click 4 money

Sunday, January 31, 2010

Misi buru gelaran


Oleh Zul Husni Abdul Hamid



Peluang keemasan untuk pahat nama sebagai pelapis industri hiburan

SAAT ditanya apa harapan besar mereka tatkala 2010 menyelak helaian harinya, empat nama yang sedang memuncak dalam industri hiburan ini mengimpikan perjalanan karier yang lancar dan membanggakan.

Mereka memulakan perjalanan 2010 dengan cukup selesa. Beraksi di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) di Stadium Putra, Bukit Jalil, jam 9 malam ini, peluang keemasan itu memberi lonjakan untuk terus memahatkan nama sebagai pelapis industri hiburan.

Berbanding Stacy, Akim dan Black yang masih mentah dalam industri hiburan, Alyah pula sudah hampir sedekad mencuba nasib.

Cuma, pada 2009 namanya menyerlah lewat lagu ciptaan Ajai, Tak Mungkin Kerna Sayang lantas menjulang album yang mengangkat namanya sebagai judul dalam Top 5 Album Pop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-16.

Perjalanan awal Alyah mungkin tidak seenak Stacy yang memacu kariernya laju selepas menjuarai program realiti, Akademi Fantasia 6.

Bintangnya bersinar terang. Cuma bersandar kepada single, Aku Stacy, gadis kelahiran Sabah ini mengecap populariti yang diimpikan semua bakat muda sepertinya.

Malah meraih pengiktirafan Artis Baru Wanita Popular pada acara gemilang, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, April tahun lalu. Kecemerlangan Stacy juga dikongsi bersama Black yang menjuarai program realiti, Mentor selepas menempuh laluan sukar untuk menembusi industri hiburan.

Akim yang menamatkan perjuangannya di AF7 pada tempat ketiga namun populariti dikecapi mengenepikan juara pertandingan itu, Hafiz. Apakah nasib akan terus menyebelahi mereka pada 2010? Yang pasti, empat artis muda ini sedang bersiap sedia untuk malam ini bagi misi memburu gelaran di pentas AJL kerana mendambakan pengiktirafan.

Stacy akui bebanan di pentas AJL

LEDAKAN Aku Stacy mengubah hidup gadis Kazadan berusia 19 tahun itu. Impak penampilannya pada malam AJL23 memacu laju karier nyanyian Stacy yang baru bertapak. Tahun ini, Stacy kembali mempertaruhkan nasibnya menerusi Pakai Buang, ciptaan sepenuhnya Edry KRU. Akui Stacy atau nama penuhnya, Stracie Angie Anam, penyertaan kedua pada AJL24 memberikan cabaran berbeza.

�Saya akui bebanan untuk penyertaan kedua ini agak berat. Ketika Aku Stacy dulu, jadual kerja saya masih longgar kerana baru bergelar artis. Jadi masa untuk berlatih banyak.

�Berbeza sekarang apabila jadual harian saya semakin padat. Banyak komitmen yang perlu saya penuhi, membuatkan saya terpaksa mencuri masa untuk menjalani latihan. Mujur saya dibantu pasukan yang memahami. Mereka tidak merungut, bahkan bersedia memberi komitmen apabila diperlukan. Komitmen mereka meringankan sikit bebanan saya,� katanya.

Menerusi lagu Pakai Buang kata Stacy, menuntut kekuatan stamina yang luar biasa berbanding Aku Stacy yang tidak memerlukan pergerakan terlalu besar. Paling meresahkannya, koreografi yang diilhamkan abangnya, Chaq juga mencabar membuatkan dirinya bingung apakah mampu memberikan yang terbaik pada malam kemuncak nanti.

�Jujurnya saya sudah bersedia tetapi pada masa sama saya juga ragu kerana tidak pernah puas dengan apa yang diberikan. Pakai Buang memberikan saya tekanan hebat, malah terasa seolah ini penyertaan pertama saya di pentas AJL. Saya cuma mampu berdoa apa yang dirancang berjalan baik nanti,� katanya.

Alyah menanti 10 tahun

PENTAS pertandingan sememangnya sinonim dengan Alyah yang meraikan ulang tahun ke-29 pada 3 Januari lalu. Alyah pernah meraih gelaran juara pada pertandingan Wirawan EON (1994), Bintang Pepsi (1996), Suara Johor (1997) dan tempat kedua Asia Bagus (1998).

Semua pencapaian itu tidak berjaya melonjakkan nama Alyah, sebaliknya gadis kelahiran Gelang Patah, Johor ini terus terumbang-ambing dalam mencari haluan seninya.

Bagaimanapun, penantian panjang Alyah terjawab dengan Tak Mungkin Kerna Sayang (TMKS), ciptaan Ajai dan Habsah Hassan yang memberi nuansa baru dalam karier nyanyiannya.

�Impak yang diterima selepas terpilih ke kemuncak AJL24 cukup memberangsangkan. Sebelum ini populariti lagu itu tidak diimbangi dengan lonjakan nama Alyah. Alhamdulillah, selepas separuh akhir Muzik Muzik 24 perlahan-lahan kehadiran saya semakin diterima,� katanya.

Penerimaan peminat untuk TMKS sepanjang 2009 juga di luar jangkaan, memberikan sedikit harapan positif kepada Alyah apabila lagu itu terpilih melangkah ke AJL24.

Cuma, satu harapan Alyah, diberikan kesihatan yang memuaskan memandangkan dia berdepan masalah ketika membawakan lagu itu pada Separuh Akhir Muzik Muzik 24 lalu.

�Saya sendiri tidak sabar beraksi kerana ini peluang terbaik untuk menyerlahkan bakat selepas hampir 10 tahun menanti. Dalam apa juga hal, saya harus bersedia fizikal dan mental kerana pentas AJL24 menjadi cabaran yang menguji kemampuan sebenar saya sebagai penyanyi yang baik,� katanya.

Mengimpikan kejayaan pada malam itu, Alyah yang sedang mempromosikan single ketiga, Realiti Dewi mengharapkan AJL24 akan menjadi penyambung kepada karier nyanyiannya yang semakin bersinar.

Akim mahu buktikan dirinya boleh!

TIDAK mengimpikan kemenangan, sebaliknya apa yang diinginkan Akim pada malam AJL24 cuma menyalurkan seluruh tenaganya bagi menghidupkan lagu Bengang ciptaan Amir dan Sheikh Qalam.

Lantas Akim atau nama lengkapnya, Afiq Hakim Ahmad tidak terlalu memberatkan kepalanya dengan memfokuskan kepada pertandingan semata-mata. Apa lebih penting, kata Akim, adalah membuktikan dirinya layak berdiri di pentas berprestij itu.

�Berbeza dengan pentas final AF, penonton pasti mengharapkan kematangan dalam persembahan saya apatah lagi lagu ini kerap dibawakan ketika pertunjukan pentas. Bengang agak mencabar kerana menuntut penghayatan emosi yang mendalam, sama ada pada penyampaian mahu pun dalam setiap bait liriknya.

�Mendalami semua aspek itu penting kerana tanpa elemen itu, Bengang akan menjadi kurang bermaya membuatkan impaknya kurang dirasai,� katanya.

Memikirkan hal itu, sejak pertengahan Disember lalu, Akim giat menjalani latihan vokal serta merangka corak persembahan untuk tampil mengesankan pada malam AJL24.

�Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri dengan hanya memikirkan kemenangan. Setiap orang sudah tertulis rezekinya dan saya tidak perlu kecewa jika gagal meraih sebarang pengiktirafan. Apa yang bermain di fikiran saya ketika ini cuma mahu berdiri dan memberikan yang terbaik di pentas idaman semua penyanyi dan penulis lagu.

�Saya percaya impak AJL24 bakal membawa karier nyanyian saya ke satu tahap baru dan saya mahu memanfaatkan ruang berharga itu sebaik mungkin,� katanya yang akan hadir bersama single terbaru, Inilah Cinta.

Black tak mahu peminat pandang rendah

PADA Julai 2009 mengubah hidup Hanifah Mohd Hanafiah, 22 atau mesra disapa Black. Jejaka yang pernah dinafikan haknya ketika menghadiri sesi uji bakat sebuah program realiti kerana paras rupanya bersinar apabila diangkat sebagai juara Mentor musim ketiga.

Karier nyanyiannya masih mentah, baru berusia lima bulan namun Black tidak mahu menjadikan semua itu sebagai alasan untuk berlebih kurang pada malam kemuncak AJL24.

Black berkata, dia belajar menyingkirkan segala rasa rendah diri kerana itu hanya akan melunturkan semangatnya daripada terus berusaha menggilap bakat.

Dia bagaimanapun, berterima kasih kerana Aku Rindu Sayang Kamu ciptaan sepenuhnya Yuzai memberikannya ruang untuk membuktikan sesuatu.

�Sejak awal bertapak, saya sentiasa mengingatkan diri supaya bersedia menerima apa saja cabaran. Ruang sudah dibentangkan cuma saya perlu menyuntik keyakinan supaya dapat berdiri selesa dalam industri hiburan.

�Keutamaan saya memberikan persembahan vokal terbaik pada malam itu nanti. Saya tidak mahu khalayak memandang rendah kepada artis realiti televisyen dan itu misi besar saya ketika ini,� katanya.

Black juga menganggap AJL24 sebagai tempat pembelajaran yang memberikan pengalaman terbaik supaya dia pantas dewasa dalam industri muzik.

Sedang menggilap populariti menerusi single, Drama King kolaborasinya bersama Meet Uncle Hussain, Black juga masih dalam proses menyiapkan album pertamanya yang cuma akan memulakan rakaman selepas selesai AJL24.



Info

  • Stacy

    Nama Penuh: Stracie Angie Anam

    Tarikh Lahir: 18 Ogos 1990

    Asal: Penampang, Kota Kinabalu, Sabah

    Album: Aku Stacy

    Single: Menggegar Dunia (duet bersama Adam AF2) dan Primadona (solo), kedua-duanya adalah lagu runut bunyi filem My Spy

    Duta: Power Root dan Intimate Sanitary Napkins

    Pencapaian: Juara Akademi Fantasia 6 (AF6), Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Penyanyi Pop Popular Malaysia 2009 pada Shout Awards terbitan 8TV dan Ikon Belia Remaja Sabah



  • Alyah

    Nama penuh: Noor Hasliah Abu Hasan

    Tarikh Lahir: 3 Januari 1981

    Asal: Gelang Patah, Johor

    Telefilem: Cinta Meriam Buluh (Astro Prima)

    Pencapaian: Juara Wirawan EON (1994), Juara Bintang Pepsi (1996), Juara Suara Johor (1997), Naib Johan Asia Bagus (1998), Juara Bintang HMI (2000), album berjudul Alyah dicalonkan dalam Top 5 Album Pop Terbaik Anugerah Industri Muzik 16.



  • Akim

    Nama Penuh: Afiq Hakim Ahmad

    Nama Komersial: Akim

    Tarikh Lahir: 18 Januari 1991

    Asal: Johor Bahru

    Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia

    Pencapaian: Tempat ketiga Akademi Fantasia 7



  • Black

    Nama Penuh: Hanifah Md Hanafiah

    Umur: 22 tahun

    Asal: Kuala Lumpur

    Pencapaian: Juara Mentor musim ketiga

    Single: Aku Rindu Sayang Kamu dan Drama King (kolaborasi bersama Meet Uncle Hussain)
  • No comments:

    Post a Comment

    click2..

    sponsor links

    Fitness pro’s deluxe form kit
    Read this book
    www.fitnessbusinessforms.com

    Fat Loss Action Blueprint
    See To Believe
    www.fatlossactionblueprint.com/

    Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
    Tried And Tested
    www.nailtechsuccess.com