click 4 money

Sunday, January 31, 2010

Serasi tapi tak sehati


Oleh Zul Husni Abdul Hamid & Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



Dua bintang filem Adnan Sempit puas digandingkan bersama

MEREKA berlakon bukan disebabkan kemaruk duit atau kemewahan hidup, sebaliknya hero filem Melayu baru, Shaheizy Sam dan Intan Ladyana mahu mencari ruang untuk memilih karakter bersesuaian tanpa perlu terlalu memfokus kepada imbuhan.

Barangkali mereka bukan pasangan serasi dalam filem tetapi gandingan mereka masih menjadi dalam filem meskipun mereka bukanlah mempunyai kecenderungan hati yang sama dalam hal peribadi mahu pun bercakap soal cinta serta pilihan teman hidup.

Sam dan Intan, hero dan heroin filem Adnan Sempit karya terbaru pengarah prolifik, Ahmad Idham terbitan MIG Production Sdn Bhd kini sedang mengatur langkah dalam perjuangan mereka. Biarpun ada yang mengkritik, ada yang masih tidak berpuas hati namun perjalanan kerjaya lakonan mereka semakin rancak.

Poster menarik filem Adnan Sempit.

Adnan Sempit yang menemui peminat di pawagam sejak 14 Januari lalu antara cabaran mereka. Seorang membawa watak kelakar, seorang lagi berwajah serius, namun permainan watak Adnan dan Nadia dianggap tiada keserasian dan bagaikan tidak menjadi.

Secara jujur, Intan, 27, akui: "Belumpun filem Adnan Sempit berada di pawagam ketika itu, sudah terdengar desas-desus lakonan saya dan Sam tiada keserasian. Saya sendiri tidak faham bagaimana cerita ini boleh timbul sedangkan mereka belum melihat lakonan saya.

"Saya akui watak Nadia bukannya watak komedi, bagaimana watak Adnan pula sebaliknya komedi. Saya tahu ada yang mengkritik lakonan saya dalam filem Adnan Sempit, saya terdengar cakap-cakap belakang, lakonan saya tidak semantap Sam, Along (Cham) dan Yana. Bagaimanapun, mereka yang tidak menonton tidak akan faham permainan karakter saya.

"Saya bukannya mahu menegakkan benang yang basah, sebaliknya watak Nadia digambarkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif muda, anak orang kaya dan berpendidikan tinggi. Tentunya saya perlu serius dengan permainan watak itu, tidak seperti teman-teman lain. Mereka mat rempit, permainan watak mereka berbeza dengan saya.

"Tapi ramai yang tak faham, mereka pelik apabila watak saya tidak komedi, paling menyakitkan, ada yang anggap saya tidak boleh berlakon komedi. Mereka kena ingat, tidak semestinya saya berlakon filem komedi, saya juga kena tampil dengan karakter komedi. Sebagai contoh, adakah Lisa Surihani berlakon komedi dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak, jawapannya tidak, kan? Begitu juga Nadia, watak yang digambarkan tidak menunjukkannya komedi.

"Saya sememangnya rasa tercabar apabila ada yang mengkritik tanpa memahami karakter yang saya bawa. Bagaimanapun, saya lega apabila produser, David Teo dan pengarah, Ahmad Idham berpuas hati dengan mutu lakonan saya."


Intan juga berkata, jika lakonannya tidak menjadi dan nampak tiada keserasian dengan Sam, Along dan Yana, sudah tentu Ahmad Idham selaku pengarah tidak akan membiarkannya begitu saja.

"Saya sudah lama bekerja dengan Ahmad Idham, saya faham dengan caranya bekerja. Dia tidak akan membiarkan lakonan saya selaku watak utama tenggelam dan sudah tentu Ahmad Idham mahukan yang terbaik untuk filemnya. Setakat ini, mereka menganggap ini filem saya yang terbaik.

"Banyak cabaran berlakon dalam filem Adnan Sempit, paling menakutkan apabila saya perlu membonceng motosikal dengan Sam. Saya paling takut naik motosikal sebenarnya, tetapi boleh atau tidak, saya tetap laksanakannya. Hanya Tuhan yang tahu ketakutan saya ketika itu.

"Saya selesa bekerja dengan Sam, kami mudah mendapat keserasian. Biarpun ada yang mengatakan Sam seorang pendiam dan sukar didekati, tetapi saya tidak berdepan masalah bekerja dengannya. Dia sebenarnya seorang yang kelakar dan mudah mesra.

"Saya tidak tahu pun sebelum ini, Sam seorang yang pemalu kerana sejak mengenalinya, kami tiada masalah untuk mencari keserasian bekerja. Begitu juga dengan Yana dan Along, mereka gila-gila dan kelakar. Biarpun dunia mat dan minah rempit bukan dunia kami, tetapi kami seronok sebenarnya menyelami dunia asing yang menjadi kegilaan anak remaja hari ini," katanya yang kini sibuk penggambaran drama bersiri, Jangan Pandang Belakang Congkak terbitan MIG Production bersama Sam.

Sam akui namanya belum komersial

Sam, 27, berkata bakat lakonannya yang semakin menyerlah dan diiktiraf khalayak membuatkannya sentiasa mencabar diri untuk mempertingkatkan mutu lakonan. Dia tidak pernah pantas berasa puas, sebaliknya sentiasa dahagakan cabaran dan meneroka ruang baru untuk memperkemaskan lagi karisma lakonannya di mata pencinta filem.

Meskipun ada ketika tawaran yang diberikan bertentangan prinsip lakonannya, Sam percaya, kekuatan sesebuah produksi tidak hanya bergantung kepada sesuatu faktor semata-mata.

"Sebagai pelakon, saya dilatih untuk mempercayai kredibiliti pengarah. Biarpun peranan diberi bertentangan prinsip lakonannya, saya tidak sesekali mengecewakan kehendak pengarah. Saya berlakon bukan kerana mengejar wang dan kemewahan hidup. Disebabkan itu, saya mahu mencari ruang untuk memilih watak dan karektor bersesuaian tanpa memikirkan habuan yang diterima.

"Saya akui ada antara mereka terpaksa tunduk kepada tawaran yang datang. Pelakon yang baik wajar membangunkan sesebuah karakter dengan berkesan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada skrip di tangan.

“Memang senario perfileman tempatan kecil tetapi ruang untuk memilih masih ada. Terpulang kepada individu itu bagaimana mahu mencorakkan perjalanan karier,” katanya yang mula berlakon sejak berusia 11 tahun menerusi filem Sama Tak Serupa, namun namanya hanya menyerlah menerusi drama Pa'e pada pertengahan 1990-an.

Akuinya, keberkesanan watak hitam yang dijayakan dalam filem Bohsia... Jangan Pilih Jalan Hitam menyerlahkan kembali namanya hingga banyak pihak melabelkannya sebagai hero filem Melayu baru.

Namun katanya, pujian yang diberikan tidak pernah membuatnya saya berpuas hati, sebaliknya sentiasa ingin memberi dan terus memberi.

“Saya berharap diberi ruang untuk meneroka lebih banyak watak lagi dalam lakonan. Saya dambakan lebih cabaran terutama peranan yang belum pernah dimainkan. Saya masih lagi mencari pengarah serta naskhah yang dapat merobek lebih mendalam kebolehan serta kemampuan saya dalam lakonan.

"Pun begitu saya bersetuju kebanyakan pengarah masih belum percaya untuk meletakkan saya sebagai teraju kerana nama saya kurang komersial, tetapi semua itu tidak mematahkan semangat saya. Ini kerana apa yang penting adalah mempertingkatkan mutu kerja," katanya.

Adnan Sempit bakal julang nama Sam

Beralih kepada Adnan Sempit, disifatkan Sam sebagai sebuah naskhah yang cukup menguji. Apatah lagi, filem itu buat pertama kali meletakkan namanya sebagai pelakon utama di samping mencungkil sisi baru dalam lakonannya apabila diserahkan watak komedi.

“Untuk menyampaikan elemen komedi memberi cabaran cukup besar buat saya. Penonton datang dengan harapan besar iaitu persembahan kita mampu membuat mereka ketawa. Ia bukan senang untuk dilakukan.

“Membaca naskhah ini menuntut saya untuk memahami dari mana datang elemen komedi itu serta bagaimana saya menyuntiknya supaya tidak nampak dibuat-buat. Ia berat kerana jika tersalah langkah, penonton akan mempertikai dan mempersoalkan apa yang saya lakukan.

"Saya bertuah mendapat bimbingan Ahmad Idham yang berpengalaman, malah memberi kebebasan kepada kami untuk melontarkan idea masing-masing,” katanya adik kepada pelakon Zizie Ezette itu.

Secara jujur, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu berkata, awalnya, dia kurang yakin melakonkan watak Adnan, pemuda yang bekerja sebagai penghantar surat yang jatuh cinta dengan bosnya, Nadia.

“Saya cabar diri untuk membawanya, lebih lagi saya sudah biasa dengan pasukan produksi itu membuatkan saya percaya akan menerima bantuan banyak pihak ketika di lokasi.

“Banyak idea baru yang kami kongsi bersama sepanjang penggambaran ini. Jika ramai melihat persembahan saya menjadi, itu bukan kejayaan saya secara peribadi. Semua pihak memberikan kerjasama mereka,” katanya.

Info Intan

NAMA PENUH: Intan Nurladyana Mohamad Yahaya

TARIKH LAHIR: 2 Jun 1982

UMUR: 27 tahun

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik

KERJAYA: Model iklan, pengacara dan pelakon

PROGRAM TV: Hello Minda dan Advanture Race 2006

IKLAN TV: Oil of Olay, Dentyne, Kinder Bueno, Hotlink, Celcom, Acuvue, Mcdonald's, Toyota, Sunsilk, Nivea Skincare, Follow Me, Jacobents, Toyota Hilux, Dentyne dan Deify Skincare

FILEM: Tipah Tertipu The Movie, I'm Not Single, Remp-It V3, Jangan Pandang Belakang & Adnan Sempit

DRAMA: Puteri, Jelatang, Dari KL Ke Queenstown, Sutera Maya, Suria Kasandra & Bionik



Info Sam

NAMA SEBENAR: Shaheizy Sam Abd Samad

TARIKH LAHIR: 4 September 1982

UMUR: 27 Tahun

ASAL: Petaling Jaya, Selangor

KERJAYA: Pelakon

ANTARA TELEFILEM/DRAMA BERSIRI: Pa'e, Sama Tak Serupa, Graduan, Impak Maksima, KL Menjerit, Jangan Pandang Belakang 2, Legasi 43 Karat

FILEM: Adnan Sempit, Evolusi KL Drift 2, Jangan Pandang Belakang Congkak, Syurga Cinta dan Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam

PENCAPAIAN: Pernah dicalonkan di Festival Filem Malaysia Ke 22 (2009) - kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam filem Bohsia

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com