click 4 money

Sunday, January 31, 2010

'Saya tak tamak'






Fara Fauzana beralih ke lakonan, penerbitan drama

KETEPIKAN soal tamak, Fara Fauzana inginkan kesempurnaan dalam hidup dan kerjayanya. Selepas mengecapi kejayaan dalam dunia pengacaraan dan pe­nyampaian radio, kini tumpuannya beralih ke bidang lakonan dan penerbitan drama. Jika ada rezeki, gadis hitam manis itu ingin melayarkan sayap ke dunia nyanyian pula.

Baginya, rezeki yang sudah terbentang luas di depan mata tidak seharusnya dipersia-siakan. Selagi diterima, gadis berusia 30 tahun itu mahu me­nerokai pelbagai cabang dalam bidang seni, tidak hanya bergelar penyampai radio, pengacara, pelakon, penerbit drama, malah Fara turut me­nyimpan hasrat menghasilkan album atau single suatu masa nanti.

Masih menggunakan tongkat selepas menjalani pembedahan di lutut lebih dua bulan lalu, Fara atau lebih mesra dengan panggilan Fafau di kalangan peminat menegaskan kalau sudah ada rezeki di depan mata, kenapa hendak ditolak.



"Tidak timbul soal tamak, haloba apabila saya mengalih­kan tumpuan dalam bidang lain. Soalnya sudah rezeki datang bergolek dan tidak mampu saya tolak. Kalau ikutkan, saya memang penat apabila orang lain masih diulit mimpi, saya sudah berkejar ke konti radio HotFM, pada waktu tengah hari pula perlu melakukan tugasan lain, tetapi alah bisa, tegal biasa, saya sememangnya sukakan cabaran.

"Ada masa saya hanya sempat tidur dua sejam sehari, ada kalanya saya pernah tertidur dalam kereta, tetapi itu bukanlah alasan untuk saya tidak melakukan kerja sebaik mungkin. Walaupun mata me­ngantuk, otak letih dan badan rasa lesu, kerja tetap kerja. Saya ketepikan perasaan itu demi tugasan yang menanti saya.

"Mungkin ada yang me­nuduh tamak, saya tak kisah. Bukan selalu saya diberikan peluang mengacarakan rancangan, berlakon drama atau filem serta menerbitkan drama, ia hanyalah bermusim, datang sekali sekala saja. Saya juga menyimpan hasrat me­rakamkan single atau jika ada rezeki mungkin menghasilkan album solo selepas gan­dingan saya bersama kumpulan The Fabulous Cats, Darling dan Anne menerusi lagu Gadis Cuci berjaya meraih perhatian peminat.

"Awalnya saya pernah tak yakin mampu menyanyi, namun gandingan bersama pelakon Gadis Cuci The Series nampaknya membuahkan hasil, sekali gus membina keyakinan untuk saya menceburi bidang nyanyian. Jika ikutkan, saya menyimpan minat bergelar penyanyi sejak di bangku sekolah lagi, saya pernah bergelar juara dalam pertandingan Tiru Gaya Suara Awie ketika berusia belasan tahun dan me­rakamkan lagu bersama Linda Onn, Nana dan Niela Kurnia sewaktu bertugas di radio Era.

"Jika ada yang menganggap saya sudah tidak laku, lalu mahu mengalih tumpuan pada bidang lain, saya menafikannya sebaliknya saya ingin mencuba sesuatu baru tanpa mengetepikan kerjaya tetap saya sebagai penyampai radio dan pengacara TV," katanya.

Pemenang Anugerah Pengacara TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama empat tahun berturut-turut itu berkata dia juga punya matlamat tinggi, tidak mahu terus berada pada tahap ini kerana impiannya mahu mengecapi tahap yang lebih tinggi.


Kelihatan anggun dengan solekan dan dandanan, Rieza Amour, Fafau berkata, memang dia menyimpan untuk bergelar penerbit di sebalik tabir dalam industri tetapi perlu mengumpul pengalaman dan melangkah berperingkat untuk merea­lisasikan impian saya.

"Kalau ikutkan saya sudah menghantar borang permohonan sejak beberapa tahun lalu, tetapi permohonan saya sering tidak diluluskan. Bukan bermakna saya sudah jemu mengendalikan segmen Hot FM AM Krew bersama Faizal Ismail setiap hari, tetapi saya juga angin perubahan selepas hampir satu dekad dalam dunia penyiaran radio. Apa pun, saya tidak akan berputus asa, saya akan mencuba lagi pada masa akan datang," jelasnya.

Teringin juga untuk dicintai

Tanpa berselindung, dalam usia menginjak 30 tahun, Fafau akui keinginannya mahu bergelar isteri dan ibu semakin meluap-luap cuma jodoh belum kunjung tiba. Menafikan diri sukar didekati, sebaliknya pencariannya belum tiba ke penghujung ketika ini.

"Hati mana tak rasa ingin dicintai, jiwa mana tak ingin dimiliki tetapi saya belum bertemu pilihan hati. Saya tak pernah berbohong, inilah hakikat hidup - saya belum berteman. Tidak dinafikan, dulu saya pernah jatuh cinta dan dalam usia 21 tahun, saya hampir berkahwin tetapi keluarga mahu saya melanjutkan pelajaran terlebih dulu, kisah cinta saya tamat begitu saja.

"Saya juga pernah menjalinkan hubungan dengan seseorang yang istimewa tetapi hubungan kami putus di tengah jalan, bekas kekasih saya berkahwin dengan gadis lain. Tipulah saya tak kecewa tetapi tak bermakna saya serik nak bercinta lagi. Hingga kini, helaian hidup saya ditemani kawan-kawan baik dan keluar­ga, tak sempat nak rasa sunyi.

"Mungkin disebabkan dikelilingi kawan-kawan rapat, jadi saya tak pernah memikirkan soal jodoh, tapi persoalannya sampai bila? Bila lihat pasangan lain yang dibuai cinta, saya jadi cemburu dan dalam hati pernah terdetik, bila saya nak bahagia macam mereka. Bukan tiada yang cuba merapati, tetapi kesudahan cerita kami hanya berkawan biasa.

"Tidak dinafikan, ada juga teman artis yang meluahkan perasaan tetapi saya menolak, saya tak selesa. Jika diberi pilihan, saya ingin mencari lelaki yang bekerja dalam bidang berlainan, bukan artis. Bagaimanapun, sebagai manusia biasa, kita tidak mampu menolak kehendak takdir. Saya akui saya seorang gadis yang konservatif dan tidak terlalu bersosial walaupun berfikiran terbuka.

"Disebabkan itu, apabila timbul cerita saya seorang lesbian dan teman rapat saya se­perti Nana, Linda Nanuwil dan Darling menjadi mangsa, saya hanya tergelak besar, tak pernah simpan dalam hati. Jauh di sudut hati, saya inginkan seorang kekasih, suami dan bapa kepada anak-anak saya, bukan hidup de­ngan cara songsang," katanya yang turut membintangi filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami arahan Din CJ itu.

Mengulas azam tahun baru­nya, Fafau akui dia ingin mengubah penampilan imej menjadi lebih manis dipandang mata. Bukan selama ini, dirinya tak pernah menitik beratkan soal imej, sebaliknya kekurangan diri dan pandangan peminat sentiasa diambil kira.

"Saya tidak memiliki bentuk badan yang cantik, jadi selalunya saya berdepan dengan masalah pakaian. Saya akui sentiasa bersedia membawa pakaian lain jika pakaian yang disediakan tidak bersesuaian dan menyebabkan saya tidak selesa dan kelihatan lebih buruk.

"Bagaimanapun, timbul pula cakap-cakap belakang, saya cerewet dan tak suka berdandan. Tidak dinafikan, saya seorang yang ringkas, apatah ketika bertugas pada subuh hari, saya akui tak seperti teman setugas lain yang sentiasa cantik dan bergaya, tetapi waktu bekerja mereka berbeza.

"Saya pernah melakukan perubahan imej ketika mengacarakan rancangan Melodi suatu ketika dulu, tetapi saya dihentam cukup-cukup, saya jadi malu. Sejak itu, saya berhati-hati dalam memilih pakaian, biarlah peminat melihat saya simple dan santai, itu adalah kemahuan mereka. Tapi untuk 2010 ini, saya inginkan perubahan dan masih memikirkannya," katanya lagi.

Info Fara Fauzana

  • NAMA PENUH: Fara Fauzana Mohd Fadzil

  • USIA: 30 Tahun

  • TARIKH LAHIR: 7 Februari 1980

  • KELUARGA: Kedua daripada tiga beradik

  • ASAL: Petaling Jaya, Selangor (dibesarkan di Shah Alam)

  • PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam

  • KERJAYA: Penyampai radio HotFM, pengacara Melodi (TV3), pelakon dan penerbit drama

  • FILEM: SH3 The Movie, Gila Gila Bola, Jin Notti, Kecoh Betul dan Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami

  • DRAMA: Hanya Segeluk Air, Mangkuk Tingkat, Fatamorgana, Kisah Benar, Nur, sitkom Fara, Gadis Cuci dan Gadis Cuci The Series

  • PENCAPAIAN: Pengacara TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005, ABPBH2006, ABPBH2007, ABPBH2008 dan Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH2007, ABPBH 2008

  • DUTA: Telekom Malaysia (TM), Keep Slim dan Jacob's
  • No comments:

    Post a Comment

    click2..

    sponsor links

    Fitness pro’s deluxe form kit
    Read this book
    www.fitnessbusinessforms.com

    Fat Loss Action Blueprint
    See To Believe
    www.fatlossactionblueprint.com/

    Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
    Tried And Tested
    www.nailtechsuccess.com