click 4 money

Wednesday, February 17, 2010

Tak hirau percikan glamor


Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my




Suami baik, anak comel dan kerjaya lakonan yang stabil melengkapkan kehidupan Erra Fazira

DIA melalui pelbagai transformasi dalam kehidupannya. Dari seorang gadis, dia kini bergelar isteri. Sepuluh bulan lalu, dia menggalas tanggungjawab baru iaitu menjadi seorang ibu apabila anak sulungnya Engku Aleesya selamat dilahirkan. Malah pelakon yang mendapat jolokan Primadona Filem Melayu ini juga melalui transformasi dalam kerjaya seninya.

Bermula sebagai pelakon yang hanya muncul di dalam filem dan berjinak-jinak dalam dunia nyanyian, Erra akhirnya mengubah pendiriannya apabila muncul dalam drama sebaik saja menandatangani kontrak sebagai wajah eksklusif untuk saluran televisyen berbayar Astro. Lebih sedekad menceburi bidang seni, tidak dinafikan Erra sudah mengecapi pelbagai kejayaan.


Pahit, manis, tawar masin sebagai anak wayang, semua itu adalah rempah ratus yang harus ditelan wanita ini. Biar luka terpijak duri, namun semangatnya terus kental melawan badai sehinggakan dia berjaya meletakkan dirinya menjadi pelakon wanita yang disegani masa kini apabila kebanyakan filem lakonannya mencapai tahap pecah panggung.

Jadi, apa lagi yang diharapkan Erra selepas ini? Apakah dia kini sudah melalui sebuah kehidupan yang sempurna yang diimpikan selama ini. Bertemu pelakon jelita ini ketika majlis sambutan ulang tahunnya yang ke-36 anjuran peminat setianya di Cattleya Grand Ballroom, Wisma PKPS Shah Alam, malam Selasa lalu, Hip mendasari hati wanita ini mengenai perjalanan karier dan kehidupan peribadinya.

Ternyata dia cukup bahagia dengan apa yang dimilikinya kini. Suami yang baik dan penyayang, anak comel yang menjadi pengikat kasih sayang dan pelengkap rumah tangga serta kerjaya lakonan yang stabil membuatkan dia merasakan kehidupannya itu sudah cukup sempurna.

SELEPAS menimang cahaya mata, Erra merasakan yang hidupnya kini semakin sempurna.

"Apa lagi yang diimpikan seorang wanita selain menjadi seorang anak, isteri dan ibu. Itulah yang melengkapkan kehidupan kita menjadi seorang insan yang sempurna. Menjadi seorang anak yang baik untuk ibunya, isteri yang baik untuk suami dan ibu yang baik untuk anaknya adalah harapan Erra kerana itulah yang akan membuatkan Erra bahagia.

"Pun begitu, bukanlah bermakna kehidupan Erra ini sudah cukup sempurna seratus peratus. Masih ada cacat cela di sana, sini. Namun Erra akan cuba perbaikinya," ujar Erra yang semakin matang dalam berbicara.

Sepanjang bergelar anak seni, apa yang tidak dikecapi Erra. Justeru, bagi penyanyi yang dikenali menerusi lagu Yang Terindah Hanya Sementara Ini, fokus utamanya kini bukan lagi tertumpu kepada hal seperti itu. Keutamaannya kini, lebih terarah kepada rumah tangga serta si comel kesayangannya kini yang semakin membesar.

"Kalau dulu apa saja yang Erra lakukan, semuanya untuk kerjaya, kini keluarga adalah nombor satu. Erra akan pastikan Aleesya akan mendapat cukup kasih sayang. Erra tak mahu dia membesar dalam keadaan serba kekurangan. Mahu beri lebih perhatian serta memberikan yang terbaik padanya. Malah suami Erra sendiri ada berpesan supaya apa pun yang Erra lakukan, tanggungjawab sebagai ibu dan isteri jangan diabaikan.

ERRA sedar popularitinya tidak sehebat dulu dan menganggapnya lumrah dalam kehidupan artis.

"Cukuplah apa yang Erra lalui sebelum ini iaitu dibesar tanpa kasih sayang seorang bapa. Tapi mujurlah Erra dan adik mendapat kasih sayang yang tak berbelah bagi dari ibu, nenek dan juga bapa serta mak saudara Erra yang lain. Dan kini tibalah masanya untuk Erra membalas apa yang mereka berikan selama ini," ujar wanita yang bernaung di bawah zodiak Aquarius ini.

Dan disebabkan itu jugalah, Erra bagaikan tidak kisah dengan percikan glamor seorang artis kerana dia sudah mengecapi saat-saat kegemilangan itu bertahun-tahun lamanya.

"Sekarang bukannya masa untuk saya terkejar-kejar benda itu semua. Glamor, populariti bukanlah agenda utama saya lagi dan saya bersedia menerima zaman kejatuhan kerana itu adalah perkara lumrah. Saya sudah melalui itu semua dan sekarang biarlah giliran orang lain pula melalui detik seperti itu," ujarnya realistik ketika mengulas namanya yang tercicir dalam senarai pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.

Ditanya apakah pandangannya mengenai senarai pencalonan tahun ini terutama dalam kategori Pelakon Wanita Popular yang pernah menyaksikan dirinya mengungguli kategori itu beberapa kali, Erra mengakui kebanyakan mereka memang layak.

"Apa yang Erra lihat, mereka yang tercalon memang berbakat dan popular. Tapi bukanlah semua. Mungkin nama Erra tidak dicalonkan tahun ini kerana Erra tidak berlakon filem. Kalau nak harapkan drama dari Astro, tak semua orang ada Astro. Jumlah penontonnya pun taklah seramai stesen televisyen lain.

"Bukan saya tak mahu berlakon filem tetapi saya masih terikat dengan Astro untuk tempoh dua tahun lagi dan saya perlu siapkan beberapa drama bersiri dan telemovie. Ditambah dengan tawaran yang diterima ada di antaranya terpaksa ditolak kerana tidak bersesuaian dengan saya serta jadual. Insya-Allah kalau watak yang diberikan itu bersesuaian dan jadualnya tak mengganggu masa saya bersama keluarga, saya akan kembali ke layar perak," terang isteri kepada Engku Emran ini.

Sebagai persediaan jika dia tidak diperlukan lagi dalam dunia seni, Erra berkata dia kini sedang mempersiapkan diri untuk mengukuhkan lagi dirinya dalam bidang perniagaan.

"Saya tak mahulah bila sudah jatuh terduduk nanti, baru nak tercari-cari tempat bergantung. Sekurang-kurangnya bila sudah tidak berlakon lagi, saya ada perniagaan sebagai jaminan masa depan. Lagipun sampai bila saya nak berlakon? Saya akan ke Singapura untuk meninjau peluang perniagaan.

"Buat masa ini biarlah saya rahsiakan dulu perniagaan itu. Saya juga mahu hidupkan kembali syarikat produksi saya dan mahu terbitkan lebih banyak program TV pada masa akan datang," kata Erra.

Kejutan tak menjadi

MENGIKUT perancangan awalnya, majlis ulang tahun yang bertemakan Putih Biru ini adalah satu kejutan buat Erra dari peminatnya. Namun rahsia itu terpaksa dibongkar apabila mendapat tahu penyanyi kesayangannya itu sudah merancang aktiviti lain pada hari itu.

"Sebelum ini pun Erra memang sudah bagi tahu kat semua teman rapat yang Erra tak mahukan sebarang kejutan. Erra mahu menyambutnya dengan pergi makan-makan dan berkaraoke. Semua perancangan sudah diatur. Tak sangka pula peminat sudah merancang awal majlis hari ini.

"Tak mahu Erra meneruskan hasrat itu, akhirnya mereka terpaksa membocorkan rahsia yang mereka sudah merancang sebuah majlis. Jadi Erra pun datanglah ke majlis hari ini,” cerita Erra yang mengidam untuk menikmati daging itik sempena hari lahirnya itu.

Apa yang lebih menggembirakannya adalah kebanyakan peminat yang hadir itu sudah lama tidak ditemui dan itulah masanya untuk mereka melepas rindu.

"Percaya atau tidak, ada di antara mereka meminati saya sejak kecil lagi hinggalah sekarang sudah bekerja dan berumah tangga. Kali terakhir saya bertemu mereka dua tahun lalu," cerita Erra.

Ditanya apakah hadiah istimewa pemberian suami tersayang, pantas Erra menjawab, "Kasih sayang" .

"Sebenarnya tarikh hari lahir kami tak jauh jaraknya. Jadi lazimnya kami akan keluar dan akan bertukar-tukar hadiah. Saya lebih selesa bertanyakan apa yang dia mahukan dan barulah saya beli. Kalau beli senyap-senyap dan berikan padanya, bimbang pula dia tak suka," katanya.

Selain sajian enak dan menyelerakan sumbangan Kuzie Catering, majlis itu turut dikendalikan pelakon, penyanyi, pelawak dan tukang masak Jaafar Onn yang bertindak sebagai pengacara.

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com