click 4 money

Friday, March 5, 2010

Cinta Que

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my



Calon Top 5 ABPBH2009 akui kehadiran Tengku Ratu banyak mengubah persepsi mengenai hidup

TIDAK lama dulu, pelakon Que Haidar atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 31, tidak berapa menggemari kanak-kanak. Dan, ia bukanlah perkara luar biasa. Kanak-kanak dilihat sesetengah individu sebagai suka membuat bising, comot dan tidak mendengar kata.

Namun, lama-kelamaan sikap itu berubah juga akhirnya. Que sendiri mengaku, berlaku perubahan dalam dirinya sebelum dia berkahwin dengan pereka tari terkenal, Linda Jasmine. Tanggapannya pada kanak-kanak nyata sudah mula berubah.

"Agaknya, apabila seru sudah sampai, sikap kita pun mula berubah. Ibu saya (Rahmah Hussein, 57) sendiri terkejut dan berbangga dengan perubahan yang ketara dalam diri saya. Daripada lelaki yang kurang menggemari kanak-kanak, saya akhirnya menjaga sendiri anak saya," cerita Que.

Que berkata demikian tatkala ditemui pada majlis memperkenalkan puteri sulungnya, Tengku Ratu Haidar, yang kini berusia empat bulan. Ratu dilahirkan secara pembedahan di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang, pada 26 Oktober tahun lalu.

Akuinya lagi, apabila sudah tiba waktunya, perasaan kebapaan itu datang dengan sendiri, sebagaimana dia berasakannya tatkala menunggu kelahiran bayi pertamanya bersama Linda. Menerusi perkahwinan pertama, Linda dikurniakan anak lelaki, Qalif Khan, 10.

EIZLAN YUSOF dan keluarga turut memeriahkan majlis memperkenalkan Tengku Ratu di Bora Ombak, baru-baru ini.

"Sewaktu Linda sedang dipersiapkan untuk pembedahan, saya menangis di luar bilik. Saya menangis kerana cukup bersyukur akan bergelar seorang bapa. Apabila doktor mengeluarkan Ratu daripada perut Linda pula, saya berasakan, sayalah yang sepatutnya berbuat demikian. Entah dari mana datangnya segala kekuatan berkenaan sedangkan, sebelum ini saya cukup takut dengan darah.

"Apabila Ratu lahir, saya lihat wajahnya. Saat itu, ada dua perkara yang bermain di minda. Pertama, kalau saya mati pun selepas ini, ia tidak mengapa kerana saya dapat rasa diri saya berada dalam dirinya. Kedua, kehadiran Ratu membuatkan saya ingin hidup lebih lama, untuk menjaga dan membesarkannya," ujar Que yang bercuti selama tiga bulan untuk memberikan perhatian kepada isteri dan anak yang baru dilahirkan.

Kata Que lagi, menyaksikan sendiri kelahiran Ratu membuatkannya lebih menghargai pengorbanan seorang isteri dan ibu. Katanya, betapa golongan wanita begitu kuat semangat mereka ketika bersabung nyawa melahirkan anak. Kekuatan itu belum tentu wujud dalam diri golongan Adam.

Selepas dijaga selama dua minggu oleh ibunya, Que kemudian menjaga sendiri anak kecil terbabit, di samping mendapat pertolongan pembantu rumah. Katanya, sedikit pun dia tidak kekok untuk memandikan bayinya, menukar lampin, malah menyusukan anak comel yang kini mempunyai berat tujuh kilogram lebih itu.


Sampuk Linda, Ratu seorang bayi yang kuat minum susu. Lalu, katanya secara bergurau, berat yang hanya 2.29 kilogram ketika dilahirkan kini cepat naik.

"Secara dasarnya, Ratu seorang yang peramah dan sukakan keadaan apabila ramai orang berkumpul. Begitupun, ada masanya dia menjadi agak sensitif dan sukar untuk dipujuk. Dia juga kuat membebel dengan nada suara yang tinggi," kata Linda, sambil Que secara berseloroh menuding jari ke arahnya.

Sambung Que, bayi mereka itu tidak takutkan air ketika dimandi dan cukup mudah untuk dijaga. Kadang kala, Ratu akan tidur semalaman dan akan hanya bangun untuk menyusu keesokan paginya.

Pada majlis itu, walaupun keadaan cuaca agak panas, namun Ratu langsung tidak meragam. Diarak masuk ke dalam dewan utama Bora Ombak oleh ibu bapanya kira-kira jam 4 petang, Ratu memang menjadi tumpuan. Bukan saja comel, malah bayi ini memang tidak punya kerenah.

Lalu, tidak lama kemudian, dia bergilir-gilir diambil oleh rakan artis yang turut hadir menceriakan majlis. Antaranya Mawi dan Ekin, Eizlan Yusof dan Vie Shanti, Adlin Aman Ramlie dan Emelda Rosmila, Sofia Jane dan ramai lagi.

Ingin tambah zuriat

MENURUT Que, dia teringin mempunyai beberapa lagi cahaya mata selepas kehadiran Ratu dalam hidup mereka. Linda juga berkongsi keinginan sama, walaupun dia tahu keperitan melahirkan anak bukan kepalang.

Apatah lagi Linda seorang yang alah kepada ubat penahan sakit.

Bercerita mengenai pengalaman melahirkan Ratu, Linda memberitahu kesakitannya cukup dirasa, terutama selepas ubat bius mula hilang kesannya. Dia terpaksa menghabiskan banyak masa di katil dan saat itu, setiap pergerakan cukup dirasa menyeksakan.

Namun begitu, dia tidak menjadikan alahannya pada ubat penahan sakit sebagai halangan untuk terus mempunyai anak. Cuma, kini dia tidak perlu lagi berkira-kira mahu mendapatkan anak lelaki atau perempuan, kerana kedua-duanya sudah pun dikurniakan Tuhan kepada mereka.

Linda juga mengaku, jika ingin hamil lagi, dia perlu melakukannya segera kerana usianya sendiri kini sudah mencecah 38 tahun. Begitu juga dia perlu berhati-hati kerana selepas dua pembedahan (Qalif dan Ratu), kelahiran berikutnya juga pasti menerusi cara yang sama.

"Jika diikutkan nasihat doktor, saya tidak boleh hamil enam bulan selepas pembedahan. Memanglah kami mahukan anak lagi. Jadi, seawal-awalnya mungkin selepas kami tamat bertugas di Akademi Fantasia musim kelapan nanti," katanya yang mengaku lebih bersedia untuk bergelar sebagai ibu, berbanding kali pertama melalui pengalaman sama kira-kira 10 tahun lalu.

Ditanya mengenai perancangan masa depan anak-anak, kedua-dua selebriti ini menegaskan betapa mereka mahukan masa depan terbaik buat Qalif dan Ratu.

"Paling penting, kami pastikan kedua-duanya mempunyai simpanan. Daripada hadiah yang diberikan sewaktu hari lahir dan sebagainya, kami ketepikan sedikit untuk masa depan mereka. Kita semua sedar, pendidikan begitu penting untuk anak-anak. Pada masa yang sama, pendidikan moral juga amat kami titik beratkan," kata Linda.

Que pula menegaskan, seandainya anak mereka ingin menjadi seorang pelakon, dia mahu mereka menjadi pelakon yang jauh lebih baik daripada dirinya.

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com