click 4 money

Saturday, March 20, 2010

Saya teraniaya!

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

PERSENGKETAAN antara pelakon dan pelawak, Ahmad Nabil Ahmad dengan SDAF Pictures Sdn Bhd yang menerbitkan filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM) semakin parah apabila syarikat penerbitan filem itu bertindak mahu menyaman juara Raja Lawak itu dengan tuntutan sebanyak RM2 juta, selain memintanya mengembalikan wang lakonan yang diberikan sebanyak RM30,000.


Nabil diberikan masa selama 14 hari dari tarikh notis saman dikeluarkan dan dihantar ke kediamannya di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 24 Februari lalu. SDAF Pictures Sdn Bhd menerusi syarikat Tetuan Hing & Alvin Advocates & Solicitors membuat tuntutan berikutan Nabil didakwa melanggar kontrak, mengeluarkan komen negatif sehingga menjatuhkan reputasi syarikat, selain gagal menghadiri promosi filem LPSdM. B*Pop berkongsi luahan rasa hati Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 itu.


B*POP: Khabarnya Nabil sudah mendapat surat saman, minggu lalu?

NABIL:
Saya dengar desas-desus akan disaman tetapi saya masih belum terima apa-apa surat dari peguam SDAF Pictures Sdn Bhd sehingga hari ini (Khamis lalu).

B*POP: Tahu tak Nabil akan disaman RM2 juta dan diminta mengembalikan wang lakonan diberikan sebanyak RM30,000?

NABIL:
Saya hanya tahu menerusi wartawan dan akhbar.

B*POP: SDAF Pictures mendakwa Nabil tidak ikhlas meminta maaf, komen sikit?


NABIL:
Saya sudah meminta maaf seperti diminta, saya masih menyimpan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pihak SDAF Pictures yang meminta saya membuat permohonan maaf secara terbuka. Saya sudah melakukannya, saya tampil dengan permohonan maaf dalam dua akhbar, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia serta program Galaksi terbitan TV9. Tidak cukup lagikah? Saya pelik bagaimana mereka boleh mempertikai permohonan maaf saya, bagaimana mereka menilai kata maaf itu ikhlas atau sebaliknya? Saya nak tanya adakah mudah untuk sesiapa nak buat permohonan maaf secara terbuka seperti saya dan ia disiarkan dalam akhbar dan TV? Saya pasti ramai yang tidak akan berbuat demikian, tetapi saya sebaliknya akur dengan kehendak mereka. Apa lagi yang nak dipertikaikan?


B*POP: Apa perasaan Nabil sekarang?


NABIL:
Susah nak cakap, seribu satu rasa. Mereka saman saya atas dasar apa? Salah ke saya memberikan pendapat secara peribadi. Pandangan saya tidak menjejaskan filem LPSdM pun, filem itu masih mengaut keuntungan. Kutipannya hampir mencecah RM2.2 juta. Atas dasar apa mereka nak saman saya?


Kalau alasan mereka sebab nak ajar saya dan beri pengajaran kepada artis lain, tetapi kenapa sebagai pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UiTM, pengarah dan penerbitnya, Aminah Rahpor tidak saman pelajarnya yang gagal supaya boleh dijadikan pengajaran untuk pelajar lain berusaha untuk lulus? Itu contoh saya. Saya hanya bercakap benar, adakah ia satu kesalahan?

B*POP: Kesal apa yang berlaku?

NABIL:
Cukup kesal. Sudahlah mereka menggunakan tagline saya - Lu Fikirlah Sendiri tanpa membayar sesen pun, tetapi saya tidak pernah berkira. Saya percaya penonton ke pawagam sebab mahu menonton lakonan saya, Mila, Puteri Sarah Liyana, Meet Uncle Hussain, Faizal Tahir, Zizan dan lain-lain, bukan kerana pengarahnya, Aminah Rhapor. Mereka sudah mendapat keuntungan daripada filem berkenaan, saya tak fikir hanya sedikit kenyataan saya yang meluahkan pandangan secara peribadi boleh menjatuhkan filem berkenaan. Kalau saya tahu tidak boleh bercakap jujur dalam industri ini, saya tidak akan pilih kerjaya sebagai anak seni. Kenapa saya tidak boleh bercakap jujur?

B*POP: Kenapa tidak baca kontrak terlebih dulu?

NABIL:
Agak malang buat saya kerana saya tidak pandai membaca kontrak. Saya tak pernah belajar selama ini. Saya tak tahu dalam kontrak tidak membenarkan saya bercakap jujur. Tapi saya sedih, ada yang sanggup ambil kesempatan terhadap saya. Sudahlah menggunakan tagline saya tanpa bayar, memerah tenaga keringat saya berlakon dan mereka dapat keuntungan, tetapi akhirnya saya disaman. Umpamanya, buat baik dibalas....

B*POP: Apa yang berlaku umpama menabur pasir dalam periuk nasi Nabil, betul?

NABIL:
Ya, apa yang berlaku hari ini, sedikit sebanyak menjejaskan periuk nasi saya. Saya percaya ada produser dan pengarah tentu sudah takut mahu mengambil saya berlakon tetapi rezeki Tuhan kita tidak tahu. Saya percaya, jika kita benar, jika kita jujur, Tuhan akan tunjukkan jalan. Saya yakin berada di pihak yang benar.

B*POP: Bagaimana saman RM2 juta itu, nak bayar ke?

NABIL:
Daripada membayar RM2 juta pada mereka, lebih baik saya sedekah pada anak-anak yatim atau rumah orang tua. Buat apa saya bayar pada mereka yang mengambil kesempatan pada saya? Saya nak tegaskan, saya - Ahmad Nabil Ahmad, rakyat Malaysia, berhak untuk bersuara, berhak untuk membela diri. Saya bukan hamba abdi, jadi saya akan membela dan mempertahankan diri saya.

B*POP: Tentu ada yang terbuku dalam perasaan?

NABIL:
Selama ini, saya hanya memendam perasaan, saya hanya mengeluarkan kenyataan menyatakan pendirian saya, tetapi orang di luar tidak tahu apa yang mereka lakukan pada saya. Biarlah saya jelaskan apa yang terbuku di hati, mereka pernah mengeluarkan kenyataan sudah berbincang dengan saya tidak membenarkan saya membawa kekasih, Irma Hasmie untuk sebarang acara promosi. Saya nak tanya, bila masa mereka berbincang dengan saya, mereka penipu! Saya malu gara-gara kenyataan itu, saya seolah-olah tidak 'faham bahasa', tak boleh membezakan acara membabitkan kerja atau peribadi. Saya tak pernah mempertikaikannya, saya hairan kenapa mereka boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak benar? Saya tak minta mereka mohon maaf atas kenyataan bohong itu, malah saya lupakan saja perkara itu walaupun muka saya tebal, Irma malu dan tersinggung dengan kenyataan itu.

SDAF Pictures Sdn Bhd juga masih berhutang dengan saya RM6,000, tetapi saya tak pernah kecoh. Saya tak pernah hebohkan dalam akhbar atau TV, saya boleh melakukannya jika saya mahu, tapi biarlah... Saya ni seorang yang naif, saya membenarkan mereka gunakan tagline saya secara percuma, tetapi akhirnya memakan diri, saya teraniaya.

Mereka ambil kesempatan secukup-cukupnya pada saya, bekas mat despatch yang tidak tahu apa-apa ini. Saya tahu saya tidak belajar tinggi tetapi janganlah pijak saya. Saya tiada duit sebanyak RM2 juta, dalam akuan saya hanya ada sedikit simpanan. Saya fikir mereka ingat saya berduit agaknya sebab itulah minta wang RM30,000 dipulangkan, lebih teruk tuntutan mereka RM2 juta. Sekali pun berduit, saya akan sedekah duit saya pada anak-anak yatim dan rumah orang tua, saya takkan bayar pada mereka. Hati dan jiwa saya lebih tenang.

B*POP: Kenapa tidak cuba mencari jalan penyelesaian atau berbincang secara baik dengan mereka?

NABIL:
Saya cuba menghubungi kakitangan SDAF Pictures selepas mendengar kekecohan kes saman ini, tetapi mereka tak angkat telefon. Aminah mendakwa saya bercakap kasar dengannya, tetapi bila masa saya berkesempatan bercakap dengannya. Saya ada menghubunginya, tetapi panggilan saya tidak dijawab. Selepas apa yang berlaku, saya tiada hati lagi nak bercakap dengan mereka

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com