click 4 money

Sunday, February 28, 2010

Soseh Soseh: Pelakon muda kena bambu

TIDAK dapat SS bayangkan kalau SS kena bambu atau 'lecture' di khalayak ramai disebabkan kebodohan dan keegoan diri sendiri.

Hish, malunya... kat mana nak letak muka masa tu? Kalau boleh, sorok muka dalam periuk kawah. Tapi ada sesetengah orang memang macam tu, jenis muka kulit tebal dan tak reti malu langsung. Itulah hakikatnya seorang seorang pelakon baru yang perasan sangat bagus, walhal habuk pun tarak.


SS dengar, baru-baru ini adalah beberapa wartawan senior menemu bualnya berhubung satu isu. Sepanjang temu bual itu, kata kawan SS, muka pelakon muda terbabit macam sardin saja seolah-olah dia pelakon hebat yang tak hairan dengan semua orang. Reaksinya masa temu bual itu kata Orang Perlis, memang 'ketegaq' (degil). Cakap memang langsung tak tunduk ke bumi sampaikan ada artis yang lebih senior yang turut berada di sekelilingnya ketika itu pun jadi rimas dan tak selesa.


Konon-konon mesejnya kepada semua orang, "Jangan main dengan aku tau, aku pelakon paling top kat Malaysia ni." Poorah! Lalu seorang artis wanita yang sudah lama berkecimpung dalam dunia hiburan 'sound direct' artis itu dan meminta dia bertenang dan berhemah sikit apabila menjawab soalan wartawan. Yalah, emosi terlebih senduk macam gitu, macamlah masalah dia saja paling kronik dalam dunia ni.


Mulanya, dia semacam tak 'ambik pot' saja dengan nasihat artis senior itu tapi agaknya apabila sudah dinasihat berulang kali, barulah dia mengawal sikit nada suaranya tu.


Apapun, SS tabik dengan artis senior itu tadi kerana memainkan peranannya sebagai orang yang dah lama makan garam dalam arena hiburan untuk menegur sikap artis muda yang perasan primadona tu.

SS ingin berpesan di sini, sayang sungguh melihat kemanisan wajah pelakon itu yang sebenarnya telah dicacatkan dengan sikap berangan dan perasan bagusnya. Patutlah dia pun belum ke mana dalam dunia lakonan.

Soseh Soseh: Artis dipukul, drama tergendala


DEK terlalu taksub kepada buah hati, kerjaya artis ini pun entah ke mana. Lakonan artis ini memang bagus tapi sudah lama juga dia tidak diambil berlakon. Bukan kerana apa, bila ambil dia ini berlakon ada saja musibah melanda. Jika bencana itu menimpa artis itu saja tak mengapa, tetapi tempiasnya turut kena kepada syarikat produksi.
Ceritanya macam ini. Apabila pembikinan dramanya hampir siap, artis itu khabarnya kena bantai dengan buah hatinya. Dah habis lebam satu muka. Maka larilah konti. Hendak tunggu lebam hilang, kurang-kurang seminggu. Jadinya sepanjang tempoh artis itu berehat di rumah menunggu lebam hilang, produksi pun kenalah berehat seminggu juga.


Produser, pengarah dan pelakon lain mula anginlah satu badan. Kerja kena selesai ikut tarikh dan perjanjian yang ditetapkan kerana pelakon lain ada komitmen lain. Semuanya jadi tergendala kerana artis itu. Jika cinta artis itu sampai ke jenjang pelamin satu hal juga, sudahnya percintaan itu putus tengah jalan. Namun, yang menerima kesan panjang akibat kes pukul memukul itu artis itulah kerana khabarnya sehingga sekarang pengarah tak kuasa hendak ambil dia berlakon lagi kerana takut bencana lama menimpa semula. Dengar kata, ini bukan kes pertama artis kena pukul dengan buah hati tapi dah berkali-kali. Tak tahulah kenapa lelaki sekarang suka pukul anak dara orang. Kalau nak tunjuk kekuatan sangat, pergi masuk pertandingan tinju atau tomoi. Dapat juga hadiah. Tapi tak adil pula jika SS salahkan sebelah pihak saja kerana wanita sekarang pun hebat juga.

Ellie Suriaty tarik diri?

roses@hmetro.com.my
Oleh Ramlah Zainal

SIDANG media selepas pratonton teater muzikal Antara... di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), malam kelmarin 'panas' apabila pengarah Ellie Suriaty didakwa meninggalkan set latihan teater itu pada saat akhir iaitu 22 Februari lalu.

Produser dan penulis skrip teater itu, Erma Fatima, berkata Ellie meninggalkan set berkenaan tanpa pengetahuannya.


"Ellie hanya memberitahu produser bersama teater ini (yang enggan namanya disebut) mengenai tindakannya itu. Justeru, saya terpaksa mengambil alih pementasan ini selama tiga hari sehinggalah teater ini berlangsung," katanya.


Ditanya kenapa Ellie berbuat demikian, Erma berkata: "Saya tidak mahu komen tentang perkara ini kerana ia akan mengaibkan orang lain (Ellie)." Ketika diminta mengulas gosip Erma dikatakan cuba campur tangan tugas Ellie sebagai pengarah sehingga beliau meninggalkan set berkenaan, Erma tidak menafikannya.


"Saya memang bekerja sebagai pengarah dan penulis skrip di luar sana dan sudah pasti saya ingin memberi sentuhan akhir kepada pementasan ini. Salahkan saya untuk mempertahankan karya ini demi kebaikan bersama? "Memang Ellie yang membina rumah ini dan saya yang memberi sentuhan akhir saja selaku produser. Malah saya sendiri malu nak mengaku saya pengarah bersama teater ini kerana dia (Ellie) yang mengarahnya," kata Erma.


Malah Erma akui, Ellie juga meminta pihaknya supaya tidak menyebut namanya sebagai pengarah teater itu pada malam pratontonnya, kelmarin.

"Saya menghormati permintaannya itu. Terus terang, saya tidak menghalau Ellie dari set pementasan teater ini seperti yang digosipkan, sebaliknya saya yang mengundang dia untuk mengarahkan teater ini. "Saya tidak kecewa dengan apa yang berlaku kerana Antara... adalah 'air tangan' Ellie. Biarlah orang nak kata yang buruk pasal saya tapi saya tidak akan mengaibkan orang lain. Apatah lagi, ini teater sempena sambutan Maulidur Rasul," katanya. Ditanya kenapa dia mengambil Ellie mengarahkan Antara..., Erma berkata, dia mahu memberi peluang kepada Ellie untuk menonjolkan kredibilitinya.


"Bukan saya tidak mahu mengarah tapi saya agak sibuk ketika ini. Kami pernah bekerjasama dalam drama sebelum ini dan dia juga sudah tahu cara saya bekerja. Saya pilih Ellie kerana dia pelakon yang sangat bagus. Dari segi pengarahan pula, saya memang tidak pernah melihat dia mengarah teater sebelum ini.


"Sepanjang sesi latihan teater ini yang dimulakan lebih dua minggu lalu, saya akui Ellie pengarah yang sangat taksub pada kerjanya. Komitmennya pada kerja juga luar biasa dengan bekerja dari pagi hinggalah ke malam," katanya.


Secara peribadi, kata Erma, dia sudah memaafkan Ellie sejak hari pertama pelakon itu meninggalkan set berkenaan.


"Saya tetap menganggap teater Antara... arahan Ellie Suriaty. Saya rasa malu untuk mengaku Antara... arahan saya kerana saya hanya ambil alih selama tiga hari saja dengan sesi latihan membabitkan pelakon mula masuk ke pentas. Bayangkan pada masa sama, saya juga pelakon dalam teater ini," ujarnya. Erma berkata, dia tidak serik untuk bekerja dengan Ellie pada masa depan.


"Saya tidak ada masalah jika ada peluang untuk bekerjasama dengannya lagi pada masa depan. Sebenarnya, saya sudah bosan dilanda kontroversi seperti ini. Sebagai pengarah, saya memang tidak serik untuk mengarah teater kerohanian pada masa depan," katanya. Isnin lalu, ketika penulis meninjau sesi latihan teater itu di IB, Erma masih cuba menyorok perkara sebenar dengan memberitahu Ellie tidak datang pada malam itu kerana kurang sihat.


Malam kelmarin, pihak media yang membuat liputan masih belum berjaya mendapatkan komen Ellie berhubung isu itu walaupun ada pihak ternampak Ellie berada dalam Panggung Sari sewaktu pementasan itu berlangsung. Namun selepas selesai, dia dikatakan terus menghilangkan diri.


Mengulas pula mengenai babak 'Nabi Adam & Hawa' yang dipaparkan dalam teater Antara..., Erma berkata, dua sudah mendapat kelulusan terlebih dulu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


"Sehari sebelum pratonton, kami sudah menjemput pihak Jakim untuk menontonnya terlebih dulu. Pihak Jakim sudah meluluskan babak itu dan membenarkan babak itu digambarkan di sebalik tabir saja bagi mengelakkan sebarang isu timbul," kata Erma.


Muzikal dakwah Antara... dipentaskan jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula semalam hingga Ahad ini. Ia menyajikan 16 lagu kerohanian yang dinyanyikan enam penyanyi popular seperti Jamal Abdillah, Hattan, Ziana Zain, Lan Typewriter, Iqwal dan Wana.

Sebanyak 16 lagu sedia ada seperti Melawan Arus, Di Balik Cermin Mimpi, Istana Menanti (Rahim Maarof) Adam Hawa, Makhluk Tuhan Paling Seksi (Mulan), Arjuna dan Laska Cinta (Dewa), Mentari Di Ufuk Timur dan Meniti Titian Usang (Search), Kepadamu Kekasih (M Nasir), Andaiku Tahu (Ungu), Pergi Tak Kembali (Rabbani) dan Jika Syurga & Neraka Tiada menjadi latar penceritaan teater muzikal ini.


Teater muzikal ini dijayakan Azhan Rani, Azizah Mahzan, Fahrin Ahmad, Nasha Aziz, Haerianto, Syammas, Soosan Hoh dan ramai lagi.

Ikut jejak Amy Mastura berlakon teater

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

SEPERTI wanita solo lain, penyanyi Misha Omar punya keinginan untuk berumah tangga dan membina keluarga bahagia. Apatah lagi melihat rakan artis sebayanya sudah berumah tangga, niat itu juga terpendam di hatinya.

pix_middle
pix_topright
Pun begitu, pengalaman pahit putus cinta sebelum ini banyak mengajar Misha, 28, untuk lebih berhati-hati menjalinkan hubungan dengan insan bernama lelaki.


"Bukan mudah untuk mencari lelaki yang memahami dunia seorang artis. Maklumlah, kerja saya tidak tentu masa dan dunia hiburan penuh dengan gosip.


"Lebih penting, lelaki yang ingin berkahwin dengan saya mesti menerima kehadiran anak angkat saya, Adam (yang kini berusia empat tahun)," katanya.


Kekosongan hati Misha yang popular dengan lagu Cinta Adam Dan Hawa ini sudah terisi dengan kehadiran jejaka yang berjaya menambat hatinya lebih setahun lalu.


"Si dia itu hanyalah orang biasa saja dan terbabit dalam bidang perkhidmatan awam. Saya selesa berkawan dengannya kerana dia cukup memahami dan menerima saya seadanya. "Setakat ini, keluarga merestui hubungan kami. Sebenarnya, keluarga saya memang tidak pernah letak sebarang kriteria mengenai calon suami saya sejak dulu," katanya. Bagaimanapun, Misha akui dia belum bersedia menguar-uarkan hubungannya dengan si dia kepada pihak media serta peminat buat masa ini. "Maaflah, saya tidak boleh cerita lebih-lebih mengenai diri si dia kerana nanti timbul spekulasi lain. Lagipun, bimbang pula untuk mengesahkan hubungan yang belum tentu ke jenjang pelamin. Sebagai wanita, kalau tidak menjadi kenyataan, saya yang akan malu nanti. Sebelum ini, pernah heboh cerita saya sibuk buat persiapan kahwin sedangkan ia majlis perkahwinan sepupu saya. "Tapi saya memang seorang yang setia pada yang satu dalam menjalinkan hubungan dengan lelaki dan setakat ini, saya memang berkawan rapat dengan lelaki itu saja," katanya. Misha berkata, dia juga perlu membuat persiapan diri untuk menempuh cabaran melangkah ke alam perkahwinan. "Saya juga perlu pastikan si dia dapat menyesuaikan diri dengan karier seni," katanya yang turut mempertaruhkan lagu Riwayat Cinta. Misha sedar kehidupannya akan lebih teratur apabila mendirikan rumah tangga kelak. "Apapun, saya sudah matang menjalani kehidupan sebagai orang bujang. Saya juga sedar perkahwinan dan percintaan dua perkara berbeza. Selain itu, saya juga sudah ada anak angkat dan tidak berasa sunyi kalau di rumah. Insya-Allah, saya akan berkahwin apabila sampai seru nanti," katanya. Misha ditemui Rap pada sidang media pementasan teater muzikal Gamat 2 terbitan CTRA Production Saloma Bistro, Jalan Ampang, di sini, baru-baru ini. Teater ini dihasilkan dengan kerjasama Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM), Matic, Aswara dan Istana Budaya (IB) . Dalam Gamat 2, Misha memegang watak Ketua Buntal. Dia berminat untuk terbabit dalam Gamat 2 selepas mendengar cerita daripada Amy Mastura yang berlakon dalam pementasan berkenaan. "Saya memang rapat dengan Kak Amy dan teruja sangat selepas mendengar cerita Kak Amy berlakon dalam pementasan musim pertama dulu.

"Maklumlah, teater ini membabitkan ramai pelakon kanak-kanak. Sebelum ini, saya sibuk dan tidak berpeluang untuk menonton musim pertama teater ini. "Saya juga ingin mencuba berlakon teater muzikal pula. Watak Ketua Buntal yang juga polis laut ini memang menarik dan saya tidak ada masalah untuk memakai kostum khas yang disediakan," katanya.


Muzikal gamat 2 arahan Zaifri Husin ini akan dipentaskan di IB pada 12 hingga 22 Mac ini di Auditorium pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Menyusul selepas itu, Misha bakal beraksi dalam pementasan teater muzikal Uda Dan Dara arahan Datuk Rahim Razali di Istana Budaya sekitar Julai nanti.


"Sebelum ini banyak kali saya dapat tawaran berlakon di IB tapi saya tidak berani buat. Saya akui teater ini boleh buat lutut saya menggigil kerana kita tidak boleh 'cut' kalau membuat silap. "Saya dapat tawaran watak Dara selepas melalui uji bakat. Antara panel yang mengadili saya ialah Datuk Rahim sendiri. Pihak mereka juga belum umumkan siapa yang bakal memegang watak Uda bergandingan dengan saya nanti. Watak Dara itu memang hebat buat orang baru macam saya," katanya.


Dari segi pengacaraan pula, Misha juga menjadi pengacara program Sehati Sejiwa terbitan RTM tahun ini. Ditanya perancangan masa depan pula, Misha berkata, dia mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sebagai jaminan masa depan.


"Sebelum ini, saya menjadi rakan kongsi dengan pusat salun di The Mall. Selain itu, saya juga merancang untuk menceburi bisnes makanan atau pakaian pada masa depan. Sekalipun menceburi bidang perniagaan, minat utama saya tetap nyanyian," katanya.


>Profil
NAMA PENUH: Samihah @ Aisah Omar
NAMA KOMERSIAL: Misha Omar
TARIKH LAHIR: 6 Januari 1982
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
KERJAYA: Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan pengacara
STATUS: Bujang
ANAK : Anak angkat, Muhammad Adam Emir, 4
ALBUM: Misha (2002), Aksara (2004) dan Misha Omar (2008)
FILEM: Gerak Khas The Movie 3 dan Main-Main Cinta
TELEMOVIE: Telefilem khas raya, Jo-Om Balik Raya I dan II
PROGRAM TV: Skrin Video, Sehati Sejiwa
ANTARA ALBUM: Cinta Adam dan Hawa
PENCAPAIAN: Finalis Bintang RTM (Bintang RTM 2001), Anugerah Artis Harapan (Anugerah Era 2003), Anugerah Emas Festival Muzik Shanghai (Festival Muzik Shanghai 2003), Anugerah Vokal Terbaik (Anugerah Juara Lagu 2003), Juara Lagu (Anugerah Juara Lagu 2003), Anugerah Artis Wanita Baru Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003), Anugerah Artis Wanita Baru Pilihan (Anugerah Media Hiburan 2003), Anugerah Lagu Terbaik (Anugerah Media Hiburan 2003), Anugerah Vokal Wanita Terbaik (Anugerah Era 2004), Juara Lagu Balada (Pulangkan - Anugerah Juara Lagu 2004), Anugerah Vokal Terbaik (Anugerah Juara Lagu 2004), Juara Hitz 1 (Anugerah Hitz 1 RTM 2004) & Juara Lagu Hitz 1 (Anugerah Hitz 1 RTM 2006), Persembahan Terbaik (Anugerah Hitz 1 RTM 2006), Persembahan Terbaik (Anugerah Hitz 1 RTM 2007).

Friday, February 26, 2010

TV9 rai Maulidur Rasul dengan program menarik

Oleh Rozdan Mazalan

MAULIDUR Rasul adalah hari bersejarah bagi umat Islam kerana ia adalah hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. dan mengikut bulan Islam ia jatuh pada 12 Rabiul Awal. Sempena sambutan hari bersejarah ini juga TV9 turut menyediakan beberapa rancangan menarik khusus buat penonton termasuklah menerusi rancangan bual bicara Nasi Lemak Kopi O.

Nasi Lemak Kopi O, Istimewa Maulidur Rasul hari ini akan bermula jam 8 hingga 10 pagi membicarakan mengenai sifat Rasulullah yang perlu dicontohi oleh semua terutamanya generasi muda kini bersama penceramah bebas, Ustaz Syed Nor Hisham.

Selain itu, penonton juga akan dihiburkan dengan kumpulan nasyid popular, Raihan dengan lagu munajat seperti Ya Nabi Salam Alaika, Rasulullah, Munajat seorang Hamba dan banyak lagi. Program ini akan dihoskan oleh pengacara berpengalaman Aziz Desa dan Farah Diana Anuar.


Khazanah Padang Pasir adalah program dokumentari mengenai Kelahiran Rasulullah S.A.W. yang membawa rahmat kepada umat manusia. Islam yang dibawa oleh Baginda

Rasulullah memperakui tamadun dan kesenian Islam yang dibuktikan melalui tinggalan sejarah sama ada secara bertulis mahupun tinggalan artifak. Tinggalan artifak seperti Pedang Rasulullah, Al-Quran yang ditulis atas kulit kambing, artifak pada zaman kegemilangan kerajaan Ottomaniyyah adalah antara yang masih disimpan dan dijaga dengan baik oleh pihak muzium. Dokumentari ini juga meninjau kerja membaikpulih dan memulihara khazanah Islam seluruh dunia oleh Jabatan Konservasi, Muzium Kesenian Islam Malaysia bagi tatapan generasi masa depan. Jangan lupa menyaksikan dokumentari ini jam 6.30 petang hari ini.

Menerusi slot Skrin di 9, telefilem berjudul Khalifah akan disajikan mengisahkan Halim anak jati Kuala Lumpur yang dibesarkan di tengah kota raya dan tinggal di pangsapuri. Anak sulung kepada Mak Som dan juga abang kepada tiga orang adik ini melihat keruntuhan akhlak rakan sebayanya yang terjebak dengan gejala tidak sihat. Dengan dorongan ibu dan gurunya Cikgu Rahmat, Halim berjaya ke menara gading. Setelah habis belajar, Halim bekerja di sebuah syarikat pembinaan Panca Konkrit Sdn Bhd Halim tidak suka amalan syarikat memberi rasuah. Pihak atasan syarikat dia bekerja suka mencuri hasil jualan orang bawahannya. Syarikat pula menolak cadangan potongan zakat melalui potongan gaji. Bonus pula hanya dibayar setengah bulan.

Halim tidak berpuashati apabila ditukar ke bahagian lain Halim dituduh cuba menghasut pekerja lain. Akibatnya Halim digantung kerja dua minggu tanpa gaji.

Telefilem yang akan disiarkan jam 9.30 malam ini dilakonkan oleh Azizan Nin, Fiza Abd Halim, Annahita Bakavoli, Abu Bakar Juah, Maimon Talib dan ramai lagi

Bagi penggemar program Halaqah, Istimewa Maulidur Rasul kali ini, program ini akan membicarakan mengenai tajuk Airmata junjungan. Halaqah yang disiarkan Ahad, jam 9.30 malam turut membicarakan mengenai Tanyakan kepada diri kita: Kenapa sebahagian besar umat Islam terasa ‘jauh’ dan ‘kosong’ dari Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Di bawah sinar hidup serba mudah dan moden, jarang lagi insan agung ini ‘bertakhta’ di hati umat baginda. Rasulullah S.A.W seperti ditinggalkan dari peta kehidupan umat Islam.

Penonton akan diasak dan diajak berfikir apakah mereka sudah membalas kasih sayang Rasulullah S.A.W.

Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan Halaqah istimewa yang menonjolkan gandingan mantap hos bersama Ustaz Shukri Yusoff dan Ahmad Noor Sulaiman bersama panel yang juga adalah tokoh agama iaitu Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot dan Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom.

Rezeki Maulidur Rasul

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

KETIBAAN 12 Rabiulawal 1431 hari ini memberi pengertian sangat mendalam buat umat Islam di seluruh dunia kerana menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang turut dikenali sebagai Maulidur Rasul.

TERUS BERDAKWAH...(dari kiri) Suffian, Che Amran, Syahril dan Munif  mahu mengembangkan muzik nasyid ke seluruh dunia.
TERUS BERDAKWAH...(dari kiri) Suffian, Che Amran, Syahril dan Munif mahu mengembangkan muzik nasyid ke seluruh dunia.
Demi meraikan hari bermakna ini, sambutan acara ini tetap diberi perhatian apabila masyarakat di negara ini mendapat cuti umum.


Di sebalik umat Islam beramai-ramai mengenang hari bersejarah itu, ada pula yang berpandangan sambutan ketika ini kurang meriah, cuma perarakan dan bacaan selawat yang lazim diadakan pada setiap tahun.


Bagi empat vokalis kumpulan nasyid popular iaitu Che Amran Idris daripada kumpulan Raihan, Munif Ahmad (Hijjaz), Suffian Amrin (Saujana) dan Mohd Syahril Ab Khalid (In-team), mereka mempunyai pandangan tersendiri mengenai Maulidur Rasul dan aktiviti seni yang seharusnya dijalankan.


Munif mewakili tiga anggota kumpulan Hijjaz menyatakan sambutan kali ini tetap meriah, apatah lagi memberikan rezeki kepada mereka yang dijemput mengadakan persembahan pentas. Pada hari ini, mereka turut mempunyai dua persembahan.


Berbanding hari biasa, Munif akui permintaan terhadap kumpulan nasyid lebih banyak ketika sambutan Maulidur Rasul dan Maal Hijrah. Bercerita pengalaman sebelum ini, mereka pernah mendapat tiga persembahan pada hari sama tetapi di lokasi berbeza.

"Ketika itu, kami mempunyai persembahan di Shah Alam, Kedah dan Grik, Perak manakala pada sebelah malamnya, kami bergegas ke Singapura untuk persembahan keesokan harinya.


"Tidak dinafikan, kami mendapat banyak jemputan mengadakan persembahan khusus pada hari istimewa seperti ini tetapi kami tidak ambil semuanya, bimbang jika tidak dapat berikan sepenuh komitmen.


"Memang nampak jelas, jumlah persembahan pada hari biasa selalunya kurang hanya sekali seminggu. Bagi Hijjaz, fokus kami tidak hanya bergantung pada persembahan pentas semata-mata. Kami turut menguruskan perniagaan lain.


"Bagaimanapun, kalau ada kelapangan, kami juga mengadakan persembahan secara percuma. Dalam memberikan hiburan, kami merasakan apa yang kami lakukan satu tugas yang perlu dilaksanakan," katanya.


Mengenai perkembangan album, Hijjaz akan muncul dengan album Permata Hijjaz yang akan berada di pasaran dalam waktu terdekat. Album ke-13 ini menampilkan 11 lagu baru dan menggunakan khidmat enam pemuzik orkestra.


Bagi Syahril, sambutan kali ini lebih bermakna apabila dia bersama dua anggota In-team julung kali berpeluang mengadakan persembahan jelajah di United Kingdom (UK). Persembahan itu atas jemputan Persatuan Pelajar Malaysia dari University of Sheffield sempena Pertandingan Nasyid Ekstravaganza yang disertai pelbagai kumpulan nasyid luar negara.


"Kami berada di sana selama lapan hari merangkumi persembahan di London, Dublin dan Manchester. Menariknya, sempena kehadiran kami di sana, kami juga tampil dengan album kompilasi baru, Love Allah, Love Rasul yang diterbitkan dalam versi antarabangsa.


"Biarpun kami belum pernah mengadakan persembahan di sana tetapi setahu saya, sambutan yang diberikan di sana cukup berbeza dengan di sini.


"Pada saya, sambutan Maulidur Rasul tidak sekadar menghabiskan cuti umum tetapi perlu memikirkan bagaimana mahu menjadikan hari berkenaan lebih meriah dan bermakna.


"Ia memberi kelebihan pada kita kerana ketika cuti, semua berpeluang meraikannya. Mungkin sebagai cadangan, lebih banyak aktiviti sihat membabitkan remaja diadakan seperti futsal dan paintball.

"Menerusi aktiviti sebegini, kita bukan hanya mendekatkan diri dengan remaja melalui aktiviti berfaedah tapi ia secara tidak langsung memberi pendedahan seperti cara hidup sihat mengikut lunas agama," katanya.


Mengenai aktiviti baru, In-team melebarkan sayap dalam penerbitan buku sejak awal tahun ini. Menerusi syarikat In-team Publishing, mereka kini sudah menghasilkan empat buku iaitu Yassin, Surah Hafazan, Amalan Ibu Mengandung dan Zikir & Doa Selepas Solat.


Wakil Raihan, Che Amran pula berpendapat, kemeriahan sambutan Maulidur Rasul makin berkurangan biarpun ramai yang tahu keistimewaannya. Bagaimanapun, Raihan masih meneruskan perjuangan seni mereka apabila terbabit dalam Karnival Maulidur Rasul di Sungai Besar, Selangor, hari ini.


Che Amran berkata, Raihan masih aktif dalam menerima pelbagai jemputan mengadakan persembahan sama ada di dalam dan luar negara. Dua minggu lalu, mereka baru pulang dari Jakarta diikuti Bandung, minggu lalu.


"Pada Mac nanti, kami akan mengadakan persembahan di Kota Semarang, Jawa Timur. Sempena Maulidur Rasul kali ini, kami juga tampil dengan album repackaged yang menggunakan konsep acapella.


"Saya berasakan muzik nasyid masih relevan untuk diminati generasi kini. Biarpun begitu, muzik nasyid masih dipinggirkan apabila kurang diberi peluang untuk dimainkan di radio.


"Buat masa ini, nasyid hidup umpama band indie, namun kami terus bertahan kerana sokongan kuat daripada peminat. Untuk perancangan akan datang, kami juga akan berkunjung ke Australia April ini," katanya.


Suffian yang menganggotai Saujana, pula menyokong pendapat Che Amran sambil menyatakan penerimaan masyarakat terhadap muzik nasyid masih kuat. Katanya, Saujana yang ditubuhkan sejak 1997 masih lagi bertahan.


"Kami sudah memasarkan album baru, Nota Cinta sejak sebulan lalu dan kini masih dalam aktiviti promosi. Kami berasakan album kali ini istimewa kerana ia diterbitkan selepas empat tahun muncul dengan album Jalan Sehala.


"Malah, menariknya kami bertuah dicalonkan dalam kategori Album Nasyid Terbaik pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009). Kami berharap dapat menjayakan promosi album ini menerusi acara jelajah ABPBH2009 yang dijalankan kelak.


"Adanya anugerah seperti ini, ia memberi pengiktirafan kepada muzik nasyid untuk terus berkembang. Album baru ini juga kami sasarkan untuk pasaran nusantara termasuk kami cuba nasib menembusi pasaran di Turki, Trinidad dan UK," katanya dengan nada bersyukur.


PROFIL Che Amran NAMA: Che Amran Idris NAMA KUMPULAN: Raihan ASAL: Pasir Mas, Kelantan TARIKH LAHIR: 10 Jun 1969 UMUR: 40 tahun NAMA ANGGOTA KUMPULAN: 1. Abu Bakar Md Yatim 2. Amran Ibrahim 3. Zulfadli Mustaza Munif NAMA: Munif Ahmad NAMA KUMPULAN: Hijjaz ASAL: Pontian, Johor TARIKH LAHIR: 16 Februari 1974 UMUR: 36 tahun NAMA ANGGOTA KUMPULAN: 1. Isman Nadim Isam 2. Faizal Osman 3. M Ariffin Rahim Suffian NAMA: Suffian Amrin NAMA KUMPULAN Saujana ASAL: Muar, Johor TARIKH LAHIR: 13 Januari 1981 UMUR: 28 tahun NAMA ANGGOTA KUMPULAN: 1. Wan Najran Wan Mohd Noh 2. Azalinor Abd Rahman 3. Zuhaidi Abd Aziz Syahril NAMA: Mohd Syahril Ab Khalid NAMA KUMPULAN: In-team ASAL: Seremban, Negeri Sembilan TARIKH LAHIR: 25 Mac 1980 UMUR: 29 tahun NAMA ANGGOTA KUMPULAN: 1. Muhammad Hazamin Harun 2. Abdul Rahim Osman

Tiada niat berlagak

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin




Gara-gara lantang pertikai gaya hidup artis, sudah ada yang tidak senang dengan Wardina Saffiyah Fadhlullah

WANITA kacukan Australia-Acheh ini pada mulanya agak keberatan untuk memenuhi sesi fotografi sempena Maulidur Rasul, bimbang kisah kelantangan mempertikai gaya hidup artis Malaysia diungkit kembali. Justeru dia tidak mahu kemunculannya di dada akhbar di salah tafsir.

Namun dalam pada itu, Wardina Saffiyah Fadhlullah, 31, tetapi memenuhi permintaan Hip kerana katanya mahu menghormati tugas kami.


Tutur bicaranya lebih berhati-hati, enggan ada hati yang terusik. Tapi sebelum itu, ibu kepada tiga cahaya ini memohon maaf kepada pembaca dan meminta mereka supaya tidak menyalah erti kenyataannya. Dia tidak berniat mahu menunjuk pandai, jauh sekali mahu mengecam orang lain.

“Selepas kes itu, saya mahu mengambil sikap ‘low profile’. Saya tidak mahu lagi kisah itu disensasikan sebab itu pada mulanya saya berbelah bahagi mahu menerima undangan fotografi ini atau sebaliknya.

“Saya berharap kenyataan saya mengenai Maulidur Rasul ini tidak disalah erti. Saya tahu setiap orang mempunyai tafsiran yang berbeza. Apa yang ingin saya katakan adalah pendapat saya dan apa yang saya faham mengenai nabi junjungan kita Muhammad S.A.W.

“Dalam melakukan kebaikan, memang banyak cabaran yang perlu kita tempuhi. Nabi yang dikenali sebagai Al Amin iaitu manusia yang paling baik hingga ke hari ini pun masih lagi difitnah sama ada menerusi perkataan dan juga ilustrasi. Inikan pula kita manusia yang tidak sempurna,” kata Wardina.

Berbicara mengenai Maulidur Rasul yang jatuh pada 12 Rabiul Awal, kata wanita anggun ini, ia tidak seharusnya diingati pada hari itu saja malah usaha meraikan Maulidur Rasul dan kepayahan baginda dalam menegakkan syiar Islam perlu diingat setiap masa.

Jika mengenali dan menghayati usaha Rasulullah, wanita ini percaya kita pasti tersentuh dengan kecekalan Rasulullah. Walaupun dikeji, dihina malah ada yang mahu membunuhnya, Rasulullah tidak pernah mengenal erti putus asa dalam memperjuangkan agamanya.

“Bagaimana kita mahu menyayangi Rasulullah seandainya kita tidak mengenali baginda. Sambutan Maulidur Rasul bukan mengenai berarak saja. Apa kata pada hari ini kita luangkan masa menyelak sirah nabi untuk mengenali Rasulullah dengan lebih mendalam, kenali salasilah baginda serta hayati perjuangan baginda bersama sahabatnya.

“Sekarang ini kita ada internet, kalau tidak ada buku, tengok saja melalui internet. Semuanya yang anda ingin ketahui mengenai Nabi Muhammad S.A.W ada di situ. Kita tak perlu lagi susah payah mencari buku dan sebagainya. Kalau kita betul-betul faham perjuangan nabi, nescaya kita akan menitiskan air mata mengenangkan ketabahan baginda,” katanya.

Kagumi tiga wanita di hati Rasulullah

SELAIN Rasulullah, pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) turut mengagumi tiga wanita yang berada di hati Nabi Muhammad S.A.W iaitu Khadijah, Aishah dan Fatimah. Keistimewaan ketiga-tiga wanita itu dijadikan inspirasi oleh Wardina untuk memajukan dirinya.

Dia ingin menjadi seperti Aishah yang bijak dan berani meluahkan pendapatnya. Dia juga mahu menjadi seperti Khadijah yang bukan saja berkerjaya tetapi juga berjaya dan dia mengagumi anak kesayangan Rasulullah, Fatimah Az Zaharah yang cekal menempuhi hidup dengan penuh kesusahan.

“Mereka ini adalah ikon yang sebenar. Saya berharap semua wanita, bukan saya saja dapat menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi. Kalau boleh duduk satu keluarga dan terangkan kepada anak-anak mengenai kisah mereka.

“Cuba bacakan buku cerita, karya berunsur keislaman kepada anak kerana apa yang dibaca akan mempengaruhi fikiran mereka. Sebab itu saya menghantar anak-anak ke sekolah Islam dari kecil agar mereka tahu semua ini. Saya hanya cuba yang terbaik, jika tidak menjadi di kemudian hari, saya menerimanya sebagai ketentuan Allah,” kata yang berharap umat Islam tidak lupa kepada Rasulullah.

Umat Islam tambah wanita itu, perlu memahami wasiat terakhir Rasulullah. Katanya, Rasulullah perlu sentiasa berada dalam ingatan kita. Sekiranya kita sentiasa mengingati dan memahami perjuangannya, pasti kita malu untuk mengingkari perintahnya.

“Saya sentiasa beringat supaya memperbaiki diri. Saya perlu pastikan saya melaksanakan apa yang saya katakan. Saya tidak boleh sekadar bercakap saja tetapi tidak sembahyang dan sebagainya. Saya malu mengaku sayang pada Rasulullah tetapi saya tidak sembahyang dan melakukan kemungkaran,” katanya.

  • NAMA: Wardina Saffiyah Fadhlullah
  • TARIKH lahir: 5 Jun 1979
  • SUAMI: Ikhwan Johari
  • ANAK: Amna Nafeesa, 7, Azra Sareera, 4, Imran Arrazi, 1 tahun.

Thursday, February 25, 2010

Dengarnya...: Puteri Sarah janganlah emosional

LETIHLAH Cik Normah mendengar macam-macam cerita pasangan kekasih, Ammar Alfian dan Puteri Sarah Liyana. Iyalah, mereka bukan siapa pun. Berlakon pun taklah hebat mana. Rasa Cik Normah, ramai yang tak kenal pun siapa Puteri Sarah atau Ammar kecuali baru-baru ini kecoh tak tentu fasal.

Bukan apa, Cik Normah tulis cerita ini pun secara tidak langsung memberi publisiti percuma kepada mereka. Sedangkan sepatutnya dengan apa yang terjadi, isu ini tidak wajar digembar-gemburkan kerana Cik Normah lihat apa yang ditimbulkan pasangan kekasih ini mengarut semata-mata.

Entahlah, nak raih publisiti segera pun barangkali ada juga. Tapi sebagai manusia, mereka ada hak untuk menyatakan ketidakpuasan hati. Lumrah. Tapi sayang, kerjaya baru nak bermula dihimpit dengan cerita mual yang hanya memalukan diri sendiri.


Tak perlu nak tuding siapa salah, siapa betul. Jangan suka cakap sembarangan, kelak memakan diri. Macam Puteri Sarah, tak perlulah sampai nak suruh wartawan menjunjung al-Quran semata-mata nak buktikan perkara yang tak masuk akal. Renunglah diri sendiri terlebih dulu.

Buat Ammar dan Puteri Sarah, mungkin selepas ini anda perlu membezakan antara marah dengan arahan. Bagi Cik Normah, dua perkataan itu membawa maksud yang sangat berbeza. Cuma ia bergantung kepada intonasi terma itu diluahkan. Anda tahu apa yang Cik Normah maksudkan ini.

Cik Normah harap perkara ini tidak akan berpanjangan. Puteri Sarah atau Ammar jangan cepat buruk sangka dengan rakan media. Kalau ada yang tak kena, berusahalah untuk cakap atau tanya elok-elok dengan mereka, pastinya tidak ada kecoh pun. Kemudian fahami intonasi orang cakap, sama ada orang itu marah, menegur, menyapa atau sekadar membuat sedikit arahan.



Cik Normah rasa, Puteri Sarah pun bukanlah budak-budak, malahan boleh dikatakan terpelajar juga. Jangan cepat melenting bila kena cuit sikit.

Tuah badan

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

BERSAMA ibu dan bapa tercinta.

Heliza bersyukur peminat sanggup melabur dalam syarikat yang ditubuhkan hasil titik peluhnya sendiri

CITA-cita penyanyi yang memiliki sepasang mata bundar, Heliza Helmi, 24, untuk membahagiakan ibu bapanya kini bukan lagi angan-angan. Bisikan hati gadis kelahiran Kuala Terengganu ini dimakbulkan Tuhan apabila seorang hamba Allah berminat melabur di dalam syarikat yang ditubuhkan hampir dua tahun lalu iaitu Heliza Helmi Production Sdn Bhd (HHP).

Niat asal menubuhkan syarikat kecil untuk menguruskan kerjaya seninya tiba-tiba berubah menjadi sebuah syarikat yang mempunyai pelbagai cabang perniagaan seperti perkapalan, perdagangan, penyediaan peralatan cari gali dan tidak ketinggalan hiburan.


Mungkin inilah yang dikatakan tuah badan. Bermula sebagai seorang peminat ketika gadis ini menyertai Akademi Fantasia (AF 5), Toh Puan Atiah Alias Mohamed bersama suaminya Datuk Kapten Gulzar Mohamad kemudian berbesar hati melabur di dalam syarikat milik Heliza yang ditubuhkan hasil titik peluhnya dalam dunia seni dan juga bantuan keluarganya.

Bagaimanapun pembabitan gadis ini secara mendadak dalam bidang perniagaan besar mengundang tanda tanya. Dari mana dia mendapat dana menubuhkan syarikat ini kini menjadi persoalan khalayak peminat dunia hiburan. Namun penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini menjelaskan, sekiranya dia memperoleh wang dari sumber yang tidak baik tentunya dia akan menyorokkan hal ini dari pengetahuan umum.

“Sering kali terlintas di fikiran saya, apa akan jadi kepada keluarga sekiranya saya sudah tidak ada. Saya pernah melalui pengalaman ngeri apabila kapal terbang yang dinaiki untuk pulang ke Sabah tiba-tiba mengeluarkan api dan mengalami gegaran yang kuat. Waktu itu saya ingatkan ajal sudah sampai. Saya berasa sedih sangat ketika itu kerana tak sempat tinggalkan apa-apa untuk ibu dan ayah.

PEMINAT setia yang juga rakan kongsinya, dari kiri; Quzrim Mohamad, gulzar, Atiah, Wan Inehas Wan Ibrahim bersama Heliza dan ibunya, Latifah Mohd pada majlis pelancaran single Panggil Namaku.

“Sebagai anak, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu dan memberikan kesenangan kepada mereka. Saya tak tahu sampai bila saya mampu berada di dunia ini. Sebelum menutup mata, saya mahu melihat mereka gembira. Saya juga mahu apabila ayah pencen nanti, sekurang-kurangnya dia ada sesuatu untuk dibuat sebab itu saya tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran Toh Puan Atiah yang mahu melabur dalam syarikat saya.

“Selain itu, kesempatan ini juga boleh saya gunakan untuk mempelajari selok-belok perniagaan. Selepas ini mungkin saya boleh kembangkan lagi perniagaan menjadi lebih besar lagi dan saya juga mahu menjadi ahli perniagaan wanita yang disegani suatu hari nanti,” kata penyanyi itu ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya, Panggil Namaku.

Beritahu gadis manis ini, dia tidak takut dengan cemuhan yang bakal dilemparkan masyarakat apabila mereka mengetahui dia terbabit dalam perniagaan berskala besar. Heliza tidak bimbang dengan cemuhan masyarakat kerana katanya tiada yang pelik di sebalik pembabitannya dalam perniagaan ini.

“Tidak ada sesuatu yang pelik pun mengenai HHP. Saya tidak takut orang nak cakap apa pun mengenai saya kerana Allah sentiasa ada bersama kita. Apa yang saya tahu, saya tidak pernah membelakangkan keluarga. Malah keluarga juga tahu segala-galanya mengenai perniagaan ini. Keluarga adalah segala-galanya bagi saya dan saya tidak tergamak untuk membohongi mereka.


“Seperti saya katakan, niat saya menubuhkan syarikat ini untuk tujuan industri seni. Tetapi rezeki saya murah apabila ada peminat yang mahu melabur dalam syarikat saya sehingga menjadi sebuah perniagaan yang besar,” katanya.

Tepis gosip kahwini Datuk

HELIZA juga sedar banyak gosip yang dikaitkan dengannya sejak kebelakangan ini. Paling tidak masuk akal apabila dia dikatakan sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan tengah tahun ini sedangkan kata Heliza pada pertengahan tahun ini dia bakal menghadapi peperiksaan akhir.

Selain itu, timbul juga spekulasi mengaitkan dirinya dengan seorang datuk, malah datuk berkenaan juga dikatakan mengeluarkan dana untuk Heliza membuka perniagaan berkaitan produk kecantikan. Heliza tidak menafikan mengenali seorang datuk, orang itu adalah orang yang terbabit dalam perniagaan kini tetapi dia berasa lucu kerana dia langsung tidak mempunyai perniagaan berkaitan produk kecantikan.

Dia juga ketawa apabila ditanya mengenai percutiannya sekeluarga ke London yang ditaja. Penyanyi itu tidak menafikan mengunjungi London pada Disember lalu tetapi bukan seluruh ahli keluarga seperti didakwa, tetapi dia ke sana bersama pengurusnya serta seorang adiknya bagi mengikuti tayangan filem Syurga Cinta di Malaysian Hall anjuran pelajar Malaysia di sana.

Sekali pun bakal terbabit dengan perdagangan, HHP tidak sesekali melupakan cabang seni. Syarikat berkenaan juga mempunyai hasrat untuk menerbitkan filem serta bakal menganjurkan konsert yang dijangka berlangsung di Istana Budaya.

Mereka merancang mengadakan sebuah konsert tribute khusus untuk Datuk Ahmad Nawab serta berhasrat mengundang 10 penyanyi terbaik yang pernah terbabit dengan komposer berkenaan.

Kesibukan dan kekangan waktu menyebabkan wanita yang memiliki ketinggian 155 sentimeter ini terpaksa mengenepikan seketika hasrat untuk muncul dengan album sulung. Bahkan single terbarunya Panggil Namaku sendiri memakan masa lama untuk disempurnakan berikutan kesibukan tugasnya sebagai seorang pelajar.

“Saya memang bercita-cita untuk memiliki album penuh tetapi memandangkan jadual saya yang terlalu padat, maka hasrat itu terpaksa saya pendamkan dulu. Lagipun saya perlu tumpukan perhatian kepada pelajaran kerana peperiksaan akhir akan berlangsung pertengahan tahun ini.

“Sebagai permulaan, saya mendapatkan khidmat Eddie Rock dan Cikgu Shafi untuk single pertama. Kemungkinan selepas itu saya akan cuba mendapatkan khidmat komposer lain pula,” katanya yang masih berminat menjadi pendidik.

Tuesday, February 23, 2010

Inderawala album terakhir

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com

HATTAN dan Adam Eiman menunjukkan album Inderawala dan produk Adam Men Skincare.

DUA dalam satu. Beli album berjudul Inderawala, peminat atau pembeli juga boleh memperoleh produk kecantikan dan kesihatan yang istimewa untuk lelaki iaitu Addam Men Skincare.

Begitulah kaedah yang digunakan oleh Hattan dalam memasarkan album terbarunya itu. Dalam keadaan pasaran muzik tidak menentu, menyebabkan penyanyi ini lebih kreatif. Ia mungkin bentuk baru dalam memasarkan Inderawala tetapi sebenarnya turut memberikan nilai tambah kepada mereka yang membeli album terbarunya itu.

Tambahan pula kelibat Hattan dalam senario muzik mungkin tidak ketara, sebaliknya ligat dengan perniagaan. Tidak keterlaluan menyatakan dia antara penyanyi yang menikmati kehidupan selesa hasil daripada usahanya yang tidak bergantung kepada sumber nyanyian sahaja

Kini perniagaan terbaru yang baru diceburi Hattan adalah berkaitan dengan produk kecantikan kulit khusus untuk lelaki yang diberi jenama Addam Men Skincare. Ia diusahakan dengan kerjasama Mum Bio Cos Manufacturing Sdn Bhd.

“Sewaktu pemilik syarikat itu menawarkan untuk bekerjasama dengan saya dalam menghasilkan produk ini, saya mengenakan syarat padanya bahawa saya tak mahu sekadar menjadi jurucakap semata-mata. Sebaliknya, saya mahu menjadi rakan kongsi perniagaan dengan mereka. Selepas bersetuju dengan syarat itu, lalu kami pun mengusahakan produk ini.

“Keistimewaan produk ini adalah ia disertakan sekali dengan album saya Inderawala. Peminat tak akan jumpa Inderawala di mana-mana kerana ia eksklusif dan hanya boleh didapati bersama Addam Men Skincare,” kata pemilik nama penuh Mohd Shukri Shahabudin ini.

Mengulas mengenai album Inderawala, Hattan menjelaskan album yang diterbitkan bersama Edry Hashim ini mengambil masa hampir enam bulan untuk disempurnakan.

“Sebenarnya kalau mahu ikutkan hati, saya sendiri sudah malas hendak merakamkan suara untuk album. Tapi selepas dipujuk Edry, saya mengalah dan meneruskan projek ini. Mungkin album ini adalah album terakhir saya berkonsepkan pop. Selepas ini saya mahu rakamkan album bercorak kerohanian.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya merakamkan lagu sebegini.Iyalah, umur pun semakin meningkat, sampai bila kita mahu menyanyi lagu Rock,” kata Hattan yang turut terbabit dalam muzikal Antara... yang dipentaskan di Istana Budaya dari 26 Februari hingga 28 Februari ini.

Masih selesa solo

SEJAK bersendirian enam tahun lalu, Hattan tidak henti-henti dikaitkan dengan ramai wanita. Dari anak dara, sampailah ke janda, orang biasa hinggalah selebriti, semuanya pernah dikatakan intim dengan penyanyi ini. Pantang nampak dia berjalan dengan mana-mana wanita, pasti ada saja yang mendakwa itu adalah teman istimewanya sehingga ada yang mengatakan penyanyi berkulit hitam manis ini seorang kaki perempuan.

Dan khabar terbaru yang didengar, penyanyi ini bakal menamatkan zaman solonya tidak lama lagi. Menurut cerita yang tersebar, hubungan Hattan dengan wanita berstatus janda itu juga sudah sampai ke peringkat jenjang pelamin. Belum reda kisah itu, dikatakan juga Hattan sedang menjalin hubungan dengan seorang gadis jelita dan pernah dibawa menyaksikan Anugerah Juara Lagu baru-baru ini.

Bagaimanapun, ketika diajukan persoalan ini kepada si empunya diri, Hattan menafikan dakwaan itu. Katanya walaupun niat untuk berkahwin itu ada tetapi semuanya terbantut kerana dia begitu fobia dengan perkataan itu.

“Saya mengenali kedua wanita itu tetapi tak adalah sampai hendak berkahwin. Tak semestinya bila kita berkawan, kita akan berkahwin dengan orang itu. Semua cerita yang tersebar itu memang tak benar.

“Tak dinafikan niat untuk berkahwin itu memang ada, tapi setiap kali perasaan ingin berkahwin itu datang, saya macam fobia. Bukannya serik, tetapi banyak yang perlu saya fikirkan. Sebagai contoh, sewaktu solo ini, saya mudah buat keputusan.

“Kalau terasa nak balik ke kampung, saya balik saja. Lebih-lebih lagi bila hari raya, tak payah nak berebut-rebut balik kampung siapa. Biasalah orang Negeri Sembilan, tak boleh nak berenggang dengan keluarga,” kata penyanyi lagu Memburu Rindu ini separuh bergurau.

Untuk seseorang yang sudah biasa hidup berumah tangga, pastinya sedikit sebanyak perasaan sunyi namun bagi Hattan, walaupun akur ada ketika dia merasa kesepian tetapi ia tidak begitu menekannya.

“Mungkin disebabkan kesibukan membuatkan saya tak begitu kisah sangat dengan kesunyian. Lagipun anak saya ada untuk mengubat perasaan sunyi. Soal urusan rumah tangga lain, saya buat sendiri semuanya dan mungkin disebabkan sudah lama menyendiri membuatkan saya rasa selesa begini dan betah membuat semua kerja sendiri,” luah Hattan ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya Inderawala dan juga produk penjagaan kulit khas untuk lelaki iaitu Addam Men Skincare.

Walaupun menyatakan faktor sukar memberi komitmen membuatkan tidak tergesa-gesa mencari pengganti namun perasaan kasihan terhadap anak lelakinya membuatkan dia menaruh harapan untuk berkahwin semula.

“Dalam hal ini, biarlah tuhan yang tentukan sendiri jodoh saya. Saya tidak memilih. Sebagai bapa, saya tahu Adam memerlukan belaian seorang ibu walaupun dia sendiri mengatakan yang dia tak kisah sama ada saya berkahwin semua ataupun tidak,” katanya sambil memandang ke arah Adam Eiman yang berada di sisinya itu.

Dilema dua madu

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my




Fauziah Latiff jayakan watak lebih mencabar di samping Watie dan Rosyam Nor dalam Gelora Di Hati Sara musim kedua

APABILA Suhan Movies ingin menyambung kembali kisah Gelora Di Hati Sara yang disiarkan menerusi RTM kira-kira dua tahun lalu, penyanyi Fauziah Latiff tidak berfikir panjang. Dia ingin sekali lagi menjayakan watak Sara, walaupun pada musim kedua, watak itu jauh lebih bergelora.

Peminat yang sering tertanya-tanya mengenai sambungannya, serta sambutan cukup baik diberikan ketika drama bersiri itu ditayangkan dulu membuatkan Fauziah, atau lebih mesra disapa Jee, tidak teragak-agak untuk kembali menghidupkan watak terbabit.

"Kali ini, setiap watak nyata lebih hebat konfliknya. Sara sendiri berdepan pelbagai dugaan yang dahsyat. Selepas satu, satu lagi dugaan yang harus ditempuhinya. Malah setiap kali dugaan datang, ia lebih buruk daripada sebelumnya," cerita Jee memberikan sedikit gambaran mengenai watak yang dilakonkannya.

Bukan saja berhadapan masalah dengan suaminya, Asrul (Rosyam Nor), di rumah, malah dia juga perlu menangani kerenah yang ditimbulkan madunya (Watie) yang kembali diserang penyakit lama. Sara juga menghadapi ancaman di tempat kerja, selain musibah dilanggar kereta. Semua itu dapat disaksikan menerusi Gelora Di Hati Sara musim kedua.

Kata Jee, walaupun drama itu antara pengalaman awalnya beraksi di depan kamera sebagai pelakon, dia sedaya upaya menunaikan tanggungjawab diberikan dengan sebaik mungkin.

"Jika dilihat kepada barisan pelakonnya, semua adalah bintang yang cukup berpengalaman. Saya pula masih begitu baru dalam bidang ini. Masih banyak ilmu lakonan perlu saya pelajari dan tentu sekali, sewaktu membintangi drama ini, banyak kesilapan saya lakukan.

"Namun, saya cukup beruntung apabila kesemua pelakon lebih senior tidak kedekut ilmu. Mereka banyak membantu saya mendapatkan rentak lakonan lebih baik, apatah lagi apabila kali ini drama itu bersiaran selama sejam setiap episod. Ia sebuah kerja yang agak sukar, tetapi menjadi lebih mudah dengan sokongan semua pihak. Saya cukup menghargai bantuan mereka," ujarnya.

Drama yang mula menjalani penggambaran pada 10 November 2009 dan berakhir pada 5 Februari lalu itu turut dibintangi Datuk Rahim Razali, Aida Radzwill, Dian P Ramlee dan Balkisy.

Kata Jee, selain daripada Gelora Di Hati Sara, dia sebenarnya turut menerima tawaran berlakon daripada produser lain. Sayangnya, sebahagian daripada tawaran itu tidak dapat diterima, dek percanggahan jadual kerja.

"Saya juga kenalah betul-betul melihat di mana kemampuan saya. Takkan saya ingin terima sesebuah watak yang tidak termampu dilakukan oleh pelakon kurang berpengalaman seperti saya.

“Saya menjayakan projek Gelora Di Hati Sara musim kedua ini kerana saya sudah terbabit dengan projek pertama dulu. Paling tidak, sedikit keyakinan sudah pun diperoleh," kata Jee.

Ujarnya, peminat memang ingin melihat dia berlakon dengan lebih giat lagi, tetapi Jee lebih suka mengambil sikap tidak tergesa-gesa. Tegasnya, lakonan bukan bidang yang boleh dibuat secara main-main.

Sementara itu, saat menyentuh karier muziknya, penyanyi ini memberitahu lagu barunya, Ku Di Sini yang dicipta Ross Ariffin dan lirik hasil tangan sendiri, bakal dijadikan lagu tema drama bersiri berkenaan.

"Selain daripada menghiasi drama Gelora Di Hati Sara 2, lagu ini juga akan menjadi single terbaru saya. Kini kami berusaha menyudahkan proses mastering, supaya peminat dapat mendengarnya dengan kadar segera," kata Jee yang tidak mahu terburu-buru muncul dengan album baru.

Jee menambah, dia sentiasa membuka mata dan memasang telinga sekiranya ada lagu yang bagus dihasilkan mana-mana komposer, yang sesuai dinyanyikannya.

Monday, February 22, 2010

CAK: Aizat undang gelisah petugas IB

DALAM tempoh singkat Aizat berjaya melakar nama dalam industri, malah dia antara pendatang baru yang menyerlah. Bagaimanapun, di sebalik cerita gembira itu CAK terdengar beberapa rungutan kurang enak mengenai sikapnya.

Ketika mendendangkan lagu Kau Pergi, Aizat meminta penonton menyalakan lampu telefon bimbit sedangkan menjadi prosedur Istana Budaya tidak boleh menggunakan telefon atau merakam persembahan yang berlangsung.


Mungkin niat Aizat sekadar mahu menyemarakkan persembahan itu, tetapi permintaannya jelas mengundang gelisah di hati petugas IB.


Ada dua kemungkinan di sini, sama ada Aizat tidak faham protokol atau buat-buat tak tahu. CAK tak suka main tuduh kerana hanya empunya diri tahu jawapan sebenar mengapa dia bertindak sebegitu.


Aizat sekali lagi menjentik hati petugas IB apabila selamba lalu lalang depan tetamu kehormat untuk bersalaman dengan peminatnya. Tidak sedikitpun dia menunjukkan rasa hormat kepada tetamu VVIP, sebaliknya galak bergerak ke sana sini.

Apabila wakil IB berbisik di telinganya supaya meminta maaf kepada VVIP, dia buat tak tahu saja. Riuh juga mulut petugas tempat berprestij itu mengomel dengan sikap Aizat.


CAK sekadar mendengar cerita ini dan tidak ada di tempat kejadian. Apapun, saran CAK kepada Aizat supaya lebih berhati-hati di masa depan dan jangan diulang lagi kesilapan itu andai dia benar-benar melakukannya.


Bukan apa, kita kena pandai bawa diri dan jangan sesekali melanggar etika yang ditetapkan. Belajar menghormati orang lain dan anggap teguran ini ikhlas dari hati CAK demi kebaikan karier Aizat.

CAK: Ahli Fiqir berpecah

TERKEJUT beruk CAK dengar yang kumpulan popular dari Singapura, Ahli Fiqir akhirnya berpecah selepas hampir 10 tahun bersama-sama dalam dunia penuh glamor ini.

Namun kali ini Ahli Fiqir betul-betul akan berpecah pada bulan depan disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dibendung.


Walaupun kontrak mereka masih berbaki setahun lagi dengan syarikat Warner Music, perjuangan kumpulan ini terpaksa dihentikan.


Yang CAK dengar, kononnya Mawar Berduri mengandung kali kedua dan dia tidak boleh lagi memberi komitmen kepada kumpulan. Maklumlah, Mawar bukan lagi gadis lincah seperti dulu, sebaliknya kini bergelar isteri dan ibu.


Ada juga yang mengatakan, ahli termuda kumpulan ini, Dj Cza ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan keluarganya dan kalau tak silap CAK, Dali yang juga dikenali sebagai Ahli Fiqir bersedia melancarkan projek solonya. Jadi CAK tidak tahu kesahihan kisah mereka.

Apapun, difahamkan kumpulan yang popular dengan lagu Derita Merindu ini akan mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan perkara itu dalam waktu terdekat. Kita nantikan saja apa kata mereka.

Gayah Gebu: Berani buat tanggung malu

KAGUM sungguh Gayah dengan artis seorang ini. Bukan kagum dengan pencapaiannya, tetapi perangainya. Hebat sungguh, sampai Gayah dah hilang rasa menyampah.

Tahniahlah sebab berjaya mengaku secara lisan ambil dadah. Tahniah juga sebab ada perasaan malu, tutup muka apabila berdepan lensa kamera.


Sebelum ini apa yang Gayah perasan, tak ada pula ‘tutup-tutup’, hampir semuanya dibuka sampai habis tersebar merata-rata. Opss... terlepas cakap.


Apa yang berlaku kepada artis itu boleh diumpamakan luka lama berdarah kembali. Cuma, kali ini dah tak boleh nak bagi komen atas nasihat peguam dan keluarga.


Eloklah tu dik... kau nak cakap apa lagi sebab benda itu memang salah. Takkan nak menegakkan benang yang basah. Duduklah diam-diam di rumah dan harap-harap kau bermuhasabahlah diri.

Cuma Gayah teringin sangat nak dengar ungkapan insaf seikhlas-ikhlasnya dari mulut kau dan satu lagi, sejuk hati Gayah kalau kau cakap mahu berubah. Apa-apa pun, terpulanglah sebab ada Gayah kisah? Hmm... alang-alang bercakap mengenai komen, Gayah hairan dengan artis seorang ini. Entah apa masalahnya sampai payah sungguh nak dapat komen daripadanya mengenai satu isu.


Hello... janganlah jadi macam budak-budak. Berani masuk industri, kenalah berani berdepan onak duri dunia hiburan. Baru terbabit dengan kontroversi kecil, tak berani nak beri penjelasan.


Gayah tak faham dengan artis zaman sekarang. Mereka seolah-olah takut dengan bayang-bayang sendiri dan nampak sangat berlagak. Apa, kau ingat kau cantik sangat! Baru masuk dunia hiburan dah berani buat perangai sengal. Kalau zaman Gayah muda-muda dulu, habislah kau, tak ada siapa nak layan. Menangis tak berlagulah jawabnya.


Yang teman lelakinya pun sama. Nak tunjuk marah di Facebook konon. Cakap berdegar-degar, selepas itu tarik balik. Gayah tak nak ambil tahu komen yang kau buat selepas itu sebab sebagai artis baru, kau memang entah apa-apa entah.


Baru terpalit dengan sedikit kontroversi, buat tindakan bebal. Hello... kalau diri tu orang baru, buatlah cara orang baru. Jangan nak tunjuk diri itu hebat sangat sebab orang menyampah! Bencilah Gayah!

Antara... beri keinsafan

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

ANTARA kasih dan benci, rindu dan dendam serta syurga atau neraka! Hakikatnya, manusia tidak pernah lekang dengan dosa. Dihasut permintaan duniawi dan gaya kehidupan di tengah kota membuatkan kita sering alpa dalam menongkah hayat.

Mengangkat tema kerohanian, naskhah ini bukan mudah untuk diterjemahkan. Sekalipun pernah mengarah teater sebelum ini, tekanan digalas Ellie Suriaty kini lebih hebat daripada sebelumnya.


“Teater ini berkaitan dengan agama, malah lebih menjurus kepada kehidupan masyarakat masa kini. Selain itu, ia membabitkan asal usul kejadian umat manusia. Pertama kali mendengar jalan ceritanya, saya dapat mengagak ia bukan satu kerja mudah.


“Jujur, sewaktu ditawar mengarah teater ini, saya cuba tolak kerana tahu cabaran besar yang terpaksa diharungi. Saya sedar tanggungjawab ini cukup berat tetapi peluang sebegini bukan selalu hadir, apatah lagi naskhah yang bakal diarahkan itu memerlukan kreativiti yang bukan sedikit. Mengenangkan perkara itulah, maka saya sahut cabaran diberi.


“Alhamdulillah, dengan bantuan tenaga produksi yang cekap dan tahu tugas masing-masing serta pelakon hebat serta kehadiran penyanyi terkenal, saya yakin teater ini pasti berjaya. Ditambah lagi dengan jalan cerita yang menarik, pasti ia dapat memancing perhatian pencinta teater.

“Bukan mahu berbangga hasil kerja sendiri, sebaliknya tema, jalan cerita, pelakon, dan pementasannya memang menarik. Merungkai bagaimana Adam dan Hawa bertemu hingga kehidupan manusia zaman ini yang sering lalai dengan godaan syaitan dan nafsu menjadi paparan yang unik,” katanya.


Pementasan ini menyaksikan aktor Fahrin Ahmad bergandingan dengan Nasha Aziz sebagai Adam serta Hawa selain Azizah Mahzan, Azhan Rani, Haerianto dan Soosan Hoh yang memainkan peranan penting membentuk naratif teater ini.


Menurut Erma, teater ini diterbitkan atas dasar mahu menyuntik kesedaran kepada orang ramai. Jelasnya, selagi umat Islam hanyut dalam arus dosa, selagi itulah Islam akan terus diperkotak-katikkan.


“Atas rasa tanggungjawab terhadap sesama saudara seagama, maka muncullah teater Antara.... Biarpun berteraskan cerita kerohanian, penyampaiannya menghiburkan, malah ramai akan hiba serta menitiskan air mata menontonnya.


“Judul asal teater ini sepatutnya Jika Tiada Syurga dan Neraka, Masihkah Kita Menyembah Tuhan?, namun apabila ada yang mempertikaikan ia boleh merosakkan akidah, saya ubah menjadi Antara Syurga dan Neraka. Begitupun, ia masih mendapat bantahan dan akhirnya, Antara... dipilih.


“Jujur saya katakan, jalan ceritanya sedikit berat tetapi sesuai untuk tontonan semua. Apabila bermain dengan fakta agama, saya tidak mahu tersilap langkah lalu menimbulkan kontroversi.


“Jadi, saya mendapatkan nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai apa yang boleh dan apa yang dilarang untuk dimasukkan dalam teater seperti ini. Alhamdulillah, beliau sudi berkerjasama,” katanya.

Bagi yang berminat menonton Antara..., tiket karya terbitan Antipop Event Solutions Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya ini boleh dibeli pada harga RM250, RM200, RM150, RM100, RM70 dan RM50 menerusi layari www.ticket2u.biz.

Lokman bangkit

Oleh IZWAN MOHAMAD DAN
metahad@hmetro.com.my

BERTAPAK di persada seni tanah air hasil rancangan realiti televisyen One In A Million (OIAM) musim pertama, Mohd Lokman Aslam Abdul Mutalib atau Lokman ibarat terkena ‘virus’ populariti kerana sejurus selesai program itu, namanya terus terpinggir.

LOKMAN... tidak henti mencuba.
LOKMAN... tidak henti mencuba.

“Kehilangan ayah sangat dirasai, namun ada kalanya saya rasa rendah diri apabila melihat rakan seangkatan sewaktu di OIAM dulu lebih berjaya dalam bidang masing-masing,” kata Lokman ketika bertandang di Balai Berita, baru-baru ini.


Dia yang sebelum ini merakam empat lagu bersama Nature Records gagal mendapat tempat di persada seni negara berikutan kurang publisiti walaupun berbakat sebagai penggubah lagu dan lirik.


Mendokong irama R&B, jazz, pop dan soul, anak kelahiran Pulau Mutiara serta dibesarkan di Kuala Lumpur dan Masai, Johor ini juga pernah melalui saat getir apabila lagu ciptaan seorang komposer dan penyanyi muda yang dinyanyikannya diberi kepada orang lain dan dirakam semula.


“Mungkin bukan rezeki saya apabila lagu itu menjadi milik orang lain, tetapi bagaimana hendak saya sembunyikan rasa kecil hati itu kerana sepatutnya saya yang mendendangkannya,” katanya.

Bercerita mengenai kehilangan populariti, anak muda ini akhirnya sedar ramai mendampinginya sebelum ini kerana dia dikenali ramai.


Memiliki suara unik, jejaka yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-23 pada 1 Januari lalu ini mampu memberi kelainan kepada industri muzik, apatah lagi ia terbukti apabila persembahannya di kelab No Black Tie bersama band Loudspeaker pada 22 Disember lalu mendapat sambutan hangat penonton.


Malah, ada pengunjung dari luar negara teruja dan terhibur dengan persembahannya sehingga ada yang menawarkannya merakam album di negara mereka.


“Saya sedar kemampuan yang saya miliki, namun mungkin sebelum ini nasib tak menyebelahi saya dan ada faktor lain yang membantutkan perjalanan saya untuk ke peringkat lebih tinggi.


“Apa pun, saya mahu melebarkan sayap di arena muzik tempatan terlebih dulu sebelum menyahut peluang ke luar negara,” kata Lokman.


Selepas empat lagu yang dirakam terdahulu, penyanyi ini baru menyiapkan satu lagi lagu berjudul Karbaret yang berkonsepkan pop jazz, tetapi tidak tahu sama ada dia perlu menukar tajuk lagu itu memandangkan pasti ada yang membuat persepsi negatif apabila mendengar judulnya.


Pada 23 Januari ini, anak ketiga daripada lima beradik ini menerima tawaran istimewa apabila dipelawa bergandingan dengan penyanyi Atilia.

“Saya akui berasa gementar bergandingan dengan Atilia yang lebih berpengalaman, namun yang penting saya harus membuat sebaik mungkin untuk memuaskan hati penonton,” kata Lokman.

Enggan minta maaf

Oleh IZWAN MOHAMAD DAN
metahad@hmetro.com.my

“SAYA takkan minta maaf,” tegas pelakon dan model sambilan, Ammar Alfian Aziz, berkenaan kenyataan kerasnya terhadap wartawan menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini yang mengundang kemarahan sebahagian besar wartawan hiburan negara.

AMMAR... tidak berniat hadiri majlis.
AMMAR... tidak berniat hadiri majlis.
PUTERI SARAH...dikatakan bergaduh dengan Ammar.
PUTERI SARAH...dikatakan bergaduh dengan Ammar.

Anak kelahiran Johor Bahru itu juga dikatakan bergaduh dengan kekasihnya di khalayak ramai dan bengang dengan tindakan seorang jurugambar yang didakwanya berkasar ketika merakam gambarnya pada majlis sama sehingga dia yang dikenali melalui drama Tari Tirana naik angin.


Impaknya, dia menerima kecaman daripada pelbagai sudut sehingga ada yang berura-ura mahu meletakkannya dalam senarai yang digam media, apatah lagi ada yang mengaku menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Ammar yang berbaur kasar.


Sebelum ini Ammar memilih untuk berdiam diri kerana terlalu malu dengan insiden berkenaan, namun selepas dihubungi SELEBRITI dia akhirnya bersetuju menyuarakan pendiriannya. Ikuti penjelasan bekas finalis Hero Remaja ini.


“PADA hari kejadian, sebenarnya saya tidak berniat menghadiri majlis berkenaan dan tidak tahu menahu mengenai larangan membawa kekasih yang dikenakan terhadap setiap pelakon yang terbabit dalam filem itu.

Namun saya ada di sana untuk bertemu Zed Zaidi atas urusan pendaftaran Persatuan Seniman Malaysia.


Tanpa disangka, saya terserempak dengan ibu Sarah dan dia mengajak saya menyertainya ke majlis itu walaupun saya enggan kerana sudah menonton filem berkenaan sebelum itu.


Kebetulan saya baru pulang dari salun rambut dan keadaan rambut saya yang berwarna-warni untuk disesuaikan dengan karakter drama yang saya jayakan membuatkan saya segan untuk bergambar, namun jurugambar berkenaan memaksa dan merentap tangan saya secara kasar, membuatkan saya kecil hati.


Selepas itu, dia langsung tak ucap terima kasih atau meminta maaf atas kelakuannya. Jadi saya memang marah ketika itu dan mengadu kepada Sarah yang kebetulan ada berhampiran saya.


Saya langsung tak marah dengan Sarah. Kenapa pula ada yang menganggap saya bergaduh dengannya sedangkan perkara itu tak berlaku sama sekali, dan ada yang menganggap saya naik angin hanya kerana Sarah bergambar berpelukan dengan Nabil.


Saya faham kerana itu tuntutan kerja, tetapi apabila ada yang mula menulis perkara tak benar mengenai saya tanpa meminta penjelasan, sudah tentu saya marah sehingga saya meluahkannya menerusi Facebook.


Saya minta maaf kalau ada wartawan terasa hati, tapi ketika itu saya memang benar-benar marah, apatah lagi Facebook bersifat peribadi dan ingin lihat siapa kawan dan siapa bukan.

Tak sangka ada pula yang menyebarkan luahan perasaan saya itu, walaupun sebelum ini pihak berkenaan begitu baik dengan saya. Kini, baru saya sedar siapa dirinya yang sebenar.


Berkenaan dakwaan saya ingin membunuh pihak berkenaan, itu sekadar luahan perasaan marah yang tak terbendung dan tak logik langsung saya nak bunuh orang.


Saya sedar saya orang baru, tapi saya juga ada perasaan. Kenapa tuduh saya cemburukan Sarah dengan Nabil sehingga beberapa blog dan akhbar menyebarkan perkara sama, sedangkan perkara yang dinyatakan tak wujud?


Tak ada seorang pun yang tampil bertanyakan hal sebenar sebelum itu, tapi kenapa selepas cerita buruk saya dicanang baru ada yang nak bertanya kebenaran?

Fikirlah sendiri, kalau saya dan Sarah ada masalah sekalipun, takkan saya nak bergaduh di khalayak ramai dan memalukan diri sendiri.


Berkenaan mereka yang menyebarkan berita tak benar mengenai saya, saya kini berbincang dengan peguam berhubung perkara ini.


Saya takkan sebut nama individu yang terbabit, tapi saya akan mengambil tindakan undang-undang, termasuk saman malu, kerana mereka menyebarkan fitnah.”

Dilamar saluran antarabangsa

Oleh MURSHID EUNOS
metahad@hmetro.com.my

GERAK penyampaiannya mungkin tidak 'gila-gila' seperti kebanyakan pengacara lain. Elemen jenaka pun tidak banyak malah lebih bersifat santai, yang jelas membawa gadis ini ke liga tersendiri.

pix_middle
sebelum - selepas

Wajahnya masih ligat mewarnai industri, penampilannya masih dikehendaki meskipun pelapis baru semakin ramai.


Rentetan kerjayanya bukan calang-calang. Pengalaman mengendalikan Muzik-Muzik sejak 2004 selain Anugerah Juara Lagu (AJL) enam kali berturut-turut mampu dijadikan kayu ukur buatnya.


Tidak hanya itu, program realiti Malaysian Idol pernah diacarakannya. Belum lagi Nescafe Kickstart, MTV No Limit dan MTV Pulse yang menyumbang kepada keberkesanan kerjayanya.


Sikap mudah mesranya lebih memudahkan proses temubual yang banyak menyingkap rahsia kerjayanya. Malah selebriti yang juga Pengarah Urusan Brown Sugar Productions ini tidak lokek berkongsi setiap rencah yang menjadi paksi laluannya.

"Saya bersyukur kerana masih ramai yang percaya dan yakin akan hasil kerja saya. Saya akui, penyampaian dan gaya pengacaraan saya tidak sama dengan orang lain. Namun itulah kekuatan dan rahsia saya masih bertahan hingga hari ini.


"Saya tidak pernah cuba mengikut-ikut pengacara lain, sebaliknya melihat mereka untuk menilai kelemahan yang ada pada saya.


"Saya hanya menjadi diri sendiri di atas pentas. Tidak kira program atau majlis apa yang saya kendalikan, yang anda lihat di dalam televisyen, itulah karakter dan perangai sebenar saya. Mungkin dengan cara itu, penonton dapat merasa dengan dekat apa yang ingin saya sampaikan.


"Saya tidak boleh menjadi seperti pengacara lain. Nampak janggal jika saya berjenaka berlebihan atau cuba mengajuk seseorang personaliti hanya untuk meraih gelak tawa penonton kerana karakter itu tidak wujud dalam diri saya.


"Lagipun, saya selalu mengingatkan diri sendiri yang tugas saya untuk menyampaikan maklumat kepada penonton, jadi kaedah paling ringkas dan berkesan perlu saya lakukan adalah seperti saya berbual dengan sesiapa saja. Alhamdulillah, penonton masih boleh menerima saya seadanya," katanya.


Terbaru, graduan Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens (Undang- Undang) dari Universiti Malaya ini disambar sebuah stesen televisyen antarabangsa, ESPN untuk mengelola sebuah program sukan, Myeg Xtra Time.


Bergandingan dengan Fazura Shariffudin dan Marion Counter, gadis hitam manis ini menganggap peluang yang datang ini bagai bulan jatuh ke riba.

Selain itu, wajahnya kini dapat disaksikan menerusi laman web Penerbangan Malaysia untuk sebuah lagi program khas, Destinasi Bajet Jom MAS.


"Rezeki untuk saya terus tampil sebagai pengacara tidak pernah putus. Semakin ramai yang datang memberi tawaran, ia seakan-akan memberi seribu harapan buat saya untuk terus berusaha memberi yang terbaik. Peluang untuk tampil di pentas antarabangsa seperti ESPN adalah mustahil untuk saya tolak.


"Segala penat lelah dan pengorbanan yang pernah saya lalui untuk berada di tahap hari ini akhirnya berbaloi dan membuahkan hasil untuk saya duduk tersenyum.


"Bagaimanapun, saya tidak mudah berasa puas dengan apa yang ada di depan mata hari ini. Sekian lama saya menghambakan diri dalam bidang ini, saya masih mengharapkan tawaran untuk mengendalikan sebuah program sendiri akan tiba nanti.


"Saya teringin untuk berkongsi pelbagai cerita. Itu akan membuktikan seseorang pengacara itu mempunyai kredibiliti dan karisma yang kuat apabila berjaya mengangkat sebuah program atas jenama sendiri.


"Saya merangka perjalanan seni saya sebaik-baiknya. Yang saya rasakan, mungkin dunia hiburan tidak kekal untuk saya. Saya mengimpikan untuk menjadi pengantara sebuah program yang boleh membincangkan isu dunia, politik dan ekonomi.


"Tidak hanya tertumpu pada hiburan, meskipun minat saya mendalam ke arah itu. Sekurang-kurangnya, pendidikan saya dalam jurusan undang-undang tidak terbengkalai begitu saja," katanya.


Menyentuh diari lakonannya yang tidak ketinggalan mewarnai penerbitan drama tempatan, Cheryl yang sebelum ini pernah tampil menerusi drama bersiri popular, Ghost dan Each Other serta beberapa penampilan lain termasuk Table For Two, Astana Idaman 3, Frontpage, Island FM, RM8888 dan Impian Ilyana masih merangka segala peluang lakonan yang datang.


Bagai mengantuk disorong bantal, hajatnya untuk berlakon di bawah sentuhan pengarah terkenal, Kabir Bathia akhirnya kesampaian menerusi drama cinta, Keabadian Cinta yang ditayangkan minggu lalu.


"Minat saya kepada lakonan tidak pernah luntur, cuma bidang pengacaraan tetap menjadi keutamaan. Saya gembira bila sesekali berpeluang berlakon.


"Bayangkan, dalam pada sibuk dengan Muzik-Muzik, masih sempat lagi saya berkejar mengacara acara makan malam. Justeru, kesempatan saya untuk menyelit dalam bidang lakonan agak terbatas," katanya.


Perspektif cintanya mula tersingkap. Mahu atau tidak, Cheryl tidak sekali mengeluh, sebaliknya dengan mengukir senyuman dia mengatur bicara.


Hubungannya dengan ahli perniagaan keturunan Cina yang dikenali sejak tujuh tahun lalu bukan lagi rahsia. Malah, Cheryl tidak menafikan kenyataan cintanya bersama jejaka kelahiran Kuala Lumpur berusia 30-an itu.


"Kami masih lagi bersama dan segala perancangan masa depan belum sempat untuk kami bincangkan. Mungkin kami terlalu sibuk mengejar kerjaya masing-masing, menyebabkan saya sendiri belum terfikir ke arah rumah tangga.


"Bohong kalau saya katakan saya tidak terfikir untuk berkahwin kerana setiap insan, itulah yang menjadi tujuan, cuma belum waktunya lagi. Biarlah saya kuatkan dulu kerjaya saya selagi masih ramai yang perlukan. Begitu juga dengan dia.


"Kami saling memahami dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, terutama daripada aspek cita-cita. Insya-Allah, jika ada jodoh akan saya kongsikan nanti," katanya.

Saturday, February 20, 2010

Hot FM Big Jam ke utara

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


ZURINA (empat dari kanan) bersama penyampai dan artis yang akan menjayakan Hot FM Big Jam di Pulau Pinang, 6 Mac ini.

Peluang penggiat muzik profesional dan amatur dekati peminat hiburan tanah air

MENITI pelbagai isu serta perubahan selama empat tahun adalah satu pengalaman yang terindah buat warga stesen radio Hot FM. Pastinya setiap kejayaan yang diraih oleh stesen berkenaan tidak dapat dikecapi tanpa sokongan serta komen positif pendengar sendiri yang sememangnya prihatin dengan perkembangan stesen itu.

Awalnya festival muzik itu diwujudkan untuk memberikan penghargaan kepada pendukungnya tetapi kini stesen itu memburu satu lagi matlamat iaitu ingin melestarikan muzik tempatan supaya setanding dengan kualiti muzik antarabangsa.


Pengurus Besar Jalinan Jenama dan Promosi Hot FM, Zurina Othman berkata, stesen itu yakin dengan memberikan landasan kepada penggiat muzik yang profesional mahupun amatur, industri muzik tempatan akan semakin berkembang.

“Dengan kolaborasi TM, sekali lagi warga kerja Hot FM akan keluar dari Lembah Klang dan kali ini menuju ke utara. Pulau Pinang menjadi sasaran kedua selepas tahun lalu festival ini diadakan di Johor Bahru.

“Kelainan yang dapat dilihat pada tahun ini adalah festival ini akan menyediakan dua pentas. Pentas utama pasti akan mula bergegar tepat jam 4 petang hingga lewat malam. Tetapi sebelum itu, sebuah lagi pentas akan dibuka seawal jam 12 tengah hari bagi menampilkan mereka yang menyumbangkan karya bagi segmen Hot FM Kita Punya,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada Tilu, Bittersweet, Anna Rafalli, Rock and Roll John, So Wincci serta The Curse Between Us yang berjaya menempatkan diri dalam Hot FM Big Jam kali ini.

Sementara itu, di pentas utama, festival itu bakal menampilkan artis kegilaan peminat muzik tempatan masa kini seperti Bunkface, Meet Uncle Hussain, Hujan, Modread, Sixth Sense, Stacy, Mila, Akim, Alyah, Diddy, Tomok, Shila, One Nation Emcees, Nubhan, Aril, Black, dan Adam.

“Kami juga akan membawa dua artis negara jiran iaitu, Imran Ajmain dan Sleeq. Malah tahun 2010 akan menyaksikan pentas utama Hot FM Big Jam dihangatkan lagi dengan kehadiran M Nasir yang buat kali pertama sudi meluangkan masa untuk menghiburkan peminatnya di Pulau Pinang.

“Selain itu Anuar Zain, Misha Omar dan Faizal Tahir adalah nama yang tidak asing lagi di persada muzik tanah air juga akan memanaskan pentas itu.

“Tiada yang lama maka tiada yang baru, maka stesen itu akan membawakan Fotograf, Bumiputera Rockers serta AXLs sebagai melengkapi resipi istimewa ulang tahun Hot FM kali ini,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul berkata, Hot FM Big Jam 2010 yang akan berlangsung pada 6 Mac di Padang Kota Lama, Pulau Pinang bermula jam 10 pagi adalah antara Big Jam yang melakar sejarah buat stesen itu dengan menyambut ulang tahun mereka yang keempat.

“Kami bukan saja ingin memberi lebih dari hiburan yang hangat dan mantap malah turut mengambil peluang ini untuk memberi artis tempatan yang baru menapak untuk membuat persembahan menggunakan landasan Big Jam,” katanya.

Tak lupa diri dek populariti

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

DIA sudah membuktikan kredibilitinya sebagai penyampai radio apabila gandingannya dan Fara Fauzana dalam segmen pagi Hot FM AM Krew di 8TV kekal sebagai rancangan No 1 seperti laporan AC Nielsen.

SALING MENGHORMATI...Anne anggap  Faizal seperti abang.
SALING MENGHORMATI...Anne anggap Faizal seperti abang.
sebelum - selepas


Lebih bermakna buat Faizal Ismail, stesen Hot FM yang baru berusia empat tahun dan mempunyai kira-kira empat juta pendengar juga muncul sebagai stesen radio No 1 negara mengatasi 38 stesen radio tempatan lain.

Tidak cukup dengan itu, nama Faizal, 34, juga dicalonkan dalam dua kategori, Penyampai Radio Lelaki Popular dan Pengacara TV Lelaki Popular sempena Anugerah Bintang Popular, Berita Harian 2009 (ABPBH2009).

Bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular, Faizal dicalonkan buat tiga tahun berturut-turut sejak 2007 dan kategori Pengacara TV Lelaki Popular pula dua tahun berturut.

Dalam kategori Penyampai Radio Lelaki Popular, Faizal bersaing dengan empat lagi calon lain iaitu AG, Aznil Nawawi, Din Beramboi dan Kieran. Manakala, dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular, Faizal bersaing dengan AC Mizal, Ally Iskandar, Aznil dan Nabil.

Secara peribadi, Faizal mengakui mara ke Top 5, ABPBH 2009 sudah cukup bermakna buat dirinya.

"Maklumlah, saya sudah dicalonkan sebanyak tiga kali dalam kategori Penyampai Radio Lelaki Popular tapi hanya dua kali saya menang. Saya juga tidak pernah menang dalam kategori Pengacara TV sekalipun pernah dicalonkan sebelum ini.


"Persaingan memang sengit kerana setiap calon mempunyai kelebihan tersendiri," katanya.

Faizal yang popular dengan gelaran FBI ini berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menang setiap kali dicalonkan.


"Kalau menang, ia memang rezeki tapi jika kalah, saya tidak akan kecewa dan tetap teruskan kerjaya seperti biasa. Seperti yang anda tahu, saya pernah kalah ketika tahun pertama dicalonkan di ABPBH sebelum ini," katanya.


Faizal bersyukur kerana bakat mula mendapat pengiktirafan orang apabila tersenarai ke Top 5, kategori Pengacara TV pada ABPBH 2009.


"Mungkin ia impak saya buat program Muzik-Muzik dan Anugerah Juara Lagu. Apatah lagi, saya bersaing dengan nama besar seperti Aznil Nawawi.

"Bagaimanapun, Aznil adalah calon yang paling memberi saingan sengit kepada saya dalam dua kategori berkenaan. Selain itu, AG dan Kieran yang juga gandingan penyampai Jawa atau Jawa Rangers menerusi segmen Hot FM Jam juga menjadi pilihan utama pendengar sebelah petang," katanya.

Apapun, ayah kepada seorang anak perempuan ini berkata, populariti dikecapi hari ini tidak sesekali membuatkannya lupa diri.


"Memang ada perbezaan apabila saya muncul di kaca TV. Pada tahun pertama, hanya 20 peratus saja orang kenal saya. Tapi kini ada peningkatan sebanyak 80 hingga 90 peratus.

"Maklumlah, saya bermula dari bawah sebelum berada pada tahap ini. Saya bersyukur kerana isteri dan anak cukup memahami bidang yang diceburi ini," katanya.


Pada sesi fotografi yang diatur Rap di Studio di Balai Berita, baru-baru ini, buat julung kalinya Faizal digandingkan dengan seorang lagi penyampai Hot FM, Anne.

Maklumlah, Faizal sudah sinonim dengan gandingannya dengan Fara. Manakala Anne pula sering digandingkan dengan rakan setugasnya dalam segmen Hot FM Zon, Ikhwan dalam sesi fotografi.

Faizal yang sudah empat tahun bersama stesen Hot FM sejak 2006 mengakui mereka jarang berjumpa walaupun mereka bekerja di bawah satu bumbung. Justeru tidak hairanlah masing-masing nampak kekok ketika digandingkan dalam sesi fotografi ini.

"Saya bertugas pada awal pagi dan Anne pula pada waktu malam. Kami hanya berjumpa ketika mesyuarat setiap Isnin iaitu seminggu sekali. Pada pandangan saya, Anne seorang yang berterus terang dan mempunyai prinsip dalam hidupnya. Dari segi program pula, gandingannya dengan Ikhwan memang sesuai untuk generasi muda dan golongan remaja," katanya.


Berbanding Faizal dan Fara, mungkin tidak banyak publisiti membabitkan Anne atau nama sebenarnya, Putri Andreanna Syigim Mohd Razalli, 29, dan gandingannya dengan Ikhwan dalam segmen Hot FM Zon yang ke udara dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.


Kata Anne yang menyertai Hot FM lebih tiga tahun lalu, populariti adalah soal kedua kerana yang penting segmen kendaliannya, Hot FM Zon mendapat tempat di hati pendengar.


"Tahun ini, segmen Hot FM Zon juga memperkenalkan dua program baru khusus buat pendengar setianya iaitu Zon Bengang yang ke udara jam 9 malam dan Zon Cintan pada jam 11 malam.

"Secara peribadi, saya belum puas dengan pencapaian sedia ada dan impian untuk mendapat lebih ramai pendengar mendengar segmen Zon ini.


"Pada masa sama, masih banyak kelemahan yang perlu dibaiki terutama dari segi penyampaian. Setiap kali mesyuarat, saya sering ditegur kerana kelemahan itu," katanya.

Anne berkata, dia juga boleh menerima teguran Faizal berbanding penyampai lain di stesen berkenaan.

"Mungkin kerana Faizal lebih senior dan lebih berpengalaman daripada saya dan hubungan kami seperti abang dan adik. Faizal tidak cakap banyak, tetapi tegurannya pedas dan semua orang akan beri perhatian," katanya.

Jika Faizal sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan, Anne pula lebih suka menyerahkan soal jodoh pada ketentuan Tuhan.

"Memang saya sudah mempunyai teman istimewa dan kami sudah berkawan selama empat tahun. Si dia orang biasa saja dan bekerja di belakang tabir.


"Sebenarnya, saya pernah menyasarkan usia 28 untuk menamatkan zaman bujang tapi tidak menjadi kenyataan. Justeru, saya tidak ingin letak sebarang sasaran lagi sekarang. Buat masa ini, saya ingin fokus pada kerjaya dulu," katanya.

>Profil
NAMA SEBENAR : Mohd Faizal Ismail
NAMA KOMERSIAL: Faizal Ismail dan FBI
TARIKH LAHIR : 19 Mei 1976
TEMPAT LAHIR : Jitra, Kedah
PENDIDIKAN: Ijazah Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (Penyiaran)
KERJAYA: Penyampai Hot FM (sejak 2006), pengacara dan pelakon
STATUS: Berkahwin
PROGRAM : Pengacara Sampaikan Aidilfitri di TV3 ( 2006) Rentak Syawal Bersama Digi di TV9 (2006), Muzik-Muzik (Mingguan) di TV3, Anugerah Juara Lagu 22, Hot FM AM KREW di 8TV (setiap pagi Isnin hingga Jumaat) dan Konsert Jomheboh. SUARA LATAR: Melodi di TV3 Kerjaya Saya (Astro Ria), Rejoice Reviving and Rebonding, Coca Cola, Ayamas, Proton Juara, KFC, Felisa Kosmetik, LOREAL, Astro, Colgate, F&N, TM Net, MAS, Lancome, Ridsect, Johnson and Johnson, Toyota, Nokia, Honda, Clorets, Darlie, Zon Aktif (Astro Ria) dan Galaxie (TV9)
DRAMA: Pemanduku Jutawan (13 episod yang kini diulang tayang di TV3).
TEATER: watak Jin dalam teater Aladdin di Istana Budaya pada Disember 2007
PENCAPAIAN: Penyampai Radio Lelaki Popular, ABPBH 2007 dan 2008
DUTA PRODUK Jacob's Walk Of Life (2007)

>Profil
NAMA SEBENAR: Putri Andreanna Syigim Mohd Razalli
NAMA KOMERSIAL: Anne
TARIKH LAHIR: 11 Januari 1981
ASAL: Taiping, Perak
PENDIDIKAN: IJazah Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam
KERJAYA: Penyampai Hot FM Zon (8 malam hingga 12 tengah malam) dan pengacara
STATUS: Bujang
PROGRAM: Kids gameshow 'Hugo' (Ntv7) (171 episod), Sukandotcom (RTM1), reality program Gangstarz musim 1 (TV3), program hiburan' Film di 9' (TV9), Carta Hotfm30@9 (TV9) dan Penolong penerbit Kompas (CH9).
IKLAN: Sunsilk Conditioner, Ayamas, TM, Canon.

Penangan anak Normadiah

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


GANDINGAN Azlina, Musly dan Liza meninggalkan kenangan manis kepada penonton Imbauan 2.

Vokal Azlina dan Liza dalam Program Imbauan 2 di Dewan Filharmonik Petronas bangkitkan nostalgia

SIAPA yang tak kenal dengan Allahyarhamah Seniwati Normadiah. Setiap kali figura hebat ini muncul di layar lebar, pasti akan ada yang menjuih bibir sebagai tanda membenci pelakon yang sering membawakan watak antagonis ini. Watak ibu tiri, isteri yang curang memang sering diberikan padanya. Namun, hakikatnya, Normadiah adalah antara pelakon yang cukup berkarakter pada zaman kegemilangannya.

Berikan apa saja watak padanya, pasti dia akan merealisasikan dengan baik. Namun pemilik nama asal, Norma Abdullah ini bukan saja hebat di pentas lakonan malahan dia juga berbakat dalam bidang nyanyian. Kerap juga suaranya digunakan sebagai penyanyi latar untuk sesebuah filem. Paling membanggakannya apabila dia diberi kepercayaan untuk berduet dengan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi lagu Bulan Dan Juga Angin yang dipetik menerusi filem Panggilan Pulau yang diterbitkan sekitar 1954.


Sehingga kini, lagu nyanyiannya masih terus dialunkan oleh penyanyi masa kini dan ada juga yang dirakam semula. Antara penyanyi yang pernah merakamkan lagu seniwati ini ialah Datuk Sheila Majid, Noraniza Idris dan juga anak kandung penyanyi itu sendiri, Azlina Aziz. Bak kata pepatah lama, ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Dan vokal milik Azlina dan juga adiknya Liza jelas saling tak tumpah seperti arwah ibunya.

Dan kelunakan serta kemerduan vokal mereka berdua itu dilontarkan mereka ketika menjayakan program Imbauan 2, yang berlangsung di lokasi berprestij, Dewan Filharmonik Petronas, KLCC, malam minggu lalu. Sebagai pewaris kepada seniwati terkenal itu, Azlina dan Liza dengan dibantu rakan duet, Musly Amir mereka menyampaikan kembali lagu yang pernah dinyanyikan Normadiah suatu ketika dulu.

Persembahan malam itu dimulakan dengan segmen prelude, iaitu persembahan muzik secara instrumental yang dialunkan oleh Kumpulan Seni Persembahan Petronas seramai 51 orang pemuzik itu. Setiap melodi yang dialunkan mempunyai terjemahan tersendiri terhadap karakter seniwati tersohor itu. Sewaktu segmen itu berlangsung, perhatian audiens tertumpu pada layar lebar yang menayangkan klip lakonan Normadiah bersama suaminya Allahyarham Aziz Jaafar.

GUBAHAN muzik pimpinan Ahmad Muriz buat penonton kagum.

Usai segmen itu, muncul Azlina mengenakan gaun labuh rona lemak ketam membawakan lagu Jangan Merajuk, yang dipetik dari album solo ibunya itu yang berjudul Sumbangsih-Ku.Tak perlu dipertikaikan kehebatan penyanyi yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang seni ini. Nyata, vokal gemersiknya adalah senjata utama untuk menyihir penonton untuk terus menyaksikan persembahan seterusnya.

Mengambil alih pentas selepas itu, Liza menyampaikan lagu Dewa Dewi. Lagu berentak inang ini dirakamkan oleh Normadiah di dalam album kompilasinya yang berjudul Dua Biduanita. Lagu ini juga pernah dirakamkan oleh Azlina sekitar tahun 80-an. Untuk persembahan malam itu, Dewa Dewi digubah semula oleh Mohd Husin Osman.

“Terima kasih kerana sudi hadir malam ini. Saya akui teruja dengan sambutan yang diberikan,” ujar Liza sambil diiringi tepukan gemuruh penonton yang terhibur dengan persembahannya itu.

Sesuai dengan tajuknya Imbauan, malam itu juga adalah malam mengimbas kembali nostalgia lama. Kedengaran juga ada tetamu yang bernyanyi-nyanyi kecil mengikut lirik yang dilantunkan kedua-dua penyanyi itu. Mungkin ada kenangan manis atau pahit yang terjadi membuatkan lagu yang dinyanyikan malam itu begitu dekat di hati mereka. Selain persembahan memukau Azlina dan Liza, turut cemerlang malam itu ialah Musly.

Azlina Aziz

Dengan pengalaman yang ada, Musly dengan mudah menjadikan pentas itu miliknya menerusi nyanyian dan lakonan bersahaja. Pemilihan Musly sebagai gandingan untuk kedua-dua penyanyi itu memang tepat kerana dia dengan mudah memberikan impak yang begitu baik terutama untuk lagu nostalgia seperti ini. Gaya nyanyiannya yang menyerupai Seniman Agung itu ditambah dengan aksi melucukan membuatkan hadirin yang hadir tak kering gusi dengan telatahnya itu.

Bekas juara Pertandingan Bintang P Ramlee 1984 itu menyampaikan lagu Mengapa Riang Ria bersama Liza dan bergandingan dengan Azlina menerusi lagu Itulah Sayang. Dia juga menyanyikan lagu medley Cinta Sejati, Sejiwa, Jangan Menjeling serta Apek dan Marjinah yang dipetik dari filem Ali Baba Bujang Lapuk. Lagu lain yang dinyanyikan termasuklah Penggodaan, Membelai Asmara, Janji Diikat dan Cahaya.Manakala lagu Seri Dewi Malam, Selendang Sayang serta Bulan Dan Juga Angin adalah lagu yang disampaikan secara instrumental oleh KSPP yang dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose.

Program yang diterbitkan Hartini Abdullah ini dibuat atas dasar ingin memberi ruang dan peluang kepada pemuzik muda KSPP untuk mengubah kembali lagu dari tahun 1950-an dan 1960-an dalam bentuk simfoni orkestra supaya menjadi lebih segar untuk diperdengarkan kepada penonton. Pada 2008, artis yang terpilih untuk menjayakan program ini ialah Datuk Khatijah Ibrahim.

Persembahan yang berlangsung selama dua malam berturut-turut itu turut dihadiri ramai selebriti tanah air seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Aziz Sattar, Azean Irdawaty, Nassier Wahab, Julie Dahlan, Fetty Dzul, Hail Amir dan Latiff Ibrahim.

click2..

sponsor links

Fitness pro’s deluxe form kit
Read this book
www.fitnessbusinessforms.com

Fat Loss Action Blueprint
See To Believe
www.fatlossactionblueprint.com/

Marketing Secrets Of Successful Nail Technicians.
Tried And Tested
www.nailtechsuccess.com