pertamanya bakal menggunakan semua nama wanita sebagai judul lagu. Tambahnya lagi, perancangan itu adalah gimik syarikat rakaman, Monkey Bone untuk menggambarkan paras rupa Black bukan ukuran kejayaan, sebaliknya bakat.

“Biarlah saya saja memuja kejelitaan perempuan itu, dia tak minat dengan saya pun tak apa. Justeru, timbul idea menggunakan nama perempuan sebagai judul lagu,” kata Black yang mengharapkan album studio penuhnya bakal berada di pasaran sedikit masa lagi.

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com