click 4 money

Sunday, January 31, 2010

Misha terpaksa tangguh hasrat


Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Hati Misha sudah dimiliki.

Misha sudah serasi dengan aturan sebagai anak seni

ANDAI tidak kerana lagu nyanyiannya, Cinta Adam Dan Hawa ciptaan Azmeer dan lirik nukilan Allahyarham Loloq membolosi senarai 14 finalis untuk Anugerah Juara Lagu Ke-24 pada 10 Januari depan, pasti berat Misha Omar menerima pelawaan untuk sesi fotografi ini.

Sudah menjadi prinsip hidupnya, hanya bersedia bertemu media jika ada cerita untuk dikongsi. Pastinya sesuatu yang positif kerana Misha senang khalayak menilai dirinya dari segi karier, bukan publisiti picisan yang cuma mencemarkan nama baiknya.

Pegangan prinsip yang tentunya mengundang pro dan kontra tetapi Misha mempunyai sebab mengapa berbuat demikian.

Mahu utamakan kerjaya sebelum akhiri zaman bujang.

Hampir lapan tahun melayari industri hiburan, dia sudah dapat menebak kemungkinan jika terlalu membiarkan diri dihanyut publisiti.

"Justeru, saya selesa begini iaitu cuma tampil apabila ada berita untuk dikongsi dan selain itu saya senang menyimpannya sendiri.

“Tidak perlu terus-terusan menghiasi dada akhbar dan majalah, namun pengisian ceritanya kosong dan hambar. Itu tidak adil kepada peminat. Lama kelamaan mereka juga bosan.

"Saya sendiri bukan artis baru, sudah lapan tahun dalam industri membuatkan saya semakin serasi dengan aturan perjalanan sebagai anak seni," kata Misha.

Berdiam diri bukan bermakna dia tidak menggerakkan aktiviti seninya. Undangan persembahan nyanyian masih dipenuhi, aktiviti lakonan dan pengacaraan juga dijalankan seiring.

Semua itu membuatkan jadual seni Misha agak padat tatkala 2009 bakal menutup tirainya. Kesibukan yang kembali diimpikan Misha kerana akuinya, awal 2009 membawanya meniti laluan sulit dan menduga.


Pernah kata Misha, dia tertanya-tanya mengapa takdir tidak menyebelahinya meskipun tahun ini catatan kariernya dilakar cemerlang.

Album ketiga yang mengangkat namanya sebagai judul meraih empat trofi utama, termasuk Album Pop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-16 seharusnya membentangkan ruang selesa untuk Misha terus bergerak.

"Tetapi sebaliknya pula berlaku. Karier nyanyian saya seakan tersekat membuatkan saya keliru memikirkan nasib diri. Pernah saya berbisik kepada diri, barangkali sudah tiba masa untuk mencari arah baru. Mendirikan rumah tangga. Mungkin? Tetapi Tuhan itu adil. Dalam kesulitan itu, Dia membuka laluan untuk saya menggilap bakat dalam bidang pengacaraan selain kembali aktif berlakon.

"Alhamdulillah, semua itu rezeki. Berkat kesabaran juga Allah menemukan saya dengan ramai insan yang mempercayai bakat seterusnya membantu untuk melicinkan aktiviti nyanyian saya," katanya.

Gandingan dengan Anang:

ANTARA detik paling mengujakan pemilik nama lengkap, Samihah @ Aisah Omar ini tatkala berkesempatan bertemu komposer dan penyanyi popular Indonesia, Anang Hermansyah usai menjayakan konsert kemuncak, Jom Heboh.

Pertemuan yang dilanjutkan dengan kesediaan Anang yang juga bekas suami penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti (KD) untuk memperluaskan karier nyanyiannya di tanah seberang.

Membuatkan Misha terharu, semuanya seperti didorong Tuhan apabila syarikat rakamannya, Sony Music turut menyambut baik usul itu.

Mereka juga menggalakkan gandingan dua nama besar ini dipercepatkan kerana percaya, kerjasama itu akan membuahkan sesuatu yang bermakna kepada industri hiburan Malaysia serta Indonesia.

Sebagai permulaan, kerjasama mereka diperkuatkan dengan rakaman semula single, Makin Aku Cinta yang pernah dibawakan Anang dan KD tetapi diberi susunan muzik baru.

"Itu cuma strategi permulaan dan saya sendiri tidak menolak kerana percaya Anang mempunyai perancangan terbaik untuk memperkenalkan nama saya di sana. Sudah lama dia mengintai peluang itu. Cuma mungkin rezeki hanya datang pada 2009, tatkala saya sendiri sedang mencari cabaran baru.

"Difikirkan kembali, mengapa tidak saya beranikan diri semula untuk terus mencuba biarpun percubaan awal memasuki pasaran Indonesia lewat album sulung lalu gagal.

"Barangkali ketika itu saya belum benar-benar sedia, pengalaman juga mentah tetapi kini dengan sokongan Anang dan pengurusan Sony Music, saya berdoa impian ini menjadi kenyataan," katanya.

Tangguh hasrat bernikah:

TIDAK pernah menyembunyikan kenyataan hatinya sudah dimiliki, Misha juga berura-ura untuk menamatkan zaman gadisnya tatkala usianya menganjak 28 pada tahun depan.

Usia yang bagi Misha, sudah terlalu matang untuk menggalas tanggungjawab baru sementelah jejaka yang begitu memahami dirinya itu turut menerima anak kesayangannya, Muhammad Adam Emir.

Kebetulan percintaan yang dijalin hampir dua tahun itu menerima restu keluarga, Misha berkata, tiada apa lagi yang perlu difikirkan.

Bagaimanapun, semua itu cuma perancangan. Tanpa pernah diduga, karier nyanyiannya kembali mekar. Begitu juga dengan jejaka yang menambat hatinya. Lelaki itu pada masa sama sedang membina kerjaya untuk masa depan yang selesa membuatkan mereka kembali berbincang.

"Jalan terbaik kami tangguhkan dulu hasrat untuk bernikah. Kebetulan karier kedua-dua kami sedang bergerak baik, jadi kami ambil keputusan untuk fokuskan dulu kepada membina kerjaya.

"Alhamdulillah, dia memahami kerana dia sendiri pernah melihat perjalanan jatuh bangun saya dalam bidang ini. Melihat kesungguhan saya untuk menawan kembali laluan yang pernah tertangguh dulu, dia merestuinya.

"Dia juga tidak pernah memaksa kerana dia sendiri sedang mengejar cita-citanya. Insya-Allah, apabila semua yang diimpikan menjadi kenyataan kami akan memikirkan perancangan hidup berdua. Saya percaya kepada jodoh," katanya.

Info:

  • Nama Penuh: Samihah @ Aisah Omar
  • Nama Komersial: Misha Omar
  • Usia: 27 tahun
  • Tarikh Lahir: 6 Januari 1982
  • Asal: Kota Bharu, Kelantan
  • Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan pengacara
  • Mula Aktif: 001 (Melalui Bintang RTM - Finalis)
  • Album: Misha (2002), Aksara (2004) dan Misha 2008 (2008)
  • Filem: Gerak Khas The Movie (2005) dan Main Main Cinta (2006)
  • Drama/Telefilem: Jom Balik Raya I & II (2006), Jula Juli dan Cinta Si Sukun (2009)
  • Pencapaian: Festival Muzik Asia Shanghai 2003 - Anugerah Emas, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 - Artis Baru Wanita Popular; Anugerah Juara Lagu 2003 - Lagu Balada Terbaik (Bunga Bunga Cinta) / Persembahan Vokal Terbaik dan Anugerah Industri Muzik 2009 - Lagu Terbaik dan Lagu Pop Etnik Terbaik (Nafas Cahaya); Lagu Pop Terbaik (Cinta Adam & Hawa) dan Album Pop Terbaik.

    Pakaian dan lokasi: Syaiful Baharim,
    C-0-10 Plaza Damas
    60 Jalan Sri Hartamas 1 Sri Hartamas, Kuala Lumpur
    Solekan: Chomel (012-684 1591).
  • No comments:

    Post a Comment

    click2..

    sponsor links

    Fitness pro’s deluxe form kit
    Read this book
    www.fitnessbusinessforms.com

    Fat Loss Action Blueprint
    See To Believe
    www.fatlossactionblueprint.com/

    Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
    Tried And Tested
    www.nailtechsuccess.com