click 4 money

Wednesday, February 10, 2010

Tak lupa Saliha

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff


Puteri Sarah Liyana

Puteri Sarah Liyana macam tak percaya filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie jadi filem sulungnya selepas nasib filem arahan M Nasir, Aduh Saliha masih penuh tanda tanya

FILEM Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSDM) yang bakal memasuki pawagam seluruh tanah air pada 11 Februari menemukan dua artis wanita, Puteri Sarah Liyana dan Mila, buat kali pertama di layar perak. Malah, filem terbabit turut melakar sejarah sebagai kemunculan sulung dua bintang muda ini di filem.

Biarpun pernah menjalani penggambaran filem Aduh Saliha, namun projek terbabit terhenti begitu saja. Difahamkan, hanya beberapa babak dapat dirakam ketika projek itu dilangsungkan. Kini, Sarah sendiri tenggelam punca, apa sudah jadi pada filem berkenaan.

"Saya sendiri tidak berani hendak cakap apa-apa mengenainya. Ia seakan-akan tergantung begitu saja. Keputusan untuk menyambung atau melupakan saja projek terbabit kini bergantung sepenuhnya kepada pihak produksi filem berkenaan.

"Insya-Allah, jika saya mempunyai masa seperti cuti semester, saya boleh melakonkan kembali watak Saliha seandainya filem terbabit disambung semula," kata Sarah yang kini ligat mempromosikan LPSDM yang dilakonkannya bersama Ahmad Nabil Ahmad, Hisyam Ahmad Tajudin, Liza Othman dan Meet Uncle Hussain.

Mengejar segulung ijazah daripada Taylor’s University College di Petaling Jaya, Sarah berkata, tawaran berlakon kini hanya diterima ketika dia bercuti daripada pengajiannya. Di samping mengejar peluang mencipta nama dalam bidang seni, gadis ramah ini turut menyimpan impian bergelar pengurus besar hotel utama.

MILA dan Puteri Sarah kali pertama bergandingan di layar perak dalam Lu Pikirlah Sendiri de Movie.

Mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan, Sarah dijangka menamatkan pengajian pada tahun depan.

"Fokus saya kini tentunya pada pengajian. Saya ingin menjadi pengurus besar sebuah hotel terkemuka jika berpeluang. Saya juga memilih kerjaya itu kerana memang menyukai aktiviti pelancongan.

"Pendidikan ialah jaminan pada masa depan. Kita tidak tahu apa akan jadi sekiranya khidmat kita dalam lakonan tidak lagi diperlukan. Justeru, seseorang artis perlu mempunyai beberapa pelan. Saya pula jenis manusia yang memang tidak mahu bergantung harap pada orang lain. Sebagai contoh, saya tidak mahu berkahwin dengan Datuk atau VIP hanya kerana mengejar kemewahan yang ditawarkan," katanya.

Menurut pelakon yang sering dikaitkan dengan bakat baru, Ammar Alfian ini, pembabitannya dalam dunia seni juga berlaku tanpa dirancang. Kira-kira enam tahun lalu, dia terbabit dalam pembikinan klip video kumpulan Ruffedge, diikuti kemunculan dalam beberapa iklan televisyen.

"Dulu, saya tidak pernah terfikir pun untuk bergelar seorang pelakon. Kecenderungan saya ketika itu lebih kepada dunia pengiklanan. Tetapi, rezeki untuk muncul di filem pula kemudiannya tiba. Apabila pintu rezeki dibuka, saya terima saja.

"Namun begitu, apabila sudah mula berlakon, saya tidak lagi menganggapnya aktiviti sampingan atau sekadar main-main. Jika boleh, saya mahu lakonan dan pengajian saya berjalan seiringan. Alhamdulillah, ketika itu, kedua-duanya dalam keadaan terkawal. Namun jika suatu masa nanti khidmat saya tidak lagi diperlukan, sekurang-kurangnya saya mempunyai kelayakan untuk kembali ke bidang perhotelan," ujarnya.

Pada musim cutinya yang baru berlalu, Sarah sempat menjayakan penggambaran telefilem berjudul Bagaikan Sumaiyah yang bakal disiarkan TV3. Ketika ini pula, siri lakonannya, Na O Mei turut disiarkan stesen sama, menerusi slot Akasia jam 6.30 petang. Di TV9 pula, sebuah lagi siri lakonannya, Sari Maya 2, disiarkan pada Isnin, jam 9.30 malam.

Menyentuh lakonannya dalam LPSD, gadis berusia 24 tahun ini berkata, projek filem itu berlangsung dalam keadaan cukup baik dan dia sendiri seronok bekerja bersama Aminah Rhapor (pengarah) serta barisan pelakon lain, termasuk Nabil.

"Menerusi projek ini, saya dan pelakon lain turut diberikan ruang bagi menyalurkan idea. Aminah pula pengarah yang memang mengerti apa yang dia mahukan. Manakala Nabil sering kali menimbulkan suasana ceria di lokasi penggambaran. Lalu, keadaan di lokasi tidaklah menekankan.

"Sebelum turun ke lokasi, kami menghadiri kelas lakonan selama sebulan. Di situ, saya dan Nabil belajar mencari keserasian. Saya sendiri ditunjukkan cara menjayakan watak gadis pemarah. Masalahnya, kemarahan yang ada pada watak Natasya lakonan saya adalah berbeza-beza. Adegan yang memerlukan saya menunjukkan rasa marah itulah saat paling mencabar sepanjang penggambaran diadakan," katanya.

Ketar lutut jadi adik perempuan Nabil

BAGI Mila, pengalaman berlakon dalam filem sulung memang membuatkan lututnya ketar. Tanpa sebarang pengalaman, dia diminta melakonkan watak Aishah, adik perempuan Nabil.

Mila masih ingat dengan jelas pengalaman hari pertama menjalani penggambaran. Apabila pengarah menjerit "action", dia terus terdiam kerana begitu gementar. Apatah lagi itulah adegan pertama membabitkan dirinya.

"Bagaimanapun, ia pengalaman cukup menyeronokkan bagi Mila. Apabila melihat hasilnya di monitor, Mila berasa puas. Saat itu, penat kerana terpaksa menunggu seharian juga rasa seperti terbayar," kata Mila yang kini dapat disaksikan lakonannya dalam siri Kau Dan Aku di Astro Ria.

Ujarnya lagi, dia menerima tawaran membintangi filem itu kerana watak diberikan tidak terlalu besar. Dia juga hanya terbabit dalam beberapa babak.

Kata Mila, jika masih ada tawaran berlakon oleh mana-mana produser diterima, tentu sekali dia akan menimbangkannya sebaik mungkin. Bagaimanapun, setelah beberapa projek lakonan dilaksanakan, Mila berasakan tiba masanya dia kembali memberikan tumpuan kepada bidang muzik, yang lebih menjadi keutamaan.

"Pada saat lagu Jika Kau Ubah Fikiran masih kencang dipromosikan, Mila juga sudah pun mengadakan perbincangan awal bersama komposer Aidit Alfian dan penulis lirik Ad Samad untuk menghasilkan tiga lagu bagi projek album seterusnya. Dua lagu lagi ialah Siapa Tak Perlu Cinta oleh Rickard Kyoto dan karya ciptaan Matta yang belum dirakam.

"Kali ini, album itu diterbitkan sendiri menerusi syarikat Luvmila Corporation. Jangan salah sangka, Mila masih lagi bersama AESB, cuma projek ini Mila usahakan kerana Mila teringin untuk muncul dengan album baru. Album itu akan menampilkan konsep lebih segar dengan memasukkan elemen muzik berkumpulan. Dengan konsep muzik sebegitu, Mila rasa lebih seronok apabila mengadakan persembahan," katanya.

Bagi mengukuhkan kehadirannya di arena seni, Mila memutuskan untuk belajar bermain gitar. Baru saja mendaftar di sebuah pusat muzik di pinggir ibu kota, Mila mengaku dia cukup seronok melihat beberapa artis wanita yang turut bermain gitar ketika mengadakan persembahan.

"Mila kena fikirkan sesuatu yang baru untuk membuatkan peminat sentiasa teruja menunggu kemunculan Mila. Dengan kehadiran ramai bakat baru, seseorang artis perlu tampil berbeza. Apatah lagi Mila tidak pernah meletakkan diri dalam zon selamat kerana Mila sendiri belum mencapai kejayaan mutlak. Kemunculan bakat baru sebenarnya bagus untuk membuatkan artis lebih senior sentiasa bekerja keras bagi memantapkan kedudukan," katanya.

Mula membabitkan diri dalam kerja belakang tabir, Mila yang genap 22 tahun pada 23 Disember lalu turut memaklumkan keinginannya memasuki perniagaan makanan beku untuk memperluaskan lagi ruang lingkup yang diterokai syarikat Luvmila.

"Ibu bapa yang juga orang kuat Luvmila memberikan sokongan penuh apabila idea untuk menceburkan diri dalam perniagaan makanan beku ini dikemukakan. Mila sendiri berasakan, perniagaan makanan menjanjikan pulangan yang baik kerana makanan sentiasa dicari pengguna," katanya.

No comments:

Post a Comment

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com