click 4 money

Wednesday, March 17, 2010

Bersabarlah hadapi dugaan ini

Oleh Ramlah Zainal, Nurhadiani Baharom dan Wan Asrudi Wan Hasan

BERITA penahanan anak lelaki Seniwati Azean Irdawaty iaitu pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy bagi membantu siasatan dalam kes dadah yang amat serius, baru-baru ini, benar-benar mengejutkan persada seni tanah air.

Seniwati Azean, 59, yang baru pulih daripada penyakit barah payudara ternyata menerima satu lagi dugaan terbesar dalam hidupnya apabila anak sulungnya itu ditahan polis.

Ramai tahu, Benjy, 31, mempunyai makna yang cukup besar dalam hidup Azean dan ia terbukti selepas kelahirannya dulu, Azean pernah merakamkan sebuah lagu khas untuk Benjy dalam album solonya terbitan Datuk Ahmad Nawab.

Antara lirik lagu sentimental itu berbunyi: "...seluruh hidupku, berbakti hanya untukmu; Oh Benjy, kaulah harapanku..."

Rap meminta pandangan rakan artis terhadap apa yang menimpa Benjy dan semua turut bersimpati dengan dilema yang ditempuhi Azean ketika ini.


Datuk Yusuf Haslam

"SAYA dapat tahu mengenai berita penangkapan Benjy apabila dihubungi Azean kelmarin. Saya berasa amat simpati dengan apa yang menimpa Azean itu.

Saya juga pernah berhadapan situasi sama apabila anak saya dulu, Syamsul ditahan pihak polis kerana disyaki terbabit dengan dadah. Saya dan isteri juga berhadapan dengan tekanan ketika itu.

Namun, saya hanya serahkan kes itu kepada polis untuk menyiasatnya dan akhirnya terbukti anak saya tidak bersalah.

Sebagaimana yang kita tahu, kes dadah itu amat berat dan Benjy juga tidak boleh dijamin keluarganya ketika ini. Justeru, saya nasihatkan Azean supaya serahkan perkara itu kepada polis kerana kes itu masih dalam siasatan mereka. Sebagai ibu, dia juga perlu terus berdoa semoga anaknya itu dilindungi Tuhan dari perkara yang tidak diingini nanti."


Khaty Fauziah

"SAYA dapat tahu mengenai kes penangkapan Benjy menerusi SMS daripada Azean sendiri.

Sepanjang mengenalinya, Azean seorang wanita yang kuat semangat terutama ketika berhadapan dengan penyakitnya itu. Saya tahu Azean seorang yang tabah dan sudah banyak perkara berat dilalui dalam hidupnya. Saya berharap semoga dia akan lebih kuat apabila berhadapan dengan kes siasatan anaknya itu."

"Maklumlah, saya juga pernah berada di tempatnya dulu apabila anak saya ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan kes dadah. Insya-Allah, berdoalah semoga hanya benda yang baik akan berlaku.

"Semoga, Azean banyak berdoa pada Tuhan kerana doa seorang ibu sangat mustajab kepada kesejahteraan anak-anaknya. Kita berilah sokongan padu kepada mereka sekeluarga."


Datuk Sharifah Aini

"SEBAGAI seorang ibu, saya dapat rasakan apa yang sedang Azean lalui pada waktu ini, memanglah amat menakutkan dan saya bermohon kepada Allah semoga Azean dapat melalui musibah ini dengan penuh keredaan. Semoga Allah memberi kekuatan kepada Azean.

Beliau perlu menjaga kesihatan beliau sendiri. Saya dengan rendah hati bermohon kepada saudara Islam kita khususnya di dunia Internet agar janganlah menambahkan lagi beban yang telah dilalui ibu dan anak ini. Kita tidak berhak menghukum dan mengejek. Inilah waktu untuk kita semua mempunyai lebih perasaan belas kasihan, apa yang berlaku pada Benjy dan Azean, boleh berlaku kepada sesiapa saja."


Fauziah Nawi

"SEBAGAI rakan artis, saya tahu Azean seorang wanita sangat kuat semangat sejak dulu lagi. Memang dia akan menangis apabila berhadapan dengan ujian Tuhan, tetapi selepas itu, dia akan kuat semula meneruskan kehidupan.

"Semoga Azean tabah berhadapan dengan semua ini. Dulu saya pernah kecewa dengan dunia seni sampai hendak berhenti berlakon, tapi Azean juga yang SMS dan bagi semangat kepada saya. Justeru, saya sangat berharap, Azean lebih tabah untuk berhadapan dengan musibah yang melanda dirinya sendiri. Saya akan beri sokongan moral kepada Azean."


Rosyam Nor

"SAYA berharap Kak Yan bawa bertenang dan bersabar berhadapan dengan kes anaknya itu. Carilah peguam yang terbaik untuk menangani kes anaknya itu.

Sebagai rakan artis, saya cukup simpati dengan apa yang dilaluinya itu. Selain berdepan dengan masalah kesihatan, kini, dia berhadapan dengan kes itu. Banyaklah berserah kepada Allah kerana ini ujian Allah kepada setiap hamba-Nya. Percayalah, semua ada hikmah di sebaliknya."


Harun Salim Bachik

"SAYA pernah memaklumkan menerusi sidang media apa saja salah laku golongan artis membabitkan undang-undang, pihak kami tidak ada kuasa untuk campur tangan. Namun dalam kes yang menimpa Benjy, kami amat bersimpati. Sebagai rakan, saya harap keluarga Benjy kena banyak bersabar dan berdoa. Saya masih berharap kejadian yang menimpanya itu adalah satu salah faham. Bagi saya Benjy pemuda yang berbakat. Sayang kalau bakat seninya itu dipersia-siakan akibat masalah ini."


Datuk Mustapha Maarof

"INI adalah ujian Tuhan buat Azean sekeluarga. Lumrah kehidupan pelbagai ujian perlu ditempuhi dengan tabah. Seluruh sahabat dalam dunia seni turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Azean. Setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Cuma saya harap janganlah kita terlalu cepat membuat andaian dan menghukum mereka yang masih dalam siasatan. Selagi tidak terbukti bersalah, kita tidak boleh menghukum seseorang itu."


Datuk Freddie Fernandez

"APABILA seseorang artis itu dikaitkan dengan dadah, imej akan tercalar. Namun kita tidak tahu, mungkin penahanan itu adalah bagi membantu siasatan. Saya berharap berita ini tidak benar sama sekali. Saya simpati dengan apa yang menimpa Benjy dan keluarganya. Saya harap keluarga khususnya Azean banyak bersabar dan menjaga kesihatannya."


Aznil Nawawi

"DALAM keresahan Kak Yan menjalani ujian terhebat ini, saya harap dia tidak mengabaikan kesihatannya. Sakit Kak Yan tidak boleh ditambah masalah lain kerana dia tidak boleh tertekan. Jangan terlalu risau kerana ini semua masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa.

Kebenaran akan tetap berpihak kepada yang benar. Negara kita ada undang-undang, bersalah atau tidak, mahkamah akan buktikan.

Kepada masyarakat di luar sana, biarlah pihak polis menjalankan siasatan dan janganlah kita memandang serong atau menghina keluarga kak Yan sebelum Benjy disahkan bersalah."


Dr Fazley

"SAYA harap Kak Yan dan keluarganya akan tabah menghadapi ujian Yang Maha Esa.
Pesan seorang ustaz yang sehingga menjadi pegangan saya sehingga sekarang, Allah tidak akan memberi dugaan yang tak tertanggung oleh hamba-Nya. Maka Kak Yan perlu terus berdoalah agar diberikan ketabahan itu.

Walaupun ada persepsi masyarakat, Benjy tetap anak kandung Kak Yan dunia dan akhirat. Doa seorang ibu lebih makbul daripada doa orang lain. Saya sentiasa kagum dengan ketabahan Kak Yan menghadapi pelbagai cabaran."

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com