click 4 money

Monday, March 15, 2010

Impian Nabila tercapai

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


NABILAH (tengah) diapit oleh pemenang tempat kedua, Mohd Safrin (kiri) dan pemenang ketiga BIBH2009, Megat Amirul Khairi.
NABILAH (tengah) diapit oleh pemenang tempat kedua, Mohd Safrin (kiri) dan pemenang ketiga BIBH2009, Megat Amirul Khairi.
Pertandingan BIBH2009 di Kemaman dapat sambutan hangat

MERDU suaranya ketika melontarkan lagu Jerat Percintaan milik penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza menambat hati tiga juri profesional yang mengadili pertandingan Bintang Idola Berita Harian 2009 (BIBH2009) di Mesra Mall, Kemaman, Terengganu, Sabtu lalu.

Nabilah Mohamad, 21, pelajar jurusan Diploma Pengurusan Pelancongan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang itu berjaya mencuri hati tiga juri yang terdiri daripada Pengarang Bintang Popular yang turut merangkap sebagai Ketua Juri, Akmal Abdullah; penyanyi rock tanah air, Hattan dan penyanyi yang turut dikenali sebagai guru vokal, Hazami. Wanita bertudung itu adalah juara bagi Zon Timur. Kemenangan itu melayakkan Nabilah menjadi artis residen Berita Harian. Dia turut memenangi hadiah wang tunai bernilai RM1,000, barangan kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM10,000, sijil penyertaan dan dua tiket menyaksikan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang pada 4 April nanti di Arena Of Stars Genting Highlands.

Peserta berasal dari Kuala Terengganu itu tidak menyangka kepulangan ke kampung untuk menguruskan beberapa hal membawa tuah apabila cita-cita untuk bergelar penyanyi hampir pasti menjadi kenyataan.

"Saya memang sudah lama menyimpan impian menjadi artis, tetapi saya sedar cita-cita itu terlalu tinggi. Tak sangka pula hari ini impian saya menjadi kenyataan.

"Sebelum ini saya pernah mencuba nasib dalam beberapa pertandingan realiti seperti My Star LG dan Akademi Fantasia tetapi tiada rezeki," katanya yang mula menyertai pertandingan nyanyian sejak usia 16 tahun serta gemar membawakan lagu-lagu Siti Nurhaliza dan Liza Hanim.
Sementara itu, kesungguhan Mohd Nor Safarin Mansor, 38, menjelajah dari Lumut, Perak ke Terengganu semata-mata untuk menyertai BIBH berbaloi apabila berjaya mengubat kekecewaannya di Village Mall, Sungai Petani, minggu lalu.

Safarin yang bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertekad mencuba nasib sekali lagi kerana tidak puas hati sekadar melangkah ke peringkat akhir minggu lalu.

Katanya, atas nasihat rakan-rakan serta keluarga, dia sanggup meredah perjalanan beratus kilometer ditemani sahabatnya untuk mencuba nasib sekali lagi.

Dia berkata, kesilapan memilih lagu menjadi faktor kegagalannya minggu lalu menyebabkan dia meminta pandangan beberapa rakan lagu sesuai untuk dibawakan minggu ini. Ternyata pilihan lagu Laila Namamu Teratas milik kumpulan Search membawa tuah kepadanya.

Safarin yang pernah menyertai dan memenangi pelbagai pertandingan nyanyian antaranya Metro Idol 2007, Sinar FM 2007 berkata, ini juga bukan percubaan pertamanya dalam BIBH. Dia pernah mencuba nasib tahun lalu tetapi gagal menembusi ke peringkat akhir.

Safarin yang mendendangkan lagu milik Anuar Zain, Lelaki Ini ketika di Sungai Petani, minggu lalu berkata, apa yang membuatkan dia berminat menyertai BIBH adalah kerana tiadanya kekangan had umur dikenakan.

"Tarikan BIBH yang tidak mengenakan sebarang had umur memberi peluang orang yang sudah agak berusia seperti saya menonjolkan bakat kami. Sudah lama saya menyimpan hasrat bergelar penyanyi dan berharap kemenangan ini akan membuka lalu yang mudah untuk saya berjaya dalam karier nyanyian.

"Idola saya dalam bidang nyanyian adalah Black. Meskipun tanpa rupa paras yang menarik, Black mempunyai ramai peminat dan saya berharap dapat menjadi sepertinya," kata Safarin yang membawa pulang hadiah wang tunai RM700, sijil penyertaan, hamper dan tiket ke malam kemuncak ABPBH.

Keberanian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, Kuantan, Megat Amirul Khairi Megat Amran membawakan lagu Mungkir Bahagia milik penyanyi Hazami pula turut memikat hati juri. Amirul yang berjaya mendendangkan lagu itu dengan kawalan suara yang baik menjadi satu bonus buatnya.

Dia menerima wang tunai RM 500, sijil penyertaan, hamper dan juga tiket ABPBH. Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, Amirul datang dari Kuantan, Pahang ditemani ibu bapanya semata-mata untuk mencuba nasib dalam pertandingan ini.

"Saya sudah menyanyikan lagu ini sejak dari tingkatan dua lagi. Jadi ia memberi keyakinan untuk membawakan lagu ini. Walaupun melakukan sedikit kesilapan, saya terkejut apabila rezeki berpihak kepada saya," katanya.

Salah pilih lagu punca gagal

ANTARA ulasan yang kerap kali keluar dari juri pada pertandingan lebih dua jam itu adalah kesalahan pemilihan lagu oleh kebanyakan peserta.

Kebanyakan peserta tersalah memilih lagu yang tidak bersesuaian dengan vokal mereka dan akhirnya menyebabkan mereka gagal menduduki sebarang tempat.

Hattan ketika ditemui berkata, kebanyakan peserta yang berjaya melangkah ke final mempunyai kebolehan menyanyi tetapi rata-rata tersalah membuat pilihan lagu.

"Saya faham mereka tidak mempunyai sesiapa untuk dijadikan rujukan membuat pilihan lagu, tetapi saya nasihatkan mereka yang ingin menyertai BIBH di lokasi lain supaya memilih lagu yang sesuai untuk pertandingan.

"Pilih lagu yang mempunyai nada yang tinggi dan rendah. Saya lihat kebanyakan peserta hanya boleh menyanyi untuk karaoke. Kita mahu mencari bakat semula jadi yang tidak klon mana-mana artis," katanya.

Sementara itu, Hazami pula berkata, dia bangga dapat mendengar bakat memberangsangkan peserta dari pantai timur yang tidak langsung mengecewakan.

Bagaimanapun, seperti Hattan, Hazami juga mengakui kebanyakan peserta tersilap memilih lagu. Hazami turut menasihatkan peserta supaya tidak menyanyikan lagu juri.

"Majoriti daripada mereka tersalah membuat pilihan lagu. Kebanyakan finalis mempunyai asas nyanyian yang boleh diperbaiki lagi. Mereka cuma perlu mempunyai penghayatan lirik dan kalau boleh kaji dulu lirik sebelum membuat persembahan," katanya.

Pada peringkat akhir yang lalu seramai 10 peserta daripada lebih 30 yang menghadiri uji bakat berjaya melangkah ke final. Mereka adalah Mohammad Azfar Shuhaimi, Azreen Mazwan Sapuwan, Mohd Faizul Fadzil, Mohd Nazri Mohd Ashri yang juga peserta cacat penglihatan, Zainul Aliff Zainal Abidin, Amirul Shafiq Sukor dan Noorazmieza Rahimi Jafri.

Pertandingan peringkat akhir itu turut diserikan dengan persembahan daripada pemenang BIBH musim lalu iaitu Noor Nazatul Farahin Mohd Hussin yang mendendangkan singlenya berjudul Suara Rindu, Nurul Syazwani Mohd Basri pula menyanyikan lagu Cinta Darimu dan Mohd Zaki Zainal dengan lagu Peri Bintang.

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com