click 4 money

Saturday, March 20, 2010

Nabil akui tak puas hati

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
rajamawar@bharian.com.my

Lu Fikirlah Sendiri De Movie lebih mantap jika jalan cerita diperkemas


JUDUL: Lu Fikirlah Sendiri De Movie
GENRE: Komedi Romantik.
PRODUKSI: SDAF Pictures Sdn Bhd.
PENERBIT: Aminah Rhapor.
PENGARAH: Aminah Rhapor.
PELAKON: Nabil, Puteri Sarah Liyana, Mila, Meet Uncle Hussein, Tasha AF, Zizan Raja Lawak, Umi Nazeera, Zaibo, Faizal Tahir, Aziz M Osman, Amy Search, Harun Salim Bachik, Liza Othman, Vanidah Imran dan Hisham Ahmad Tajuddin.
SINEMATOGRAFER: Raja Mukhriz.
MULA TAYANG: 11 Februari 2010.


SESUAI untuk penonton yang inginkan hiburan ringan dan santai, filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie arahan Aminah Rhapor akan membuai seribu satu perasaan - ketawa, menangis dan sakit hati

Filem pertama terbitan SDAF Pictures Sdn Bhd itu akan menemui penonton di pawagam bermula 11 Februari ini. Ia menggandingkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, Ahmad Nabil Ahmad bersama Puteri Sarah Liyana. Turut membintangi filem ini, juara Akademi Fantasia 5, Mila, Meet Uncle Hussein, Tasha AF, Zizan Raja Lawak, Umi Nazeera, Zaibo, Faizal Tahir, Aziz M Osman, Amy Search, Harun Salim Bachik, Liza Othman, Vanidah Imran dan Hisham Ahmad Tajuddin.

Lu Fikirlah Sendiri De Movie diambil dari slogan `trademark' yang sering dilaung-laungkan Nabil hingga menjadi ikutan ramai - Lu Fikirlah Sendiri. Sudah tentu jalan ceritanya bersangkut paut dengan Nabil. Ya, memang kisah hidup Nabil sebelum bergelar juara Raja Lawak musim kedua difilemkan. Pengarah dan penerbit memilih Nabil kerana tertarik bakat luar biasanya. Ketika itu, Nabil baru saja keluar dari gelanggang Raja Lawak kira-kira dua tahun lalu.

Dari seorang penjual ayam, mat despatch, mekanik di sebuah bengkel motosikal dan peniaga kuetiau goreng di pasar malam, semuanya dipaparkan dalam Lu Fikirlah Sendiri De Movie. Namun, jalan ceritanya diperindahkan lagi dengan kisah cinta yang menggeletek hati.

Seakan bernada tidak puas hati dengan hasil garapan filem itu, Nabil menganggap apa yang dihasilkan tidak sampai, malah jalan ceritanya longgar dan dilakukan tanpa penelitian. Banyak babak melompat dan tidak difahami apa tujuannya, selain kelibat kumpulan indie popular, Meet Uncle Hussein (MUH) yang sentiasa memegang `gitar tong' menimbulkan kekeliruan dan pertanyaan ramai pihak.


Sehingga Nabil ke tandas pun, MUH sentiasa mengekorinya dengan membawa gitar tong. Apa relevannya? Tidak dinafikan, Lu Fikirlah Sendiri De Movie mahu diolah dalam bentuk muzikal apabila lagu-lagu baru nyanyian MUH sering mengiringi latar belakang cerita, tetapi adakah perlu MUH dijadikan seperti `pari-pari' yang sentiasa mengekori Nabil? Cukuplah sekadar lagu-lagu MUH diperdengarkan, mereka tak perlu muncul sana-sini.


Bagaimanapun, sedikit kekurangan tidak mengusutkan keseluruhan jalan cerita. Lu Fikirlah Sendiri De Movie tetap filem yang bagus dan seronok ditonton, selain banyak babak yang ditampilkan mencuit perasaan cuma garapannya perlu diperkemaskan lagi. Cuma, ia memang sesuai dengan judulnya untuk menyuruh penonton fikirlah sendiri apa maksud yang ingin disampaikan menerusi ceritanya.


Lakonan Nabil biarpun ketika itu baru beberapa bulan keluar gelanggang Raja Lawak tidak menghampakan. Nabil mampu menghayati watak sedih dengan baik, menitis air mata menyaksikan babak pergaduhan dengan abangnya yang juga penagih dadah. Nabil ketika itu tertekan apabila dibuang kerja, motosikal pula dicuri oleh abangnya sendiri, selain melihat bapa yang terlantar sakit dan keluarga bergantung hidup dengannya. Mungkin lain daripada filem-filem Nabil sebelum ini, Lu Fikirlah Sendiri De Movie menyaksikan Nabil mengalirkan airmata mengenangkan nasib malang yang menimpa dirinya.


Mila memegang watak Aishah, adik kepada Nabil. Biarpun hanya berlakon enam babak, lakonan pertama Mila di layar perak tidak mengecewakan. Mila mampu mempamerkan kesedihan apabila mengenangkan kesusahan pada keluarga. Hingga mahu menukar kasut sekolah yang koyak rabak pun tidak mampu dan bergantung harapan pada Nabil yang kerap bertukar kerja.


Puteri Sarah memegang watak Natasha, seorang anak hartawan yang cantik, menyombong, berlagak dan masih belajar di universiti. Natasha dan Nabil tidak boleh bersua muka, mereka pasti bergaduh besar. Nabil tidak suka gadis yang berlagak dan menggunakan kekayaan untuk kepentingan diri sendiri.


Dan kejadian mereka bergaduh hingga ada adegan Natasha membaling kasut pada Nabil pastinya akan membuatkan penonton tergelak besar.

Nabil dan Natasha dipertemukan rakan lama Nabil, Zizan Raja Lawak yang belajar universiti yang sama dengan Natasha. Sikap poyo Nabil yang selamba mengutuk Natasha membuatkan gadis itu sakit hati dan berdendam dengannya. Bagaimanapun, perasaan benci akhirnya bertukar menjadi sayang. Cuma penulis tidak faham kenapa mesti ada babak Nabil memegang gitar tong ketika duduk dibuaian di rumah Natasha? Gitar tong seolah-olah tidak dapat dipisahkan dengan filem ini. Secara keseluruhan, Lu Fikirlah Sendiri De Movie buat penonton terfikir-fikir!


Sinopsis: Lu Fikirlah Sendiri


Mengisahkan impian, cita-cita dan cinta. Nabil (Nabil) dan Natasha (Puteri Sarah) adalah dua garisan yang tidak mungkin bertemu dan melayakkan mereka bercinta. Seorang anak hartawan, seorang lagi pekerja biasa yang menanggung keluarga. Mereka mempunyai pandangan hidup berbeza, seorang pelajar universiti, seorang lagi jejaka yang suka bertukar-tukar kerja.


Pada pertemuan pertama, Nabil dan Natasha sudah tidak sefahaman, bertengkar dan bergaduh disebabkan prinsip hidup masing-masing. Pergaduhan berterusan apabila Natasha sering memburu Nabil kerana merasakan dirinya dihina. Nabil pula sedaya upaya mengelak pertemuan. Walaupun sebenarnya cinta berputik di hati, tetapi mereka cuba menafikan. Akhirnya benci menjadi rindu. Mereka takut menzahirkan perasaan, tetapi sebenarnya mereka saling terpikat

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com