click 4 money

Tuesday, February 23, 2010

Inderawala album terakhir

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com

HATTAN dan Adam Eiman menunjukkan album Inderawala dan produk Adam Men Skincare.

DUA dalam satu. Beli album berjudul Inderawala, peminat atau pembeli juga boleh memperoleh produk kecantikan dan kesihatan yang istimewa untuk lelaki iaitu Addam Men Skincare.

Begitulah kaedah yang digunakan oleh Hattan dalam memasarkan album terbarunya itu. Dalam keadaan pasaran muzik tidak menentu, menyebabkan penyanyi ini lebih kreatif. Ia mungkin bentuk baru dalam memasarkan Inderawala tetapi sebenarnya turut memberikan nilai tambah kepada mereka yang membeli album terbarunya itu.

Tambahan pula kelibat Hattan dalam senario muzik mungkin tidak ketara, sebaliknya ligat dengan perniagaan. Tidak keterlaluan menyatakan dia antara penyanyi yang menikmati kehidupan selesa hasil daripada usahanya yang tidak bergantung kepada sumber nyanyian sahaja

Kini perniagaan terbaru yang baru diceburi Hattan adalah berkaitan dengan produk kecantikan kulit khusus untuk lelaki yang diberi jenama Addam Men Skincare. Ia diusahakan dengan kerjasama Mum Bio Cos Manufacturing Sdn Bhd.

“Sewaktu pemilik syarikat itu menawarkan untuk bekerjasama dengan saya dalam menghasilkan produk ini, saya mengenakan syarat padanya bahawa saya tak mahu sekadar menjadi jurucakap semata-mata. Sebaliknya, saya mahu menjadi rakan kongsi perniagaan dengan mereka. Selepas bersetuju dengan syarat itu, lalu kami pun mengusahakan produk ini.

“Keistimewaan produk ini adalah ia disertakan sekali dengan album saya Inderawala. Peminat tak akan jumpa Inderawala di mana-mana kerana ia eksklusif dan hanya boleh didapati bersama Addam Men Skincare,” kata pemilik nama penuh Mohd Shukri Shahabudin ini.

Mengulas mengenai album Inderawala, Hattan menjelaskan album yang diterbitkan bersama Edry Hashim ini mengambil masa hampir enam bulan untuk disempurnakan.

“Sebenarnya kalau mahu ikutkan hati, saya sendiri sudah malas hendak merakamkan suara untuk album. Tapi selepas dipujuk Edry, saya mengalah dan meneruskan projek ini. Mungkin album ini adalah album terakhir saya berkonsepkan pop. Selepas ini saya mahu rakamkan album bercorak kerohanian.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya merakamkan lagu sebegini.Iyalah, umur pun semakin meningkat, sampai bila kita mahu menyanyi lagu Rock,” kata Hattan yang turut terbabit dalam muzikal Antara... yang dipentaskan di Istana Budaya dari 26 Februari hingga 28 Februari ini.

Masih selesa solo

SEJAK bersendirian enam tahun lalu, Hattan tidak henti-henti dikaitkan dengan ramai wanita. Dari anak dara, sampailah ke janda, orang biasa hinggalah selebriti, semuanya pernah dikatakan intim dengan penyanyi ini. Pantang nampak dia berjalan dengan mana-mana wanita, pasti ada saja yang mendakwa itu adalah teman istimewanya sehingga ada yang mengatakan penyanyi berkulit hitam manis ini seorang kaki perempuan.

Dan khabar terbaru yang didengar, penyanyi ini bakal menamatkan zaman solonya tidak lama lagi. Menurut cerita yang tersebar, hubungan Hattan dengan wanita berstatus janda itu juga sudah sampai ke peringkat jenjang pelamin. Belum reda kisah itu, dikatakan juga Hattan sedang menjalin hubungan dengan seorang gadis jelita dan pernah dibawa menyaksikan Anugerah Juara Lagu baru-baru ini.

Bagaimanapun, ketika diajukan persoalan ini kepada si empunya diri, Hattan menafikan dakwaan itu. Katanya walaupun niat untuk berkahwin itu ada tetapi semuanya terbantut kerana dia begitu fobia dengan perkataan itu.

“Saya mengenali kedua wanita itu tetapi tak adalah sampai hendak berkahwin. Tak semestinya bila kita berkawan, kita akan berkahwin dengan orang itu. Semua cerita yang tersebar itu memang tak benar.

“Tak dinafikan niat untuk berkahwin itu memang ada, tapi setiap kali perasaan ingin berkahwin itu datang, saya macam fobia. Bukannya serik, tetapi banyak yang perlu saya fikirkan. Sebagai contoh, sewaktu solo ini, saya mudah buat keputusan.

“Kalau terasa nak balik ke kampung, saya balik saja. Lebih-lebih lagi bila hari raya, tak payah nak berebut-rebut balik kampung siapa. Biasalah orang Negeri Sembilan, tak boleh nak berenggang dengan keluarga,” kata penyanyi lagu Memburu Rindu ini separuh bergurau.

Untuk seseorang yang sudah biasa hidup berumah tangga, pastinya sedikit sebanyak perasaan sunyi namun bagi Hattan, walaupun akur ada ketika dia merasa kesepian tetapi ia tidak begitu menekannya.

“Mungkin disebabkan kesibukan membuatkan saya tak begitu kisah sangat dengan kesunyian. Lagipun anak saya ada untuk mengubat perasaan sunyi. Soal urusan rumah tangga lain, saya buat sendiri semuanya dan mungkin disebabkan sudah lama menyendiri membuatkan saya rasa selesa begini dan betah membuat semua kerja sendiri,” luah Hattan ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya Inderawala dan juga produk penjagaan kulit khas untuk lelaki iaitu Addam Men Skincare.

Walaupun menyatakan faktor sukar memberi komitmen membuatkan tidak tergesa-gesa mencari pengganti namun perasaan kasihan terhadap anak lelakinya membuatkan dia menaruh harapan untuk berkahwin semula.

“Dalam hal ini, biarlah tuhan yang tentukan sendiri jodoh saya. Saya tidak memilih. Sebagai bapa, saya tahu Adam memerlukan belaian seorang ibu walaupun dia sendiri mengatakan yang dia tak kisah sama ada saya berkahwin semua ataupun tidak,” katanya sambil memandang ke arah Adam Eiman yang berada di sisinya itu.

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com