click 4 money

Wednesday, February 17, 2010

Sidang media air mata


Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


PELAKON yang hadir pada sidang media teater muzikal Antara...

Teater Antara... yang berkisar soal perjuangan Rasulullah SAW sentuh hati produser, pengarah dan pelakon

ENTAH mengapa, air mata menjadi begitu murah dalam majlis sidang media teater Antara... yang berlangsung di bilik Nilam Sari, Istana Budaya, petang Khamis lalu. Sewaktu memberikan kata-kata aluan dalam majlis itu, tiba-tiba suara penerbitnya, Erma Fatima bertukar sebak, lantas manik-manik jernih berlinangan di pipinya.

Suasana terus menjadi sayu apabila pengarah teater berkenaan, Ellie Suriaty juga beremosi ketika berbicara sehinggakan mengalir air mata. Peristiwa tidak disangka-sangka itu turut mencuit perasaan tetamu yang hadir. Masing-masing tertanya-tanya sesama sendiri, apakah yang menyentuh perasaan mereka sehingga air mata yang berharga itu ditumpahkan dalam majlis itu.


Bayangkan, bukan saja Erma dan Ellie yang tersentuh hati sewaktu menghadiri acara itu tetapi perasaan itu turut dikongsi bersama pelakon utamanya, Nasha Aziz. Sebaik saja pelakon jelita ini melangkahkan kaki ke bilik ini dan mengambil tempat duduk, kelihatan dia mengeluarkan kertas tisu sambil mengesat hujung matanya. Malah, sewaktu ditemubual media, laju air mata pelakon dan model jelita ini mengalir seolah-olah ada sesuatu yang mengusik jiwa wanitanya.

Nyata, bukan mudah memikul tanggungjawab untuk membawakan naskhah tulisan Erma ini. Cukup berat dan bukan calang-calang orang mampu menggalas amanah itu. Bagi Nasha, membawakan watak yang ada kaitan dengan kisah perjuangan Rasulullah dan dan Nabi Adam A.S cukup membekas dalam jiwa serta emosinya. Jika tidak masakan air mata menjadi peneman ketika temu bual dijalankan.

“Apabila terbabit dalam teater yang mengenang kisah kelahiran dan perjuangan Rasulullah SAW, hati dan perasaan saya cukup sedih dan sayu. Serta merta teringat akan kekurangan diri, kejahilan serta kerdilnya diri ini. Sebagai manusia yang pastinya tidak sempurna, membawakan watak seperti ini memberikan impak yang cukup besar terutama dalam hal emosi diri ini.

ERMA (dua dari kanan), tidak dapat menahan sebak pada majlis sidang media teater muzikal Antara...

“Saya adalah seorang yang menjadikan Rasulullah sebagai idola. Saya begitu tertarik dengan perjalanan hidupnya. Malah saya juga banyak membaca kisahnya sehingga saya dapat merasakan betapa sukarnya baginda menegakkan syiar Islam. Namun demi umatnya, baginda teruskan juga walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran. Kesukaran yang dilalui itulah yang menginsafkan saya.

“Semangat dan perjuangannya itulah yang menjadi inspirasi buat saya membawakan watak Hawa ini. Walaupun wataknya kecil, tapi saya percaya ia mampu memberikan satu impak yang besar kepada penonton terutama dalam memberikan pengajaran yang berguna,” tutur Nasha sambil mengesat air mata di pipi.

Tidak seperti watak lain yang boleh dijadikan sumber rujukan, Hawa memberikan peluang kepada Nasha untuk menterjemahkan karakter itu mengikut apa yang dia sendiri rasa dan fikirkan.

“Selain berpandukan kepada skrip yang diberi, saya cuba membawakan watak Hawa mengikut pemahaman saya sendiri. Lagipun, kita juga bertindak mengikut garis panduan yang disediakan supaya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak,” katanya yang cukup terharu apabila ditawarkan watak itu.

TEATER Antara... gandingan Fahrin dan Nasha.

Menerusi teater ini, Nasha akan digandingkan dengan pelakon kacak, Fahrin Ahmad yang membawakan watak sebagai Adam. Melihat kepada posternya, kelihatan Fahrin mengenakan pakaian menyerupai lelaki Greek sekali gus mendedahkan sebahagian daripada tubuh sasanya. Apakah ini sememangnya strategi yang digunakan oleh pihak produksi untuk menjadi umpan kepada penonton menyaksikan teater ini.

Menjawab pertanyaan nakal itu, Ellie berkata apa yang mereka lakukan itu bukanlah sengaja mahu mencipta kontroversi tetapi ia memang bersesuaian dengan jalan cerita teater itu.

“Seperti yang kita sedia maklum, sewaktu di dalam syurga, Adam dan Hawa tidak mengenakan seurat benang. Jadi untuk merealisasikan situasi itu pada masa kini agak mustahil. Jadi itulah sebabnya kita tampilkan Adam mengenakan pakaian seperti itu supaya konsepnya tidak lari serta tidak mencetuskan kontroversi.

Biarpun sudah mengarahkan teater sebelum ini, namun menurut Ellie, tekanan yang dihadapi tidaklah sehebat yang dilaluinya kini. Sebagai sebuah teater yang ada kaitan dengan agama, apatah lagi membabitkan asal usul kepada umat manusia, tentunya dia perlu berhati-hati supaya tidak ada yang mempertikaikan usaha mereka itu.

“Sejujurnya sewaktu ditawarkan Erma mengarahkan teater ini, saya cuba menolaknya kerana saya tahu cabaran besar terbentang di depan mata. Saya tahu tanggungjawabnya cukup berat. Tapi sebagai anak seni, peluang seperti ini bukan selalu hadir. Apatah lagi jika naskhah yang bakal diarahkan itu memerlukan kreativiti yang bukan sedikit. Mengenangkan perkara itulah maka saya sahut cabaran Erma.

“Dan alhamdulillah, dengan bantuan tenaga produksi yang cekap dan tahu akan tugas masing-masing serta pelakon yang hebat serta kehadiran penyanyi terkenal, saya yakin teater ini pasti berjaya,” ujar Ellie optimis. Antara pelakon lain yang terbabit dalam teater itu termasuklah Azizah Mahzan, Azhan Rani, Haerianto dan Soosan Hoh.

Penonton juga akan dihiburkan dengan nyanyian berunsurkan ketuhanan dari penyanyi terkenal tanah air seperti Jamal Abdillah, Ziana Zain, Hattan, Azlah Typewriter, Iqwal dan Wana.

Tiga kali tukar tajuk elak kontroversi

TEATER ini diterbitkan atas niat ingin menangkis pelbagai serangan terhadap agama Islam. Erma, selaku penerbit menegaskan, selagi umat islam terus alpa dan hanyut dalam arus dosa, selagi itulah Islam akan terus diperkotak-katikkan. Jadi, atas rasa tanggungjawab terhadap sesama saudara seagama, maka muncullah Antara... yang akan memberikan manusia pilihan iaitu antara kasih dan benci, antara rindu dan dendam serta antara syurga dan neraka.

Tidak dinafikan, apa saja buah tangan pengarah wanita terkenal ini, pasti akan mencetuskan kontroversi. Malah, belum pun ditayangkan, kontroversi sudah pun bermula apabila tajuknya menjadi perdebatan pelbagai pihak.

“Tajuk awal yang diberikan untuk teater ini adalah “Jika tiada syurga dan neraka, masihkah kita menyembah Tuhan?” Tapi apabila ada yang mempertikaikan tajuknya kerana ia seolah-olah membabitkan akidah, maka saya ubah menjadi antara syurga dan neraka. Bagaimanapun, ia tetap mendapat bantahan dan akhirnya, saya berikan tajuk Antara...

“Saya tahu teater ini mungkin akan mencetuskan kontroversi kerana tema dan inti pati ceritanya. Tapi sebelum ia menjadi naskhah untuk dipentaskan, saya terlebih dulu mendapatkan nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai apa yang boleh dan apa yang dilarang jika mementaskan teater seperti ini. Dan alhamdulillah, dia mudah memberikan kerjasama,” ujar Erma yang turut mengundang tokoh ilmuwan islam itu ke majlis sidang media berkenaan.

Hadir sama, penerbit teater terbabit, Azmi Zainal Abidin serta mereka yang terbabit dalam teater itu seperti Azizah Mahzan dan Fahrin Ahmad.

Teater yang dibawakan oleh Antipop Event Solutions Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya ini akan dipentaskan di Panggung Sari pada 26, 27 & 28 Februari depan. Harga tiket adalah RM250, RM200, RM150, RM100, RM70 dan RM50 atau layari www.ticket2u.biz.

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com