click 4 money

Wednesday, February 10, 2010

Rezeki Rossa buat konsert sulung

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

ROSSA cukup teruja apabila berpeluang mengadakan konsert sulungnya di negara ini pada 29 Mei depan.


SEJAK menembusi pasaran muzik negara ini hampir 12 tahun lalu, populariti dan pengaruh muzik Rossa memang cukup kuat.

Setiap kali dia muncul dengan buah tangan terbaru, secara automatik lagu-lagu dendangannya akan terus meledak dan menjadi siulan.

Lantunan vokalnya yang sarat dengan penuh emosi baik lagu rancak mahupun melankolik berjaya menggerakkan hati pendengar, merupakan faktor mengapa Rossa menjadi pujaan.

Menyedari dan cukup yakin dengan namanya sudah kukuh di negara ini, Rossa akhirnya bersedia untuk menggegarkan industri hiburan tanah air dengan konsert sulungnya yang bakal diadakan pada 29 Mei depan di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Diberi nama Konsert Melodi Cinta Rossa, akui penyanyi jelita ini, dia sudah menyimpan hasrat untuk beraksi dalam sebuah konsert berskala mega di negara ini sejak dua tahun lalu.

Ketika itu, dia baru sahaja selesai siri konsert jelajahnya, Konsert Persembahan Cinta yang diadakan di beberapa buah bandar di Indonesia iaitu Jakarta, Surabaya dan Bandung.

"Sejujurnya ketika itu, saya belum berasa yakin biarpun saya mahu benar-benar mengadakan sebuah konsert di sini.

"Untuk mengadakan konsert, rasanya semua tahu ia bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia melibatkan kos yang sangat tinggi.

"Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan apabila saya ditemukan dengan Marctensia selaku penganjur bersama.

"Mungkin sudah menjadi rezeki saya apabila akhirnya saya berpeluang mengadakan konsert besar di Malaysia," katanya dalam nada teruja.

Rossa berkata demikian selepas sidang akhbar majlis menandatangani perjanjian persefahaman di antara syarikatnya iaitu Limaduabelas Musik dan Media Prima Berhad (MPB).

MPB yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan telah dilantik menjadi rakan media untuk konsert berkenaan.

Menyambung bicara, pemilik nama penuh Sri Rossa Roslaina Handiyani ini mengakui, untuk mengadakan konsert besar memberikan tekanan yang bukan sedikit kepadanya.

Ujarnya, dalam merealisasikan sebuah konsert besar, banyak perkara yang perlu diambil kira bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

Satu yang pasti kata Rossa, konsert di ibu negara kelak akan pasti berbeza dengan apa yang sudah dipersembahkan menerusi siri Konsert Persembahan Cinta di Indonesia.

"Apabila memikirkan lokasinya sahaja, sudan bikin saya gentar kerana adakah saya mampu menarik sehingga 10,000 penonton untuk menonton konsert saya.

"Insya-Allah, dengan strategi promosi dan pemasaran oleh MPB selaku rakan media, saya percaya konsert ini akan sukses," katanya yang enggan mendedahkan kos sebenar menerbitkan Konsert Melodi Cinta.

Rasanya tiada apa yang perlu dirisaukan Rossa kerana dia memiliki rangkaian lagu-lagu popular dan diminati yang dapat menarik perhatian peminatnya untuk hadir ke konsertnya itu.

Buktinya, pada Konsert Mini Cerita Cinta yang pernah dijayakan Rossa di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur, tidak berapa lama dulu, hampir 1,000 orang peminat membanjiri pusat hiburan tersebut.

Maka itu, tidak mustahil jika Konsert Melodi Cinta itu dapat menarik 10,000 orang penonton seperti mana yang dihajatkan Rossa.

Untuk itu, Rossa tidak akan beraksi berseorangan kerana dia telah mengundang teman duetnya yang juga vokalis kumpulan Ungu, Pasha serta band popular Indonesia, ST12.

"Apabila saya beritahu mereka bahawa saya akan mengadakan konsert di Malaysia, dengan pantas mereka bersetuju," ujar ibu tunggal ini disulami dengan ketawa kecil.

Lebih menarik lagi, Rossa sendiri telah mengundang penyanyi dan komposer muda yang semakin meningkat naik, Aizat untuk beraksi dengannya pada malam itu nanti.

Jelas Rossa, selain Faizal Tahir, dia turut kagum dengan kelebihan dan keistimewaan bakat yang dimiliki oleh Aizat.

"Saya kagum dengan Aizat kerana dia memiliki suara yang cukup indah dan bagus sekali. Teruja sekali saya mahu berduet dengannya nanti," katanya lagi.

Jika hendak dibandingkan dengan seorang lagi diva seberang, Kris Dayanti yang terlebih dahulu mencipta populariti di negara ini, Rossa boleh disifatkan sebagai seorang yang cukup bertuah.

Manakan tidak, Kris yang lebih lama popular tidak pernah berpeluang mengadakan konsert mega tetapi Rossa berjaya mendapat peluang itu.

"Ini yang saya katakan rezeki dan saya percaya kerja keras serta usaha juga menyumbang kepada semua kejayaan saya selama ini.

"Untuk mengadakan konsert di Malaysia, ia bukan usaha saya seorang sahaja tetapi juga semua pihak sama ada secara langsung atau tidak," jelasnya yang begitu kepingin sekali mengadakan konsert di Istana Budaya.

Untuk konsert selama dua jam itu, Rossa telah melantik pengarah persembahan terkenal Indonesia, Jay Soebiyakto untuk mencorak konsep persembahannya kelak.

Jika Konsert Persembahan Cinta, Rossa menggunakan khidmat maestro muzik Indonesia tersohor, Erwin Gutawa sebagai pengarah muzik, tetapi kali ini, Rossa memilih Yovie Widianto.

Jika ada yang tidak tahu, Yovie merupakan salah seorang komposer, penerbit dan penggubah lagu terkenal di Indonesia serta menganggotai kumpulan Yovie & Nuno yang cukup popular dengan lagu Menjaga Hati.

"Buat masa ini, masih terlalu awal untuk saya bercerita tentang konsep dan lagu-lagu, tetapi percayalah, saya akan menyanyikan kesemua lagu popular saya," katanya yang akan menjemput teman-teman seperjuangannya di Malaysia dan Indonesia untuk menonton Konsert Melodi Cinta nanti.

Untuk itu, peminat-peminat Rossa pasti akan dapat menikmati alunan indahnya menerusi lagu-lagu seperti Tegar, Tega, Aku Bukan Untukmu, Hey Ladies, Pudar, Perawan Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Atas Nama Cinta, Pujaan Hati, Sakura, Hati Yang Terpilih dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com