click 4 money

Friday, February 19, 2010

Cinta baru Hans

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my



Biar pun baru kenal, aktor kacak ini dan Bea Alonzo cepat serasi

SELEPAS hampir tiga tahun hidup solo, aktor kacak Hans Isaac mengaku hatinya kini terbuka untuk bercinta kembali. Sesibuk manapun jadual kerjanya, sebagai lelaki yang ingin dicintai dan mencintai, dia juga ingin merasai nikmat cinta dan alam berumah tangga.

Memori kisah duka lalu sebolehnya mahu dikikis tanpa sebarang rasa prejudis. Selepas melalui kegagalan dalam bercinta, tiada istilah makan hati dalam dirinya cuma sebelum ini Hans belum bersedia untuk terus hanyut dalam romantis sebuah percintaan.


Bukan tiada yang mahu berkenalan dengannya dalam tempoh itu, tapi pelakon dan pengarah ini lebih selesa membataskan dirinya dalam soal cinta dan mengutamakan soal kerja terlebih dulu. Pada peringkat usianya sekarang, dia menjelaskan wanita yang bakal disayanginya pada masa akan datang, terus dilamar menjadi bakal isterinya.

"Saya percaya soal cinta hadir secara semula jadi... tanpa dipaksa. Saya memang nak rasa nikmat apabila jatuh cinta, berkahwin seterusnya berkeluarga dan ada anak. Seperti kebanyakan lelaki lain pun, saya juga seorang yang sangat pemilih apabila bercakap soal teman hidup.

"Tapi saya tak kisah sama ada calon isteri saya itu orang biasa atau artis," katanya.

HUBUNGAN Bea, Hans sebagai kekasih dalam Miss You Like Crazy terbawa hingga ke luar filem.

Hans ditemui selepas berehat seketika daripada menjalani penggambaran filem Miss Yoy Like Crazy. Filem terbitan Star Cinema, ABS-CBN Film Productions dari Filipina itu dilakukan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Barangkali isyarat cinta yang mula didedahkan Hans itu ada kaitan dengan wanita cantik yang turut kelihatan di lokasi penggambaran filem arahan pengarah wanita, Cathy Garcia. Mana tidaknya, wanita berdarah campuran Filipina dan British, Bea Alonzo itu sudah mula memanggil Hans dengan panggilan sayang.

Apatah lagi, pelakon itu masih solo. Tak salah kalau dia dan Hans menjadi pasangan kekasih. Tak beberapa kemudian, satu maklumat terbaru diperoleh pula mengatakan Hans sebenarnya adalah tunang kepada Bea. Kalaulah ia berlanjutan di luar daripada lokasi filem. Mesti menarik.

Sayangnya, semua itu hanyalah aksi Hans dan Bea dalam filem yang mereka bintangi. Dalam filem itu, mereka menjadi pasangan kekasih yang cukup romantik. Tak dinafikan biarpun baru kenal, baik Hans mahupun Bea, mereka cepat serasi.

HANS bersama Salsabil Qur'ani yang menjadi anaknya dalam filem Miss You Like Crazy.
"Pada awal perkenalan, dia memang agak pendiam. Namun selepas sejam makan dan lepak bersama, kami mudah rapat. Lagipun masing-masing bergelar anak seni, jadi tak hairan banyak perkara yang sama kami kongsi," jelas Hans mengenai pelakon jelita itu.

Selain Kuala Lumpur, sebahagian penggambaran filem Miss You Like Crazy ini dilakukan di Manila pada akhir bulan lalu.

Hans berkata, sebelum muncul dalam filem Miss You Like Crazy, dia pernah ditawarkan membintangi drama terbitan syarikat produksi Filipina iaitu A Time For Us. Bagaimana, dia terpaksa melepaskannya kerana mempunyai tanggungjawab terhadap filem filem Los & Faun.

"Tanpa diduga, saya masih mendapat peluang kedua, berlakon filem pula. Dengan bantuan seorang koordinator bakat, akhirnya saya dipertemukan pengarah dan penerbitnya hujung tahun lalu. Saya difahamkan mereka membuat penyelidikan profil saya di laman maya. "Dalam filem ini saya memegang watak pembantu sebagai Mir seorang duda anak satu. Selepas kematian isterinya, Mir dari Malaysia tidak sangka bertemu dengan Mia lakonan Bea yang berasal dari Filipina tetapi pernah bekerja di Malaysia," kata Hans yang akan ke Filipina sekali lagi untuk tayangan perdana filem ini pada 23 Februari ini.

Filem ini akan ditayangkan serentak di Filipina dan beberapa negara lain termasuk di Amerika Syarikat dan Kanada.

Berbeza dengan Malaysia kini yang lebih cenderung dengan filem komedi dan seram, Filipina pula mengetengahkan genre cinta yang pernah mendapat sambutan di Malaysia suatu ketika dulu.

"Saya bertuah dapat bekerjasama dengan produksi, pengarah dan pelakon nombor satu di sana. Bea dan seorang lagi pelakon, John Lloyd Cruz memang popular dan pernah mendapat gelaran raja dan ratu filem. Ia peluang bagi saya memasarkan diri di Filipina.

"Saya terkejut kerana penghasilan filem ini begitu cepat. Saya tidak hairan kerana banyak babak dirakam dalam sehari," katanya sambil memberitahu filem ini turut menampilkan Tan Sri Jins Shamsudin dan dua anak Mustapha Kamal, Sabella Qawiema dan Salsabil Qur'ani.

Bersiap sedia untuk Rejang

Dalam perkembangan lain, Hans terus sibuk sepanjang tahun ini. Bulan depan, dia akan mengarah dan berlakon dalam filem komedi terbitan syarikatnya Tall Order Productions Sdn Bhd. Selain itu, Hans akan juga mementaskan kembali Cuci The Musical di Istana Budaya.

"Saya teruja untuk merealisasikan Cuci The Musical kali kedua. Selepas itu, jika tiada aral melintang, teater yang sama akan dipentaskan di Singapura.

"Saya juga akan menerbitkan projek istimewa Lat The Musical. Hujung tahun ini saya akan mengarahkan sebuah filem epik berjudul Rejang," katanya.

Bea terpikat ketampanan Hans

Bagi Bea, yang mula berlakon seawal usia 13 tahun turut mengakui betapa Hans seorang lelaki yang sangat tampan. Gadis berusia 22 tahun itu tidak menafikan Hans tidak lokek berkongsi pengalaman untuk memantapkan gandingan mereka dalam skrin filem.

"Satu penghormatan kepada saya berlakon dengan pelakon dari negara lain. Hans sangat profesional. Dia turut mengajar saya beberapa perkataan bahasa Melayu kerana tuntutan watak memerlukan saya bertutur dalam dialog dalam bahasa Melayu.

"Saya selesa mendampinginya. Biarpun kami baru berkenalan tapi sikapnya membuatkan saya rasa dihargai dan seolah-olah kami sudah kenal bertahun-tahun. Dia memang lelaki yang sangat baik dan mudah didekati," katanya yang pernah bergelar penyanyi.

Mengenai filem Miss You Like Crazy, ia menjadi filem kelima yang menggandingkan dia dan John Llyoyd Cruz. Mereka kini boleh diibaratkan sebagai pasangan serasi dan popular di Filipina. Lalu, tidak hairan mereka kerap digandingkan bersama.

"Filem ini boleh saya sifatkan sebagai kisah cinta cukup sempurna. Ia juga memaparkan cinta yang hadir pada waktu yang tidak tepat dan bagaimana cinta boleh menakluk semua yang dilalui kita.

"Filem ini menerapkan teknik imbas kembali berlatarkan masa pada 2005, 2007 dan tahun ini. Saya rasa subjek cinta itu terlalu sinonim pada setiap manusia. Cinta juga menuntut kita menerima kekurangan orang yang dicintai dalam usaha menyemai cinta yang hadir," katanya.

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com