click 4 money

Wednesday, February 10, 2010

'Saya yakin masih ada peminat'

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin



ALBUM mini Nas Adila berjudul Bidadari Syurga kini di pasaran.

Label artis suam-suam kuku tidak mematahkan semangat Nas Adila untuk bertapak dalam pentas hiburan

NAS Adila atau kini mahu dikenali sebagai Adila menyedari kedudukannya yang dilabel suam-suam kuku dalam industri. Label itu bagaimanapun tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan minat terhadap dunia nyanyian.

Apabila kemunculan pertamanya dengan mempertaruhkan irama Malaysia tidak diterima, penyanyi berusia 23 tahun ini mengambil keputusan mencuba genre pop dengan harapan lagunya akan diterima. Namun usaha itu masih juga tidak berhasil. Entahkan kerana aura atau lagu yang diketengahkan tidak dapat diterima peminat.

Keputusan nekad mencuba nasib di dalam program realiti Akademi Fantasia (AF7) juga gagal membuahkan hasil, nama Adila masih terus malap. Dia sendiri menyedari kekurangan itu, tetapi semangatnya masih kuat untuk terus mencuba.

Ditemui ketika majlis pelancaran mini albumnya berjudul Bidadari Syurga baru-baru ini, Adila yakin dia masih punya peminat. Jika tidak, masakan namanya masih bertahan walaupun sembilan tahun dia tercungap-cungap mencari arah. Kalau tidak kerana adanya peminat setia yang terus menyokong, pastinya ketika ini namanya sudah lama terkubur.

“Saya percaya saya ada peminat,” yakin gadis ini menutur kata.

“Melalui laman sosial Facebook, juga ketika memenuhi undangan persembahan, peminat tidak jemu memberikan cadangan supaya saya mengubah imej dan gaya persembahan agar lebih diterima. Dari situ saya tahu bahawa saya masih ada peminat yang tidak jemu memberikan sokongan.

“Album ini terhasil atas saranan mereka. Peminat mahu melihat saya tampil seperti konsep Stacy. Bagi memenuhi permintaan mereka, saya hasilkan lagu bergenre dance. Kata mereka, tak banyak penyanyi wanita yang menyanyi dan menari sekali gus. Mereka mahu melihat saya begitu, jadi saya penuhi permintaan mereka tetapi berharap tidak dibandingkan dengan Stacy kerana kami berbeza,” jelas wanita ini.

Bagi mempersiapkan dirinya untuk bergelar penyanyi yang berkebolehan menari, Adila mengikuti kelas bersama Linda Jasmine . Dia mengikut kelas Linda sejak sebulan yang lalu dan akan tampil dengan gerak tari setiap kali membuat persembahan.

Album Bidadari Syurga iaitu album ketiga miliknya dihasilkan atas titik peluhnya sendiri. Album yang memuatkan sebanyak tiga buah lagu Bidadari Syurga, I Love You dan Maaf itu diterbitkan syarikatnya sendiri iaitu Nas Adila Event & Entertainment. Berpuluh ribu juga wang yang dihabiskan untuk menerbitkan album berkenaan, semua wang itu adalah hasil dari undangan menyanyi yang disimpan sikit demi sikit.

“Ketika menghasilkan dua album sebelum ini, saya banyak memerhati dan belajar macam mana nak buat album. Setiap kali dapat duit ‘show’, saya simpan sikit sikit. Alhamdulillah rezeki sejak menyertai AF juga bertambah murah berbanding dulu, setiap bulan mesti ada saja undangan. Terutamanya di Kuching, Sarawak.

“Setiap kali dapat duit menyanyi, saya memang sentiasa beringat. Saya tak mahu duit yang saya dapat habis begitu saja tanpa nampak hasilnya, sebab itu setiap kali dapat duit saya akan simpan. Setelah berapa lama menyimpan, akhirnya saya berjaya juga guna duit sendiri untuk hasilkan album.

“Saya takut dilabel syok sendiri, sebab itu sebelum album ini terhasil saya mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan dan komposer yang saya kenali. Sasaran saya kali ini mahu album ini diputarkan di radio, kalau sebelum ini lagu saya tidak mendapat tempat di stesen radio swasta, harap-harap kali ini menjadi.

“Sekiranya kali ini tak menjadi juga, saya akan tingkatkan lagi usaha. Saya tak pernah berasa serik, saya seorang yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri. Saya dapat rasakan peningkatan setiap kali saya berdepan cabaran,” katanya.

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com