click 4 money

Saturday, May 29, 2010

Temu jodoh?

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my






Selepas menjanda selama dua tahun, Nora Danish mula mencari keserasian dengan Pelakon TV Lelaki Popular, Remy Ishak


SELEPAS mencipta keserasian tersendiri dengan gandingan pelakon wanita seperti Rita Rudaini, Rozita Che Wan, Ummi Nazeera termasuk bersama Tiz Zaqyah dalam drama Nur Kasih, Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009, Remy Ishak kini buat pertama kalinya 'bertemu jodoh' dengan hot mama, Nora Danish.

Drama epik fantasi, Arjuna terbitan KRU Studios yang bersiaran di TV3 (slot Aksi) mulai 31 Mei ini menjadi percubaan sulung Remy dan Nora di kaca TV. Lalu demi mengalu-alukan kehadiran drama arahan Elmi Khalim yang disiarkan setiap Isnin jam 9 malam itu, mereka disatukan dalam fotografi bersama Hip lewat petang baru-baru ini.

Nora hadir awal seperti waktu yang ditetapkan. Itupun, selepas sepanjang hari ibu tunggal kepada Putera Raiqal Ramli (Qaqal) ini perlu bergegas dari satu lokasi berlainan demi komitmen yang sudah diatur. Malah selepas fotografi yang berakhir menjelang jam 10 malam itu, Nora harus kembali ke lokasi penggambaran drama Tiga Serumah musim kedua terbitan MIG bagi siaran Astro Warna.

Remy Ishak pula tersangkut dalam kesesakan jalan raya selepas balik dari gimnasium. Mahu atau tidak, Nora yang sudah kepenatan terpaksa menunggu hampir sejam sebelum Remy tiba di Balai Berita. Tanpa membuang masa, selepas saja siap, fotografi di antara mereka diteruskan. Jelas keserasian terpancar di antara mereka.

Apa tidaknya selama tiga bulan mereka berkampung di lokasi penggambaran drama ini di sekitar Lembah Pangsun, Kuala Lumpur, Hulu Langat, Kemensah, Pulau Indah dan Hulu Yam. Cuma di minit awal saja Remy kelihatan kekok sedangkan Nora sudah bersemangat memberikan pose menarik.

Barangkali malu kerana selepas tamat penggambaran drama ini, hanya sesi fotografi ini yang kembali menemukan mereka. Dalam malu tapi ada mahu sebenarnya. Tiada masalah sebenarnya menggandingkan mereka kerana kedua-duanya bijak bergaya di depan kamera. Nora juga bijak mengawal keadaan dengan mengusik Remy sambil disambut hilai tawa masing-masing.
“Sejujurnya kami tak mengambil masa yang lama di lokasi penggambaran untuk serasi. Nora okey orangnya. Pendek kata, kami macam sudah lama kenal. Memang kami banyak bersama kerana wataknya sebagai Cempaka dan saya sebagai Arjuna memerlukan kami mengembara bersama-sama dengan rombongan lain,” katanya sambil mengakui dirinya sangat pemalu dengan wanita seraya memuji Nora Danish.

Biarpun pertama kali bekerjasama menerusi drama hasil tulisan skrip Fairul Nizam Abas dan Yuzaidania A Shukor, Remy memberitahu dia sangat menyenangi pelakon berwajah comel itu. Biarpun melalui kesulitan seperti penghasilan skrip yang dihasilkan secara berterusan dan jadual penggambaran yang tidak menentu, mereka saling membantu.

“Nora sangat memberi dan secara tidak langsung memudahkan bahagian kerja kami. Tapi sayangnya tak banyak babak berdua yang menyerlahkan metafora cinta. Lagipun drama ini tidak terlalu menekankan sangat sisi cinta, sebaliknya lebih terarah kepada adegan pertarungan dan dendam kesumat,” katanya yang akan memulakan penggambaran filem Nur Kasih mulai bulan depan.

Ditanya lanjut mengenai drama ini, Remy menjelaskan sebagai pelakon dia sudah memberikan 100 peratus komitmen. Malah demi watak Arjuna, si lelaki idaman ramai ini terpaksa menggelapkan kulitnya.

“Watak ini sangat mencabar fizikal dan mental saya. Watak ini lari daripada kebiasaan watak lelaki romantik yang pernah saya bawakan sebelum ini. Arjuna lebih lasak. Ia lebih daripada realisme dan bersifat komikal. Ia satu anjakan baru untuk kerjaya seni saya. Saya juga perlu ‘berkampung’ di dalam hutan dan tepi laut demi menjayakan watak ini,” katanya.

'Saya tengah cari yang sesuai'

MENGALIH bicara kepada Nora yang sinonim dengan watak Puteri ini, dia menyifatkan rezeki tanpa henti yang diterimanya sebagai rezeki anaknya yang kini berusia setahun empat bulan. Malah hasratnya untuk menjadi pengacara juga termakbul selepas diberi peluang mengacarakan Bolly 10 di Astro B4U dan kini I-Glam di TV9.

Impiannya untuk berlakon di samping hero pilihan turut menjadi kenyataan. Bayangkan setiap kali dia ‘mengidam’ untuk berlakon dengan pelakon lelaki yang diingini, semuanya dipermudahkan apabila dia disatukan dengan Farid Kamil menerusi filem Cuti-Cuti Cinta. Begitu juga kisahnya dengan Remy Ishak.

“Beruntung rasanya sebab apabila ada saja impian untuk berlakon dengan seseorang pelakon, akhirnya ia dimakbulkan. Ada saja tawaran berlakon yang kunjung tiba dengan hero yang saya ingin berkolaborasi. Umum juga tahu Remy sendiri antara hero hangat yang terus meningkat naik. Sepanjang berlakon dengannya, dia sangat menyokong, sama-sama memberi tunjuk ajar dan memberi semangat,” kata Nora yang sudah dua tahun hidup sebagai ibu tunggal.

Diusik pertanyaan tidakkah timbul istilah cinta lokasi antaranya dengan Remy, Nora pantas memintas, dalam kamus hidupnya tiada istilah itu. Malah, kalau disingkap lelaki pilihannya (bekas suami) sebelum ini bukan orang seni. Dia dan Remy serta pelakon lain seperti adik-beradik ketika di lokasi.

Seperti memahami kehendak Hip, Nora pantas membaca bayangan maksud sebenar usikan itu. Akui Nora, dia masih belum bertemu pengganti. Setakat berkawan-kawan itu memang ada. Cumanya, dia tidak mahu terlalu tergesa-gesa memikirkan soal cinta dan membiarkan ia hadir tanpa paksaan.

“Apa yang terjadi dalam fasa kehidupan saya sebelum ini (berpisah dengan bekas suami) tidak sesekali menyekat keinginan saya untuk berkahwin lagi. Istilah serik tak pernah wujud. Saya tidak boleh terus prejudis menilai lelaki sama. Boleh kata saya tengah mencari yang sesuai,” katanya yang terus pulih semangat biarpun diari hidupnya pernah tercalar dengan episod perceraian.

Mengulas lanjut mengenai drama Arjuna, Nora berkata, drama aksi sebegitu bukan yang pertama dilakonkannya. Terdahulu, dia pernah berlakon Pendekar Lima di TV9 beberapa tahun dulu. Untuk watak Cempaka yang dipegangnya, Nora sebenarnya menyerlahkan sisi kental dalam dirinya biarpun pelakon ini sering dianggap sebagai pelakon comel yang lemah-lembut.

“Saya melakukan aksi stunt sendiri dan selebihnya dilakukan pelagak aksi profesional. Watak Cempaka pada mulanya digambarkan sebagai seorang yang lembut. Tak silap saya dalam episode 12 ke atas, Cempaka dianugerahkan kuasa bersilat daripada datuknya, Pendita Dzukarnain. Sebelum bermula penggambaran, kami sebagai pelakon menerima latihan selama dua bulan.

“Watak agresif seperti inilah yang saya dambakan. Biarpun orang nampak saya macam lembut, saya seperti mencabar diri untuk menerima watak lasak. Saya sukakan babak bertarung dan aksi. Kalau dapat watak macam Charlie’s Angel pun saya bersyukur,” katanya yang sedang menanti tayangan dua buah filem, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 dan Cuti Cuti Cinta.

Sebelum berakhir, Nora sempat ditanya mengenai rutin kehidupannya sekarang. Sekalipun sibuk bekerja, Nora tidak sesekali melupakan tanggungjawabnya sebagai ibu.

“Setiap malam, saya akan tidur dengannya. Malah setiap pagi sebelum keluar bekerja, saya masih sempat berjumpa dengannya. Saya pun tak risau sebab ibu dan keluarga mentua saling membantu menjaganya,” katanya sambil menafikan dia bukan artis naungan MIG, cuma sudah beberapa kali rezekinya ditawarkan David Teo dan isterinya, Jane.

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com