click 4 money

Sunday, May 23, 2010

Helikopter, kejutan dan Fasha

Oleh MURSHID EUNOS

LAMA juga aktres jelita kelahiran Johor Bahru ini mengatur bicara bercerita soal cintanya. Meskipun bertalu-talu spekulasi dan kontroversi datang menghimpit, namun untuk Nur Fasha Sandha Hassan mengaku sesuatu yang belum pasti adalah tidak mungkin walaupun pembayang yang ada di depan mata menceritakan segala-galanya.

BERLEGAR...inilah helikopter yang membawa Rizal bersama temannya ke Pulau Lang Tengah.
BERLEGAR...inilah helikopter yang membawa Rizal bersama temannya ke Pulau Lang Tengah.

FASHA SANDHA...mengakui baik dengan Rizal tetapi sekadar teman saja. FASHA SANDHA...mengakui baik dengan Rizal tetapi sekadar teman saja. BERSAHAJA...aksi Fasha ketika penggambaran drama di Pulau Lang Tengah, Terengganu, hujung minggu lalu. BERSAHAJA...aksi Fasha ketika penggambaran drama di Pulau Lang Tengah, Terengganu, hujung minggu lalu. SAHABAT...Rizal atau Jejai (bertopi putih) bersama Fasha teman ketika membuat kejutan di pulau peranginan itu. SAHABAT...Rizal atau Jejai (bertopi putih) bersama Fasha teman ketika membuat kejutan di pulau peranginan itu.

FASHA SANDHA...mengakui baik dengan Rizal tetapi sekadar teman saja.

Adakah ya atau tidak, jawapannya hanya tersadai tanpa penjelasan. Cerita banyak sudah dijaja, gosip mereka sudah tersebar luas, malah ada yang berani tampil menyatakan mereka memang intim, namun bagi Fasha, ia ringkas dengan senyuman sebagai pengganti jawapan. Pendiriannya masih sama dan tidak pernah berubah, satu penafian yang tiada penghujung.


Bagaimanapun, tengah hari Isnin lalu, lokasi penggambaran drama bersiri terbitan Zeel Productions iaitu Duyung Aridinata di Pulau Lang Tengah, Terengganu yang turut membabitkan aktres terkenal itu 'diceroboh' dengan kehadiran mengejut Jejai lengkap menaiki helikopter peribadinya. Percaya atau tidak, kelibatnya di situ semata-mata mahu memberi kejutan kepada Fasha.


Bagai terang lagi bersuluh, Fasha masih menyifatkan kehadiran Jejai hanya atas landasan persahabatan antara mereka dan tidak pernah lebih daripada itu.


Tegas dalam gerak karakter manja bintang filem Cicakman, Cinta dan Evolusi KL Drift itu, Jejai yang juga ahli perniagaan berjaya berusia 34 tahun itu adalah teman dan kejutan itu tidak membawa erti apa-apa selain mencuri ruang melawatnya di sana yang lebih dua minggu 'berkampung' bagi melangsaikan tanggungjawab terhadap drama bersiri 20 episod itu.

Kesimpulannya, perisai penafian makin longgar, lubuk persembunyian kian terbongkar.


"Saya terkejut dengan kehadiran Jejai ke sini bersama temannya. Misinya ingin mengejutkan saya. Bagaimanapun, saya memandang perancangannya itu sebagai penghargaan buat seorang teman, tidak membawa maksud yang jauh tersasar. Tolong jangan salah anggap kerana itu semua di luar imaginasi saya.


"Lagipun saya masih ada berbaki tiga hari lagi (ketika itu) untuk menyudahkan tanggungjawab saya kepada drama ini. Justeru kehadirannya hanya untuk singgah sebentar dan melihat saya di lokasi.


"Jujurnya, Jejai tidak sesekali mengganggu komitmen kerja saya, apatah lagi meninggalkan beban kepada pihak produksi," katanya yang sempat dihubungi sebaik kelibat helikopter milik Jejai berselisih dengan wakil Selebriti di tengah lautan dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu.


Kotak e-mel Meja Selebriti Metro Ahad bertimbun pesanan daripada pembaca dan peminat aktres berusia 26 tahun itu supaya tidak terus menyembunyikan soal perasaannya.


Ada yang memberi kata semangat dan sokongan untuk jiwa aktres popular ini kental dan tabah, tidak kurang juga yang menyelar supaya Fasha tidak berterusan berlakon di luar kamera.


Kebetulan sehari sebelum insiden kejutan itu, Fasha sempat mencuri masa duduk berbual ditemani pengurusnya di kafe chalet tempat penggambaran drama itu. Sayu hatinya tatkala bertentang mata meluahkan apa yang terpendam di lubuk hati kepada Selebriti.

"Bukan senang menjadi Fasha Sandha. Bukan keinginan saya berlakunya segala cerita itu. Bagai kata bidalan, diluah mati ibu dan ditelan mati bapa. Saya berada di posisi yang sukar menyatakan apa-apa, termasuk soal perasaan, walaupun ia pedih untuk terus disimpan.


"Saya enggan memberi kenyataan atau mengulas lanjut perkara itu kerana sudah-sudahlah dengan segala spekulasi yang timbul membabitkan saya dengan gosip remeh seumpama ini. Saya tidak mahu apa yang akan saya jelaskan disalah tafsir sesetengah pihak kerana terlalu banyak hati yang perlu saya jaga.


"Jejai dan saya masih di fasa mengenali hati budi masing-masing. Beri saya masa sebelum memikirkan soal jodoh. Namun yang boleh saya simpulkan, sebagai teman, Jejai sangat memahami dan sentiasa menyokong kerjaya seni saya.


"Saya merayu, beri saya ruang untuk bangkit semula memperkenalkan apa yang saya ada dan impikan. Saya benar-benar memacak fokus dan semangat untuk berlakon dan mencari duit lebih sepanjang tahun ini. Hormati pendirian saya dan hentikan segala cerita tidak benar ini," katanya seraya sekali lagi menafikan dirinya dilamun cinta.


Pelakon serta kru produksi yang berpeluang melihat babak 'suprise' itu termasuk Zachery Francis, Zain Saidin, pengarahnya, Adam Hamid dan penerbit yang juga Pengarah Urusan Zeel Productions, Fadzil Teh.


Menurut Fadzil yang menyifatkan kejutan itu sesuatu yang bukan baru kerana sebelum ini lokasinya pernah dihadiri Ahli Parlimen, Datuk Bung Mokhtar yang melawat kekasihnya (sebelum berkahwin), pelakon utama drama terbitannya, Suraya iaitu Zizize Ezzette, yang menjadi keutamaannya adalah komitmen setiap pelakon, terutama Fasha yang juga berperanan sebagai teraju utama.


"Kejutan Jejai kepada Fasha tidak mengganggu perjalanan penggambaran. Memang semua kru tertanya-tanya akan bunyi helikopter yang tiba-tiba berlegar-legar di set penggambaran, namun apabila kelibat Jejai kelihatan, saya hanya tersenyum dan Fasha adalah orang paling terkejut.


"Bagaimanapun, saya perlu memuji Fasha kerana dia sangat profesional dan komited terhadap kerjanya. Walaupun kejutan itu berlaku ketika dia dalam karakter drama, ia tidak mengganggu lakonannya dan jadual penggambaran juga tidak terusik. Itu adalah lebih penting berbanding perkara lain," katanya.


Mungkin ada benarnya rayu aktres yang pernah menyandang anugerah Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005 dan 2007.


Tiada siapa dapat menyelami perasaannya, malah tidak seorang pun mampu ikut terumbang akan segala gelora yang menghempas dirinya.


Yang menyeramkan, jika terus berdolak-dalih, takut jika peminat muak. Risau ada yang mula menyampah dan menganggap segala luahannya satu propaganda. Ketika itu, menyesal pun tiada guna.


Mungkin selepas ini Fasha mengorek semangat baru dan mengintai masa sesuai untuk tampil meluahkan isi hatinya.

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com